Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Sunday, April 28, 2024

Cara Tanam Pokok Kantan Berbunga Lebat

 cara tanam pokok kantan

Pokok kantan boleh ditanam sebagai tanaman hiasan, selain bunganya dimanfaatkan sebagai ramuan penting dalam masakan. Menariknya, ia sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah, asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air. Kalau nak tahu sebabnya, ikuti perkongsian tips dan cara tanam pokok kantan dari Puan Siti Rokiah Che Hat ini.


CARA TANAM POKOK KANTAN

cara tanam pokok kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

CARA TANAM BUNGA KANTAN YANG BETUL

Perkongsian ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan cara tanam bunga kantan dari segi syarat penanaman hingga kawalan penyakit dan perosak.

Kantan ialah sejenis tanaman ulam tradisional di Malaysia. Ianya merupakan pokok herba yang tumbuh membiak dan merimbun secara berkelompok. Bunganya merupakan bahagian utama yang digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti dalam masakan.

Bagi masyarakat Melayu, bunga kantan ini adalah sinonim dalam masakan sebagai perasa di dalam penyediaan asam laksa, asam pedas dan juga nasi kerabu.

1. Keperluan asas tanaman

Dari segi faktor iklim, tanaman ini sesuai ditanam di kawasan yang bersuhu sekitar 24°C -33°C dan menerima taburan hujan antara 1800-2200mm. Manakala, faktor tanah pula ianya sesuai ditanam pada berbagai-bagai jenis tanah asalkan kawasan penanaman adalah bukan kawasan takungan air.

Sekiranya pokok kantan ditanam pada kawasan tersebut, dikhuatiri bahawa ianya akan menyebabkan pertumbuhannya terjejas. Disamping itu, mengakibatkan akar dalam tanah membusuk dan menyebabkan pokok mati.

Jenis tanah yang paling ideal digunakan untuk tanaman ini adalah jenis loam berpasir.

2. Penyediaan bahan tanaman

cara tanam bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Pokok kantan boleh ditanam menggunakan rizom atau biji benih. Kebiasaannya, ramai yang menggunakan rizom kerana ianya lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding dengan penggunaan biji benih.

Bagi pemilihan rizom sebagai bahan tanaman:

  • Pertama sekali perlu mencangkul keluar rizom yang mempunyai sulur dari perdu pokok
  • Kemudiannya, rizom yang diperolehi akan dipotong dan setiap potongan rizom seeloknya mempunyai 2-3 mata tunas dan akar serabut untuk menggalakkan pertumbuhan


3. Penyediaan tanah

Penyediaan tanah atau kawasan, perlu diketahui terlebih dahulu skala penanaman yang ingin diusahakan.

  • Jika hendak diusahakan secara kecil-kecilan, penanaman di sekeliling kawasan kediaman sudah memadai.
  • Manakala untuk penanaman secara komersial, boleh menjalankannya sebagai tanaman selingan di dusun buah-buahan.

Disebabkan pokok ini adalah jenis pokok yang berasal dari hutan, sudah menjadi habitatnya tumbuh pada kawasan yang bersemak. Oleh itu, penyediaan kawasannya juga tidak perlu dibersihkan secara menyeluruh.

Bagi penanaman di kawasan baru, lorong-lorong penanaman sahaja yang perlu dibersihkan. Ini bertujuan bagi memudahkan proses penentuan corak penanaman.

  • Kebiasaannya, jarak tanaman yang disyorkan ialah 2m di antara barisan dan 1m di dalam barisan.
  • Manakala untuk lubang penanaman pula, adalah berukuran 20cm x 20cm x 20cm.

Kedua-dua langkah ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerja penanaman dijalankan.

4. Penanaman

Dengan menggunakan rizom yang telah disediakan,

  • Masukkannya ke dalam lubang yang telah digali lalu dipadatkan dengan tanah
  • Kemudian, gunakan daun-daun kering untuk dijadikan sebagai sungkupan bagi mengelakkan tunas-tunas muda daripada kekeringan
  • Waktu penanaman sebaiknya diselaraskan dengan musim hujan bagi mendapatkan pertumbuhan yang sempurna

Walaupun tanaman ini tidak memerlukan penjagaan rapi, namun begitu amalan pertanian yang baik seperti pembersihan kawasan, pembajaan, kawalan musuh dan penyakit masih perlu diberi tumpuan dari semasa ke semasa.

5. Pemangkasan

Tanaman ini perlu dipangkas bagi menggalakkan pertumbuhan sulur daun yang baru dan meningkatkan pengeluaran bunga. Bahagian yang dipangkas kebiasaannya adalah bahagian daun yang telah tua ataupun kekuningan.

Bagi pengurusan sisa yang teratur,

  • Bahagian yang dipangkas itu tidak perlu dibuang atau dibakar kerana masih berguna terhadap tanaman ini
  • Bahagian yang dipangkas boleh dijadikan sungkupan bagi mengawal pertumbuhan rumpai
  • Apabila bahagian tersebut mereput, ianya memberi manfaat lain kepada tanaman iaitu sebagai sumber bahan organik kepada pertumbuhan kantan

6. Pengurusan air

bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

Dari segi pengurusan air, tiada maklumat mengenai keperluan air bagi tanaman ini bagi mendapatkan pengeluaran hasil yang optimum sehingga kini. Ianya didapati hidup subur di bawah naungan tanaman lain.

Namun begitu, tanaman ini tidak sesuai ditanam pada kawasan air bertakung untuk tempoh masa yang lama.

Sebagai langkah keselamatan, laksanakan sistem perparitan yang sistematik bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran air. Dengan ini, lebihan air dapat disalirkan ke parit utama dan tiada lagi masalah ketidaksesuaian kawasan penanaman.

7. Kawalan rumpai, penyakit dan perosak

Kawalan rumpai bagi tanaman ini perlu diberi perhatian pada tahun pertama penanaman.

  • Bagi perlaksanaan kerja ini, semburan racun rumpai glyphosate perlu dijalankan secara berhati-hati bagi mengelakkan tempias racun terkena pada pokok kantan
  • Selepas tahun pertama, kebiasaannya naungan daripada kanopi rumpun kantan akan merimbun pada masa yang sama mengawal pertumbuhan rumpai secara tidak langsung

Manakala dari segi penyakit dan perosak pula, sehingga kini masih tiada lagi gejala serius yang menyerang tanaman ini.

  • Paling merisaukan para pengusaha pada hari ini adalah serangan anai-anai berikutan daripada kawasan penanaman yang mempunyai banyak kayu reput
  • Akibat daripada serangan anai-anai akan menyebabkan pokok menjadi layu dan kekuningan
  • Lambat-laun sekiranya tidak dikawal akan mengakibatkan keseluruhan pokok dalam rumpun yang sama juga terjejas
  • Bagi mengatasi masalah ini, laksanakan semburan racun serangga chlorpyrifos pada bahagian yang terkena serangan anai-anai

8. Penuaian hasil

cara tanam bunga kantan

Gambar: Siti Rokiah Che Hat

  • Pokok kantan mula mengeluarkan bunga setelah berumur 9 bulan
  • Bunga kantan yang belum kembang akan dipetik dengan memotong pada bahagian pangkal sulur sepanjang 30cm
  • Pokok kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, oleh itu ianya hendaklah dipungut setiap hari bagi mengelakkan kudup bunga menjadi kembang
  • Kebiasaannya, bunga kantan yang dijual di pasaran adalah mempunyai kudup yang masih tertutup
  • Selepas itu, bunga yang dipetik akan dimasukkan di dalam bakul plastik dan disimpan bagi mengelakkan daripada terkena sinaran matahari, kerana suhu yang tinggi boleh menjejaskan kualiti bunga kantan yang dipetik.
  • Bagi peringkat jualan, bunga kantan akan diikat terlebih dahulu pada pangkalnya yang mengandungi 20 keratan bunga dan disimpan secara berdiri supaya tidak mudah rosak

Rujukan : https://siraplimau.com/cara-tanam-pokok-kantan/

Thursday, July 20, 2023

Tuai terung berganda

 TERUNG boleh dituai berterusan sepanjang tempoh tanaman iaitu lima hingga enam bulan.

TERUNG boleh dituai berterusan sepanjang tempoh tanaman iaitu lima hingga enam bulan.

Penggunaan pelbagai saluran dalam pemasaran hasil produk pertanian boleh membantu meningkatkan pendapatan petani kerana tidak hanya fokus kepada satu sumber untuk mendapatkan pulangan.

Menurut Amir Azhar Othman, 53, dari Sungai Besar, Selangor yang mengusahakan terung ketika ini melihat pengeluaran tanaman itu di ladang seluas 3.24 hektar mampu memenuhi permintaan iaitu empat hingga 10 tan bagi pasaran sayur terbabit.

Kata Amir Azhar, tanaman terung di ladang itu mempunyai lebih 20,000 pokok bukan sekadar menampung permintaan pemborong untuk pasaran Lembah Klang semata-mata kerana ada sebahagian daripada hasil dijual di pasar tani atau kepada peniaga sekitar Sungai Besar.

"Pasaran utama kami ialah pemborong dari Kuala Lumpur yang memerlukan tidak kurang dari empat tan terung sebulan bagi menampung permintaan pasaran tempatan.

"Mengenai tanaman terung, istimewanya apabila dijalankan menerusi kaedah fertigasi, pengeluaran hasilnya jauh lebih baik berbanding kaedah konvensional iaitu pertumbuhan pokok singkat, sekali gus memberi pulangan hasil dua hingga tiga kali ganda.

"Apabila pokok terung mula mengeluarkan hasil pertama, ia berterusan mengeluarkan hasil sepanjang empat hingga lima bulan. Pemborong sayur boleh mendapatkan bekalan yang konsisten," katanya.

Katanya lagi, tanaman terung antara tanaman memberi pulangan menguntungkan kerana kurang berisiko, malah penghasilan yang tinggi untuk tempoh lima hingga enam bulan.

"Penanaman terung jauh lebih mudah berbanding cili ketika saya melakukan proses penggiliran untuk tanaman lain. Saya turut menanam sayur lain seperti cili, peria dan buah melon.

"Penjagaan tidak rumit dan formula baja yang khas, hasil terung pertama sudah boleh dituai dalam tempoh 45 hari dan setiap hari boleh dituai kerana terung terus mengeluarkan hasil sepanjang empat hingga enam bulan.

"Untuk harga ladang kepada pemborong ketika ini, terung boleh dijual antara RM2.50 sehingga RM4.50 mengikut turun naik permintaan.

"Saya menyasarkan setiap pokok mengeluarkan hasil 10 kilogram dengan pendapatan kira-kira RM100,000 bagi tempoh empat bulan," katanya.

Mengenai penjagaan, kaedah fertigasi jauh lebih mudah kerana baja terus disalurkan kepada pokok.

"Medium yang digunakan adalah cocopeat yang menyerap baja dan air dengan baik. Setiap petani ada formula tersendiri bagi meningkatkan tanaman mereka.

"Kalau musim hujan, ada kawalan segi pemberian baja dan disulam dengan air bagi memastikan tanaman mendapat keperluan mencukupi.

"Memastikan tiada serangan serangga perosak, racun digunakan. Teknik tanaman saya gunakan adalah sistem giliran memberi kelebihan kawalan lebih baik daripada risiko penyakit dan serangga perosak," katanya.

Tambah beliau ancaman kepada tanaman terung adalah lalat buah dan kutu trip.

TERUNG antara sayuran sentiasa mendapat permintaan pasaran.
TERUNG antara sayuran sentiasa mendapat permintaan pasaran.

"Ancaman bagi tanaman terung adalah kutu trip, lalat buah dan ulat pengorek batang. Tetapi, di ladang saya lalat buah dan kutu trip antara masalah utama.

"Terpaksa menggunakan racun bagi menghalang serangan serangga perosak. Racun digunakan juga boleh menghalang serangan penyakit," katanya.

Kata Amir Azhar lagi, beliau mengusahakan tanaman pada skala komersial bagi mendapat pulangan lebih baik.

"Ladang saya ini menyasarkan prospek tanaman komersial iaitu pengeluaran hasil dalam jumlah tan kepada pemborong lebih menguntungkan buat saya.

"Namun, risiko juga tinggi terutama dalam situasi tidak dijangka seperti banjir atau ketika pandemik.

"Saya menanggung kerugian kira-kira RM500,000 ketika itu kerana sayur dituai dari ladang tidak dapat dijual.

"Pasar borong tutup, kedai makan tidak beroperasi dan semua berkurung menyebabkan sayur yang saya keluarkan secara kontan 'tersadai.'

"Saya terpaksa agih secara percuma untuk penduduk sekitar Sungai Besar kerana hasil dari ladang mesti dikeluarkan," katanya.

Mengakui ramai petani terkesan ketika pandemik Covid-19 sehingga terpaksa menutup ladang kerana kerugian dan tiada pusingan modal.

"Saya anggarkan kira-kira 60 peratus petani gulung tikar kerana tidak dapat menjual sayur mereka selain menanggung kerugian sehingga modal pusingan 'hangus' dalam tempoh Covid-19.

"Cabaran lain adalah harga input pertanian juga meresahkan petani. Selepas pandemik Covid-19, harga input pertanian meningkat dua hingga tiga kali ganda.

"Senario ini memberi kesan serius kepada pekebun kecil sementara pengusaha tanaman komersial juga menikmati keuntungan tipis hasil berbanding dahulu," katanya.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/agro/2022/11/903046/tuai-terung-berganda

Wednesday, July 19, 2023

Baka SGG cepat tuai

 

PERLU amalan agronomi baik dalam penanaman kelapa.

PERLU amalan agronomi baik dalam penanaman kelapa.

Malaysia mengimport kira-kira 200 juta kelapa setahun dari Indonesia bagi menampung permintaan pasaran tempatan yang sangat tinggi.


Meskipun hampir 85,000 hektar tanah (berdasarkan statistik 2021) fokus bagi penanaman kelapa diusahakan pekebun kecil dan pengusaha ladang komersil, namun ia masih tidak mampu menampung permintaan pasaran terutama dari sektor makanan.

Menyedari potensi tinggi tanaman itu, pengusaha kelapa, Che Adnan Che Kadir, 53, menanam kira-kira 550 pokok kelapa dalam ladang seluas 2.5 hektar di Pasir Mas, Kelantan.

Kata Che Adnan, antara varieti kelapa yang ada di ladangnya adalah Sungai Gulang-Gulang (SGG) atau CN16 dikatakan hasil lebih baik terutama buah berkualiti untuk pelbagai pasaran makanan.

"Antara empat baka yang berada dalam ladang, setakat ini hasil kelapa dari pokok varieti SGG adalah terbaik sejak ditanam kira-kira empat tahun lalu.

"Buah dari varieti SGG jauh lebih besar dan mempunyai air yang banyak berbanding varieti lain seperti Malayan Brown Dwarf (MBD).

"Kelebihan lain termasuk tempurung kelapa ini jauh lebih lembut menyebabkan ia mudah dikupas menjadikannya antara pilihan utama pengusaha minuman," katanya.

Kata Che Adnan lagi, ciri-ciri diminati pengusaha pula ialah penanaman baka SGG boleh membantu peladang atau pengusaha tanaman terbabit menikmati pengeluaran hasil yang lebih cepat atau singkat.

"Pengalaman sendiri, SGG cepat mengeluarkan hasil iaitu kira-kira dua tahun lapan bulan selepas ditanam, buah tandan pertama boleh dituai.

"Penting pengusaha tanaman itu untuk lebih giatkan menjalankan kerja membaja dan penjagaan supaya pokok cepat membesar selain mengeluarkan buah yang optimum," katanya.

Di ladang Che Adnan terdapat tiga varieti hibrid lain seperti pandan, mataq dan Malayan Yellow Dwarf (MYD).

"Penanaman kelapa penting memiliki benih yang baik dan saya membeli dari pembekal yang ada kredibiliti.

"Selain itu, penting untuk menanam dengan kaedah betul seperti varieti pokok kelapa renek lain iaitu MYD, Malayan Green Dwarf (MGD) dan Malayan Red Dwarf ( MRD) dengan hampir semua jenis tanah.

"Mempunyai saliran baik juga penting selain amalan agronomi iaitu formulasi pembajaan dan pengawalan serangga perosak terutama ancaman kumbang.

"Kumbang tanduk dan kumbang jalur merah antara ancaman paling buruk kepada pokok kelapa dan jika terdapat kesan serangan yang mana ada lubang atau pelepah menjadi seperti bentuk seakan-akan kipas.

"Pokok terpaksa ditebang dan dibakar untuk mengelak terus merebak ke plot lain. Selain kumbang, babi hutan juga antara ancaman ketika pokok mula membesar.

"Saya pernah kerugian 30 peratus anak pokok apabila menerima serangan babi dan dianggarkan kerugian sekitar RM20,000 untuk pembelian benih dan pembersihan kawasan sudah ditanam," katanya.

Tambah Che Adnan, risiko itu sudah sedia maklum dan penanam kelapa perlu mencari formula untuk menjana pendapatan lain dalam tempoh ladang boleh mengeluarkan 100 peratus hasilnya.

"Hasil lumayan tidak datang bergolek tanpa risiko dan kerja keras terutama dalam penanaman kelapa.

"Saya turut mengamalkan konsep pertanian campuran iaitu turut menjalankan aktiviti penternakan termasuk lembu dan ikan di ladang sama.

"Hasil kelapa dianggarkan apabila semua pokok mengeluarkan hasil, saya sasarkan kira-kira satu tan dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM40,000 sebulan menerusi jualan buah pada kadar RM2 sebiji.

"Perlu juga tahu, hasil penanaman kelapa bukan hanya dimanfaatkan dengan jualan buah, sebaliknya hasil produk hiliran seperti nira kelapa juga produk cukup popular terutama menjelang Ramadan.

"Saya anggarkan boleh peroleh keuntungan sekali ganda dalam tahun pertama tuaian iaitu kira-kira 40 peratus sebelum tuaian penuh pada tahun keempat atau lima pokok ditanam," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2022/12/913745/baka-sgg-cepat-tuai

Tuesday, December 20, 2022

TANDA-TANDA KEKURANGAN NUTRIEN TUMBUHAN

PEMBEKAL BAJA: TANDA-TANDA KEKURANGAN NUTRIEN TUMBUHAN: Tumbuhan juga memerlukan makanan yang seimbang untuk hidup subur dan seterusnya mengeluarkan hasil yang lumayan. Sebagai petani seharus ...

Monday, July 18, 2022

Estet ikan tarik peminat ikan air tawar

 


Maran: Jabatan Perikanan Pahang bersedia menambah lebih banyak estet ikan di negeri ini sekiranya terdapat kawasan sesuai dan mendapat permintaan komuniti setempat.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, kini terdapat tujuh estet ikan aktif masing-masing satu di Maran, dua di Lipis dan empat di Temerloh yang mampu menyediakan pelbagai spesies ikan air tawar berkualiti.

Menurutnya, empat estet ikan yang terletak Temerloh iaitu Estet Paya Chempaka seluas 15 hektar, Estet Paya Lanar (25 hektar), Estet Ikan Lubuk Kawah (31 hektar) dan Estet Ikan Kelanau-Bangau Tanjung (50 hektar).

ADVERTISEMENT
Ads by

Katanya, dua estet ikan di Lipis ialah Kampung Lalang seluas tiga hektar dan Estet Ikan Empangan Paya Tepual, Kampung Keledek (empat hektar) serta Estet Ikan Kuala Wau, Maran (40 hektar).

"Estet ikan dapat menjadi pusat pemuliharaan dan menambah simpanan ikan air tawar selain menjadi lokasi agro pelancongan yang semakin diminati.

Pesta kali pertama yang diadakan itu menarik penyertaan lebih 1,000 peserta tempatan dan luar Pahang membabitkan aktiviti menangkap pelbagai spesies ikan air tawar menggunakan jala saja.

Abdullah berkata, Estet Ikan Kuala Wau seluas 40 hektar sebelum ini adalah kawasan sawah padi terbiar milik lebih 40 pesawah sebelum dijadikan estet ikan pada 2019 secara kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun (2019-2020) jabatan melepaskan sebanyak 326,500 benih ikan spesies lampam sungai, kerai, jelawat, terbul, puyu dan temelian.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais berkata, terdapat peserta yang datang lebih awal dan bermalam di sini untuk melihat lokasi lubuk tempat ikan berkumpul.

"Kita bercadang menjadikan pesta menjala ini sebagai acara tetap setiap dua tahun sekali, dalam tempoh berkenaan ikan yang dilepaskan mampu mencapai saiz memuaskan.

"Program tradisional berkenaan juga menjadi produk pelancongan di Kampung Kuala Wau," katanya.


rujukan :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/857596/estet-ikan-tarik-peminat-ikan-air-tawar-metrotv

Related Posts with Thumbnails