Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 22, 2009

Timur: 5 tasik dipilih jadi estet ikan

Projek diperkenal berupaya beri pulangan kepada penduduk

TEMERLOH: Jabatan Perikanan memilih kawasan lima tasik semula jadi yang terbiar di sekitar Lanchang, dekat sini untuk melaksanakan projek rintis estet ikan air tawar bagi memperluaskan industri akuakultur dan membantu menambahkan pendapatan penduduk luar bandar.

Antara tasik yang dikenal pasti bagi melaksanakan projek rintis itu ialah Tasik Lana, Tasik Rantau Panjang, Tasik Chempaka dan Tasik Tris.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata menerusi projek berkenaan semua paya dan tasik akan dipulihkan bagi memastikan ia digunakan untuk aktiviti ternakan ikan air tawar.

Katanya, projek estet ikan yang baru diperkenalkan itu berupaya memberi pulangan yang menguntungkan kepada penduduk kampung yang terpilih sebagai peserta projek itu.

"Jabatan Perikanan akan melantik kontraktor bagi melakukan kerja seperti membersih, mendalamkan dan membaiki sistem saliran di semua paya yang terbiar.

"Anak ikan seperti talapia, jelawat, kap rumput, lampam jawa dan keli, termasuk makanan ikan akan dibekalkan kepada estet ikan sebagai galakan kepada projek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan dan Lawatan Kerja Komuniti Akuakultur Kampung Chempaka, Lanchang, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohamad Mat Saman.

Ahamad Sabki turut melepaskan lebih 10,000 benih ikan spesies kap rumput, talapia dan jelawat ke dalam Paya Lana dan Paya Chempaka.

Katanya, projek itu boleh bertindak sebagai serampang dua mata iaitu selain memperoleh hasil jualan ikan turut berupaya menjadi produk pelancongan dengan aktiviti riadah seperti memancing dan bakar ikan bersama keluarga.

"Jabatan ini memperuntukkan sebanyak RM32.5 juta menerusi Dasar Jaminan Makanan Nasional yang turut membabitkan usaha pemulihan kolam, paya dan tasik terbiar di seluruh negara.

"Menerusi projek rintis estet ikan di Lanchang ini, kita berharap pengeluaran ikan air tawar negara dapat ditambah dua hingga tiga kali ganda pada masa akan datang sekali gus dapat memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan," katanya.

Pada 2007, Ahamad Sabki berkata, negara mengeluarkan 70,000 tan metrik ikan air tawar, jumlahnya bertambah kepada 95,900 tan metrik pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Projek Ternakan Ikan Air Tawar Paya Lana, Abd Shukur Yaakub, 59, berkata tasik Lana mempunyai keluasan 26.3 hektar diusahakan 32 peserta terdiri daripada milik tanah yang sebelum ini dijadikan kawasan sawah padi.

"Pelbagai spesies ikan air tawar terdapat dalamnya seperti talapia, lampam jawa, kap rumput, keli, jelawat dan patin. Ikan paya seperti haruan, puyu, sepat dan bujuk turut dilepaskan.

"Selain anak ikan yang dibekalkan Jabatan Perikanan negeri, jawatankuasa peserta projek juga turut membeli benih daripada pembekal tempatan," katanya.

Abd Shukur berkata, selain bantuan awal anak ikan, Jabatan Perikanan negeri juga turut menyediakan makanan sebagai langkah meringankan beban kos yang ditanggung.

Katanya, dua sistem ternakan ikan digunakan di Paya Lana, pertama ikan diternak secara bebas selain menggunakan sangkar yang ditempatkan di beberapa kawasan yang sesuai.

Beliau berkata, selain hasil jualan ikan sangkar, aktiviti memancing dan program mengeringkan air paya menjadi sumber pendapatan peserta yang menyertai projek itu.

Johor: Masa depan roselle cerah

BATU PAHAT: Masa depan penanam roselle kini bertambah cerah berikutan permintaan terhadap tanaman itu yang semakin meningkat, terutama penggemar dari luar negara khususnya Australia.

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Batu Pahat, Jaini Bukhiran, berkata tahun lalu saja, 50 tan roselle dieksport ke negara terbabit.

Sehubungan itu, katanya, pengeluaran perlu ditingkatkan bagi menampung keperluan pasaran eksport, selain untuk diproses sebagai produk hiliran yang juga mendapat permintaan baik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Jaini berkata, penanam roselle harus merebut peluang menambah pendapatan dengan berusaha meningkatkan pengeluaran mereka bagi menampung permintaan semakin meningkat itu.

Katanya, ketika ini sebahagian besar rossele dikeluarkan petani menerusi ladang kontrak di kawasan Mersing.

Beliau berkata, usaha sedang dilaksanakan untuk menggalakkan lebih ramai petani terutama yang terbabit dalam ladang kontrak dengan Jabatan Pertanian untuk menceburi penanaman roselle.

"Roselle dijual segar ke Australia kerana di sana bunga roselle dijadikan hiasan dan setiap bulan kita menghantar satu kontena ke sana.

"Sebenarnya permintaan sekarang bertambah dan kita perlu menambah kawasan tanaman untuk meningkatkan pengeluaran roselle untuk eksport segar dan juga untuk diproses sebagai produk hiliran seperti jem, kordial dan halwa," katanya.

Jaini berkata, roselle atau nama saintifiknya `hibiscus sabdariffa L' hidup subur di tanah berpasir dan berdekatan pantai.

"Jangka hayat roselle tidak lama iaitu hanya kira-kira enam bulan. Tiga bulan pertama adalah masa untuk membesar dan tempoh tiga bulan terakhir ia mengeluarkan hasil yang berterusan.

"Penjagaannya juga tidak rumit dan saya percaya ramai petani mampu mengusahakan tanaman ini dengan baik," katanya.

Katanya, Fama memiliki beberapa pusat memproses bahan makanan termasuk di Sungai Kluang di Rengit yang memerlukan bahan mentah yang banyak untuk diproses.

Veterinar perlu sedia hadapi cabaran

MERU - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM2.5 juta untuk membantu membangunkan industri penternakan selain memberi bantuan dari segi teknikal melalui jabatan berkaitan terutamanya kepada penternak kambing dan lembu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, peruntukan itu walaupun agak kecil namun pasti akan dapat memberi manfaat kepada penternak yang benar-benar mahu memperkembangkan usaha mereka.

Menurut beliau, pihaknya amat menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang berkenaan namun berharap setiap penternak dapat mensasarkan usaha penternakan menggunakan kaedah moden serta dapat memberi kesan positif kepada ekonomi.

“Kita mahu penternak berwawasan untuk mempelbagaikan produk yang dihasilkan misalnya penternak lembu tidak harus mensasarkan untuk menjual hasil daging sedangkan mereka boleh menghasilkan beberapa produk lain contohnya baja berasaskan tinja lembu.

“Sebagai petani dan penternak harus fokus dan kreatif untuk memajukan usaha mereka dan dalam masa sama kita memerlukan lebih ramai petani dan penternak sepenuh masa yang boleh memberi tumpuan kepada kualiti dan kapasiti pengeluaran hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Veterinar 2009 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Meru di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Nor Aidah Abdul Rahim; Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Suliman Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Yaakob berkata, pihaknya amat menggalakkan kewujudan lebih ramai petani serta penternak yang dapat menjana pembangunan ekonomi diri sendiri serta negeri dengan hasil keluaran yang tinggi setiap bulan melalui usaha sepenuh masa berbanding mereka yang menjadikan dua bidang itu sebagai sumber pendapatan tambahan sahaja.

“Bagi petani atau penternak sepenuh masa, tidak mustahil mereka boleh menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, oleh itu kita fokus melalui jabatan dan agensi berkaitan untuk memberi bantuan kepada golongan ini kerana mereka memberi impak baik pada ekonomi.

“Kita juga mahu lebih mereka fokus membangunkan pertanian dan penternakan secara moden memandangkan kawasan tanah yang amat terhad di negeri ini maka hanya melalui kaedah dan teknologi moden sahaja dapat memenuhi keperluan bidang itu,” katanya.

Kata beliau, kaedah dan teknologi moden juga menjanjikan pulangan hasil lebih tinggi berbanding kaedah tradisional selain dapat menjana hasil lebih bermutu. Penternakan lembu dan kambing fidlot adalah antara kaedah moden dalam bidang itu.

Menurut Yaakob, peranan Pejabat Perkhidmatan Veterinar dalam bidang penternakan di negeri tidak dapat disangkal lagi selain menjadi pihak yang terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar terutamanya dalam menghadapi kewujudan penyakit bawaan haiwan.

“Tugas mereka (veterinar) sangat mencabar lebih - lebih banyak penularan wabak penyakit di peringkat global kini banyak bersangkut paut dengan haiwan seperti selesema burung dan terbaru, Influenza A atau H1N1.

“Mereka memikul tugasan besar sebenarnya selain bertanggung jawab membangunkan industri penternakan di negara ini ke arah yang lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata, setelah lebih 100 tahun mereka memainkan peranan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu diperlengkap dengan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan selain menggunakan teknologi dan peralatan moden untuk meningkatkan nilai jabatan itu pada masa akan datang.
Related Posts with Thumbnails