K.R. Thiagu memeriksa lembu seberat 220kg yang sedia untuk dipasarkan di ladangnya di Semenyih, Selangor.
Berlatar belakangkan pendidikan dalam bidang kejuruteraan serta sumber manusia tidak menghalang minatnya untuk memelihara lembu biarpun pada peringkat awalnya hanya untuk suka-suka.
Kini Thiagu mampu mengimport hampir 1,000 ekor lembu dalam satu-satu masa yang mana kosnya mencecah jutaan ringgit.
Jelasnya, apa jua jenis perusahaan pasti ada cabarannya namun bagi Thiagu mengusahakan ternakan lembu memberinya satu kepuasan yang berlainan.
"Saya susah untuk terangkan namun bidang ini (penternakan lembu) memang merupakan minat saya, malah saya juga ada menjalankan perniagaan lain tetapi selepas mengusahakan bidang ini perniagaan saya yang lain turut semakin maju," katanya.
Selain membekalkan lembu, Thiagu turut memiliki perniagaan dalam bidang perfileman, industri keluli tahan karat dan juga farmasi.
Apa yang menarik, Thiagu hanya membekalkan lembu jantan sahaja kerana menurutnya lembu tersebut lebih mudah untuk dijual selain mendapat permintaan yang tinggi di kalangan umat Islam di negara ini untuk tujuan ibadah korban.
"Di sini saya hanya menjual lembu hidup dengan tahap kesihatan yang terbaik.
"Malah, prosedur untuk mengimport lembu yang ditetapkan oleh kerajaan juga mengkehendaki lembu yang sihat sahaja dibawa masuk," katanya.
Thiagu mengimport lembu dari negara Kemboja, Thailand dan Myanmar dan akan dikuarantin di pusat kuarantin di cawangannya di Kelantan dan Kedah sebelum dibawa masuk ke Selangor.
Tambah Thiagu, dia hanya mengimport lembu jantan muda yang telah cukup umur sahaja dan disimpan dalam kandang menggunakan sistem fidlot.
"Di kandang kita tidak dapat simpan lama kerana permintaan yang tinggi. Kita akan simpan minimum dua minggu dan maksimum selama sebulan.
"Tetapi selalunya stok akan cepat habis kerana kita juga membekalkan lembu kepada hampir 60 buah pengusaha lembu sekitar Selangor," katanya.
Selain Selangor, Kedah dan Kelantan, dia juga turut memiliki cawangan di Melaka dan Negeri Sembilan bagi memudahkan kos penghantaran kepada pelanggan di negeri-negeri tersebut.
Antara resipi kejayaannya mudah. jika benar-benar meminati sesuatu bidang itu, laksanakan dengan bersungguh-sungguh Thiagu membuktikan dia berjaya biarpun tanpa bantuan mana-mana agensi swasta mahupun kerajaan.
Bagaimanapun Thiagu hanya menjual stok lembu yang diimport dan tidak menjual lembu tempatan kerana lembu yang diimport telah diperiksa tahap kesihatannya oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan selamat berbanding lembu tempatan yang rata-rata jarang mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Memiliki kapasiti mengimport sehingga 1,000 ekor lembu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan sasaran tersebut merupakan antara motivasinya bagi tahun ini.
Jika tahun lepas, Thiagu berjaya menjual hampir 500 ekor lembu kini sasarannya semakin tinggi dan dia bercita-cita untuk membekalkan lembu hingga ke tahap 3,000 ekor pada tahun 2014 akan datang.
''Bukan mudah untuk mengimport lembu dalam jumlah yang banyak kerana lebih banyak lembu yang dibawa masuk lebih tinggi kos yang perlu ditanggung.
''Bayangkan untuk mengimport lembu berjumlah 3,000 ekor saya perlu menyediakan kos sebanyak RM12 juta."
"(Namun) JP Farm terus berjaya atas sokongan pelanggan-pelanggan khususnya di kalangan orang Melayu yang sentiasa menyokong terutama semasa musim perayaan,'' kata Thiagu.
Sebagai contoh, kos pengangkutan bagi 45 ekor lembu sahaja mampu mencecah sehingga RM145,000 bagi menyewa sebuah lori treler.
Sehingga kini stok yang sedia ada di cawangan Bangi, Selangor sebanyak 350 ekor telah habis ditempah oleh pelanggan. namun Thiagu tetap menyediakan sejumlah 300 ekor lagi di cawangannya di Banting juga di Selangor.
Tambahan pula kini umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidiladha menyebabkan stok lembu laris.
Ditanya adakah dia berminat untuk mengusahakan ternakan lembu secara tradisional, katanya amalan ternakan lembu secara fidlot membolehkan pusingan modal diperoleh dengan lebih pantas.
"Menternak lembu cara biasa iaitu dari kecil perlu menunggu dalam jangka masa yang agak lama, mencecah bertahun-tahun dan kaedah tersebut kurang sesuai dilakukan masa kini.
"Sistem fidlot lebih mudah kerana lembu yang dibawa masuk telah sedia untuk dijual kepada pelanggan dalam masa yang singkat," kata Thiagu.
Biar pun tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta namun beliau pernah menerima tawaran JPV namun ditolak dengan cara yang baik dengan alasan dia mahu berdikari.
"Saya bukan sombong tapi mahu mengajar diri sahaja agar sentiasa gigih berusaha tanpa perlu mengharapkan bantuan," katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan lembu daripadanya, anda boleh menghubungi Thiagu di talian 017-3221551 atau datang terus ke ladangnya di Kampung Sungai Purun, Bangi, Selangor. - ASHRIQ FAHMY AHMAD