Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 29, 2008

Timur: Fidaf labur RM17j ternak lembu berteknologi tinggi

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani - Berita Harian Online 29/4/08PERUSAHAAN: 300 ekor lembu baka Jersey diternak oleh First Diary farm di Jlan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah.
PROSES PEMINDAHAN: Lembu baka Jersey berupaya
menghasilkan susu berkualiti tinggi.


Projek fasa pertama di kawasan seluas 200 hektar ternak 300 baka Jersey dalam tiga kandang berhawa dingin

ROMPIN: Pahang bakal muncul sebagai pengeluar susu lembu terbesar di negara ini, menerusi projek ternakan lembu berteknologi tinggi bernilai RM50 juta yang diusahakan syarikat Bumiputera, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd (Fidaf).

Sebagai permulaan, Fidaf melabur RM17 juta dalam fasa pertama projek itu termasuk membeli 300 lembu baka Jersey berharga RM4 juta, membina infrastruktur asas dan prasarana lengkap seperti rumah pekerja, pejabat, stor menyimpan makanan ternakan, seliaan jentera dan mesin berteknologi tinggi.

Projek itu kini beroperasi di kawasan seluas 200 hektar di Kilometer 81, Jalan Kuantan-Segamat dekat Muadzam Shah.

Pengarah Urusannya, Muhammad Alwi Abdullah, berkata projek tenusu Fidaf dirancang mengikut empat fasa pembangunan dengan setiap fasa mengandungi 300 lembu, tiga kandang berhawa dingin berkonsepkan `free stall barn', dua kandang penjagaan dan dua kandang dikhususkan untuk anak lembu, selain sebuah bangunan pemerahan susu.

Beliau berkata, mengikut konsep ternakan itu, pihaknya mensasarkan mengeluarkan susu segar berjumlah antara 19,000 hingga 22,000 liter sehari.


Katanya, paling menarik, Fidaf turut melakukan pembaharuan dalam dunia penternakan yang dijangka menjadi contoh usahawan industri penternakan dan pertanian di Malaysia, apabila memperdengarkan alunan bacaan al-Quran dalam setiap kandang sebagai persediaan menghasilkan susu terbaik.

"Susu sangat penting untuk bayi dan kanak-kanak bagi pertumbuhan fizikal dan mental mereka supaya lebih sihat dan kita harap, kaedah ini menyumbang ke arah kesihatan yang lebih sempurna.

"Di sudut psikologi, bacaan al-Quran menenangkan jiwa dan haiwan juga sensitif dengan bunyi-bunyian.

"Setakat ini, kami sudah memperdengarkan alunan bacaan al-Quran sehingga 30 juzuk setiap hari di kandang berkenaan," katanya di sini semalam.

Mengulas pembabitannya dalam industri ternakan tenusu, Muhammad Alwi, 36, berkata minat dalam bidang itu mula wujud apabila melihat ibu bapanya menternak lembu ketika bekerja di ladang getah di Labis, Johor selama hampir 50 tahun lalu.

Malah, katanya, atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru, beliau pernah mengutus surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada usia 13 tahun menyatakan hasratnya membuka ladang tenusu.

"Selama 10 tahun, saya membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri tenusu negara dan pengurusan perladangan tenusu berorientasikan teknologi, sebelum merealisasikannya pada 1 September tahun lalu.

"Kebanyakan ladang penternakan di negara ini tidak mempunyai sistem pemakanan yang betul dan seimbang, program pembiakan dan pembakaan yang teratur selain kebersihan dan kawalan penyakit yang lebih sistematik dan tidak mengamalkan polisi `Good Animal Husbandary Practices'.

"Sebab itu, Fidaf sedia menggalas cabaran negara dalam penyediaan sistem pemasaran dan penghantaran lebih bersistematik sebagai jaminan produk tenusu sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat dan berkualiti," katanya.

Berkelulusan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Vancouver, Kanada, Muhammad Alwi, berkata pelaksanaan projek itu mendapat kerjasama Agro Bank yang menyalur pinjaman berjumlah RM10 juta sebagai modal permulaan dan dijangka menambah nilai pinjaman sehingga RM15 juta bagi fasa seterusnya sebaik saja pelaburan fasa pertama berjaya menepati sasaran.

"Semua lembu berusia antara 22 hingga 28 bulan itu kini sedang bunting sulung selepas melalui proses permanian berhadas di ladang asalnya di Australia dan dijangka beranak sekitar Jun dan Julai depan.

"Penternakan di sini menggunakan konsep berbeza kerana kami menyesuaikan keadaan cuaca dan persekitaran dengan haiwan dan bukan sebaliknya.

"Ini bermakna, ternakan dibiar menetap dalam kandang dan hanya keluar untuk menjalani proses pemerahan susu dalam bangunan disediakan," katanya.

Katanya, setiap kandang mempunyai suhu antara 20 hingga 24 darjah Celsius yang akan dipantau takat suhunya dari semasa ke semasa.

"Kandang ini mempunyai ciri keselamatan canggih kerana dilengkapi pintu kecemasan automatik yang terbuka jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

"Untuk pemakanan, Fidaf memperuntukkan kawasan seluas 160 hektar sebagai kawasan penanaman rumput jenis bracharia daripada spesies 'rozizensis' untuk dibuat silaj yang menjadi makanan terbaik lembu tenusu.

"Rumput kering dan makanan tambahan juga turut diberi kepada lembu bagi memastikan penghasilan susu berkualiti tinggi," katanya.

Muhammad Alwi berkata, lembu ternakannya menjalani proses pemerahan susu dua kali sehari menggunakan mesin diimport dari Waikato Milking System, New Zealand.

Beliau berkata, masa sejam diambil untuk memerah 300 ekor lembu menerusi sistem pemerahan susu dikenali sebagai `Rotary Milking System'.

"Lembu baka Jersey menghasilkan susu berkualiti tinggi kerana kadar proteinnya 20 peratus lebih tinggi berbanding lembu lain dan lembu ini juga adalah spesies yang jinak," katanya.

FAKTA: Lembu berteknologi tinggi

· Sistem Glycol digunakan untuk menyejukkan susu yang mengambil masa tiga saat pada suhu serendah empat darjah Celsius bagi mengurangkan kadar pertumbuhan bakteria dalam susu bagi menjamin kualitinya.

· Projek ini diiktiraf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sekali gus Fidaf mendapat kemudahan kerajaan negeri dan Pusat untuk meningkatkan pengeluarannya.

· Formulasi pemakanan tambahan untuk lembu dijalankan dengan kerjasama Cargill Feeds (M) Sdn Bhd, syarikat antarabangsa terulung dalam pemakanan ternakan.

· Fidaf yang mengamalkan taraf sistem biosekuriti, sedia memberi latihan kepada usahawan yang berminat dengan industri ini kerana permintaan terhadap produk tenusu semakin meningkat.

· Projek ini satu-satunya yang beroperasi di bawah pelan pembangunan industri tenusu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Muadzam Shah

Berbakti kepada tanah beri hasil lumayan- utusan online

Konsep 'integrated farming" menjimatkan....

BATU PAHAT 28 April 2008
- Berbakti kepada tanah memang tidak pernah merugikan pengusahanya malah mampu memberi hasil lumayan.

Berpegang kepada keyakinan itu, Abdul Khalid Baba, 46, menceburi bidang tersebut secara serius lebih 10 tahun lalu dengan usaha menanam kelapa sawit.

Beliau kemudiannya meningkatkan lagi usahanya dalam bidang itu apabila menyelenggara dan menurunkan buah kelapa sawit milik sebuah ladang di Kluang.Menurut petani gigih itu, usaha itu berjaya dan semakin berkembang dan kini beliau mempunyai seramai 19 pekerja yang kesemuanya buruh dari Indonesia.Katanya, hasil keuntungan yang dikumpul daripada usaha tersebut telah dikembangkan pula dengan menceburi penanaman buah naga di tanah seluas tiga hektar di Kampung Chamek kira-kira tiga tahun lalu.

"Bermula 2 Februari tahun lalu pula saya meluaskan lagi kegiatan dengan menternak kambing Boer yang kini berjumlah 86 ekor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, ladang buah naga tersebut diusahakan dengan modal asal berjumlah RM15,000 untuk setiap 0.6 hektar dan ladang itu kini mampu mengeluarkan hasil sebanyak 800 kilogram hingga satu tan sebulan. Katanya, dengan harga di ladang sekitar RM2.45 sekilogram, ladang itu mampu memberikan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan bagi setiap sehektar. "Sementara ternakan kambing yang diusahakan di ladang buah naga pula setakat ini baru sahaja bermula dan belum lagi di peringkat menjual benih atau daging," katanya.

Abdul Khalid memberitahu, ternakan kambingnya kini lebih berfungsi sebagai 'mesin pelupus' kerana daun-daun buah naga yang tidak berfungsi mengeluarkan hasil akan dicincang-cincang menjadi makanan kambing. Beliau berkata, hasilnya kambing-kambing miliknya mampu menghasilkan baja organik daripada najis haiwan itu sekitar 100 kilogram sehari atau tiga tan sebulan.

Katanya, dengan jumlah itu jika ia diproses sebagai baja organik ia mampu menghasilkan pendapatan berjumlah RM24,000 sebulan. "Bagaimanapun, setakat ini najis-najis kambing digunakan sendiri untuk membaja pokok-pokok buah naga dan dengan sendirinya ia dapat menjimatkan kos pengeluaran," ujarnya.

Abdul Khalid yang pernah menyertai kursus pertanian secara intensif di Pusat Latihan Pertanian Ayer Hitam berkata, salah satu rahsia kejayaannya ialah kerana menggunakan kaedah Efektif Mikroorganisma (EM) sejak awal usahanya.Beliau berkata, kaedah itu dapat menjimatkan kos input ladang dan peningkatan hasil sekitar 20 peratus.

"Tanpa EM ini rasanya saya tidak akan tahan berada di tengah-tengah ladang dan kandang kambing kerana kaedah ini mampu menyediakan persekitaran yang bersih dan nyaman," katanya.

Malah, Abdul Khalid menganggap ladang itu sebagai tempat beliau menghiburkan hati selepas penat menjalankan peniagaan menyelenggara dan mengambil buah kelapa sawit di kawasan berdekatan.

Menjamu selera depan kandang kambing - Utusan Online

BATU PAHAT 26 April 2008 - Menjamu selera di hadapan kandang kambing?

Mungkin ramai yang akan menolak pelawaan itu kerana ia nyata bukan 'lokasi' sesuai untuk menjamu selera.

Namun orang ramai yang melawat ladang buah naga atau lebih popular dengan panggilan buah pitaya milik usahawan tani, Abdul Khalid Baba di Kampung Chamek, Kluang dekat sini, akan dijemput untuk menjamu selera di hadapan sebuah kandang kambing.

Situasi ini boleh dianggap 'istimewa' kerana tetamu dijemput menikmati hidangan di hadapan kandang yang mempunyai 86 ekor kambing Boer.

Antara yang turut dijemput menikmati hidangan di situ ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Abd. Aziz Kaprawi dan Pengarah Pertanian Johor, Adnan Mat Kassim ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan baru-baru ini.

Menurut Pegawai Pertanian Kluang, Samat Mohd. Yusuf, lokasi itu sengaja dipilih untuk menjamu selera bukan bertujuan menghina tetamu, sebaliknya untuk membuktikan keberkesanan kaedah Efektif Mikroorganisma (EM) yang dipopularkan dalam sektor pertanian di Johor sejak dua tahun lalu.

Katanya, kaedah itu amat baik untuk digunakan dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan kerana mampu mengurangkan kos serta meningkatkan hasil kepada 20 peratus.

"Yang penting penggunaan kaedah EM mampu mewujudkan alam sekitar yang sihat dan bersih.

"Ternakan kambing dan ladang buah pitaya milik Abdul Khalid ini menggunakan kaedah EM dan sebab itulah ia bersih dan langsung tidak berbau hingga kita boleh menikmati hidangan tanpa rasa jijik dan risau akan dikerumuni lalat," katanya.

Menurutnya, walaupun telah terbukti berkesan masih ramai petani merasa ragu-ragu dan enggan menggunakan kaedah berkenaan.

Beliau berkata, kaedah yang sedang dipopularkan J-Biotec tersebut sebenarnya lebih murah dan mampu memperbaiki keadaan tanah dan keadaan sekeliling termasuk mutu air parit dan sungai.

Katanya, ia murah kerana ia tidak menggunakan racun dan baja kimia, tetapi memadai dengan baja organik serta kompos yang boleh dihasilkan daripada najis ternakan, buah-buahan dan sayuran yang rosak dan dibuang di ladang itu.

Related Posts with Thumbnails