Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 19, 2023

Baka SGG cepat tuai

 

PERLU amalan agronomi baik dalam penanaman kelapa.

PERLU amalan agronomi baik dalam penanaman kelapa.

Malaysia mengimport kira-kira 200 juta kelapa setahun dari Indonesia bagi menampung permintaan pasaran tempatan yang sangat tinggi.


Meskipun hampir 85,000 hektar tanah (berdasarkan statistik 2021) fokus bagi penanaman kelapa diusahakan pekebun kecil dan pengusaha ladang komersil, namun ia masih tidak mampu menampung permintaan pasaran terutama dari sektor makanan.

Menyedari potensi tinggi tanaman itu, pengusaha kelapa, Che Adnan Che Kadir, 53, menanam kira-kira 550 pokok kelapa dalam ladang seluas 2.5 hektar di Pasir Mas, Kelantan.

Kata Che Adnan, antara varieti kelapa yang ada di ladangnya adalah Sungai Gulang-Gulang (SGG) atau CN16 dikatakan hasil lebih baik terutama buah berkualiti untuk pelbagai pasaran makanan.

"Antara empat baka yang berada dalam ladang, setakat ini hasil kelapa dari pokok varieti SGG adalah terbaik sejak ditanam kira-kira empat tahun lalu.

"Buah dari varieti SGG jauh lebih besar dan mempunyai air yang banyak berbanding varieti lain seperti Malayan Brown Dwarf (MBD).

"Kelebihan lain termasuk tempurung kelapa ini jauh lebih lembut menyebabkan ia mudah dikupas menjadikannya antara pilihan utama pengusaha minuman," katanya.

Kata Che Adnan lagi, ciri-ciri diminati pengusaha pula ialah penanaman baka SGG boleh membantu peladang atau pengusaha tanaman terbabit menikmati pengeluaran hasil yang lebih cepat atau singkat.

"Pengalaman sendiri, SGG cepat mengeluarkan hasil iaitu kira-kira dua tahun lapan bulan selepas ditanam, buah tandan pertama boleh dituai.

"Penting pengusaha tanaman itu untuk lebih giatkan menjalankan kerja membaja dan penjagaan supaya pokok cepat membesar selain mengeluarkan buah yang optimum," katanya.

Di ladang Che Adnan terdapat tiga varieti hibrid lain seperti pandan, mataq dan Malayan Yellow Dwarf (MYD).

"Penanaman kelapa penting memiliki benih yang baik dan saya membeli dari pembekal yang ada kredibiliti.

"Selain itu, penting untuk menanam dengan kaedah betul seperti varieti pokok kelapa renek lain iaitu MYD, Malayan Green Dwarf (MGD) dan Malayan Red Dwarf ( MRD) dengan hampir semua jenis tanah.

"Mempunyai saliran baik juga penting selain amalan agronomi iaitu formulasi pembajaan dan pengawalan serangga perosak terutama ancaman kumbang.

"Kumbang tanduk dan kumbang jalur merah antara ancaman paling buruk kepada pokok kelapa dan jika terdapat kesan serangan yang mana ada lubang atau pelepah menjadi seperti bentuk seakan-akan kipas.

"Pokok terpaksa ditebang dan dibakar untuk mengelak terus merebak ke plot lain. Selain kumbang, babi hutan juga antara ancaman ketika pokok mula membesar.

"Saya pernah kerugian 30 peratus anak pokok apabila menerima serangan babi dan dianggarkan kerugian sekitar RM20,000 untuk pembelian benih dan pembersihan kawasan sudah ditanam," katanya.

Tambah Che Adnan, risiko itu sudah sedia maklum dan penanam kelapa perlu mencari formula untuk menjana pendapatan lain dalam tempoh ladang boleh mengeluarkan 100 peratus hasilnya.

"Hasil lumayan tidak datang bergolek tanpa risiko dan kerja keras terutama dalam penanaman kelapa.

"Saya turut mengamalkan konsep pertanian campuran iaitu turut menjalankan aktiviti penternakan termasuk lembu dan ikan di ladang sama.

"Hasil kelapa dianggarkan apabila semua pokok mengeluarkan hasil, saya sasarkan kira-kira satu tan dengan pendapatan sekurang-kurangnya RM20,000 hingga RM40,000 sebulan menerusi jualan buah pada kadar RM2 sebiji.

"Perlu juga tahu, hasil penanaman kelapa bukan hanya dimanfaatkan dengan jualan buah, sebaliknya hasil produk hiliran seperti nira kelapa juga produk cukup popular terutama menjelang Ramadan.

"Saya anggarkan boleh peroleh keuntungan sekali ganda dalam tahun pertama tuaian iaitu kira-kira 40 peratus sebelum tuaian penuh pada tahun keempat atau lima pokok ditanam," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2022/12/913745/baka-sgg-cepat-tuai

Related Posts with Thumbnails