Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 
Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Tuesday, September 4, 2012

Kacukan Boer-Black Bengal pertama di dunia

DUA ekor anak kambing kacukan Boer dan Black Bengal. - Gambar Bernama


MALAYSIA menjadi negara pertama di dunia yang mengacukkan kambing baka Black Bengal dan Boer yang dijangka mampu membuka pintu baru untuk pasaran daging kambing yang lebih bermutu.
Hasil kepakaran saintis tempatan, dua ekor anak kambing kembar berjaya dilahirkan hasil kacukan dua jenis baka itu.
Walaupun kejayaan itu masih baru tetapi potensi pasaran untuk daging kambing sudah menjadi bukti apabila anak kambing yang dilahirkan itu seekor jantan dan seekor betina masing-masing mempunyai berat badan 1.5 kilogram (kg) dan 1.4 kg.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan berkata, di Malaysia hanya Kelantan sahaja mempunyai kambing spesies ini dan berjaya membuat kacukan tersebut.
Menurut beliau, kambing Black Bengal, yang hanya terdapat di Bangladesh, tidak pernah dibawa keluar dari negara itu dan ia dihadiahkan hanya kepada kerajaan negeri Kelantan.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, kambing Black Bengal bersaiz kecil, berwarna hitam, berbulu pendek dan lembut.
Kambing jenis itu mempunyai tulang belakang yang lurus, berkaki pendek dan telinganya agak panjang.
''Ciri-ciri yang menarik pada baka kambing ini ialah sifat kesuburannya yang baik, bilangan kelahiran atau kadar kembar yang tinggi dan mudah menyesuaikan diri kepada persekitaran yang kurang subur.
"Sifatnya yang matang menyaksikan kambing betina mula melahirkan anak pada umur 12 bulan, dengan kelahiran sekurang-kurangnya tiga kali dalam dua tahun dan dengan purata bilangan anak sekelahiran sebanyak 2.2 ekor", kata Dr Mohd. Zairi.
Bagaimanapun, katanya, berat anak kambing semasa kelahiran ialah antara 800gram dan 900gram.
"Kambing ini mudah dipelihara menggunakan rumput rumpai tempatan, walaupun tanpa makanan tambahan menjadikan kos pengeluaran yang paling minimum", katanya.
Kambing Boer, adalah hasil kacukan kambing dari Afrika Selatan dan kambing dipilih khas untuk daging di Australia.
Dengan ciri-ciri kadar tumbesaran yang tinggi dan kualiti daging yang baik, kambing Boer mudah menyesuaikan diri pada persekitaran yang panas dan kering di samping mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap ancaman penyakit.
Kambing Boer biasanya mempunyai badan yang berwarna putih dan kepala serta leher berwarna coklat, serta mudah dipelihara, cepat membesar dan kadar kesuburan yang tinggi.
''Bagaimanapun kadar kelahiran bagi kambing itu tidak begitu tinggi iaitu sekadar 1.2 ekor setahun.
''Berat anak semasa dilahirkan ialah pejantan Boer dewasa boleh mencapai antara 110 kg dan 130 kg manakala betina dewasa antara 90 kg dan 100kg,'' katanya.
Penolong Pegawai Veterinar, Normala Tukiban, yang terlibat dalam operasi pengacukan itu, berkata dua ekor kambing Black Bengal telah dikacukkan menggunakan pejantan muda baka Boer secara tabii, iaitu seekor pada 10 Mei 2008 dan seekor lagi pada 26 Mei tahun lalu.
Kesemua kambing betina Black Bengal itu diselaraskan berahinya menggunakan hormon dengan alat silikon berbentuk Y yang dinamakan Control Intra-Vaginal Device Releasing Hormone (CIDR).
''Selepas beberapa minggu alat itu diletakkan di kemaluan kambing betina, ia ditanggalkan dan kambing jantan Boer akan diletakkan dalam kandang dengan kambing betina untuk mengawan," katanya.
Setelah dikacukkan, pada 9 Okt tahun lalu, seekor ibu Black Banggal telah melahirkan anak kembar seekor jantan dan seekor betina.
Normala berkata, kelahiran anak kembar dengan berat lahir yang tinggi membuktikan pengkacukan ini berpotensi.
"Sifat prolifik Black Bengal ditunjukkan dengan kelahiran anak kembar tersebut. Sifat Boer pula ditunjukkan dengan kadar pertumbuhan berat badan yang baik," katanya.
Dr Mohd Zairi berkata, satu daripada tujuan pengacukan antara baka ternakan ialah untuk mendapatkan kecergasan kacukan (hybrid vigour) iaitu penonjolan sifat yang lebih baik oleh mana-mana sifat dari kedua-dua baka ternakan berkenaan.
Katanya, dalam pengacukan baka Boer dan Black Bengal, sifat ini ditunjukkan pada berat kelahiran anak yang lebih tinggi berbanding dengan baka Black Bengal yang biasa, iaitu 1.4 kilogram sehingga 1.5 kilogram berbanding dengan 0.8 kilogram sehingga 0.9 kilogram.
''Begitu juga dengan kadar pertumbuhan anak kacukan setinggi 50 gram sehingga 80 gram sehari berbanding dengan 35 gram sehingga 40 gram pada berat baka Black Bengal,'' katanya.
Potensi baik ini telah mendorong projek untuk mengembangkan lagi pengacukan kedua jenis kambing menggunakan lebih banyak betina Black Bengal.
Hasil dari pengacukan lebih lanjut menggunakan ternakan yang lebih banyak akan memberi gambaran yang lebih tepat tentang prestasi sebenar projek ini.
Pengacukan secara permanian beradas juga dalam pelaksanaan sebagai langkah jangka panjang kerana program sedemikian akan memerlukan perancangan dan penyediaan kepakaran teknikal serta belanjawan yang agak tinggi.
Kaedah ini dijangka dapat mengatasi masalah pengacukan menggunakan baka kambing pejantan Black Bengal kepada kambing betina Boer kerana kambing jantan itu mempunyai ketinggian rendah menyebabkan sukar untuk mengawan. - Bernama
Petikan dari Utusan Online..

Sunday, April 24, 2011

Najib garis tujuh prinsip segarkan sektor pertanian

KUALA LUMPUR 22 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh prinsip sebagai suntikan baru kepada sektor pertanian dalam menjadikannya lebih dinamik dan segar dari sudut perkembangan serta imej.

Prinsip pertama, kata Perdana Menteri, berkaitan dengan teknologi ke arah memastikan setiap bidang tanah yang dilupuskan untuk pertanian berkemampuan dilonjakkan pengeluarannya.

''Misalnya penggunaan teknologi benih yang dibangunkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta pihak lain dan penggunaan teknologi baru bagi menambah hasil tangkapan ikan berbanding penggunaan tukun seperti sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Perhimpunan Petani, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan 2011, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Prinsip kedua, tambah Najib, adalah dengan mengamalkan kaedah pertanian terbaik dan meninggalkan pendekatan sebelum ini iaitu tanam, tinggal dan tuai (3T) yang tidak lagi sesuai.

Katanya, prinsip ketiga pula adalah melihat dari aspek keluasan tanah yang ekonomik, iaitu dengan mengusahakan tanah yang boleh memberi pulangan berbaloi dan melihat kepada pembangunan secara kluster.

''Prinsip keempat pula adalah rantaian pemasaran yang memberi keuntungan kepada pengeluar iaitu petani kerana rantaian pemasaran yang memberi pulangan berpatutan dan nilai tambah yang baik akan menguntungkan mereka yang menjadi pengeluar pada peringkat permulaannya," kata beliau.

Prasarana yang lengkap seperti sistem perairan yang baik serta jalan raya yang sempurna di ladang-ladang pertanian pula tambah Najib, menjadi prinsip kelima kerana ia dapat membantu petani menambah dan memasarkan hasil pertanian.

Prinsip keenam pula, kata beliau, berpindah daripada aktiviti pertanian bernilai rendah kepada tinggi seperti perusahaan rumpai laut, ikan hiasan dan burung walit sebagai alternatif lebih baik.

''Prinsip terakhir pula adalah sikap, etika dan budaya kerja," kata beliau.
Sumber: Utusan Malaysia online

Tuesday, May 11, 2010

Silap andaian makan daging kambing

Oleh Azran Jaffar,Berita Harian:

DAGING kambing dikatakan sebagai panas, mereka yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi mungkin tidak mahu mengambil daging kambing kerana percaya ia akan meningkatkan tekanan darah.

Namun pandangan ini disanggah pakar bioteknologi pembiakan, Prof Dr Ramli Abdullah yang mana katanya, kadar lemak kambing hampir sama dengan ayam iaitu kira-kira tiga peratus.

Apa yang berlaku ialah mereka mungkin mengambil daging kambing biri-biri kerana berbanding kambing, peratus lemak dalam biri-biri ialah sebanyak 16 peratus.

Mengenai panas, sememangnya daging kambing panas dan kerana itu penduduk di negeri China gemar mengambil daging kambing pada musim sejuk kerana ia dapat memanaskan badan, katanya.

Katanya, persepsi makan daging kambing boleh meningkatkan tekanan darah sudah lama di kalangan masyarakat kita dan apa yang berlaku, faktor psikologi yang mungkin meningkatkan tekanan darah seseorang.

Ini kerana, persepsi itu sudah disematkan dalam kepala dan dengan mengambil daging kambing, secara psikologi ia mungkin meningkatkan tekanan darah kerana seseorang itu mungkin berasa risau terhadap kesan yang mungkin dialami, katanya.

Digolongkan sebagai daging merah, daging kambing mempunyai rasa unik dan ia dikelaskan sebagai cabrito atau chevon bergantung kepada usia ternakan ini disembelih.

Cabrito ialah daging kambing yang berusia seminggu dan banyak digunakan untuk tujuan barbeku serta digemari kumpulan etnik tertentu, manakala chevon pula daging kambing dewasa.

Bagi 100 gram daging kambing yang dipanggang ia mengandungi 143 kalori, 27 gram protein, 3 gram lemak, 3.7 miligram zat besi, 85 miligram sodium dan 75 miligram kolestrol.

Secara perbandingan, bagi setiap 3 auns daging kambing yang dimasak ia mengandungi 2.58 gram lemak dan 0.79 asid lemak tepu berbanding biri-biri yang mengandungi 16 gram lemak dan 7.3 asid lemak tepu.

Kata Prof Ramli, ini jelas menunjukkan kadar lemak dan kolestrol pada daging kambing kurang daripada biri-biri dan lembu. Malah, sebuah universiti di New York juga menjalankan kajian yang mana daging kambing diberikan kepada penghidap penyakit kardiovaskular.

Seperti juga dagingnya, susu kambing mempunyai khasiat tertentu dan dijadikan antara susu alternatif, tambahan kepada susu ibu. Ia dikatakan lebih mudah diresapi, rendah lemak serta laktosa dan kaya kandungan protein.

Nikotinik asid yang terkandung di dalam susu kambing dikatakan membantu fungsi pencernaan, memperbaiki kesihatan kulit, meningkatkan pengaliran darah serta menghalang migrain juga menghilangkan bau nafas.

Meminum segelas susu kambing panas sebelum tidur mampu memberikan tidur yang nyenyak dan ia juga baik bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang menghadapi masalah kencing malam (bed-wetting).

Sebuah buku yang ditulis untuk Majlis Penyelidikan Asma dan Persatuan Eczema Kebangsaan mencadangkan penggunaan produk berasaskan kambing bagi merawat lelah, eczema serta masalah kulit.

Friday, October 16, 2009

Kenapa pertanian Thailand berjaya?


Kegigihan petani Thailand mengusahakan dan memasarkan hasil tanaman mereka sememangnya diketahui ramai.


RAKYAT Malaysia kadangkala terlupa bahawa banyak produk pertanian yang dihasilkan anak tempatan sebenarnya berkualiti. Apa yang sering kali kedengaran ialah mereka teruja dengan produk pertanian dari negara jiran di sebelah utara iaitu Thailand.

Beras siam, mangga siam dan durian siam adalah antara produk pertanian keluaran negara itu yang kerap kali kita dengar.

Mengapa demikian? Adakah kerana produk pertanian kita seperti durian dengan baka D24 dan sebagainya serta benih padi MR219 sebagai contoh, belum begitu berdaya saing.

Ada beberapa persoalan yang timbul dan ini dijawab jelas oleh seorang usahawan pertanian yang juga Konsul Kehormat Diraja Thailand yang berpejabat di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Pada pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2004 berkongsi beberapa persoalan untuk direnungi bersama.

Antaranya, kenapa buah dan sayur Thailand lebih baik dan kenapa sayur negara berkenaan mampu bersaing dalam pasaran eksport.

Persoalannya yang tidak kurang pentingnya ialah kenapa keluaran padi negara berkenaan cukup berkualiti dan mampu memnuhi keperluan eksport?

Persoalan-persoalan tersebut berada dalam lingkungan sektor agro makanan dan selanjutnya beliau membawa kepada persoalan lain iaitu kenapa kita mampu berada dalam kedudukan pertama dalam industri kayu getah.

Beliau yang berasal dari Kedah, menjelaskan terdapat beberapa perkara yang mendukung kejayaan Thailand dalam bidang pertanian.

Pertama, ia berkaitan dengan tenaga kerja yang mana mereka komited, tidak ortodoks dan menguasai teknologi baru.

''Kerajaan Thailand sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi pertanian serta asas tani kepada golongan petani mereka'' ujarnya.

Perkara kedua berkaitan dengan sistem atau pendekatan pertanian di negara berkenaan. Shazryl Eskay merujuk kepada sikap petani yang menganggap pertanian adalah satu industri.

Katanya, oleh kerana sumber tanah adalah terhad, petani mengeksploitasi setiap inci tanah pertanian dan setiap pokok yang mereka tanam.

''Di Malaysia, kita memberi tumpuan kepada pokok sehektar demi sehektar berbanding tumpuan kepada sepokok demi sepokok.

Setiap petani juga, katanya, diajar bahawa untuk berjaya dalam pertanian, amalan secara holistik adalah penting kerana kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran bergantung kepada pokok yang sihat.

Pokok yang sihat pula bergantung kepada tanah yang subur, manakala tanah yang subur bergantung kepada kandungan atau sistem biodiversiti tanah seperti mikrob, cacing dan hidupan lain dalam tanah.

Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan juga meningkatkan infrastruktur pertanian dengan menyediakan pusat pungutan dan pemprosesan hasil setiap daerah dan sistem silo (simpanan bijirin).

Faktor ketiga yang beliau kongsi ialah penggunaan benih yang bermutu.

Katanya, klon benih memainkan peranan penting kerana yang menentukan sama ada kualitinya baik seperti tahan lama, saiz sesuai, manis dan cantik.

Keseragaman klon juga penting dalam industri buah khususnya untuk pengetinan, selain kualiti tahan penyakit.

Faktor keempat yang tidak kurang pentingnya ialah baja.

Menurut beliau, baja yang baik mengandungi nutrien yang lengkap untuk keperluan tanaman dan tidak memudaratkan tanah serta mikroorganisme.

''(Kebanyakan) baja yang berada di pasaran kini tertumpu kepada keperluan tanaman sahaja," katanya.

Beliau mempersoalkan kenapakah pokok yang yang telah diberi baja masih mengalami masalah seperti penyakit, tidak mengeluarkan getah dan buah tidak berkualiti,

Apa yang berlaku dakwanya ialah masalah 'defiseinsi nutrin' kerana pokok tidak mendapat kuantiti dan baja yang diperlukan.

''Pokok perlu 16 jenis nutrien tapi yang dapat hanya baja N.P.K. sahaja sedangkan (nutrien) yang lain diabaikan," katanya.

Katanya, negara berkenaan memanfaatkan baja untuk melakukan transformasi industri pertanian dan nama baja yang digunakan ialah Silicon 23 iaitu sejenis baja mineral dan natural dari negara berkenaan.

Faktor kelima ialah sistem pemasarannya yang mana ia melibatkan syarikat penerbangan Thai Airways, amalan menggunakan koperasi pengangkutan dan pembungkusan yang berkualiti.

Oleh itu, katanya, faktor-faktor tersebut wajar diberi perhatian sekiranya industri pertanian negara hendak ditransformasikan bersungguh-sungguh.

Beliau bagaimanapun berkata, sektor pertanian tempatan telah memperkenalkan banyak klon benih dan baka untuk meningkatkan kualitinya.

Bagaimanapun, tanaman tersebut perlu nutrien yang lengkap dan berkesan untuk mencapai sasaran pengeluarannya.

Shazryl Eskay menjelaskan, pembajaan penting kerana ia mampu menggantikan nutrien dan melengkapkan apa yang kurang

Katanya, kadangkala berlaku kes yang mana tanaman masih bermasalah meskipun telah diberi baja.

Kelapa sawit sebagai contoh merupakan jenis monoecious yang mampu menghasilkan bunga betina atau jantan.

"Waktu pembentukan jantina adalah sangat penting bagi tanaman itu dan sekiranya berlaku stres, penghasilan bunga betina terbantut," katanya.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan yang antara lain disebabkan tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap.

Tanaman yang tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap mengalami masalah kekurangan zat. Ia disebabkan oleh dua faktor iaitu apabila tanaman tidak mendapat kuantiti nutrien yang diperlukan dan tanaman tidak mendapat jenis nutrien yang diperlukan.

Kuantiti nutrien pula bergantung kepada jenis tanah sama ada berpasir tanah liat atau berasid.

Jika berpasir, baja akan hilang melalu proses larut resap dan jika tanah liat , baja akan hilang menerusi proses pemeruwapan dan hilang apabila dalam proses larian permukaan semasa hujan.

Pembajaan di tanah berasid pula akan menyebabkan fosfat terikat dan tidak dapat digunakan oleh tanaman.

Justeru, waktu menabur baja penting bagi mengelakkan masalah tersebut.

Bagi jenis nutrien pula, beliau menjelaskan. tanaman memerlukan 16 jenis nutrien untuk proses tumbesaran dan pengeluaran yang baik.

Nutrien yang sentiasa digantikan melalui proses pembajaan adalah NPK dan magnesium sahaja.

Sumber:Utusan Malaysia



Thursday, August 20, 2009

Contohi petani Korea

Golongan petani di negeri ini disaran mencontohi petani Korea yang bijak menggunakan tanah dalam memajukan sektor pertanian di negara itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, para petani perlu memanfaatkan tanah mereka yang sedia ada walaupun keluasannya terhad.

Bukan itu sahaja, katanya, petani juga perlu berusaha memajukan tanah tersebut dengan tidak hanya menunggu bantuan kerajaan.

"Ketika saya melawat Korea baru-baru ini, saya lihat petani mereka lebih kaya daripada yang bekerja di jabatan kerajaan.

"Ini kerana mereka menggunakan tanah dengan sebaik-baiknya walaupun ruang untuk bercucuk tanam hanya sekangkang kera sahaja namun dapat memperoleh pendapatan lumayan.

"Justeru, saya amat berharap mereka yang mempunyai tanah sendiri dapat menggunakan tanah mereka dengan aktiviti pertanian dan kerajaan bersedia membantu pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) ke-35 di Wisma Peladang di sini hari ini.

Pada majlis itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara PPNT dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi mengusahakan penternakan kambing boer.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mariam Mas Yaacob dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPNT, Datuk Wan Zakaria Abd. Rahman.

Ahmad berkata, bagi memastikan tiada lambakan hasil pertanian, petani kecil-kecilan harus melihat permintaan pasaran semasa.

''Apabila kita bercucuk tanam kita perlu juga melihat keperluan pasaran, jangan apabila musim menanam kacang panjang, semua tanam benda yang sama sebab itu harga jadi murah.

''Seharusnya petani bijak melihat permintaan pasaran agar mereka tidak perlu bersaing dengan petani lain sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat banyak hasil rosak,'' jelasnya.

Sumber:Utusan Malaysia

Friday, August 7, 2009

Lebih banyak program agropolitan akan dibuka


Shafie Apdal (kiri) bersalam dengan sebahagian peserta program Perumahan Pembangunan Masyarakat Setempat Batu Layar semasa majlis Penyerahan Surat Tawaran PPMS Projek Agropolitan Pulau Banggi, Kudat, Sabah, semalam.


KUDAT (Pulau Banggi) 6 Ogos - Kerajaan mengenalpasti lebih banyak kawasan yang sesuai untuk dimajukan dengan program agropolitan di seluruh negara bagi membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenalpasti tiga kawasan baru untuk projek berkenaan.

''Projek agropolitan yang sedang dibina pada masa ini enam, manakala yang sudah dikenalpasti adalah tiga iaitu agropolitan Gunung Sadok di Sarawak, agropolitan Kedaya Telang Usan di Sarawak dan agropolitan Sedili di Johor.

''Kita akan terus melihat mana-mana kawasan yang sesuai sama ada di Semenanjung atau di mana-mana yang ada kepadatan kelompok kaum miskin untuk dimajukan.

''Kita juga sedang mengenalpasti kawasan yang masih ada di negeri Sabah dan Sarawak seperti di Kinabatangan, Pensiangan dan tempat-tempat lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran menduduki rumah di bawah Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di PPMS Batu Layar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini dan ADUN Pitas, Bolkiah Ismail.

Pada majlis itu seramai 100 peserta menerima surat tawaran bagi menduduki 100 buah rumah fasa pertama yang bernilai RM3.3 juta.

Menurut Shafie, pada masa ini projek agropolitan yang telah siap sepenuhnya adalah di Gahai, Pahang, manakala enam lagi sedang dalam proses pembinaan ialah agropolitan Pulau Banggi di Sabah; Batang Sadong, Batang Lupar dan Pulau Beruit di Sarawak; Ganda di Perak dan Chemomoi di Pahang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan projek agropolitan Banggi Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan tahap pelaksanaan projek yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

''Sejak ia dilancarkan pada 2007, jalan kampung dari Kampung Limbuak ke Kampung Padang dan Damaran telah siap 100 peratus manakala, jalan luar bandar sejauh 15 kilometer dari Karakit ke Limbuak siap 80 peratus.

''Bagi bekalan air sebanyak lapan buah kampung telah mendapat bekalan air bersih manakala projek bekalan elektrik di kawasan projek agropolitan juga telah 98 peratus siap," katanya.

Tambahnya, pada masa ini juga sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.

Wednesday, July 22, 2009

Veterinar perlu sedia hadapi cabaran

MERU - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM2.5 juta untuk membantu membangunkan industri penternakan selain memberi bantuan dari segi teknikal melalui jabatan berkaitan terutamanya kepada penternak kambing dan lembu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, peruntukan itu walaupun agak kecil namun pasti akan dapat memberi manfaat kepada penternak yang benar-benar mahu memperkembangkan usaha mereka.

Menurut beliau, pihaknya amat menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang berkenaan namun berharap setiap penternak dapat mensasarkan usaha penternakan menggunakan kaedah moden serta dapat memberi kesan positif kepada ekonomi.

“Kita mahu penternak berwawasan untuk mempelbagaikan produk yang dihasilkan misalnya penternak lembu tidak harus mensasarkan untuk menjual hasil daging sedangkan mereka boleh menghasilkan beberapa produk lain contohnya baja berasaskan tinja lembu.

“Sebagai petani dan penternak harus fokus dan kreatif untuk memajukan usaha mereka dan dalam masa sama kita memerlukan lebih ramai petani dan penternak sepenuh masa yang boleh memberi tumpuan kepada kualiti dan kapasiti pengeluaran hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Veterinar 2009 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di Dewan Serbaguna Meru di sini, semalam yang turut dihadiri Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Nor Aidah Abdul Rahim; Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Suliman Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Yaakob berkata, pihaknya amat menggalakkan kewujudan lebih ramai petani serta penternak yang dapat menjana pembangunan ekonomi diri sendiri serta negeri dengan hasil keluaran yang tinggi setiap bulan melalui usaha sepenuh masa berbanding mereka yang menjadikan dua bidang itu sebagai sumber pendapatan tambahan sahaja.

“Bagi petani atau penternak sepenuh masa, tidak mustahil mereka boleh menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, oleh itu kita fokus melalui jabatan dan agensi berkaitan untuk memberi bantuan kepada golongan ini kerana mereka memberi impak baik pada ekonomi.

“Kita juga mahu lebih mereka fokus membangunkan pertanian dan penternakan secara moden memandangkan kawasan tanah yang amat terhad di negeri ini maka hanya melalui kaedah dan teknologi moden sahaja dapat memenuhi keperluan bidang itu,” katanya.

Kata beliau, kaedah dan teknologi moden juga menjanjikan pulangan hasil lebih tinggi berbanding kaedah tradisional selain dapat menjana hasil lebih bermutu. Penternakan lembu dan kambing fidlot adalah antara kaedah moden dalam bidang itu.

Menurut Yaakob, peranan Pejabat Perkhidmatan Veterinar dalam bidang penternakan di negeri tidak dapat disangkal lagi selain menjadi pihak yang terpaksa berhadapan dengan cabaran yang besar terutamanya dalam menghadapi kewujudan penyakit bawaan haiwan.

“Tugas mereka (veterinar) sangat mencabar lebih - lebih banyak penularan wabak penyakit di peringkat global kini banyak bersangkut paut dengan haiwan seperti selesema burung dan terbaru, Influenza A atau H1N1.

“Mereka memikul tugasan besar sebenarnya selain bertanggung jawab membangunkan industri penternakan di negara ini ke arah yang lebih mantap,” katanya.

Beliau berkata, setelah lebih 100 tahun mereka memainkan peranan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu diperlengkap dengan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berkenaan selain menggunakan teknologi dan peralatan moden untuk meningkatkan nilai jabatan itu pada masa akan datang.

Friday, July 10, 2009

Belia contoh usahawan tani

BIDANG pertanian kini semakin mendapat tempat di hati belia dan mereka mula menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan tekad untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.

Ada antara mereka sanggup berhenti kerja kerana ingin berdikari tanpa makan gaji.

Ini membuktikan bahawa persepsi belia tehadap pertanian mula berubah dan minda mereka mula terbuka untuk menyahut seruan kerajaan agar menghijaukan kawasan sekitar dengan pelbagai tanaman sebagai persediaan menghadapi krisis makanan sekiranya ia berlaku.

Di daerah Batu Pahat misalnya, ramai belia yang menceburkan diri dalam pertanian dan penternakan berjaya menjadi usahawan belia dan ternak yang boleh dicontohi.

Ada antara mereka yang telah dianugerahkan belia dan wira tani bagi peringkat negeri dan kebangsaan Kesemua itu menjadi pemberi semangat kepada dua beradik Azman Saari, 25 dan Almizan Saari, 27 dari Kampung Parit Tengah, Sri Merlong, Rengit Batu Pahat bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar usahawan tani berjaya suatu hari nanti.

Lebih beruntung apabila hasrat mereka mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga juga wakil rakyat Rengit, Ayub Jamil yang sentiasa memberi semangat juga meninjau projek pertanian yang mereka usahakan.

Seterusnya mereka dijadikan sebagai model bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit kepada

Gerakan Ekonomi Desa Baru yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Rengit dengan menanam cili secara fertigasi.

Meskipun mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus penanaman tetapi minat yang mendalam serta pemantauan daripada JPMM DUN Rengit membantu dua beradik ini menjadi petani yang berjaya tanpa bekerja makan gaji.

Mereka bermula dengan menanam cili kampung menggunakan benih daripada pokok cili kampung yang ditanam ibu mereka di belakang rumah.

Bermula dari situ mereka berfikir mengapa tidak diusahakan secara komersial kerana harga cili kampung mahal di pasaran.

''Kami menyemai benih cili ke dalam polibeg lebih kurang 80 pokok dan dalam masa empat bulan buahnya sudah boleh dipetik," kata Azman.

Azman yang pernah bekerja sebagai pekerja industri di daerah Batu Pahat berkata, dari situ mereka mula yakin untuk menanam cili taiwan hibrid secara fertigasi sebagaimana yang diusulkan oleh JPMM DUN Rengit dengan penggunaan bioteknologi.

Mereka bermula enam bulan lalu dengan modal RM6000 dan menanam 500 pokok cili taiwan hibrid di kawasan belakang rumah dengan keluasan 90 x 40 kaki dengan menggunakan teknik fertigasi.

Mereka menyemai benih cili di petak semaian selama 30 hari sebelum ia dipindahkan ke dalam polibeg di tapak semaian yang telah disediakan.

Cili taiwan dipilih kerana ia mampu mengeluarkan hasil dalam masa dua bulan.

Setakat ini menurut Azman dan Almizan, cili taiwan sudah dua musim berbuah, pada musim pertama mereka mendapat lebih 200 kilogram cili manakala pada minggu kedua musim kedua lebih 200 kilogram cili telah dipetik dan ini katanya membuktikan bahawa peningkatan hasil cili musim kedua melebihi pada musim pertama.

Almizan yang sebelum ini bekerja di Singapura, pulang ke Malaysia setelah kontraknya tamat merancang untuk terus bersama adiknya dalam mengusahakan projek penanaman cili ini kerana ia memberi kepuasan apabila tanaman mengeluarkan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Hasil usaha

Untuk meneruskan kerja di Singapura buat masa ini amatlah sukar sementelahan pula dalam keadaan kes influenza H1N1 yang semakin menular di negara jiran itu. Justeru dia amat berharap agar hasil usaha mereka mendapat pulangan yang memberangsangkan.

Walaupun mereka sedar bahawa harga cili sentiasa turun naik dan kini harga cili hanya RM8 hingga RM9 sekilogram tetapi semangat kedua beradik ini tidak pernah luntur malah mereka yakin harga cili tidak akan jatuh lebih rendah dari itu.

Untuk menambah pengetahuan dalam bidang pertanian mereka tidak jemu menimba pengalaman daripada mereka yang telah berjaya dan sentiasa mencari kelemahan serta bagaimana cara untuk mengatasinya.

''Kami masih baru lagi dan masih banyak yang perlu diketahui serta dipelajari agar apa yang kami usahakan tidak akan terbantut di tengah jalan," jelas Azman.

Apa yang penting mereka sentiasa mencari apa yang terbaik untuk tanaman mereka agar kualiti tanaman sentiasa terjaga justeru Almizan dan Azman sering meminta pandangan daripada JPMM DUN Rengit yang menyediakan kursus kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Setakat ini mereka tidak menghadapi masalah dalam memasarkan hasil tanaman mereka.

Mereka memasarkan sendiri hasil tanaman di sekitar daerah Batu Pahat serpeti di pasar awam juga pasar raya besar dan permintaan amat memuaskan.

''Meskipun harga cili turun naik tetapi permintaan terhadap cili tidak pernah berkurangan," ujar Azman yakin.

Mereka memilih untuk menanam cili taiwan hibrid kerana penjagaannya tidak cerewet serta hasilnya boleh dipetik dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun dalam musim cuaca yang tidak menentu kini seperti terlalu panas serta hujan yang tidak menentu boleh menyebabkan kualiti pokok cili terganggu justeru penjagaan rapi amat penting bagi menjaga agar buah yang dihasilkan berkualiti.

Ahli DUN Rengit, Ayub Jamil ketika ditemui melawat projek tanaman cili kedua beradik ini memberitahu tidak ramai anak-anak muda yang sanggup berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana kurang yakin dengan pulangannya.

Bagaimanapun tambah Ayub, kegigihan dua beradik ini patut dicontohi oleh anak-anak muda lain khususnya di DUN Rengit kerana pertanian pada hari ini telah merupakan satu perniagaan yang mampu meraih pendapatan lumayan.
Sumber:Utusan Online

Monday, June 29, 2009

Galak anak muda ceburi sektor pertanian moden

RAUB 28 Jun - Agensi pertanian negeri disarankan supaya mencari jalan menarik anak-anak muda supaya menceburi sektor pertanian dengan memajukan tanah terbiar kerana sektor pertanian kini menjanjikan pulangan yang lumayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah proaktif perlu dilakukan dengan menyalurkan segala ilmu dan teknologi pertanian canggih kepada golongan sasaran termasuk generasi muda.

Beliau juga menggesa generasi muda di luar negeri dan daerah ini supaya pulang ke kampung masing- masing untuk menceburi sektor pertanian moden.

"Mereka (generasi muda) yang tiada pekerjaan dan pendapatan makan gaji yang kecil digalak menceburi sektor pertanian di kampung kerana ia mampu memberi pulangan lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Pahang di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pertanian negeri, Kamariah Ismail.

Kursus tiga hari itu disertai 140 kakitangan jabatan itu yang terdiri daripada Pembantu Pertanian Kawasan dan Pegawai Pertanian Daerah.

Menurut Shahiruddin, masyarakat perlu mengubah persepsi yang selama ini mengaitkan golongan petani dengan kemiskinan kerana sekarang ini pertanian mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik dan hidup selesa.

Sehubungan itu, beliau menasihati para petani supaya menggunakan sistem perbankan bagi membiayai modal dan membeli peralatan pertanian canggih agar mereka mampu mengeluarkan hasil yang banyak dan berkualiti.

"Hari ini pertanian tidak lagi memerlukan kawasan tanah tetapi menerusi penggunaan teknologi pertanian moden kawasan tanah yang kecil mampu mengeluarkan hasil yang banyak," katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu Pahang mengeluarkan hasil pertanian bukan komoditi bernilai lebih RM1 bilion menerusi hasil pengeluaran bunga bernilai RM750 juta untuk pasaran eksport dan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran RM415 juta serta padi RM36 juta.

Thursday, June 11, 2009

Greenbase tukar sampah jadi minyak

Farah Alya Ali menunjukkan produk minyak yang dihasilkan daripada sisa plastik di Pilot Plant, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 9 Jun - Sebuah syarikat tempatan, Greenbase Utama Sdn. Bhd. muncul sebagai syarikat pertama di dunia yang berjaya menukar sampah sarap menjadi petrol dan diesel.

Lebih menarik, proses berkenaan tidak menghasilkan bahan buangan kecuali arang yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan industri.

Kualiti minyak berkenaan pula menepati standard Euro 4 selain tidak mempunyai unsur sulfur.

Pengerusi Eksekutif Greenbase, Tan Sri Halil Abdul Mutalib berkata, pada masa ini loji pertamanya mampu menghasilkan 5,000 liter minyak daripada lima tan sampah sarap dalam masa sehari.

Katanya, proses berkenaan bermula dengan pemotongan sampah sarap yang boleh diuraikan seperti plastik, kertas dan kayu menjadi kepingan kecil.

''Semua bahan ini akan dimasukkan dalam kebuk khas untuk tempoh yang tertentu dan 80 peratus daripadanya akan ditukar menjadi minyak mentah.

''Selebihnya ia menjadi arang berkualiti tinggi yang tidak menghasilkan asap,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian loji milik Greenbase di Seksyen 28 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Halil berkata, pihaknya mengalu-alukan para pelabur yang berminat untuk menjalinkan kerjasama.

Katanya, industri itu menjanjikan pulangan lumayan dan berdasarkan perkiraan pihaknya, pelaburan antara RM50 ke RM60 juta mampu menghasilkan pulangan RM30 juta dalam masa setahun.

''Kos pengeluarannya amat rendah dan ia membolehkan minyak berkenaan dijual lebih rendah atau setanding dengan harga pasaran,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Halil berharap teknologi yang dimiliki pihaknya dapat mengurangkan beban pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek pengurusan bahan buangan yang semakin kritikal.

Sehubungan itu, katanya, Greenbase akan menjalinkan kerjasama dengan PBT untuk memanfaatkan bahan buangan yang akan dilupuskan mereka.

''Dengan ini PBT tidak perlu lagi membuka tapak pelupusan sampah yang baru, lagipun kewujudan tapak pelupusan sampah mengundang pelbagai masalah alam sekitar,'' katanya.

Friday, June 5, 2009

Gunakan hasil pertanian segar

Norma othman menunjukkan logo SALM dan SOM yang terdapat di produk pertanian segar semasa kempen beli produk pertanian selamat dan bermutu.




Keselamatan makanan merupakan agenda terpenting dalam pembangunan sesebuah negara.

Sebagai pengguna, kita akan memastikan makanan yang diambil adalah berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Justeru Jabatan Pertanian dengan kerjasama pasar raya besar Jaya Jusco melancarkan kempen membeli hasil pertanian segar dengan persijilan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dan Skim Organik Malaysia (SOM).

Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian Malaysia, Norma Othman berkata, kempen berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna untuk memilih produk yang selamat dan bermutu.

Kempen berkenaan sedang berlangsung setiap hujung minggu di rangkaian pasar raya tersebut bermula dengan cawangan One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

"Sehingga kini sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengguna yang semakin menyedari mengenai isu keselamatan makanan.

"Kini pihak kami merancangkan untuk meluaskan kempen ke rangkaian pasar raya besar Jaya Jusco seluruh Lembah Klang," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Sebelum ini banyak rungutan dan aduan mengenai sisa baki racun perosak di sayur-sayuran dan buah-buahan terutama oleh negara pengeksport. Ini menyebabkan Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan sijil akreditasi SALM dan SOM.

Sijil SALM diberikan kepada ladang-ladang konvensional yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) manakala SOM pula diberikan kepada ladang organik selepas menjalani proses pemantauan dan pemeriksaan yang ketat.

Norma menambah, kini terdapat 235 ladang yang memperolehi SALM manakala hanya 24 ladang mendapat SOMdi seluruh negara.

Bagaimanapun tambah beliau sijil SALM dan SOM ini telah mendapatkan pengiktirafan negara luar bagi memudahkan hasil pertanian dieksport ke luar negara.

"Buat masa ini banyak produk hasil pertanian dengan sijil SALM dan SOM dieksport ke luar negara seperti Singapura dan Eropah," katanya.

Justeru pengguna semakin bijak dan mereka akan diberikan pilihan untuk memilih produk yang selamat dan berkhasiat untuk kesihatan.

Apa itu SALM?

SALM adalah skim persijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberikan pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

Ia berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Skim ini berpandukan Standard SALM dan berdasarkan Malaysian Standard MS 1784:2005 Crop Commodities - Good Agricultural Practices (GAP).

Apa itu APB?

APB adalah satu sistem pengurusan yang mengamalkan amalan-amalan pertanian yang baik dan dilaksanakan mengikut piawaian dan undang-undang atau peraturan bagi mengawal dan mengurangkan risiko dan impak kepada aktiviti pengeluaran pertanian.

Sistem pengurusan ini akan dapat meningkatkan produktiviti, menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja, keselamatan makanan serta pemuliharaan alam sekitar.

Ini adalah antara usaha ke arah pembangunan pertanian lestari.

Apa itu SOM?

SOM adalah satu program persijilan untuk mengiktiraf pemilik ladang yang mengusahakan penanaman di ladang secara organik mengikut keperluan-keperluan yang ditetapkan dalam piawaian organik negara iaitu, MS 1529: 2001 The production processing, labeling and marketing of plant-based organically produced foods.

Skim ini memberikan tumpuan kepada pengeluaran, pengendalian termasuk pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan dan jualan bahan makanan tanaman organik.

Wednesday, June 3, 2009

Tingkatkan Tanaman Halia

TAMBUNAN . - Pengusaha tanaman halia di daerah ini digesa meningkatkan hasil keluaran tanaman mereka dengan memanfaatkan kaedah teknologi moden bagi menampung permintaan pengusaha industri hiliran yang semakin bertambah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, walaupun daerah tersebut mampu mengeluarkan sehingga 24 tan metrik halia sebulan, jumlah berkenaan masih belum mencukupi.

”Oleh itu, kita menggalakkan para pengusaha tanaman halia daerah ini menggunakan kaedah penanaman berteknologi tinggi yang diperkenalkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

”Cara ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran halia melebihi 24 tan metrik sebulan ketika ini, sekali gus menampung permintaan tinggi terhadap keperluan produk hiliran berasaskan halia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke bangunan baru pemprosesan halia di Kampung Tikolod Ulu, Tambunan dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Tambunan, Laiwon Dalus.

Bangunan pemprosesan berharga RM28,000 turut dilengkapi peralatan moden bernilai RM20,000 termasuk mesin pengering, pemotong, penimbang untuk menghasilkan produk halwa dan serbuk halia.

Kilang yang diurus secara berkelompok dengan sembilan kakitangan dijangka mampu memproses satu tan metrik halia sebulan menghasilkan produk halwa dan serbuk sebelum dihantar ke kilang pembungkusan di Kampung Botung.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri berkata, tanaman halia merupakan penyumbang terbesar ekonomi bagi majoriti penduduk di daerah ini yang mengusahakan ladang halia.

Antara produk-produk berasaskan halia di pasaran ialah seperti halia madu, halwa, sos cili dan serbuk halia serta pelbagai barangan kesihatan.
Sumber: Utusan Online

Monday, May 25, 2009

Penggunaan 'eco-Microbe' dan Mudball' untuk merawat Sg. Way , Kelana Jaya.

Artikel di atas adalah antara beberapa projek yang telah di buat oleh Circle Field Sdn. Bhd dalam penggunaan produk 'eco-Microbe' dan Mudball dalam Projek Pemulihan Sg. Way Di Desa Mentari bertujuan meningkatkan kualiti air sungai tersebut dari Kelas Kualiti Air 4 ke kelas 2B bersama komuniti tempatan.


Ini adalah mudball eco-Microbe yang digunakan untuk rawatan dasar sungai.













Ini adalah CF Enviro eco-Microbe yang digunakan dalam rawatan atas Sg Way tersebut.

Sunday, May 17, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

MELAKA Mei - Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sumber:Utusan Online

Monday, May 4, 2009

Gembleng potensi graduan ceburi pertanian


Setiap graduan yang bernaung di bawah Persatuan Graduan Usahawan Malaysia (PUGM) diajar dan dibantu dari pelbagai aspek tentang pertanian.


KETABAHAN, kecekalan dan semangat ingin maju merupakan senjata utama untuk bergelar usahawan tani berkualiti. Justeru, wujud pelbagai cabaran dalam melahirkan graduan usahawan tani yang mampu mengikis tanggapan buruk masyarakat kononnya graduan tidak sesuai menceburi bidang tersebut.

Ia menjadi cabaran bagi Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) supaya graduan menceburi pertanian dipandang positif oleh masyarakat.

Dengan melibatkan diri dalam pertanian secara sepenuh masa secara komersial, setiap graduan yang berdaftar akan dibantu dalam segala hal agar mereka mampu berdikari dan seterusnya menjadi idola kepada rakan-rakan graduan yang lain.

Presiden PUGM, Muzamir Mustafa berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat mereka.

Dengan menyertai PUGM, Muzamir menambah, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 bagi seorang peserta di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli katanya, akan diberi kursus sebelum mereka boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu pinjaman diluluskan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

''Mereka akan diberi pendedahan tentang teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, selama dua bulan itu mereka akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman mereka diluluskan, mereka akan diberi tapak bersaiz 120 x 140 kaki siap dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden mereka.

Buat masa ini Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak berkeluasan 20 hektar di PPMK yang telah membuahkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

Setakat ini juga katanya, PUGM telah lahirkan lebih 10 graduan usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di seluruh Malaysia.

Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak MARA dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang bagus.

''Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju," jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muzamir lagi, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh Malaysia yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

Muzamir yang juga Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri untuk PUGM yang mana tapak seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu akan dibina sebuah chalet yang boleh memuatkan 50 peserta kursus pada sesuatu masa..

Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah, agro pelancongan serta kursus di ladang dan juga dijadikan tempat pengumpulan hasil ladang yang mana kesemua hasil ladang PUGM akan diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd. bagi mengelak penggunaan orang tengah.

Buat masa ini katanya, hasil pertanian PUGM di hantar ke pasaran tempatan dan luar negara seperti ke Singapura.

Terkini tambah beliau, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat telah melawat ladang PUGM bagi mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu bagi membangunkan wanita terutama ibu tunggal dalam bidang pertanian.

''PUGM bersedia untuk memberi khidmat sebagai mentor kepada ibu tunggal dan warga miskin dalam projek yang dijangka akan diusahakan tidak lama lagi iaitu penanaman cili secara fertigasi dan rock melon," ujarnya.

Tambahnya, rock melon dan cili dipilih kerana masa untuk memungut hasil singkat dan pulangannya lumayan.

Thursday, April 30, 2009

PEMULIHAN TANAH YANG TIDAK SUBUR

Tanah-tanah terbiar seperti tanah bekas lombong, bendang, tanah paya dan tanah gambut boleh dimajukan untuk pertanian dengan memilih tanaman-tanaman yang sesuai.

  1. TANAH BEKAS LOMBONG

    Tanah bekas lombong keadaannya tidak sama, ada yang mengandungi banyak lumpur, ada yang seratus peratus pasir dan ada pula yang mengandungi lumpur dan pasir halus. Tanah yang mengandungi liat sehingga 100 cm adalah sesuai ditanam dengan tanaman kekal seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Tanah yang mengandungi banyak pasir memerlukan campuran tanah liat gembur atau tanah atas dan bahan organan yang dimasukkan ke dalam lubang menanam untuk membolehkan akar dapat zat makanan dan menjadi asas yang kukuh supaya pokok tidak mudah tumbang.

    Pengurusan tanah untuk pertanian agak tinggi termasuklah penggunaan baja organan dan kimia, pengairan yang mencukupi dan bahan sungkupan yang diletakkan pada pangkal pokok untuk mengurangkan kekeringan dan menyejukkan akar. Pembajaan kimia perlu dibuat sedikit-sedikit tetapi lebih kerap. Ini adalah kerana tanah pasir tidak dapat menyimpan baja dalam jangkamasa yang lama. Pembajaan sebanyak 2-3 kali sebulan adalah sesuai. Tanah bekas lombong yang mengandungi banyak lumpur pun perlu dibaja. Ini adalah kerana tanah bekas lombong telah hilang zat-zat pemakanan dalam tanah semasa kerja-kerja perlombongan.

    Tanaman-tanaman yang telah didapati berjaya ditanam di atas tanah bekas lombong adalah jambu batu, betik, belimbing besi, limau bali dan mempelam. Banyak tanaman lain yang berpotensi boleh ditanam di atas tanah bekas lombong seperti cempedak, nangka, ciku, limau dan manggis dengan syarat pengurusan tanah dan tanaman dibuat dengan betul.

  2. TANAH BEKAS BENDANG

    Tanah bekas bendang dan tanah paya mengandungi liat yang tinggi. Pada keadaan semulajadinya ia sesuai untuk padi dan sagu atau dijadikan kolam ternakan ikan atau udang. Tetapi jika saliran dibuat ia dapat ditanam dengan berbagai tanaman singkat masa dan tanaman kekal. Peringkat awal persediaan ladang melibatkan kerja-kerja membuat saliran atau parit untuk mengeringkan tanah. Kebanyakan tanah bekas bendang atau paya berkeadaan masam selepas dikeringkan. Oleh itu pengapuran adalah perlu untuk menaikkan pH dan juga membaiki keadaan tanah liat supaya menjadi lebih gembur. Kadar kapur yang diberi adalah mengikut keadaan kemasaman tanah yang dapat ditentukan melalui analisa di makmal. Kapur ditabur di atas seluruh permukaan dan dibajak ke dalam tanah. Penambahan bahan-bahan organan juga dapat membaiki keadaan tanah disamping menjadi baja pada tanaman. Bahan organan elok dibubuh dalam lubang menanam.

  3. TANAH GAMBUT

    Tanah gambut merupakan salah satu tanah bermasalah. Ianya kurang sesuai untuk pertanian oleh kerana keadaannya tidak berstruktur, selalunya masam dan paras air dalam tanah selalunya tinggi. Terdapat tiga jenis tanah gambut iaitu tanah gambut tidak hancur, gambut separuh hancur dan gambut hancur.

    Tanah gambut sesuai untuk tanaman singkat masa seperti sayur-sayuran, jagung dan nenas. Untuk tanaman kekal ketebalan gambut mestilah kurang dari 1 meter. Pengurusan tanah gambut yang penting ialah mengawal paras air dalam tanah. Air dalam tanah perlu disalirkan berperingkat-peringkat. Peringkat awal parit cetek sedalam 30-45 cm dibuat dan selepas beberapa tahun, parit ini didalamkan lagi. Ini adalah supaya pereputan gambut tidak berlaku dengan cepat. Jika paras air diturunkan dengan cepat, gambut akan cepat reput dan tanah menjadi susut dengan banyak dan juga terjadi pengeringan tidak berbalik pada tanah. Pengapuran mesti dibuat untuk mengurangkan kemasaman disamping menambahkan zat pemakanan dalam tanah. Pembajaan yang betul mesti dibuat. Jika terdapat tanda-tanda pokok tidak subur pembajaan unsur-unsur pekit seperti Boron dan Kuperam mungkin perlu dibuat kerana tanah gambut kurang unsur pekit.

    Untuk menanam tanaman kekal, anak pokok perlu ditanam secara sistem lubang dalam lubang, di mana perlu dibuat lubang besar dalam anggaran 120 cm lebar panjang 30 cm dan 60 cm dalam mengikut ketebalan gambut. Dalam lubang besar ini dibuat lubang menanam dan ditimbus hanya lubang menanam sahaja.

    Jenis-jenis tanaman kekal yang sesuai ditanam ialah kelapa sawit, kopi, koko dan buah-buahan seperti cempedak, nangka, rambutan dan mempelam serta lain-lain tanaman yang berakar cetek dan sederhana dalam.

  4. TANAH BRIS

    Merupakan tanah bermasalah yang terdapat di persisiran pantai Laut Cina Selatan. Kawasan ini menerima purata curahan hujan 100-120 mm setiap tahun. Tekstur tanah yang berpasir dan bahan organik yang sangat rendah menjadikannya sukar untuk diurus. Butiran tanah pasir bercerai berai dan daya menyimpan air dan nutrien adalah rendah. akibatnya tanah cepat kering dan proses larut resap nutrien adalah tinggi. Keadaan ini menyebabkan tanaman tidak dapat tumbuh dengan subur dan hasil adalah tersangat rendah.

    Membaiki tanah Bris

    Memilih baja yang sesuai adalah salah satu faktor penting didalam kerja-kerja pengurusan pembajaan tanah bris. Disamping baja kimia, tanah bris memerluakn baja organan untuk memperbaiki keadaan fizikal tanah dan meninggikan keupayaan tanah memegang dan menyimpan air serta baja. Baja organan yang biasa digunakan adalah seperti tahi ayam, tahi lembu, tahi kambing, 'sludge' kelapa sawit, tandan kosong kelapa sawit, baja hijau, kompos dan tanah gambut. Kadar penggunaan bajar organan adalah sekurang-kurang 20 kg/pokok/tahun. Bahan organan perlu dicampur dengan tanah bris atau diletakkan di dalam lubang sebelum penanaman dijalankan. Cara penggunaan tandan kosong ialah dengan mengisikannya ke dalam lubang yang digali lebih besar daripada biasa. Tandan kosong akan megalami proses pereputan dan akar yang memanjang akan dapat mengambil zat makanan yang dihasilkan dari pereputan tersebut.

    Pembajaan duan nutrien mikro (Fetrilon Combi Red, 3 kg/hektar) dan pengapuran (0.5 kg GML/pokok/tahun) juga perlu diberikan kepada pokok. Pembajaan mesti dipecahkan ke beberapa kali yang dianggap ekonomik supaya kehilangan nutrien melalui larut resap dapat dikurangkan.

    Sistem pengairan

    Tanaman buah-buahan di atas tanah bris memerlukan sistem pengairan yang sempurna untuk membekalkan air kepada tanaman secukupnya. Pengairan titis perlu disediakan untuk menyiram pokok mengikut kelembapan tanah. Pada musim kemarau pengairan perlu dibuat selama 2 jam (45 liter/pokok).

REAKSI TANAH DAN PENGARUHNYA TERHADAP PERTUMBUHAN TANAMAN
(Sumber: Berita Pertanian Januari-Jun 1991)

Biasanya reaksi tanah diukur dalam unit pH. Jika pH kurang dari 7 (asid), ph=7 (neutral) dan pH lebih daripada 7 (alkali). Nilai pH tanah berlainan dari satu tempat ke satu tempat dan dari satu musim ke musim. Biasanya kebanyakan tanaman hidup dalam keadaan baik bila nilai pH dalam lengkongan 6.0 - 7.5. Kebanyakan tanah sedentary dan alluvium di Malaysia berasid di mana nilai pH 4.2 - 4.8. Tanah gambut dan tanah asid sulfat mempunyai nilai pH kurang dari 3.8.

Pengaruh tanah biasanya pH tidak melebihi nilai 8.3 kerana semasa akar tumbuhan dan organisma tanah bernafas. Ia mengeluarkan gas CO2 dan bertindak dengan air lalu membentuk Asis Karbonik. Tanah menjadi berasid apabila sebahagian besar kation tukar gantinya terdiri A13+ dan H+. Keadaan ini disebabkan oleh larut resap. Apabila air bergerak melalui tanah sebahagian daripada H+ menggantikan Na+, Mg2+ dan K+ yang alirkan air hujan yang dibawa oleh Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya. Kehadiran A13+ dan H+ yang banyak menjadikan tanah itu bersifat asid.

Tiap-tiap tanaman mempunyai tindakbalas yang berbeza kepada pH. Tanaman bijian akan hidup subur pada pH 5.5 - 6.5. Tanaman kekacang perlu pH 6-7 untuk memberikan banyak bintil, akar dan saiznya akan menjadi lebih besar. Jagung/lobak merah hidup subur pada pH 5-6. Bagi sesetengah tanaman pula menyukai tanah masam.

Membaiki pH yang rendah dan pengapuran

Untuk meninggikan pH tanah yang rendah maka bahan kapur boleh dicampur dengan betul dengan lapisan tanah atas zon perakaran (0-25 cm). Diantara bahan-bahan kapur yang boleh digunakan bagi tujuan di atas ialah:-

  • kapur bakar / kalsium silika - Slag
  • basic acid
  • ground magnesium limestone

Cara Pemberian Kapur

Bagi tanah-tanah daerah tropika keperluan kapur bagi sekitar dan sedalam 20 cm (tan metrik). Caranya adalah berbeza dari satu jenis tanah dengan jenis tanah yang lain. Bagi tanah yang berpasir pemberian kapur hendaklah sedikit demi sedikit bagi mengelak terjadinya pengapuran berlebihan.

Kekerapan pemberian kapur bergantung kepada kehalusan dan jenis bahan kapur. Bagi kapur halus ia cepat bertindakbalas dengan tanah tetapi kesannya tidak lama berbanding dengan kapur yang kasar. Bagi tanah masam, pemberian kapur diberi 15 cm tanah yang dibajak dan hendaklah digaulkan agar dapat mengelakkan daripada pengapuran yang berlebihan disamping meneutralkan asid di dalam tanah bagi perkembangan akar. Pemberian kapur hendaklah diberikan beberapa minggu sebelum penanaman biasanya yang biasa diamalkan 30 hari sebelum tanam.

Friday, April 10, 2009

KONTRAKTOR MUDA TERNAK LEMBU

Telah ditakdirkan bahawa dia akan muncul sebagai usahawan berjaya dalam usia yang muda. Namun, laluan yang ditempuh ke arah pencapaian ini tidaklah semudah yang disangka.

Memasuki dunia pekerjaan pada usia 18 tahun, Muhammad Rohaimi Amiruddin tidak pernah menyesal. Biasanya, kebanyakan anak muda seusia itu memilih untuk meneruskan persekolahan di tingkatan enam atau ke kolej dan universiti.

Bagi mereka, hanya kecemerlangan akademik dapat menjanjikan masa depan yang lebih cerah. Namun begitu, melihat senario semasa, telahan itu nampaknya tidak tepat kerana kebanyakan siswazah sekarang masih ada yang menganggur walaupun telah tamat pengajian sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Justeru, segelintir siswazah mula memandang ke hadapan dengan menceburi sektor pertanian atau penternakan.

Bagi Muhammad Rohaimi, 29, yang lebih mesra disapa Awang, pendidikan memang penting dalam kehidupan seseorang tetapi tidak semua orang berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

Jika itu berlaku pada seseorang, janganlah berputus asa kerana seperti yang dijelaskan di dalam hadis, sebanyak 9/10 punca rezeki datangnya daripada sektor perniagaan.

Namun sebelum menceburi bidang perniagaan, Awang terlebih dahulu bekerja makan gaji di sebuah syarikat penyelenggaraan, Ready Care di Hospital Jerantut, Pahang selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sungguhpun berusia belasan tahun, Awang tidak seperti kebanyakan remaja yang lain. Dia sebaliknya memandang jauh ke hadapan sambil memikirkan apakah yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan. Mungkin telah ditakdirkan dia akan muncul sebagai usahawan muda yang berjaya, maka langkah pertama mula diatur bagi meniti satu demi satu anak tangga kejayaan.

"Pada tahun 2000, saya memohon lesen kontraktor dan berjaya memperolehnya. Saya tak berani nak berhenti kerja dan terus bekerja di Ready Care. Dalam masa yang sama, saya berusaha memohon projek-projek kecil di sekitar Jerantut.

Tiga tahun tiada projek

"Tiga tahun saya berusaha barulah saya dapat projek pertama dari Pejabat Daerah Jerantut iaitu membaik pulih Masjid Taman Negara. Nilai kerja yang diperoleh daripada projek itu adalah RM50,000. Saya masih belum mahu berhenti kerja dan dengan keuntungan yang diperoleh daripada projek tersebut, saya beli 10 ekor lembu untuk dipelihara," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Jerantut, Pahang.
AWANG menggunakan bahasa khas bagi memanggil lembu-lembunya untuk diberi air gula merah yang diletak di dalam bekas air mineral 1.5 liter.

Menurutnya, dia memilih kaedah integrasi iaitu lembu-lembu dilepaskan secara terkawal di kebun kelapa sawit miliknya ayah seluas 10 ekar. Kebun ayahnya terletak bersempadan dengan ladang sawit milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pahang (LKPP).

Tambahnya, tidak lama kemudian, dia menerima projek kedua. Dengan keuntungan yang diraihnya, Awang menambah bilangan lembu peliharaan.

Melihat potensi besar dalam kerja-kerja sebagai kontraktor dan ternakan lembu, Awang nekad berhenti kerja pada tahun 2005. Dia memilih berhenti kerja secara Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) dan menerima wang pampasan sebanyak RM15,000. Wang itu juga digunakannya untuk menambah bilangan lembu.

"Dalam tempoh satu tahun iaitu sejak pembelian pertama, jumlah lembu bertambah kepada 50 ekor dan dalam masa yang sama, saya turut menerima banyak projek menerusi syarikat Temin Maju Enterprise,'' ujarnya.

SAMBUTAN Aidiladha menjadi musim meraih rezeki yang berganda bagi golongan penternak. -

Gambar hiasan

Melihat potensi besar dalam ternakan lembu secara integrasi, Awang cuba memohon daripada LKPP untuk menyewa ladang sawitnya bagi meluaskan kawasan ternakannya. Kawasan yang disewa itu meliputi keluasan 4,000 ekar. Selain itu, Awang turut menerima projek membaja, meracun, memotong dan mengangkut buah sawit di ladang LKPP tersebut.

Usahawan muda yang merupakan suami kepada Norzaliani Mohd. Nordin, 29, dan ayah kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu jumlah lembu yang diternaknya kini mencecah kira-kira 450 ekor dan bilangan itu dikongsi dengan dua rakannya iaitu Shafie Sadi dan Fadli Hamat. "Jumlah lembu yang saya sendiri miliki melebihi 200 ekor dan bakinya dikongsi oleh Shafie dan Fadli,'' katanya sambil memberitahu jenis-jenis lembu ternakannya adalah Brahman, LID, Charolais, Droughtmaster dan KK.

Pasang pagar elektrik

Kata Awang, selain membekalkan lembu ternakannya ke pasar-pasar, dia juga menjualnya kepada orang ramai pada setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Selain menjual lembu untuk tujuan aqiqah, korban, majlis kenduri dan sebagainya, Awang juga menjual baka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk memulakan ternakan lembu.
"Usia paling sesuai untuk menjual lembu-lembu ini adalah tiga tahun dan harganya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut saiz dan jenis lembu yang terbaik. Manakala harga untuk tujuan korban pula adalah antara RM1,700 hingga RM2,000 seekor," katanya.
Awang juga memberitahu, pihaknya turut menjual kulit lembu untuk pasaran di negara jiran, Thailand pada harga RM2.50 sekilogram (kg).
"Seekor lembu boleh menghasilkan antara 20 hingga 30 kg kulit, bergantung pada saiz lembu yang kami sembelih untuk tujuan korban, kenduri atau aqiqah. Misalnya, seekor lembu jenis Brahman boleh mencecah berat 60 kg,'' jelasnya sambil memberi lembu-lembunya minum air gula merah.
Mengenai pemberian air gula merah kepada haiwan ternakannya, Awang berkata, dia akan membeli pati air gula merah di kedai runcit sekitar Jerantut. Sedikit pati akan dibancuh di dalam air sebelum dimasukkan ke dalam botol-botol mineral 1.5 liter.
Menurutnya, air gula merah itu adalah sebahagian daripada diet mingguan lembu ternakannya, selain bertujuan menjinakkan haiwan tersebut.
"Apabila dipanggil dengan bahasa 'khas', lembu-lembu ini akan datang mengerumuni saya untuk mendapatkan air gula tersebut. Apabila sudah dikumpul, saya boleh memeriksa keadaan lembu sama ada sakit, cedera dan sebagainya.
Selain air gula merah, saya juga menyediakan ketulan garam untuk dijilat oleh lembu-lembut tadi. Garam ini juga merupakan sebahagian daripada diet mingguan lembu," ujarnya.

Tentang keselamatan pula, bagi memastikan lembu-lembunya tidak keluar dari kawasan ladang dan merayau di kebun sayur berhampiran, Awang memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu di sepanjang sempadan ladang sawit berkenaan.

"Saya hanya memasang pagar elektrik di beberapa lokasi tertentu bagi mengelakkan lembu-lembu peliharaan ini menceroboh kawasan orang lain. Misalnya di kawasan yang bersempadan dengan kebun sayur orang atau landasan kereta api," ujarnya.

Jelasnya, satu set pagar elektrik untuk memagar jarak 500 meter berharga RM1,700 dan bekalan elektrik yang dialirkan itu diperoleh daripada bateri kereta yang akan dicas semula apabila kehabisan kuasa.

"Setakat ini, saya pakai tiga set bateri kereta dan setiap satu berharga kira-kira RM300. Tentang lembu yang terkena renjatan elektrik di pagar ini, ia tidaklah menyakitkan kerana kuasa watt yang digunakan terlalu rendah. Ia sekadar untuk membuatkan lembu-lembu itu terkejut dan terus berlalu meninggalkan kawasan sempadan,'' katanya.

Menurutnya, sejak pagar-pagar elektrik itu dipasang, banyak lembu-lembunya dapat diselamatkan daripada dilanggar kereta api atau dicederakan oleh pengusaha kebun.

Mengenai perancangan masa depan, Awang berkata, dia mahu menambah jumlah lembu ternakan dan membina kandang mudah alih.

Kaedah penternakan lembu

Cara pengurusan lembu daging adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan lembu tenusu. Ada empat cara pengurusan yang boleh dilakukan untuk pembiakan lembu daging iaitu:

MELALUI kaedah fidlot, lembu-lembu pembiak berada di dalam kandang sehingga menjadi cukup gemuk untuk dipasarkan.

1. Meragut Lepas Bebas
Lembu-lembu dibiarkan bebas meragut di kawasan rumput, sama ada di kawasan sendiri atau bukan. Cara ini amat sesuai bagi penternak/ pengusaha yang mempunyai keluasan padang ragut sendiri yang mencukupi. Ini memudahkan lembu-lembu membiak kerana lembu betina bebas bergaul dengan lembu-lembu jantan.

2. Berkurung atau Fidlot
Memelihara lembu secara intensif dalam kandang atau kurungan untuk pengeluaran lembu daging melalui peningkatan berat badan atau menggemukkan lembu dengan memberi makanan bermutu, air bersih, mineral dan vitamin yang secukupnya dalam tempoh tertentu. Dengan cara ini, lembu-lembu pembiak sentiasa berada di dalam kandang. Makanan yang diberikan sama ada rumput atau dedak atau campuran kedua-duanya diberikan pada kadar berat kering 3 - 5% daripada berat badan lembu setiap hari. Biasanya, rumput potong diberikan pada waktu pagi dan dedak diberikan pada waktu petang. Ruang lantai yang diperlukan ialah kira-kira 30 kaki persegi bagi setiap ekor ternakan. Usaha yang lebih adalah diperlukan bagi mencuci kandang dan menjaga kebersihan persekitaran.

3. Separa Intensif
Cara ini lebih sempurna dan praktikal di negara ini. Lembu yang dipelihara dibenarkan bebas meragut sama ada di kawasan rumput yang berpagar atau di kawasan ragutan awam dalam tempoh masa yang dihadkan. Lembu-lembu dihalau balik ke kandang untuk makanan tambahan dan berteduh di sebelah malam. Ini bermakna penternak perlu menyediakan kandang malam dan kawasan meragut yang mencukupi.

4. Integrasi Dengan Tanaman Utama
Di negara kita, kawasan tanaman utama seperti kelapa sawit, getah, kelapa dan dusun adalah sangat luas. Di bawah tanaman ini, biasanya terdapat banyak rumput-rumpai yang subur. Pada kebiasaannya, racun rumpai digunakan bagi mengawal tanaman itu. Integrasi dengan ternakan akan menjimatkan wang untuk meracun, di samping mengurangkan kos pembajaan ladang.

Sumber: Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu

SUSU KAMBING MAMPU TINGKAT TUMBESARAN


Susu kambing merupakan pilihan makanan terbaik bagi membantu meningkatkan tumbesaran badan manusia kerana ia mempunyai khasiat dan kualiti yang hampir sama dengan susu manusia.
Pemilik Ladang Kambing Osman, Osman Cheya Kutty berkata, susu kambing merupakan pilihan yang mempunyai nutrisi tinggi serta kaya dengan protein dan asid amino.''Kandungannya yang penuh dengan khasiat vitamin A,D dan E amat sesuai untuk dijadikan makanan tambahan dalam kehidupan seharian,'' katanya.
Kandungan lemak yang rendah juga boleh membantu merawat pelbagai penyakit seperti jaundice, asma dan gastrik serta sesuai untuk sistem penghadaman yang bermasalah, ujarnya.''Jika dibandingkan, susu kambing adalah lebih mudah dihadam berbanding susu lembu dan ia kaya dengan pelbagai zat galian yang diperlukan manusia.''Susu ini juga boleh membantu manusia untuk menjaga kesihatan kulit dan pembinaan sel-sel darah dalam badan di samping dapat membantu memulihkan masalah tenaga batin," katanya.
Osman berkata, permintaan terhadap susu kambing terutamanya baka British Alpine adalah yang terbaik kerana ia tidak berbau dan sesuai untuk semua termasuk mereka yang menghidap alahan terhadap susu.
Pada kebiasaannya, orang ramai beranggapan susu kambing berbau hanyir dan tidak sesuai untuk diminum tetapi tanggapan itu salah kerana baka British Alpine adalah jenis kambing tenusu, jelasnya.''Susu kambing daging sememangnya tidak sesuai untuk diminum kerana ia berbau hanyir tetapi susu kambing tenusu memang sesuai untuk diminum.''
Di sini antara kambing pengeluar susu yang diternak adalah British Alpine, Anglo Nubien dan Saanen,'' katanya.Tambahnya, kambing-kambing jenis tersebut mampu untuk menghasilkan sehingga empat liter susu sehari bagi setiap ekor, namun permintaan terhadapnya terus meningkat mengatasi bekalan yang ada.''Jika dahulu hendak jual sebotol pun susah tetapi sekarang permintaannya melambung sehingga mengatasi jumlah bekalan yang ada," katanya.
Janji pulangan lumayan
Osman Cheya Kutty, pembekal daging korban di Kampung Kangkar, Tebrau, Johor Bahru.
Pertanian merupakan satu bidang yang cukup sinonim dengan Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.Bidang penternakan khususnya mengalami fasa perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan usahawan di negara ini semakin rancak menjalankan kegiatan penternakan kambing kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Ladang Kambing Osman yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru begitu komited terhadap pengeluaran hasil daging dan tenusu yang segar serta berkualiti tinggi.Penubuhan ladang tersebut pada peringkat awalnya bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai enjin kedua penggerak ekonomi Malaysia.
Pemiliknya, Osman Cheya Kutty, 40, berkata, bidang penternakan kambing semakin diminati dan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap daging kambing semakin meningkat.Katanya, permintaan terhadap daging kambing di kalangan masyarakat semakin bertambah dan setiap bulan Ladang Kambing Osman mampu menjual kira-kira 200 ekor kambing untuk pelbagai tujuan.‘‘Jika dahulu, orang hanya akan membeli kambing setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha tetapi kini hampir setiap hari ada sahaja yang datang untuk membeli kambing untuk dibuat aqiqah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kangkar, Tebrau di sini baru-baru ini.
Osman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan yang ingin membeli kambing di ladangnya termasuk urusan penyembelihan, melapah daging serta menyediakan perkhidmatan memasak daging berkenaan.‘‘Kami menyediakan kemudahan pusat sehenti kepada para pelanggan supaya mereka tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain bagi menyembelih kambing yang dibeli.‘‘Ladang ini turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada para pelanggan yang membeli kambing di sini,’’ jelasnya.Osman memberitahu, pemilihan baka kambing yang baik untuk tujuan pembiakan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran optimum dapat dihasilkan.
‘‘Antara baka-baka pedaging yang sering mendapat permintaan penternak di Malaysia ialah Jamnapari, Ettawah dan Boer. Manakala untuk pengeluaran susu, jenis Anglo Nubien, Saneen dan British Alpine sentiasa mendapat permintaan tinggi.‘‘Kami di sini bersedia membekal baka- baka daripada pelbagai jenis pada harga yang amat berpatutan,’’ katanya.Beliau berkata, adalah amat penting untuk memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki seperti baka dan keturunan, bentuk badan dan kualiti pengeluaran daging haiwan itu.
‘‘Kebiasaannya baka kambing untuk tujuan pengeluaran daging mempunyai struktur badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu kerana fizikalnya lebih besar berbanding kambing daging,” katanya.
Selain itu, katanya, pemakanan yang berkualiti merupakan aspek penting bagi memastikan haiwan ternakan membesar dengan cepat dan berada dalam keadaan sihat.Menurutnya, rumput dan kekacang adalah bahan makanan penting bagi kambing dan lain-lain ternakan ruminan.
‘‘Rumput dan kekacang pada umur yang sesuai, bukan sahaja mempunyai nilai pemakanan dan zat yang penting, tetapi juga mempunyai bahan penting bagi mengeluarkan susu yang berlemak.‘‘Kuantiti yang banyak di samping adanya gentian kasar dapat merangsang perut besar supaya menjadi lebih cekap bagi memastikan sistem penghadaman haiwan ternakan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelasnya.
Sumber dari Jomternak.net
Related Posts with Thumbnails