Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Sunday, May 17, 2009

Rebut peluang ceburi bidang ternakan

MELAKA Mei - Masyarakat terutamanya golongan belia yang masih menganggur disaran menceburi bidang pertanian dan penternakan yang dapat memberi pulangan yang lumayan.

Selain itu, mereka yang telah mengusahakan bidang itu secara sara diri juga boleh beralih kepada komersial untuk menambah pendapatan keluarga.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembanguan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof berkata, orang ramai perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan kerajaan hari ini untuk menceburi dan meningkatkan penghasilan produk pertanian dan ternakan negara.

Katanya, tanpa mengira latar belakang pelajaran, semua golongan masyarakat mampu menyumbang kepada bidang pertanian.

''Bidang pertanian ini mampu diceburi sesiapa sahaja sama ada yang berpelajaran tinggi atau sebaliknya tetapi perlulah mempunyai semangat yang tinggi.

''Mereka yang telah menceburinya pula jangan hanya melihatnya sebagai penanaman sayur-sayuran atau padi untuk kegunaan sara diri semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, mereka harus berusaha meningkatkan hasil untuk dijual bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

''Penternakan juga termasuk dalam bidang pertanian seperti ternakan lintah yang semakin mendapat permintaan dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Beliau berkata, selain ternakan ayam, itik, puyuh, ikan keli dan haruan, penternakan lintah juga semakin popular dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pada masa ini.

''Saya lihat ternakan lintah, burung walit atau layang-layang dan cacing umpamanya, telah berjaya menjangkau ke pasaran luar negara," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan beliau terutamanya supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dalam suasana ekonomi yang tidak begitu baik ketika ini.

''Kalau ada tanah di kampung, baliklah dan manfaatkan setiap ruang tanah yang ada dengan tanaman dan ternakan sesuai daripada terus menganggur tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Sumber:Utusan Online

Jus tebu telur ke Singapura


RAMLI Ahmad memikul seikat tebu telur yang baru ditebang di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU Mei - Mungkin ramai yang tidak tahu tanaman tebu telur yang diusahakan di sekitar kawasan Simpang Durian dekat sini menjadi pilihan utama sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor untuk dibotol serta dipasarkan sebagai jus di Singapura.

Kadar kemanisan tinggi, warna hijau keemasan serta aroma harum air yang dihasilkan merupakan antara faktor utama tebu telur dari kawasan tersebut mendapat permintaan tinggi.

Faktor persekitaran yang sangat sesuai seperti iklim panas berpanjangan serta tanah liat berpasir di kawasan itu menyumbang kepada kualiti tinggi jus tebu telur yang dihasilkan.

Seorang pengusaha tanaman tersebut, Ramli Ahmad, 38, berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak memberi bantuan dari segi memasarkan air tebu telur keluaran ladangnya untuk dieksport ke Singapura.

Katanya, permintaan tinggi terhadap air tebu telur dari Simpang Durian di negara jiran itu sememangnya satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

''Saya sangat gembira bila mengetahui FAMA negeri membekalkan tebu telur yang diusahakan di ladang saya kepada pengilang jus tebu untuk dieksport ke Singapura," ujar Ramli ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, ladang yang diusahakan dengan bantuan dua pekerja itu mengeluarkan 500 ikat tebu telur sebulan khusus untuk dibekalkan kepada FAMA.

Secara purata, beliau memperoleh kira-kira RM10,000 setiap musim hasil jualan tebu telur keluaran ladang seluas 4.8 hektar yang disewa daripada penduduk setempat sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dia merancang untuk menambah keluasan ladang tebu sebanyak 2.4 hektar lagi menjelang pertengahan tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

''Bagi memastikan kualiti tebu terjamin, saya mengambil langkah-langkah kawalan penyakit seperti semburan racun makhluk perosak mengikut jadual yang ditetapkan.

''Di samping itu, Pejabat Pertanian Simpang Durian banyak memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah penanaman serta penjagaan tanaman," katanya.

Menurut Ramli lagi, kegiatan menanam tebu telur merupakan sumber pendapatan utama kepada keluarganya menjangkaui dua generasi.

Beliau memberitahu, bapanya, Ahmad Bidin, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu yang diperlukan bagi menghasilkan tebu telur berkualiti tinggi.

''Kini, anak sulung saya, Mohd. Firdaus, 5, rajin menemani saya ke ladang. Dia turut membantu sekadar yang terdaya mengikut kemampuannya sebagai seorang kanak-kanak.

''Saya berharap Mohd. Firdaus akan mewarisi ilmu menanam tebu dan mengambil alih pengurusan serta memajukan ladang tebu telur yang sedang diusahakan ini apabila dia dewasa," ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki, 32, berkata, Ramli merupakan salah seorang daripada 20 pengusaha ladang kontrak di kawasan berkenaan yang menghasilkan tebu telur khusus untuk dipasarkan oleh FAMA.

Katanya, secara keseluruhan, keluasan ladang kontrak tanaman tebu telur di sekitar kawasan tersebut adalah sebanyak 50 hektar dan FAMA Simpang Durian berhasrat menambah hingga 10 lagi pengusaha baru menjelang penghujung tahun ini.

Sumber :utusan Malaysia

Jelebu pengeluar utama tebu telur

JELEBU Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengenal pasti daerah ini sebagai pusat pengeluaran utama tebu telur di negeri ini.

Timbalan Pengarahnya, Sokri Mohd. Nor, berkata, secara keseluruhannya nilai jualan tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri adalah sebanyak RM475,000 setiap tahun.

Katanya, kira-kira 90 peratus hasil tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri ditanam di sekitar daerah ini.

''Kualiti tinggi tebu telur yang ditanam di daerah ini menyebabkan ia menjadi pilihan sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor yang mengeksport produk keluarannya ke Singapura," ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang tanaman tebu telur Ramli Ahmad di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru- baru ini.

Hadir sama Pegawai Pengembangan Cawangan Kualiti dan Standard FAMA, Abdul Rahim Abdul Ghani dan Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki.

''Selain pasaran dalam negara dan Singapura, FAMA berhasrat memperluas pasaran jus tebu telur ke negara-negara lain terutamanya di rantau Timur Tengah.

''Kuantiti tebu telur yang diperlukan oleh pengilang akan meningkat sebaik sahaja pasaran-pasaran baru dibuka," jelas beliau.

Sehubungan itu, ujarnya, FAMA negeri memerlukan lebih ramai pengusaha ladang kontrak khusus untuk membekalkan tebu telur berkualiti tinggi.

Sokri berkata, keutamaan akan diberi kepada pengusaha-pengusaha tanaman berkenaan yang beroperasi di sekitar daerah ini dan mereka boleh menghubungi FAMA negeri di talian 06-7635797 atau 06-7638959 serta laman web http://www.fama.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia

Saranan :

Sebelum memilih sesuatu projek PASTIKAN PASARAN sudah ada untuk elakkan kerugian di akhir nanti. Sekadar renungan

Fertigasi bawa keuntungan


Sebahagian daripada kebun Harun Ismail yang menggunakan teknik fertigasi.


Hari ini sektor penanaman menjadi semakin penting kerana ia menjadi penyumbang kepada bekalan makanan. Oleh itu, sektor tanaman seperti sayur-sayuran perlu diberi wajah baru dengan suntikan teknologi untuk meningkatkan hasil, lebih selamat dan meminimumkan penggunaan tenaga buruh,.

Satu daripda teknologi terbaru yang dibawa masuk ke negara ini ialah fertigasi yang ramai makin mengetahuinya sebagai gabungan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak tanpa menggunakan tanah.

Fertigasi diperkenalkan dari negara Jepun dan kini semakin popular di Malaysia, menggunakan struktur pelindung dan digunakan di kebanyakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Selain dilaksanakan oleh usahawan atau syarikat, individu juga semakin tertarik untuk memanfaatkan sistem atau teknologi ini untuk pelbagai jenis tanaman sayuran buah seperti timun, cili dan rock melon.

Salah seorang pengusaha yang tidak mahu ketinggalan mencuba sistem tersebut ialah Harun Ismail. Selepas melihat salah seorang rakannya berjaya menanam cili menggunakan kaedah fertigasi, Harun Ismail, 52, mula menunjukkan minat berjinak-jinak dengan teknologi berkenaan.

Kata orang menyaksikan sendiri sesuatu projek berjaya memudahkan kita mempercayainya, yang membawa Harun berjinak-jinak dengan sistem tersebut.

Atas nasihat kawannya, Harun mula mencari dan mengumpulkan bahan-bahan mentah untuk menghasilkan media bagi tanaman cilinya.

"Di sini bahan mentah untuk media tanaman mudah didapati seperti sabut kelapa dan sekam padi," katanya semasa ditemui di kebun cilinya di Jalan Ibrahim, Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Selangor.

Mengambil masa dua bulan beliau mendalami ilmu teknologi tanaman cili secara fertigasi daripada sahabatnya sebelum memulakan usahanya sendiri.

"Kawan saya banyak memberikan galakan dan menjadi mentor selama saya menjalankan tanaman fertigasi," katanya yang mendapatkan bekalan benih di pekan Sungai Besar.

Menyangkal pendapat sesetengah golongan yang mendakwa kos menjalankan tanaman fertigasi adalah tinggi, kata Harun, kosnya tidaklah tinggi jika kita tahu di mana mendapatkan bahan mentah untuk media.

Bagi menambahkan sumber pendapatan seharian, selain mengusahakan tanaman fertigasi, Harun juga menjalankan usaha menjual polibeg media tanaman bagi pengusaha yang baru memulakan aktiviti fertigasi.

Walaupun baru dua bulan bergiat cergas dalam aktiviti fertigasi, Harun sudah boleh mengeluarkan 1,000 polibeg lengkap sebulan.

"Buat masa ini permintaan bagi polibeg media tanaman fertigasi amat menggalakkan daripada pengusaha yang baru memulakan aktiviti pertanian," katanya.

Kini kawasannya seluas 150 kaki x 120 kaki menempatkan 1,000 buah polibeg dan dijangka mengeluarkan hasil dalam masa sebulan lagi.

"Tanaman cili secara fertigasi lebih mudah kerana saya masih boleh menguruskan kebun pisang dan menjalankan kerja lain," katanya.

Melihat kepada teknik fertigasi yang mudah diselenggarakan, Harun bercadang untuk membesarkan lagi keluasan kebun cilinya.

Sumber:Utusan Malaysia

Teknik fertigasi semakin popular

Walaupun teknik tanaman secara fertigasi telah agak lama diketahui tetapi masih ramai petani yang belum lagi mencubanya dalam skala komersial.

Ramai yang mendakwa fertigasi memerlukan kos yang besar dan memerlukan penjagaan yang optimum.

Justeru Mega Utusan Malaysia dengan kerjasama Agro Bank dan Mayconsult akan mengadakan Seminar Sehari Usahawan Fertigasi pada 17 Mei ini.

Bengkel sehari akan diadakan di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penceramahnya yang juga Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid telah menjalankan penyelidikan mengenai sistem fertigasi iaitu pengeluaran tanaman tanpa tanah yang menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem.

Biasanya sistem fertigasi diletakkan di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi dan berkualiti serta menjadi alternatif terhadap sistem konvensional.

Biasanya hanya beberapa jenis sayur-sayuran dan buah yang mempunyai nilai pasaran tinggi seperti cili merah, tomato, timun, zukini, terung, melon dan strawberi.

Tujuan asal fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada jangkitan penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya bawaan tanah.

Walaupun ramai yang mengatakan kaedah fertigasi melibatkan kos yang tinggi tetapi sebenarnya kos permulaan dapat diatasi selepas satu musim selain mengurangkan penggunaan air dan baja.

Sementara itu penggunaan tenaga kerja yang minimum dengan penggunaan alat pengatur masa automatik mengurangkan kos.

Biasanya selepas satu pusingan, medium akan dirawat racun kulat sebelum digunakan semula pada pusingan akan datang.

Sehingga kini sejak fertigasi dimulakan terdapat ramai petani yang menggunakan teknik tersebut dalam tanaman mereka.

Fertigasi jika dilakukan dengan teliti dapat menjana pendapatan lumayan kepada petani.

Sejak akhir-akhir ini kajian yang dijalankan mendapati halia sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh ditanam di tempat yang sama tanpa risiko dijangkiti dengan penyakit akar.

Kini ramai pengusaha fertigasi semakin berjaya seperti Ammar Abdul Aziz dan Harun Ismail yang mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Walaupun berbeza latar belakang Ammar yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang ekonomi manakala Harun hanya pekerja kampung tetapi matlamat mereka sama untuk membangunkan pertanian.

Kini usaha mereka telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Sumber: Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails