Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 30, 2009

Afandi ingin jadi pengusaha keli terbesar


Mohd. Afandi Mahamad menunjukkan seekor induk ikan keli yang digunakan untuk mendapatkan telur sebelum proses pembenihan dilakukan di Cherang Ruku , Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. - utusan / Hapizah Aziz

---------------------------------------------------------------
PASIR PUTEH 29 Jun - Ketika bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi, Mohd. Afandi Mahamad, 45, dari Cherang Ruku di sini sentiasa mengeluh kerana pendapatan dirasakan tidak mampu menampung keperluan keluarga yang kian membesar.

Bapanya pula sentiasa mengingatkan corak kehidupan keluarganya hanya terikat dengan jumlah pendapatan tetap yang diterima setiap bulan, begitu juga rutin hariannya terbatas kerana tuntutan kerja .

"Bagi ayah, dia lebih gembira kalau anak-anaknya berdikari, menjalankan perniagaan sendiri kerana pendapatan tiada hadnya asalkan gigih berusaha, tetapi pada awalnya saya tidak begitu ambil peduli.

"Ayah hanya petani kecil dan ketika itu tiada di kalangan enam anaknya yang menunjukkan minat melibatkan diri dalam apa jua jenis perniagaan walaupun dia sering menggalakkan kami," kata bapa kepada enam orang anak itu.

Mohd. Afandi yang ditemui Utusan Malaysia di pusat penetasan ikan air tawar dan hiasan miliknya di sini, baru-baru ini menceritakan, akhirnya dia nekad berhenti kerja pada tahun 2004 dan melaburkan RM20,000 wang simpanan.

Tujuannya ialah bagi mengusahakan projek pembenihan keli termasuk menyiapkan telaga, kolam serta tangki yang diperlukan.

Namun semasa masih bekerja, dia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai kursus di Kancanaburi, Thailand dan kursus anjuran Jabatan Perikanan Kelantan.

Sebagai permulaan, dia membeli kira-kira 500 ekor keli induk untuk proses pembenihan dan sejak itu dia tidak lagi 'menoleh ke belakang' dalam bidang ini yang dikembangkan kepada beberapa spesies ikan air tawar.

"Setakat ini, penglibatan saya memberikan pendapatan bulanan kira-kira RM16,000 dengan purata menghasilkan sebanyak 200,000 benih setiap bulan," ujarnya.

Mohd. Afandi bersyukur kerana sebelum bapanya meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu, dia dapat menggembirakan arwah yang sempat melihat perjalanan usahanya itu dan perkembangan perniagaannya.

Mulai tahun ini, dia turut membantu membimbing golongan belia untuk terlibat serius dalam bidang ini setelah Kementerian Sumber Manusia yakin dengan keupayaannya.

Menurutnya, dia mengajar secara teori dan praktikal dalam latihan sambil belajar selama setahun bagi melengkapkan pengetahuan dan kemahiran mereka berasaskan apa yang pernah dilaluinya.

Dia berhasrat menjadikan pusat pembenihan itu antara yang terbesar di negeri ini dengan menyasarkan pengeluaran sejuta benih sebulan untuk pasaran dalam dan luar negeri tempoh dua tahun lagi.

"Ini memerlukan tambahan kolam dan tangki sehingga lebih 100 buah. Ia akan dilakukan berperingkat-peringkat di kawasan tanah berpasir seluas 0.8 hektar," katanya.

Anak-anak ikan keli dijual dengan harga antara lima hingga 10 sen seekor mengikut saiz. Kebiasaannya antara 70 hingga 80 peratus anak benih itu hidup dan membesar dalam tempoh tiga bulan.

Mereka yang berminat mendapatkan kursus atau bekalan anak ikan boleh menghubungi Mohd. Afandi di talian 019-0129545538 atau 0139475252.

RM1 juta biak baka kambing


PASIR PUTEH 29 Jun – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meluluskan peruntukan lebih RM1 juta bagi melaksanakan projek membiak baka kambing import yang terpilih di Kelantan sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah LPP, Mariam Mas Yaacob berkata, setakat ini, sebanyak 400 ekor baka kambing betina dan 20 ekor kambing jantan yang diimport dari Australia telah ditempah.

Bagaimanapun, katanya, buat permulaan, projek pembiakan baka kambing itu akan dikendalikan LPP negeri dan salah sebuah syarikat swasta di Jeli.

‘‘Apabila proses pembiakan baka mencapai sasaran, kambing berkenaan yang bersaiz lebih besar berbanding kambing tempatan akan diagihkan kepada petani mengikut sistem pemeliharaan secara pawah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung LPP Tiga Daerah di sini, semalam.

Mariam Mas berkata, peruntukan yang disediakan itu adalah sebahagian daripada RM14 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada LPP Kelantan tahun ini bagi pelaksanaan pembangunan pertanian terutama di bawah program jaminan bekalan negara yang mencukupi.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, beliau memberitahu, LPP akan berusaha memperkenalkan beberapa kaedah untuk menarik minat golongan muda khususnya siswazah menganggur menganggotai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan mempermudahkan penyertaan mereka.

Menurutnya, mereka hanya dikehendaki membayar RM10 sebagai syarat mendaftar sebagai ahli, sekali gus layak mendapat pelbagai bantuan yang disediakan seperti pemilikan jentera pembajak pada separuh harga.

Beliau berkata, setakat ini, 50 peratus daripada 711,000 yang menyertai PPK di seluruh negara adalah terdiri daripada golongan yang berumur lebih 50 tahun.

Vita Cat perluaskan pasaran


KUALA LUMPUR 29 Jun - Pengeluar makanan kucing Halal Malaysia, Edaran Vita Cat Sdn. Bhd., yang telah berjaya menembusi pasaran Dubai baru-baru ini, merancang memperluaskan lagi pasarannya di Timur Tengah.

Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaannya, Halim Baba berkata, syarikat itu bercadang untuk menyertai misi perdagangan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hujung tahun ini untuk mendapatkan pasaran baru di sana.

Selain Dubai, Vita Cat juga mengeksport produknya ke Brunei, katanya dalam satu temu bual di luar Ekspo Mega Beli Barangan Malaysia baru-baru ini.

Ditubuhkan pada bulan April tahun lalu, syarikat itu kini mengeksport sejumlah 15,000 kilogram (kg) pengeluar makanan kucing ke Dubai dan 8,000 kg makanan kucing ke Brunei sebulan.

Untuk pasaran domestik, katanya, dengan bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN& HEP), produknya kini telah Berjaya memasuki pasar raya besar seperti Giant, Mydin, Carefour dan juga Jusco.

"Kami baru sahaja memasuki pasaran kesemua pasar raya besar ini dua minggu lalu dan permintaan amat menggalakkan," katanya, sambil menyatakan satu pasar raya mampu memperolehi jualan sebanyak RM12,000 seminggu.

Sebelum ini, menurut Halim, Vita Cat hanya dipasarkan di pasaran utara tanah air pada harga RM5.50 sepaket bagi 500 gram. Vita Cat adalah makanan kucing termurah yang terdapat di pasaran Malaysia.

"Sebelum ini pasaran kami terhad hanya di utara. Kami hanya bekalkan kepada pihak veterinar di Kangar, Perlis, Kulim dan Alor Setar," kata Halim.

Dengan permintaan yang semakin menggalakkan dari luar dan dalam negara, Halim berkata, syarikat itu bercadang menambah kapasiti pengeluaran kilangnya.

Kilang yang terletak di Alor Setar itu hanya berupaya menghasilkan 3,000 kg makanan kucing halal sehari.

"3,000 kg yang dihasilkan hanya mampu bertahan untuk seminggu. Kami bercadang untuk membeli mesin bagi menambah kapasiti harian," katanya.

Mesin baru yang berharga RM1.2 juta itu, katanya mampu menghasilkan kapasiti tambahan sebanyak 9,000 kg sehari.

Katanya, dengan adanya mesin baru itu, Vita Cat juga boleh menghasilkan makanan anjing dan ikan halal.

"Kami memang merancang untuk menghasilkan makanan anjing halal dan sekarang dalam proses menghasilkannya.

"Kami juga telah mendapat permintaan dari Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi menghasilkan makanan anjing halal bagi lebih kurang 13,000 anjing kepunyaan kementerian itu," katanya lagi.

Justeru itu, katanya lebih banyak pengedar diperlukan bagi mengedarkan produknya ke seluruh negara.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar produk Vita Cat ini boleh menghubungi Halim Baba di talian 012-4664080. - BERNAMA
Related Posts with Thumbnails