Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Monday, July 28, 2008

Menternak rusa tidak sesukar disangka


kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.


TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.

Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan

Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai - haiwan dari Amerika Syarikat (AS) - kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web www.hitechdeerfarm.com

Insentif RM213 juta bantu penternak

RAWANG 27 Julai - Kerajaan memperuntukkan RM213 juta dalam bentuk insentif pengeluaran kepada para penternak lembu, kambing dan ayam bagi membantu mereka menyerap kesan kenaikan harga minyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengagihan insentif kepada penternak yang berdaftar dengan kementeriannya akan dilaksanakan bermula bulan depan hingga Disember ini.

Katanya, menjadi keutamaan untuk menerima insentif itu ialah penternak berskala kecil.

"Insentif ini adalah untuk menampung sebahagian daripada kos pengeluaran yang semakin meningkat seperti harga makanan palet.

"Semua penternak berdaftar akan menerimanya, sebagai contoh 21,000 penternak kambing di seluruh negara namun yang paling ramai ialah penternak ayam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat ladang ternakan kambing dan makmal bioteknologi milik Ar Raudhah Bio-Tech Farm Sdn. Bhd. (Ar Raudhah) di sini hari ini.

Syarikat berkenaan melaburkan RM1 juta untuk membangunkan makmal berkenaan dan ia merupakan satu-satunya ladang milik swasta yang mempunyai kepakaran melakukan permanian beradas dan pemindahan embrio kambing di negara ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Mustapa berkata, jumlah insentif yang akan diterima setiap penternak yang layak adalah berbeza berdasarkan jenis perusahaan dan kapasiti pengeluarannya.

Katanya, pengusaha ternakan ayam yang memiliki lebih 20,000 ekor ayam bagaimanapun tidak layak menerimanya manakala penternak lembu dan kambing tidak tertakluk kepada jumlah haiwan ternakan.

"Antara contoh jumlah insentif ialah penternak lembu susu yang menghasilkan 50 liter susu setiap hari akan menerima RM300 sebulan.

"Bagi penternak yang mengeluarkan daging 30 ekor lembu fidlot pada setiap tiga bulan, mereka layak menerima RM3,000," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap lebih banyak syarikat swasta membuat pelaburan dalam bidang ternakan kambing untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import.

Katanya, pada masa ini negara hanya memiliki 300,000 ekor kambing dan pada tahun 2015 kerajaan meletakkan sasaran untuk meningkatkannya kepada 1.1 juta ekor.

(dipetik dari utusan malaysia online)

Related Posts with Thumbnails