Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 
Showing posts with label Herba. Show all posts
Showing posts with label Herba. Show all posts

Tuesday, August 3, 2010

FRIM terokai khasiat herba


Antara kemudahan yang ditawarkan oleh HTC FRIM di Kepong.


Sekiranya kita mengenali Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai sinonim dengan kayu semata-mata, itu adalah andaian yang tidak tepat.

Menyedari betapa pentingnya khazanah rimba bukan setakat kayu kayan sahaja, FRIM mengorak langkah ke hadapan dengan memfokuskan kanta penyelidikan kepada pokok yang tidak diketahui kepentingannya tetapi terbukti sangat penting iaitu herba.

Herba sebenarnya tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan penyelidikan institusi terbabit.

Malah tumpuan diperhebatkan lagi sejajar dengan matlamat FRIM mahu membantu usahawan herba di negara ini menghasilkan produk lebih berkualiti dan berdaya saing.

Apatah lagi, semakin ramai usahawan berkecimpung dengan industri herba dan tumbuhan renek setelah menyedari akan khasiatnya yang boleh dikomersialkan.

Tambahan pula, pengguna kini lebih tertumpu kepada produk semula jadi dalam penjagaan kesihatan, sekali gus membuka pasaran yang lebih luas.

Peluang FRIM untuk memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan pengurusan tanaman herba diperkukuhkan lagi dengan pelantikan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod sebagai naib presiden Plant Resources of South East Asia (PROSEA).

"Sesetengah negara di peringkat Asia Tenggara mempunyai kajian mengenai botani tetapi tidak memiliki keupayaan menjalankan penyelidikan mengenai khasiat tanaman herba,'' ujar Abd. Latif.

Beliau berkata, pengusaha tempatan mempunyai kesungguhan untuk meneroka khasiat herba tetapi kewujudan beberapa masalah seperti, kemasukan produk luar tanpa kawalan, menjadikan hasil tempatan tidak menonjol.

Pada pandangan beliau, hasrat kerajaan untuk menggalakkan penerokaan khasiat herba tepat pada masanya.

Menurut beliau lagi, FRIM adalah antara institusi yang menyahut seruan tersebut dengan menubuhkan Bahagian Tumbuhan Ubatan pada tahun 1995 untuk mengukuhkan penyelidikan dalam bidang herba, sekali gus membantu pengusaha tempatan membangunkan produk herba mereka.

Dr. Abd. Latif menegaskan bahawa banyak kajian khasiat herba perlu dikemaskinikan, antaranya ialah mengenal pasti kandungan atau sebatian aktif sesuatu herba.

Profail herba atau kandungan sebenarnya perlu ditentukan secara saintifik, memandangkan setiap tumbuhan ubatan mempunyai penandanya tersendiri.

Beliau berpendapat, FRIM mampu 'menggali' lebih banyak kerahsiaan herba dan khasiat yang belum diketahui umum untuk dijadikan ubatan atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan.

Sebagai contoh, mungkin ramai tidak percaya bahawa golongan wanita juga banyak menggunakan tongkat ali. Ini kerana tongkat ali didakwa mempunyai khasiat seperti meningkatkan daya imuniti semulajadi badan serta menguatkan daya tahan melawan penyakit yang mampu mencecah penyakit kanser.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh pengusaha tempatan ialah hasilan mereka tidak mendapat hak eksklusif atau tidak dipatenkan.

Kebanyakan penyelidik Barat yang mengetahui khasiat sesuatu herba serta menjangka popularitinya, akan mempatenkan produk atau proses penghasilannya.

Sebagai contoh, penyelidik Barat telah lama mengetahui khasiat tongkat ali serta mendapat hak sepenuhnya untuk membuat, mengguna dan menjual produk tongkat ali.

Dengan itu, FRIM tampil dengan kemudahan yang diperlukan untuk membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dalam pembangunan produ. Antaranya, menentukan bahagian pokok tongkat ali yang paling berkhasiat yang mana ia hanya boleh diketahui dengan menjalankan analisis di makmal.

Satu lagi penemuan yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana sesuatu produk menunjukkan keberkesanan yang tinggi apabila digunakan bersama produk lain.

Sekadar contoh, tongkat ali lebih berkesan jika digunakan bersama ubi jaga. Bermakna sesuatu produk lebih berkesan jika pasangannya lebih serasi, selain menggunakannya pada dos yang sesuai.

Contoh lain termasuk misai kucing yang digabungkan dengan pokok hempedu bumi untuk menghasilkan minuman herba asli bagi rawatan darah tinggi dan kencing manis.

Koleksi ekstrak herba

Menurut Dr. Abd. Latif lagi, FRIM kini membuat perjanjian dengan dua syarikat penanaman herba untuk membekalkan sampel tumbuhan ubatan secara berterusan dalam menjalankan kajian membangunkan serta memantau produk berkaitan berdasarkan kepada beberapa perkara iaitu berapa lamakah tarikh lupus produk berkenaan kandungan mikrob di dalamnya.

Antara produk yang dikeluarkan di FRIM berupa produk kosmetik, nutraseutical dan functional food yang terbukti keberkesanannya, berkualiti dan selamat digunakan.

Sementara itu menurut Pengarah Kanan Bahagian Tumbuhan Ubatan FRIM, Dr Rasadah Mat Ali, pihaknya mengkaji khasiat sekurang-kurangnya 15 herba setahun sejak 1995.

FRIM ketika ini mempunyai lebih dari 700 koleksi ekstrak herba yang telah dikaji dan 15 daripadanya diberi tumpuan khusus.

Sehingga kini FRIM telah mengeluarkan sebanyak 30 produk hasil dari penyelidikannya di mana 15 produk ini telah dikomersialkan dalam industri herba tempatan melalui proses perlesenan.

Usaha tersebut ujar beliau semakin diperhebatkan dengan penubuhan Herbal Technology Centre (HTC) yang akan memainkan peranan dalam menawarkan perkhidmatan untuk industri pemprosesan herba.

Taraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) yang dimiliki oleh HTC membolehkan industri herba mendaftarkan produk yang dihasilkan melalui amalan ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kilang GMP amat diperlukan untuk menentusahkan tahap keselamatan dan kualiti produk yang dihasilkan.

Sumber:Utusan Malaysia

Thursday, February 19, 2009

Industri Herba wujud ramai usahawan baru


Zainal Azman Abu Kassim menunjukkan produk yang dihasilkan oleh kebanyakan usahawan tempatan dan dipasarkan oleh Herba Plaza.


Memandangkan negara mempunyai khazanah kepelbagaian biologi flora dan fauna antara terkaya di dunia, sudah semestinya ia boleh menjana kekayaan dalam konteks pengeluaran hasil untuk dimanfaatkan.

Antara contoh terbaik dalam khazanah hutan adalah tanaman herba di mana kajian menunjukkan warisan nenek moyang ini kaya dengan ciri-ciri farmaseutikal.

Justeru Perbadanan Herba Malaysia (MHC) ditubuhkan pada 2001 sebagai sebuah anak syarikat penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) memainkan peranan penting untuk memanfaatkan kekayaan tersebut.

Pengurus Besar Kumpulan MHC, Zainal Azman Abu kasim berkata, pada peringkat awal pihaknya menjalankan aktiviti untuk kajian industri kerana pada masa itu tidak terdapat satu badan yang khusus bagi menguruskan mengenai herba.

"Industri herba boleh dilihat sebagai memberikan sumbangan besar kepada negara memandangkan pada tahun 2001 saja ia menyumbang sebanyak RM2 bilion kepada ekonomi negara.

"Dan dalam masa lapan tahun saja, sumbangan industri itu telah meningkat empat kali ganda atau RM8 bilion," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Industri herba kini boleh dikatakan mengalami proses evolusi daripada industri kecil-kecilan di belakang rumah kepada bernilai bilion ringgit.

Kini pelbagai produk herba seperti tongkat ali dan kacip fatimah sedang berkembang dengan menjadi asas dalam makanan tambahan, kosmetik, minyak pati dan farmaseutikal.

Produk herba, jelas Zainal Azman bukan saja memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara tetapi juga peluang perniagaan kepada usahawan baru.

Bagi menjayakannya, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi industri pertanian semasa Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM11.4 bilion dalam industri asas tani untuk bangunkan industri moden, dinamik dan kompetitif.

MHC juga turut menyokong menjalankan aktiviti herba misalnya pada 2007 telah menjalankan program pusat pengumpulan dan pemasaran produk herba dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Menerusi program berkenaan, MHC akan memilih 150 buah syarikat bumiputera bagi dibangunkan dan dipromosi di Herbal Plaza, Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

"Herbal Plaza bertindak sebagai pusat sehenti bagi mengumpul, mempamer, memasarkan dan menjual produk herba.

"Sejak beroperasi Herbal Plaza mendapat sambutan yang amat menggalakkan sama ada dari dalam atau luar negara," katanya.

MHC merancang untuk meluaskan lagi pasaran produk herba bumiputera menerusi pengkomersialan Herbal Shoppe sebagai cabang pemasaran dengan MeCD di lokasi terpilih seperti kompleks membeli belah dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Zainal Azman menambah dijangka menjelang akhir tahun ini terdapat lima buah Herbal Shoppe akan diwujudkan di Lembah Klang.

"Sebelum ini usahawan Bumiputera banyak berniaga di kiosk dan inilah masanya mereka beralih kepada industri yang lebih profesional.

"Di negara ini terdapat lebih kurang 1,800 usahawan yang terlibat dalam industri herba melibatkan menanam, memproses, formulasi dan pemasaran," katanya.

Dari jumlah berkenaan, 30 peratus bergiat dengan agresif dalam pemasaran herba dan MHC memilih 150 daripada syarikat berkenaan untuk bekerjasama dengan MECD.

Jumlah yang dipilih perlu menepati kriteria yang ditetapkan seperti Bumiputera, mempunyai produk sendiri, mendapat kelulusan Biro Farmaseutikal dan Kawalan Mutu Makanan, mempunyai program latihan terancang dan berkeupayaan meluaskan perniagaan mereka.

Sehingga ini kebanyakan pengusaha mendapatkan formulasi produk daripada agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), SIRIM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan institut pengajian tinggi (IPT) di mana ada permintaan yang sesuai dengan agensi dan syarikat.

Zainal Azman berkata, di sini agensi berkenaan akan menyebarkan penemuan terbaru kepada usahawan untuk dikomersialkan.

Buat masa sekarang terdapat lebih 300 produk daripada 150 syarikat dipasarkan di Herbal Plaza.

MHC dan MECD membantu pasaran dengan melabur dalam iklan atau semasa pameran, program yang dianjurkan oleh kerajaan.

Semasa pameran herba, usahawan terpilih akan diberikan subsidi bagi mempamerkan produk mereka tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan yang diberikan.

Pameran luar negara pula boleh didapati daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tetapi kurang mendapat sambutan.

"Produk herba kesihatan seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing mempunyai peminat tersendiri dan dilihat akan berkembang maju.

"Produk herba yang mendapat sentuhan kajian saintifik mendapat sambutan yang amat menggalakkan," katanya.

Universiti tempatan juga semakin agresif menjalankan pelbagai kajian berkaitan herba, misalnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menemui sebatian dalam kaduk yang dapat mengawal obesiti dan dijangka akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Taman Teknologi Malaysia (TPM) menerusi TPM Bioteknologi menyewakan kilangnya yang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik) kepada pengusaha bagi menghasilkan produk herba bermutu tinggi.

Petikan dari Utusan Online...

Related Posts with Thumbnails