Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 
Showing posts with label Industri Ikan Hiasan. Show all posts
Showing posts with label Industri Ikan Hiasan. Show all posts

Tuesday, March 9, 2010

Pusat ikan hiasan marin 90 peratus siap

SEREMBAN 7 Mac - Projek pembinaan pusat ikan hiasan marin yang bakal menjadi tarikan pelancong dan pengunjung di pantai peranginan Port Dickson dekat sini, sudah 90 peratus disiapkan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, projek berkenaan yang menelan belanja RM4.5 juta dijangka dibuka kepada umum mulai Mei depan.

''Projek itu hampir selesai dan kini kerja-kerja memasang akuarium dan perkakas berkaitan sedang giat dijalankan.

''Infrastruktur bangunan sudah siap dibina sejak penghujung tahun lalu, tetapi perkakas seperti akuarium termasuk kolam untuk tujuan menternak dan menghasilkan benih ikan baru mula dipasang bulan ini dan akan siap sepenuhnya pada bulan April," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pembukaan dan upacara perasmian pusat tarikan 'agro-tourism' itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, menerusi pembukaan pusat itu, orang ramai termasuk pelancong asing berpeluang mendekati pelbagai jenis spesies ikan serta hidupan akuatik marin dari dalam dan luar negara.

''Pusat ini akan memaparkan kira-kira 50 spesies ikan hiasan marin dari dalam negara ini dan 100 spesies ikan dari luar negara.

''Selain itu, pusat itu juga akan mempamerkan kuda laut, tapak sulaiman, terumbu karang dan banyak lagi spesies hidupan laut yang terdiri daripada pelbagai jenis," ujarnya.

Jelasnya, pada masa yang sama, pusat tersebut juga akan berperanan untuk memulihara hidupan laut yang semakin diancam kepupusan.

''Pakar dari luar negara juga akan bersama-sama kita untuk menjalankan kajian dalam usaha membantu memastikan batu karang serta hidupan laut tidak terus terpupus," katanya.
Sumber:Utusan Malaysia

Wednesday, January 6, 2010

Industri ikan hiasan, rumpai laut berimpak tinggi

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi tumpuan kepada sektor bukan makanan berimpak tinggi terutama ikan hiasan dan rumpai laut dalam usaha meningkatkan nilai tambah kepada ekonomi negara.


Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata sarang burung walit, ternakan ikan hiasan dan rumpai laut antara sektor bukan makanan berimpak tinggi yang akan diberikan penekanan tahun ini berikutan ia berpotensi tinggi untuk berkembang.

Malah, katanya, aspek biosekuriti juga akan dipertingkatkan bagi memastikan sektor bukan makanan berimpak tinggi itu terutama ikan hiasan mampu dieksport keluar negara seperti Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai pasaran lebih luas.


"Kita (kementerian) akan memastikan menjelang 2012, penggunaan biosekuriti terhadap ikan hiasan tempatan akan diwajibkan, bagi memastikan produk kita ini boleh memasuki pasaran EU.

"Kita tidak mahu aspek biosekuriti ini menyebabkan kita tidak dapat mengeksport ikan hiasan ke EU seperti yang berlaku kepada ikan koi dan emas tempatan," katanya kepada media selepas selepas menyampaikan amanat Tahun Baru pada Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Sementara itu, dalam amanatnya, Noh berkata, pada suku ketiga 2009, sektor pertanian menyumbang nilai tambah sebanyak 7.98 peratus kepada ekonomi negara iaitu menurun kepada RM10.71 bilion berbanding RM10.76 bilion pada 2008.

"Sektor bukan makanan menyumbang sebanyak 4.38 peratus atau RM5.88 bilion manakala sektor makanan menyumbang sebanyak 3.6 peratus atau RM4.83 bilion.

"Bagi suku ketiga 2009, sektor pertanian mengalami pengucupan sebanyak 0.5 peratus berbanding suku ketiga 2008 berikutan penurunan dalam sektor bukan makanan sebanyak lima peratus," katanya.

Related Posts with Thumbnails