Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, July 30, 2009

Sentral: Pengusaha pisang nipah rugi

Penyakit misteri serang sebahagian besar tanaman

JASIN: Pengusaha pisang nipah daerah ini kini resah apabila tanaman itu yang mereka usahakan secara besar-besaran, kini kebanyakannya rosak teruk sehingga tidak boleh dimakan langsung, dipercayai akibat diserang penyakit misteri sejak beberapa bulan lalu.

Serangan penyakit yang belum dikenal pasti puncanya itu berlaku di hampir kebanyakan kebun atau ladang dan difahamkan menular dengan cepat sejak beberapa minggu lalu. Antara yang teruk terjejas adalah pengusaha kebun di Perkampungan Tersusun Lipat Kajang.

Seorang pengusaha, Ahmad Baharuddin, berkata penyakit yang menyerang ladang pisangnya dikesan sejak awal bulan lalu dan setakat ini, sudah memusnahkan beberapa hektar tanaman itu walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Katanya, jangkitan misteri itu dilaporkan turut melanda beberapa kawasan ladang dan kebun pisang di Johor seperti Tangkak dan Muar hingga menyebabkan ramai pengusaha di situ kerugian besar berikutan belum ada langkah membendungnya diambil.

"Saya kini sangat bimbang kerana jika tiada langkah segera diambil pihak berkuasa bagi membantu mengatasinya, kemungkinan ladang pisang milik saya ini akan turut musnah semuanya. Setakat ini, beberapa hektar ladang pisang saya sudah musnah akibat penyakit misteri ini," katanya ketika ditemui di ladangnya.Tinjauan mendapati, pisang nipah yang diserang penyakit misteri ini berwarna kehitam-hitaman, seolah-olah seperti terkena letupan apabila isinya turut merekah dan pecah. Selain buah muda, ada juga buah yang hampir masak menjadi mangsa.

Lazimnya, buah pisang nipah yang terkena penyakit itu akan berair pada peringkat awal sebelum bertukar menjadi kehitam-hitaman beberapa minggu selepas itu.

Ahmad yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Jasin berkata, setakat ini beliau kerugian lebih RM10,000 apabila semua pisang dari ladangnya di Perkampungan Tersusun Lipat Kajang dan Kampung Terentang diserang penyakit itu.

"Kerugian ini belum lagi mengambil kira hasil pisang yang akan datang dengan anggaran melebihi RM50,000. Pendapatan bulanan yang saya peroleh juga semakin merosot daripada RM5,000 hingga RM6,000 sebulan sebelum ini.

"Ramai petani yang menanam pisang nipah secara kecil-kecilan juga bakal hilang punca pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan sekiranya penyakit ini tidak dikawal secara berkesan oleh pihak berkuasa terbabit," katanya.

Satu tandan pisang nipah boleh mencapai berat antara 10 dan 20 kilogram, yang dijual pada harga RM1.50 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Terentang itu berkata, beliau sudah memaklumkan serangan penyakit itu kepada Jabatan Pertanian Melaka sebelum ini tetapi hanya diberikan tunjuk ajar mengenai langkah pencegahan serta cara melupuskan tanaman berkenaan.

"Saya berharap pihak berkenaan dapat menyediakan sedikit peruntukan kepada pekebun seperti kami ini untuk mengatasi serangan penyakit berkenaan. Ia kerana, sudahlah mengalami kerugian, selepas itu kami perlu pula mengeluarkan belanja bagi menangani masalah ini.

"Diharap pegawai jabatan yang berpengalaman dapat memberi perhatian sewajarnya dalam membantu membekalkan racun sesuai kepada pekebun untuk mencegah penyakit ini supaya hasil tanaman tidak lagi terjejas di masa depan," katanya.

Ahmad berkata, serangan penyakit itu jika tidak dicegah lebih awal, pengeluaran hasil tanaman berkenaan akan terjejas, sekali gus menyebabkan ramai pengusaha kecil di kawasan sekitar daerah terbabit mengalami kerugian besar.

"Buah pisang yang diserang penyakit ini sudah tidak boleh dimakan begitu saja. Tambah merunsingkan, pisang nipah ini mendapat permintaan tinggi kerana keenakannya dibuat pisang goreng dan kerepek pisang tetapi ia tidak dapat dipasarkan," katanya.

Tinjauan di kawasan itu juga mendapati banyak pisang nipah yang rosak akibat serangan penyakit berkenaan dilonggokkan di tepi ladang.

Selain itu, kelihatan beberapa pekerja ladang sedang menyembur racun ke atas tanaman berkenaan sebagai langkah pencegahan, namun difahamkan tindakan itu masih lagi tidak berkesan.

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

Timur: 30 Orang Asli sertai projek ternak biri-biri

PEKAN: Seramai 30 Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) di Runchang, dekat sini, sudah mula bekerja sebagai penternak biri-biri menerusi projek Agropolitan bagi membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan tegar, sejak seminggu lalu.

Mereka yang juga sebahagian daripada 1,450 keluarga miskin tegar yang terbabit dengan projek itu, membiasakan diri memberi makan dan membersihkan enam kandang yang menempatkan 649 biri-biri jenis Dropers dari Australia.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer), Zulkifli Yaakob, berkata kumpulan Orang Asli berkenaan sudah dapat membiasakan diri dengan rutin harian baru mereka dan menunjukkan sikap positif.

"Mereka dapat menerima pekerjaan baru menternak biri-biri selepas seminggu berbuat demikian. Ia secara tidak langsung memberi harapan kepada mereka, projek ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan," katanya ditemui sempena lawatan media ke tapak projek itu di Runchang, dekat sini semalam.

Zulkifli berkata, 649 biri-biri yang tiba Rabu lalu selepas menempuh perjalanan lebih 10 jam dari Australia, dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah tahap kesihatan biri-biri ini memuaskan dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Setakat ini, tiada yang mati dan kita akan terus memantau dan menyelenggara dengan baik," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya kira-kira 20 peratus daripada haiwan yang diimport akan mati selepas seminggu mengikuti proses pemindahan kerana tekanan dan perubahan cuaca.

"Ini adalah satu kejayaan bagi kita sekali gus membuktikan bahawa kita membuat keputusan tepat memilih biri-biri ini bagi melaksanakan projek Agropolitan untuk membantu Orang Asli dan rakyat miskin tegar di daerah ini," katanya.

Zulkifli berkata, semua biri-biri itu ditempatkan dalam enam unit pengeluaran haiwan (APU) yang diperbuat daripada besi galvani dan setiap satu memuatkan 100 biri-biri iaitu empat biri-biri jantan dan 96 ekor biri-biri betina.

Sementara itu, seorang peserta Orang Asli, Azlan Normien Awang, 22, berkata, kerja menternak biri-biri tidak susah kerana haiwan ternakan itu jinak dan mudah mesra dengan manusia.

"Pihak Ecer juga sudah menyediakan kursus asas ternakan biri-biri bagi memudahkan kami untuk melakukan kerja memberi makan dan membersihkan kandang," katanya yang berasal dari suku Jakun.

Cubaan seludup masuk kambing gagal

PADANG BESAR: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) menahan empat lelaki ketika cuba menyeludup 53 kambing dari negara jiran dengan memalsukan dokumen Jabatan Veterinar dalam satu pemeriksaan di Felcra Lubuk Sireh di sini, petang kelmarin.

Malah, keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20-an dari Kulim, Kedah itu juga turut menggunakan lori yang dicat seakan-akan warna kenderaan milik Jabatan Veterinar dipercayai bertujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar apabila sepasukan anggota UPP negeri berjaya mengesan perbezaan butiran pada dokumen digunakan, terutama jawatan pegawai yang mengesahkan dua dokumen yang digunakan, sedangkan kedua-dua mereka individu sama.Pemeriksaan lanjut mengesahkan satu daripada dokumen digunakan iaitu untuk tujuan membawa masuk 53 kambing ke negara ini adalah palsu.

Komander UPP negeri, Deputi Superintendan Zakaria Abdul Rahman, berkata empat lelaki itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika mereka dalam perjalanan membawa keluar lori sarat dengan muatan kambing dan lembu dipercayai baru dibawa masuk dari negara jiran.

"Ketika pemeriksaan, mereka menunjukkan dua dokumen kebenaran Jabatan Veterinar untuk membawa masuk haiwan ternakan dari Thailand iaitu satu membabitkan dua lembu dan satu lagi bagi 53 kambing."Pemeriksaan lanjut mendapati pangkat pegawai yang mengesahkan dokumen itu berbeza, sedangkan individu berkenaan adalah sama.

"Justeru, semua 53 kambing dari jenis Jamnapari bernilai hampir RM32,000 itu dirampas," katanya.

yang dibawa masuk menggunakan dokumen palsu itu ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Ordinan Binatang 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000," katanya.

Keistimewaan rebung madu


Yusof Tan menunjukkan buluh madu yang telah dipotong untuk mendapatkan rebungnya di kebunnya, Felda Tenggaroh 3, Mersing baru-baru ini.


MERSING 29 Julai - Rebung merupakan salah satu sayur tradisional yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Melayu kerana keenakan rasanya.

Mungkin bagi masyarakat di kawasan bandar, ia jarang diperoleh dan boleh dianggap 'eksotik', namun bagi penduduk kampung rimbunan pokok buluh sentiasa menjadi tumpuan untuk mendapatkan rebungnya.

Menyedari potensi besar masakan berasaskan rebung, seorang pekebun, Yusof Tan, 64, memberanikan diri mengusahakan tanaman buluh madu di tanah seluas 0.4 hektar di Felda Tenggaroh 3, dekat sini untuk tujuan komersial.

Pekebun gigih ini memberitahu, dia kini menanam kira-kira 200 rumpun buluh madu dan setelah setahun diusahakan, tanaman berkenaan berjaya mengeluarkan rebung yang banyak.

''Saya berminat untuk mengusahakan buluh madu setelah mendapat galakan dan dorongan kuat daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madun Hamid.

''Madun mengenali buluh madu hasil lawatannya ke sebuah kawasan di Chuping, Perlis apabila para petani di sana mengusahakan buluh madu secara komersial untuk mendapatkan rebungnya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini memberitahu, dia telah mengusahakan tanah terbiar seluas 0.4 hektar yang dikurniakan oleh Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim kepadanya.

''Pada permulaannya saya telah membeli 200 benih buluh madu dengan harga RM6.60 setiap pokok.

''Apa yang menyeronokkan dalam tempoh lapan bulan, kita dah boleh tuai rebung dan kini dijual dengan harga RM6 sekilogram untuk pasaran tempatan,'' katanya.

Yusof memberitahu, berikutan sambutan menggalakkan dia bercadang memperluaskan tanaman tersebut bagi memenuhi keperluan bukan sahaja di sekitar bandar Mersing, malah ke Johor Bahru yang mempunyai permintaan tinggi.

Mengenai kelebihan dan keistimewaan rebung buluh madu berbanding buluh biasa, Yusof yang memang gemar berbudi kepada tanah berkata: "Pertamanya buluh dan rebung jenis itu tiada miang dan memudahkan pengguna untuk mengambil dan menyiangnya.

''Satu lagi kelebihannya, kadar pembesaran dan pertumbuhan rebung agak pantas iaitu dalam masa 24 jam boleh tumbuh sehingga enam inci," katanya.

Beliau berkata, buluh madu juga mudah dijaga iaitu hanya memerlukan baja untuk mempercepatkan tumbesarannya.

Sehubungan ini, Yusof turut menggalakkan mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman buluh madu dan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhampiran kerana tanaman tersebut menjanjikan pulangan lumayan.

Keluaran daging lembu ditingkatkan 60%

SEREMBAN 29 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kapasiti pengeluaran daging lembu daripada 40 peratus menjadi 60 peratus yang dijalankan di bawah projek 'Beef Valley' di Gemas menjelang akhir tahun 2010.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Noor Soeraya Norsham berkata, langkah tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk memenuhi permintaan sumber makanan masyarakat tempatan selain mengatasi masalah kebergantungan terhadap pengimportan sumber makanan dari luar negara.

''Setakat ini, kita hanya mampu menampung 40 peratus dalam pengeluaran daging lembu untuk diagihkan bagi memenuhi permintaan penduduk negeri ini dan juga ke seluruh negara.

''Senario ini secara tidak langsung memaksa negara untuk mengimport bekalan sumber makanan itu dari luar negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Noor Soeraya, pelbagai langkah drastik telah dijalankan dalam usaha mempertingkatkan pengeluaran daging lembu bagi mencapai sasaran tersebut.

''Ini termasuk, menambah jumlah lembu di lima ladang satelit di sekitar negeri ini yang terdapat di Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Senawang.

''Selari dengan usaha itu juga, kita telah mempertingkatkan penghasilan baka lembu di Kawasan Tumpuan Sasaran (TAC) di Jempol yang kini mempunyai 20,000 lembu khusus untuk tujuan pembakaan," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, buat masa ini, Beef Valley itu menempatkan 4,000 ekor lembu untuk tujuan disembelih dan juga 1,000 ekor bagi dijadikan baka.

''Kini projek tersebut mampu untuk memproses 25 hingga 50 ekor lembu sehari secara purata dan kita harapkan bilangan tersebut meningkat kepada 100 ekor sehari dalam tempoh tersebut," jelas beliau.
Related Posts with Thumbnails