Oleh Mohd Sabran Md Sani
Dalam aktiviti penternakan dan pembiakan benih udang galah, air perlu
sentiasa ditukar dan dibersihkan bagi menjamin kualiti dan serangan
penyakit.
Pembersihan tangki perlu kerap dilakukan pada peringkat PL bagi mempercepatkan proses penyalinan kulit udang itu.
Proses penukaran air perlu berhati-hati bagi mengelak kematian benih dan merugikan penternak udang galah.
Sebelum ini, kebanyakan penternak menggunakan kaedah lama dengan menukar air secara terus menggunakan alat sifon (hose).
Ia bagi memerangkap benih udang dari terlepas keluar, manakala benih
udang di dalam besen penapis akan dimasukkan semula ke dalam tangki
ternakan.
Kaedah kedua dengan menggunakan alat penapis yang diletakkan di dalam tangki.
Air ditukar menggunakan alat sifon yang dimasukkan ke dalam kotak penapis khas.
Kotak penapis diletak di dalam tangki ternakan dan alat ini dibuat
menggunakan paip PVC. Jaring netlon digunakan keseluruhan sangkar itu.
Namun, kaedah lama ini mempunyai banyak kelemahan kerana benih
terkeluar bersama air, benih terkumpul dan tersangkut pada jaring, air
tangki kering sepenuhnya, benih mengalami tekanan dan mati, masa yang
lama dan kerja-kerja sambilan tidak dapat dijalankan dalam masa
serentak.
Bagi menyelesaikan masalah itu, Jabatan Perikanan Malaysia melalui
Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG) Kampung Acheh, Sitiawan, Perak
menemui kaedah baru mengurangkan kematian benih ketika proses menukar
air.
Inovasi baru itu menjadi penemuan amat signifikan kepada pusat itu
yang bertanggungjawab membekalkan benih udang galah kepada penternak di
Semenanjung Malaysia.
Mereka berjaya mencipta satu kaedah menggunakan sejenis alat
berbentuk silinder yang disusun dua lapis bagi menghalang benih
tersangkut di jaring.
Teknik itu menggunakan alat yang direka khas dengan dua lapisan pemisah antara sifon dengan air penternakan benih udang.
Lapisan pemisah pertama (bahagian luar) terdiri daripada paip PVC yang disaluti jaring.
Lapisan pemisah kedua (bahagian dalam) pula ialah paip PVC yang ditebuk.
Bahagian bawah kedua-dua lapisan pemisah dibiarkan tanpa disaluti
jaring atau ditebuk lubang supaya air tidak dibuang sepenuhnya.
Alat sifon akan dimasukkan ke lapisan kedua dan air dialirkan keluar dengan mudah.
Mengikut kaedah baru itu, ketika air ditukar, alat penapis silinder dua lapis diletak di dalam tangki penternakan.
Penciptaan penapis berbentuk silinder membolehkan udang bergerak dengan mudah, selain mengelak terkena tarikan arus aliran air.
Disebabkan bahagian bawah paip tidak ditebuk lubang, maka ia
berfungsi sebagai alat kawalan paras air daripada keluar sepenuhnya.
Keadaan itu membolehkan paras air dalam tangki kekal mengikut ketinggian lubang.
Pada masa sama, penternak boleh melakukan kerja-kerja sambilan lain
seperti penyediaan makanan, pembersihan peralatan dan longkang.
"Alat ini tidak memerlukan kos yang tinggi kerana menggunakan bahan-bahan terpakai," katanya.
Kaedah baru ini mempunyai banyak kelebihan kerana matlamat
meningkatkan pengeluaran benih udang galah tercapai berikutan
peningkatan pengeluaran sehingga 16.6 peratus sejak 1997.
Kosnya yang rendah dengan menggunakan bahan PVC terpakai sesuai
diterima pakai oleh semua peringkat pusat pengeluaran benih udang sama
ada berskala besar atau kecil, malah boleh dipraktikkan untuk benih
ikan.
Paling mustahak kadar kematian udang dapat ditingkatkan daripada 45 peratus kepada 50 peratus.
Dengan kos pembinaan, RM79.50 seunit, teknik baru ini mampu membantu penternak.
Sumber:Harian Metro