INDUSTRI sarang burung walet semakin mendapat tempat di negara ini. Potensi untuk diperluas dan diperkembangkan sangat besar.
Di peringkat global, industri berkenaan mempunyai pasaran sehingga RM10.2 bilion. Malaysia pula ketika ini menyumbang RM1.5 bilion setahun kepada perusahaan itu.
Jumlah itu melibatkan pengeluaran sarang burung walet mentah yang belum diproses dengan anggaran kos sekitar RM4,000 sekilogram (kg) dan boleh mencecah harga RM9,000 untuk setiap kg yang telah dicuci.
Melihat kelebihan itu, kini terdapat banyak syarikat tempatan mula terlibat dalam aktiviti penghasilan sarang burung dan tidak kurang juga bidang pengeluaran untuk produk hilirannya.
Ini kerana, berdasarkan kepada harganya di pasaran, nilai sarang burung walet boleh diibaratkan seperti emas.
Salah sebuah syarikat tempatan yang aktif dalam industri hiliran sarang burung walet ialah Alga Prima Sdn. Bhd. (Alga Prima) yang memberi fokus kepada aktiviti mengilang dan membekal pelbagai produk minuman berasaskan sarang burung.
Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Nazari Ahmad, Alga Prima bermula dengan pengeluaran produk minuman popular di kalangan orang Cina iaitu teh Oolong.
“Sehingga pada tahun 2009, hasil kajian dan penyelidikan makmal kami mendapati ramuan teh Oolong bersama sarang burung dapat menghasilkan minuman kesihatan yang kaya dengan antioksida.
“Selain teh, Alga Prima turut mengeluarkan minuman sarang burung dalam bentuk produk sedia diminum, pati dan kordial dengan formula campuran kolagen, ginseng dan herba-herba terpilih,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.
Minuman-minuman tersebut dihasilkan melalui proses yang bersih dan halal mengikut syarat-syarat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga pembungkusan, penyimpanan dan penghantaran.
Kesemua 20 kakitangan Alga Prima juga terdiri daripada mereka yang beragama Islam bagi memastikan pengguna dapat menikmati khasiat serta kebaikan minuman tersebut tanpa sebarang halangan atau keraguan.
Apa yang paling penting, proses mencuci sarang burung di syarikat itu tidak melibatkan sebarang penggunaan alkohol. Tumpuan utama diberikan terhadap penghasilan produk yang baik untuk kesihatan dan kecantikan.
Alga Prima turut membina pusat mencuci sarang burung mentah di Kulim dan Shah Alam. Kilang pembuatan produk juga terletak di Kulim, Kedah.
Ketika ini, syarikat berkenaan mampu mengeluarkan 50,000 botol minuman sarang burung sebulan selain produk sarang burung kering yang telah dicuci turut mendapat permintaan tinggi.
Untuk bahan mentah, Alga Prima banyak menjalankan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha rumah sarang burung dari beberapa buah negeri seperi Kedah,
Perlis, Selangor dan Terengganu.
“Sebenarnya, setiap rumah sarang burung mampu mengeluarkan antara dua hingga tiga kilogram sahaja sarang burung sebulan,’’ jelasnya.
Daripada sudut pasaran, Alga Prima menerima permintaan yang cukup menggalakkan dari seluruh negara selain produk mereka telah memasuki ruang niaga pasar raya besar.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga ada menerima tempahan daripada pemborong di Brunei, Singapura, China dan Dubai di samping menyedia kemudahan pembuatan untuk syarikat-syarikat luar yang berminat menjual produk berkenaan menggunakan penjenamaan sendiri.
“Tidak dinafikan memang terdapat banyak saingan dalam perniagaan produk minuman kesihatan sarang burung ini.
“Namun, pengguna perlu merasai dan menilai sendiri produk Alga Prima. Banyak pengguna yang telah mencuba memberi respons positif terhadap rasa serta khasiatnya,’’ jelasnya.
Justeru, bagi memantapkan kedudukan perniagaan mereka, Alga Prima tidak ketinggalan menyertai beberapa siri pameran bergerak seperti Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
Di samping itu, mereka turut menjalankan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta sirim bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan.