Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Saturday, May 12, 2012

ICAN bincang isu makanan ternakan

PERKEMBANGAN industri ternakan di negara ini masih berada di tahap kurang memuaskan terutamanya bagi penternakan haiwan ruminan yang merupakan sumber utama pengeluaran produk daging dan tenusu.Kadar sara hidup (SSL) bagi produk-produk daging (lembu dan kambing) serta tenusu adalah masih rendah .

Bagi memenuhi permintaan pasaran domestik yang sentiasa meningkat saban tahun mendorong kepada peningkatan import produk sama ada ternakan hidup, produk daging dan tenusu serta makanan ternakan dari luar negara.Beberapa langkah perlu diwujudkan di dalam kerangka pembangunan industri ternakan bagi menangani masalah ini agar hasil ternakan tempatan dapat ditingkatkan seterusnya dapat menjamin keselamatan makanan dalam negara.

Antara usaha yang dilakukan termasuklah penganjuran Persidangan Makanan Ternakan Antarabangsa (ICAN) yang dianjurkan dua tahun sekali bagi membincangkan isu-isu serta penemuan saintifik melalui aktiviti penyelidikan berkaitan dengan industri ternakan.Usaha ini akan memberi peluang kepada pelbagai pihak seperti swasta, universiti dan institusi penyelidikan berkongsi idea dan pandangan melalui seminar yang dianjurkan seterusnya mencari penyelesaian kepada masalah berbangkit.

Penganjuran ICAN kali kelima pada minggu depan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan RISDA serta disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi fokus kepada pencapaian penyelidikan dalam bidang ternakan sejak lima tahun kebelakangan ini sesuai dengan tema yang digunakan iaitu Inovasi Dalam Nutrisi dan Pemakanan Haiwan Untuk Pengeluaran dalam Industri Ternakan.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Dr. Azizan Ab. Rashid, persidangan tersebut akan memberi tumpuan kepada pembentangan beberapa isu.‘‘Antaranya hasil penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan industri ternakan yang telah dijalankan oleh saintis dan penyelidik dari dalam dan luar negara yang dapat memberi sumbangan kepada industri ternakan negara’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.

Mengulas lanjut Dr. Azizan berkata, terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam membangunkan industri ternakan ketika ini.Tiga perkara penting itu ialah berkaitan dengan operasi atau pengurusan ladang pada kos yang efektif, membangunkan formulasi makanan ternakan dari sumber yang bersih lagi halal, serta mengoptimumkan penggunaan bahan mentah tempatan.

Ketiga-tiga perkara tersebut perlu dipertimbangkan memandangkan kos keseluruhan pengurusan ladang meliputi aspek pengurusan dan penjagaan ternakan serta pemakanan. Kos makanan ternakan sahaja meliputi dua pertiga atau 70 peratus daripada kos keseluruhan pengurusan ladang tersebut.

Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan perlu memberi tumpuan kepada ketiga-tiga perkara tersebut bagi mengurangkan beban para pengusaha makanan ternakan dan penternak dari segi kos seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Antara langkah untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan memanfaatkan bahan sampingan industri asas tani (IAT) seperti hampas sagu, hampas soya atau pelepah sawit sebagai makanan haiwan. Biasanya hasil buangan ini tidak tahan lama, tetapi melalui usaha penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan ke atas bahan tersebut akan dapat menyelesaikan masalah ini. Sebagai contoh, MARDI telah berjaya menghasilkan GENKiMO melalui proses fermentasi dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Ia dapat membantu meningkatkan kesihatan ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran pada tumbuhan serta ketahanan terhadap penyakit. Dengan menggunakan produk berkenaan dapat mempercepatkan proses fermentasi silaj atau makanan ternakan berasaskan rumput kepada 14 hari masa pemeraman.

Bagi mengoptimumkan penggunaan bahan mentah tempatan, Dr. Azizan berkata, satu kaedah yang mudah untuk merumuskan formulasi makanan ternakan, dengan mengambil lembu tenusu sebagai contoh, seekor lembu tenusu memerlukan kira-kira 21 peratus serat kasar daripada jumlah makanan tersebut. ‘‘Setiap 10 kilogram berat lembu tenusu, memerlukan dua kilogram serat atau sumber mudahnya ialah rumput,’’ ujarnya.

Bagi lembu pedaging pula, penternak biasanya mengunakan dedak isirung kelapa sawit (PKC) kerana ia mudah diperolehi sebagai makanan lengkap untuk penggemukkan antara empat ke enam bulan. Selain itu, penternak juga perlu mengetahui bahawa dalam makanan ternakan, 2.5 peratus daripada berat mestilah bahan makanan kering.

Sebagai contoh, jika berat seekor ternakan ialah 100 kilogram (kg) maka, 2.5 kilogram (kg) ialah makanan kering yang perlu diberikan kepadanya. Bagaimanapun, 25 peratus daripada berat rumput adalah berat air.

Oleh itu, seekor ternakan yang mempunyai berat badan 100kg perlu diberi sebanyak 10kg rumput (berat kering) selepas ditolak bahagian air.

Sekiranya bekalan rumput tidak mencukupi, sebahagian daripadanya boleh digantikan dengan dedak. Kiraan separuh daripada itu perlu diambil kira dalam pemakanan makan kering berkenaan jika 50 peratus daripada berat ternakan diberi rumput.

Dalam erti kata lain, penternak perlu didedahkan dengan pengetahuan seperti ini agar dapat mengoptimumkan penggunaan makanan pada ternakan. Mereka juga perlu mengetahui kandungan nutrisi setiap bahan sampingan yang ingin digunakan seperti hampas tauhu dan pelepah sawit bagi memastikan rumusan makanan yang dihasilkan memenuhi keperluan ternakan.

Bagi membantu penternak, pihak MARDI akan membangunkan satu pangkalan data yang boleh dilayari di laman web sebagai rujukan berkaitan pemakanan ternakan. Pangkalan data tersebut dinamakan Sistem Maklumat Pemakanan Haiwan MARDI (MAFIS) diharap dapat membantu para penternak mendapatkan maklumat yang betul berkenaan dengan pemakanan haiwan.

Selain itu, MARDI juga telah berjaya menghasilkan satu rumusan makanan ternakan dalam bentuk pelet yang sedang diuji keberkesanannya.Mengenai ICAN 2012, beliau berkata, tujuan ia diadakan adalah untuk mempromosi perkembangan dan kemajuan terkini pemakanan ternakan, mempromosi teknologi pemprosesan makanan ternakan dan juga memperkukuh hubungan antara penyelidik, pengeluar, pengilang , pembuat dasar dan industri berkaitan.

Persidangan yang bakal dihadiri oleh saintis dan penyelidik terkemuka dari dalam dan luar negara ini akan membentangkan kertas kerja meliputi pelbagai topik.

Antaranya, aliran semasa bekalan makanan sejajar dan implikasinya terhadap industri makanan ternakan, bahan aditif dalam makanan ternakan, perspektif makanan ternakan masa hadapan , meningkatkan dan menambah baik keberkesanan, peranan serat dalam makanan ternakan, mengurangkan pencemaran dalam makanan ternakan dan juga keselamatan makanan.

Katanya, persidangan tersebut ditujukan kepada kumpulan sasar utama seperti industri makanan ternakan, pengilang, ahli teknologi, agen pengembangan, usahawan, pembuat dasar dan pengeluar.

ICAN 2012 merupakan acara dwitahunan mula diadakan pada 2003 dan tema yang dipilih pada kali ini ialah Inovasi Dalam Nutrisi dan Pemakanan Haiwan Bagi Pengeluaran Ternakan.

Sumber:Utusan malaysia
Related Posts with Thumbnails