Pengenalan
|
Buluh tergulung di dalam keluarga Gramineae, iaitu sekeluarga dengan jenis rumput termasuklah rumput-rampai, padi, jagung, tebu dan gandum. Lebih tepat lagi buluh berada di bawah sub-keluarga Bambusoideae. Manakala sub-keluarga ini mengandungi genus-genus seperti Bambusa, Dendrocalamus, Dinochloa, Gigantochloa, Schizostachyum dan lain-lain lagi.
Di Semenanjung Malaysia terdapat 7 genera buluh dan mengandungi sebanyak jenis semuanya (Holttum 1958). Buluh yang dikenali sebagai kumpulan rumput gergasi serta berbatang keras pada dasarnya mempunyai dua (2) tabiat pertumbuhan iaitu berumpun dan jenis tunggal (dominan). Genera yang lazim terdapat adalah Bambusa, Chusquea (ditanam), Dendrocalamus, Dinocloa, Gigantochloa, Phyllostachys (ditanam), Racemobambos, Schizostachyum, Thyrosostachys (ditanam).
Buluh sering didapati hidup subur di dalam hutan lembap tropika khususnya di kawasan-kawasan berhampiran lembah sungai, di hutan-hutan sudah dibalak (tanah pamah dan di atas permatang), di dalam belukar (hutan peringkat kedua), di kawasan-kawasan hutan yang telah musnah dan terbiar akibat aktiviti pertanian pindah, pembukaan tanah untuk pertanian dan juga pembalakan.
Di dalam hutan di Malaysia dan juga di negara-negara Tropika yang lain sering dijumpai buluh tumbuh menegak serta berumpun-rumpun seperti Gigantochloa spp., Dendrocalamus spp. dan Bambusa spp.
Di negara kita taburan buluh biasanya boleh didapati daripada paras laut hingga 1000m tinggi. Ia boleh hidup dikebanyakan kawasan seperti di tebing-tebing sungai, tanah rata hingga ke lereng-lereng bukit. Kawasan yang tidak sesuai untuk penanaman buluh ialah di kawasan berpaya dan terendam dengan air (kawasan berlumpur).
Buluh hidup subur di kawasan yang mempunyai saliran yang baik khususnya pada tanah pasir peroi (sand) sehingga ke tanah liat peroi. Di samping itu tanah berasid khususnya yang mempunyai keasidan pada tahap pH 5.0 - 6.5 adalah paling sesuai bagi tanaman buluh.
Semasa pemilihan kawasan untuk penanaman buluh, selain daripada ciri-ciri di atas, faktor yang terpenting perlu diambil kira ialah sumber air untuk penyiraman. Air amatlah penting di peringkat awal selepas penanaman.
Terdapat lebih kurang 12 spesis yang biasa digunakan untuk tujuan komersial. Lima (5) spesis ditanam dan hanya terdapat di sekitar kawasan kampung dan selebihnya hidup liar di tepi-tepi sungai, di kawasan hutan yang telah dibalak dan di sepanjang sungai. Di dapati tujuh (7) spesis buluh yang hidup liar boleh diambil rebungnya seperti di Jadual di bawah.
Nama Tempatan
| Nama Saintifik
| Penghasilan/Kegunaan
| Buluh Beting
| Gigantochloa levis
| Rebung Dan Batang
| Buluh Minyak
| Bambusa vulgaris
| Rebung Dan Batang
| Buluh Tumpat
| Gigantochloa ligulata
| Rebung Dan Batang
| Buluh Semantan
| Gigantochloa scortechinii
| Batang
| Buluh Beti / Raga
| Gigantochloa wrayi
| Rebung Dan Batang
| Buluh Semeliang
| Schizostachyum grande
| Batang
| Buluh Dinding
| Schizostachyum zollingeri
| Batang
|
Hanya dua (2) spesis buluh liar yang biasa diambil rebungnya dan mempunyai pasaran yang baik ialah Buluh Beting dan Buluh Tumpat. Terdapat juga beberapa spesis buluh yang ditanam mempunyai nilai komersial yang tinggi adalah seperti Jadual di bawah.
Nama Tempatan
| Nama Saintifik
| Penghasilan/Kegunaan
| Buluh Duri
| Bambusa blumeana
| Rebung Dan Batang
| Buluh Galah
| Bambusa heterostachya
| Batang
| Buluh Betong
| Dendrocalamus asper
| Rebung Dan Batang
| Buluh Lemang
| Schizostachyum brachycladum
| Rebung Dan Batang
|
Sumber Jabatan Pertanian Manjung
|
|
| | |
|