Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Monday, August 3, 2009

Pemilik Kafe Miliki Lembu Charolais Terbesar Di Negara


BACHOK, 31 Julai (Bernama) — ‘Bob’ baru berusia enam tahun, tetapi beratnya kini mencecah 1,100 kilogram, melebihi berat seekor anak gajah.

Pembesaran yang di luar jangkaan itu menyebabkan ‘Bob’, lembu kacukan Charolais jantan, digelar penduduk kampung sebagai ‘lembu ajaib’ yang memberi tuah kepada pemiliknya, Mohd Juharani Jaafar.

Mohd Juharani, 26, dari Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok berkata, Bob yang berstatus pejantan baka berasal dari Amerika telah dipelihara sejak enam tahun lepas sememangnya memiliki tahap pembesaran yang pelik apabila membesar hampir 480 gram sehari.

“Masa saya beli Bob sekitar enam tahun dulu, usianya baru setahun dua bulan dengan berat melebihi 300 kilogram iaitu berat biasa bagi baka Charolais yang sememangnya terkenal bersaiz lebih besar daripada baka lain.

“Lain pula dengan Bob, ia membesar dengan cepat melebihi tahap pembesaran bakanya. Setiap hari dapat lihat dengan jelas perbezaannya dan saya langsung tidak menyangka Bob kini boleh mencapai berat 1,100 kilogram pada usia baru enam tahun,” katanya kepada Bernama.

DIIKTIRAF LEMBU TERBESAR DI MALAYSIA

Mohd Juharani, seorang pemilik kedai makan, berkata kebiasaan berat lembu baka Charolais pada usia enam tahun hanyalah sekitar 400 kilogram manakala bagi lembu tempatan bawah 300 kilogram.

Pakar penyembelihan lembu yang melihat saiz Bob juga terkejut dan berkata sekiranya Bob disembelih, dagingnya itu sahaja boleh menjamu selera kira-kira 10,000 orang, jelasnya lagi.

Mengimbas saat awal Mohd Juharani memiliki Bob sewaktu beliau pernah membela 80 ekor lembu pada 90-an, katanya, Bob dibeli daripada seorang saudaranya di Chieng Mai, Thailand dengan harga RM5,400.

Tiada siapa menyangka, Bob yang pada usia kecil kelihatan ‘biasa-biasa saja’ sama seperti lembu baka Charolais, yang lain kini mampu mencuri perhatian segenap lapisan masyarakat dari serata negeri, kerana keunikan saiznya sehingga turut diiktiraf Jabatan Veterinar Kelantan (JPV) sebagai lembu terbesar di Malaysia.

Melalui pemantauan JPV Kelantan ke seluruh negara, tiada seekor pun lembu baka Charolais yang boleh menandingi saiz Bob menyebabkan Bob semakin popular terutama dalam kalangan peminat lembu negara ini.

“Saya dimaklumkan baka Charolais ini tidak banyak dipelihara di negara kita, kalau ada pun hanya di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. Sebab itulah sehingga kini Bob adalah antara lembu yang terbesar di negara ini,” katanya.

BOB YANG POPULAR TETAPI GARANG

Mohd Juharani, yang masih bujang dan menetap bersama keluarganya di Kampung Permatang Pasir, berkata, rumah keluarganya itu jarang sunyi daripada kunjungan orang ramai yang ingin melihat dan bergambar bersama Bob.

Tidak seperti kebanyakan binatang lain yang kebiasaannya jinak apabila sering mendapat perhatian dan sudah biasa menerima kunjungan orang ramai, lain pula ceritanya Bob apabila sikapnya tidak begitu.

Bob sangat garang dan sering mendengus sekiranya ada orang yang tidak dikenali cuba menghampiri.

Meskipun sekadar menyentuh pagar kandangnya, jika disedari, Bob akan mengibas-ngibaskan ekornya dan bergerak dengan mimik muka yang garang.

Ketika situasi itu, orang ramai dinasihat supaya menjauhi kandang Bob kerana makin dihampiri bimbang ia lebih menaikkan kemarahan Bob.

“Bob memang begitu, moodnya tidak menentu, kadang-kadang dia oke tetapi kadang-kadang dia mudah naik marah. Walaupun popular, dia memang tidak berapa mesra dan tetap garang dengan orang ramai,” kata Mohd Juharani sambil mengusap-ngusap belakang badan Bob.

Beliau bagaimanapun berkata, Bob sangat manja dengannya dan tidak pernah membantah suruhannya.

Disuruh duduk Bob duduk, disuruh bangun juga Bob akan bangun meskipun Bob kelihatan termengah-mengah kerana terpaksa bangun walaupun baru lima minit Bob duduk merehatkan diri.

TIDAK SUKAR JAGA BOB

Seringkali ketika menerima kunjungan orang ramai, pertanyaan tidak takutkah dicederakan Bob yang bersaiz besar dan bertanduk tajam itu pasti akan didengari.

Mohd Juharani berkata, Bob sememangnya kelihatan garang dan agak menakutkan kerana saiznya yang besar dengan tanduk yang tajam tetapi sepanjang beliau menjaga Bob, ia tidak pernah menunjukkan rasa marahnya kepada Mohd Juharani, anak keenam daripada tujuh adik beradik.

Malahan Bob langsung tidak susah dijaga, baik dari segi pemakanan mahupun penjagaan harian.

“Bob seekor lembu yang baik, dia kenal siapa tuannya, saya tidak pernah cedera kerana Bob, meskipun dia garang tetapi dia tidak marah pada tuannya.

“Bukan itu sahaja, nak jaga Bob pun tidak susah, setiap hari hanya perlu sediakan 50 kilogram rumput dan lima kilogram dedak untuk makanan hariannya yang kosnya sekitar RM20 sehari, itupun untuk kos dedak sahaja kerana rumput ditanam sendiri di belakang rumah,” katanya.

Bagi memastikan kebersihan Bob dan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke sini, Bob sentiasa dipastikan bersih dengan memandikannya tiga hingga empat kali dalam sehari.

Selain itu, Bob juga jarang sakit menyebabkan Mohd Juharani hanya perlu mengeluarkan kos perubatan yang asas sahaja seperti memastikan Bob diberi vaksin yang sesuai untuk mengelakkan daripada diserang penyakit.

MAHU CARI TEMAN UNTUK BOB

Keistimewaan pembesaran Bob yang jarang ditemui itu membuatkan Mohd Juharani akan mencari baka induk yang sesuai untuk dijadikan teman kepada Bob bagi mengembangkan bakanya itu.

Mengikut perancangan sepuluh ekor baka induk akan dibeli pada awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, untuk mencari baka induk yang sesuai dengan saiz Bob agak sukar tetapi sekiranya tiada beliau akan meminta bantuan JPV Kelantan untuk menggunakan kaedah permanian beradas atau tabung uji untuk mengembangkan baka Bob.

Selain itu Mohd Juharani berkata, beliau turut membuat permohonan pinjaman kepada Agro Bank untuk membeli baka induk berkenaan dan berharap pinjamannya akan diluluskan segera menjelang tahun hadapan.

TIADA HASRAT JUAL BOB

Mohd Juharani yang kini memiliki sebuah kafe di Terengganu berkata, meskipun sibuk menjaga perniagaan, beliau tetap tidak lupa terhadap Bob dan tidak berhasrat menjual lembu itu kepada sesiapaun meskipun ditawar dengan harga yang tinggi.

“Sekarang ni Bob bawah jagaan ayah saya, Jaafar Mat Amin kerana ayah adalah orang terdekat dengan Bob selain saya yang boleh menguruskan Bob sepanjang saya berada di Terengganu uruskan kafe.

“Tetapi walau sesibuk manapun saya, saya tidak lupa pada Bob, setiap minggu saya akan pulang menjenguk Bob dan tidak berhasrat menjual Bob kepada sesiapa pun kerana sayang dan bangga memilikinya,” katanya yang menyifatkan dirinya bertuah berpeluang memiliki Bob yang istimewa.

Selain itu, kata Mohd Juharani, sikap Bob yang terlalu garang kepada orang yang tidak dikenalinya menjadi alasan utama untuk beliau tidak menjual Bob meskipun ada yang menyatakan hasrat dan kesungguhan untuk menjaga Bob dengan baik.

– BERNAMA

1,450 keluarga miskin bakal dapat faedah


Konsep APU yang mempunyai kapasiti 100 ekor biri-biri menjadi nadi pembangunan projek Agropolitan di Pekan, Pahang.


TIDAK ada perkara yang lebih menggembirakan bagi 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga Orang Asli di Pekan, Pahang dengan pembangunan projek Agropolitan di kawasan itu yang bakal dilancarkan 4 Ogos ini.

Projek mega itu bakal memberi sinar kehidupan baru kepada mereka, dengan objektif utama meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 sebulan sekarang kepada RM1,500 apabila projek tersebut sempurna kelak.

Projek Agropolitan Pekan merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dilaksanakan melalui langkah pembangunan serantau bersepadu untuk membantu keluarga miskin tegar yang ditempatkan semula di kawasan baru di Tanjung Batu, Bebar dan Kubang Panjang di Lepar.

Yang menariknya, projek tersebut yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan, akan mengubah wajah pembangunan kawasan sekitar dengan projek berdaya maju dan dijangka mewujudkan 5,000 pekerjaan baru.

Ia juga menandakan salah satu pencapaian Pelan Induk ECER, dan menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan di kawasan luar bandar serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti pertanian dan perladangan.


kELUARGA oRANG aSLI YANG BAKAL MENIKMATI PEMBANGUNAN YANG DIJANA MENERUSI PROJEK aGROPOLITAN.


Pada masa yang sama, projek tersebut akan membantu mengimbangi pertumbuhan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, ia menyediakan pendapatan berterusan kepada keluarga miskin di ECER, seiring dengan hasrat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Pada satu taklimat media yang diadakan di kawasan tersebut baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Zulkifli Yaacob berkata, satu keunikan projek Agropolitan ECER ini adalah pelaksanaan aktiviti-aktiviti utama, sekunder dan sokongan untuk para peserta.

''Satu lagi ciri-ciri projek ini adalah pendapatan dijana bukan untuk ketua keluarga sahaja, malah semua ahli keluarga mendapat manfaat daripada aktiviti sekunder dan sokongan,'' katanya.

Katanya, aktiviti utama ialah perladangan kelapa sawit dan penternakan kambing biri-biri, manakala aktiviti sekunder melibatkan aktiviti tambahan kepada aktiviti utama seperti penternakan ayam, sarang industri sarang burung, tanaman herba, inap desa, jahitan, akuakultur, akuaponik dan penanaman cendawan.

Aktiviti sokongan pula melibatkan bengkel latihan kemahiran, pembinaan pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pusat Pengumpulan dan Pemasaran (CMC) bidaan serta pusat penyembelihan dan pemprosesan daging.

Menyentuh mengenai penternakan biri-biri sebagai satu daripada projek utama, beliau berkata, kaedah pelaksanaannya ialah menerusi pengenalan konsep unit ternakan haiwan (APU).

Sebanyak 250 APU akan dibina menempatkan 100 ekor biri-biri baka Dorper dan padang ragut seluas 44.2 hektar.

Menerusinya, seramai 50 peserta dipilih menjayakan projek perintis ternakan biri-biri di kawasan tersebut.

Projek tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap menjelang tahun depan yang mana fasa pertama melibatkan pembangunan perladangan dan penternakan sebanyak 1,000 ekor ternakan.

Fasa kedua pula melibatkan peningkatan aktiviti ternakan kepada 8,000 ekor manakala fasa ketiga melibatkan 25,000 ekor.

Pusat pengeluar

Dengan pewujudan projek tersebut, Pekan bakal menjadi pusat pengeluar biri-biri Dorper pada masa akan datang.


Sebahagian peserta terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang bakal menerima faedah di bawah projek ECER.


Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa, Droper merupakan baka kacukan Afrika Selatan, Dorset Horn dan Black Persian dan merupakan tahan baka lasa dan sukar meragut rumput.

''MARDI telah mula membawa masuk baka Dorper dari Afrika Selatan sejak 2006 bagi dan ditempatkan dalam ladang integrasi kelapa di stesen MARDI, Sungai Baging, Kuantan," katanya.

Di bawah sistem APU, setiap unit akan dijaga oleh tiga peserta Orang Asli secara syif setiap empat jam dengan dibayar gaji. Bagi peserta lain, dua orang diberi tanggungjawab menjaga seunit APU.

Di bawah projek utama kedua iaitu perladangan sawit, ia melibatkan kawasan seluas 1,352 hektar dan bantuan Felda.

Menurut Pengurus dan Ketua Kilang Makanan, Felda Farm Products Sdn. Bhd., Khairudin Minhaj, pihaknya berperanan dalam menguruskan ladang di kawasan projek.

FELDA yang berperanan sebagai agensi pelaksana utama akan menguruskan para peserta, projek tersebut dan aktiviti-aktiviti berkaitan serta menguruskan aspek kewangan projek tersebut.

Sementara itu, Zulkifli menambah, peserta di pilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu program pembasmian kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Justeru apa yang diharapkan, peserta dapat berubah minda mereka untuk mengubah nasib dan mempunyai motivasi untuk terlibat dalam projek.

Beliau berkata, mereka mendapat faedah daripada gaji yang diterima bekerja dalam aktiviti utama selain insentif dan juga kepentingan (share) dalam projek tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia.

Projek membawa sinar kepada peserta


sEBAHAGIAN PESERTA oRANG ASLI YANG BAKAL MENJADI NADI PEMBANGUNAN PROJEK AGROPOLITAN PEKAN.


Ada nada kegembiraan, harapan dan dan keyakinan yang diluahkan oleh peserta terpilih menyertai projek Agropolitan Pekan, Pahang.

Projek agropolitan itu dilaksanakan dengan matlamat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mencapai taraf hidup setanding dengan lain-lain kawasan di negara ini.

Keluarga miskin yang menyertai program penempatan semula menikmati banyak faedah dan nikmati terutamanya bekalan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Selain itu, kawasan penempatan semula juga akan disediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti dewan masyarakat, masjid, perpustakaan, taman permainan dan pusat perniagaan.

Pada masa sama, setiap peneroka akan disediakan rumah dan tanah untuk tujuan pengkomersialan seperti penternakan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

Projek tersebut melibatkan dua golongan termasuk 750 peserta Orang Asli yang mana projek dilaksanakan berdasarkan konsep in-situ atau di kawasan realiti kampung mereka.


RUMAH UNTUK PENEMPATAN SEMULA PESERTA KALANGAN BUKAN oRANG ASLI.


Mereka tidak perlu meninggalkan kawasan kampung untuk menyertai projek yang dianjurkan, manakala baki golongan miskin tegar kedua melibatkan orang Melayu di Pusat Penempatan Tanjung Batu di Batu 8 yang bakal menghuni perumahan baru.

Rumah tiga bilik tersebut dibina dengan nilai RM35, 000 dan kini 100 unit sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar yang akan turut menempatkan kemudahan lain seperti pusat latihan , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain.

Menurut Ketua Bahagian Pertanian dan Sosial, KLL Projects Sdn. Bhd., Rosemadi Hussain, pihaknya sebagai pembangun prasarana projek sedang bertungkus lumus menyiapkan semua yang dirancangkan termasuk kandang atau APU dan rumah penempatan di Batu 8 melibatkan kos RM6.8 juta.

"Setiap kandang biri-biri sebagai contoh, berkeluasan 9 meter x 18 meter daripada besi tahan karat dan direka bentuk untuk memuatkan maksimum 150 ekor kambing biri-biri,'' katanya.

Kemudahan lain termasuk sistem tangki air mengikut keperluan ternakan dan prasarana asas kawasan APU. - LAUPA JUNUS

Related Posts with Thumbnails