Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 
Showing posts with label teknologi. Show all posts
Showing posts with label teknologi. Show all posts

Thursday, March 4, 2010

Otosil MARDI hasilkan makanan ternakan


Otosil memenangi Anugerah Inovasi Negara 2009 bagi kategori Industri.


Selain penyakit, antara masalah utama dalam industri penternakan haiwan ruminan ialah makanan.

Ini kerana, peningkatan harga makanan haiwan amat membebankan pengusaha memandangkan bahan mentahnya diimport.

Sehubungan itu, sumber makanan haiwan perlu dipelbagaikan supaya industri ternakan ruminan tempatan tidak terlalu bergantung kepada produk import.

Antara sumber tempatan yang boleh dijadikan makanan alternatif atau sekurang-kurangnya sebagai tambahan yang sedia ada ialah daun atau pelepah kelapa sawit.

Penggunaan produk mentah lain seperti jerami melibatkan 1.2 juta tan, jagung 750 tan setahun sedangkan sumber sawit boleh diperoleh daripada empat juta hektar tanaman tersebut di negara ini.

Penggunaan pelet daripada daun sawit pula melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan kilang untuk menghasilkan makanan tersebut.

Ketika ini, ramai pengusaha atau penternak haiwan ternakan ruminan menggunakan daun sawit atau rumput Napier sebagai bahan makanan mentah daripada sumber domestik untuk menghasilkan silaj.

Silaj merupakan bahan makanan ternakan ruminan yang dihasilkan menerusi proses fermentasi anerobik ke atas bahan foder atau sisa pertanian.

Rumput atau daun sawit perlu diracik atau dipotong terlebih dahulu sebelum diperam dipijak dalam tong bersama mikrob tertentu.

Kaedah tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai, memakan masa serta kualiti yang rendah.

Sehubungan itu, bagi membantu pengeluaran silaj makanan tersebut, seorang penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Ghazali Hussin berjaya membangunkan mesin berteknologi tinggi dinamakan Otosil yang kos efektif.

Menurut Ghazali, Otosil ialah mesin pengeluar silaj yang mampu memproses silaj dari bahan foder seperti rumput, sekoi dan sebagainya dan juga bahan sisa pertanian seperti batang jagung, jerami padi dan pelepah kelapa sawit dengan cekap.

Otosil merupakan mesin yang mempunyai keistimewaan antaranya pengeluaran silaj lebih lebih cekap berbanding dengan kaedah manual.

"Dengan kaedah manual, bahan tanaman yang ingin diproses terpaksa dimasukkan ke dalam tong dan dipadatkan secara manual.

"Oleh yang demikian, pengeluaran silaj dengan menggunakan Otosil boleh menjimatkan masa dan kos.

"Otosil merupakan mesin pengeluaran silaj yang pertama dicipta di Malaysia dan juga di dunia yang berasaskan penggunaan tong plastik,'' kata beliau.

Mesin tersebut katanya, boleh digunakan sama ada di kilang atau di ladang.

Ia boleh beroperasi dengan menggunakan kuasa elektrik atau kuasa enjin dan boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah kerana ia dilengkapi roda.

Mesin Otosil mampu menjana sumber pendapatan baru kepada usahawan. pertanian.

Menurut Ghazali, Malaysia kaya dengan sumber sisa pertanian yang selama ini tidak digunakan. Dengan Otosil, sisa pertanian itu boleh diproses kepada silaj untuk makanan ternakan.

Justeru mesin berkenaan secara tidak langsung boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dimana sebelum ini bahan sisa pertanian seperti batang jagung dan jerami padi dibakar selepas hasilnya dituai.

Beliau menjelaskan, masalah utama yang dihadapi oleh industri ternakan negara ialah kekurangan makanan.

Oleh itu negara masih mengimport bahan mentah untuk makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Pada tahun ini disasarkan pengeluaran daging negara sekitar 28 peratus daripada keperluan negara.

Pada masa sama, Malaysia mempunyai banyak sumber terbuang yang sangat berpotensi untuk digunakan sebagai makanan ternakan.

Katanya,, teknologi yang ada tidak cekap untuk menghasilkan silaj yang bermutu bagi memenuhi keperluan industri ternakan.

"Atas alasan ini maka saya berfikir untuk mencipta sebuah mesin yang mampu menghasilkan silaj dengan cekap dan akhirnya Otosil dicipta," jelasnya.

Beliau berkata, Otosil kini diberi lesen oleh MARDI kepada Choon Heng Engineering and Co. untuk dikeluarkan secara komersial.

Ia dibina dari bahan besi tahan karat dan di bahagian tertentu dibina daripada keluli tahan karat bagi mencegah karat.

Di samping itu, ia juga dilengkapi dengan alat penyuntik atau penyembur bahan aditif serta inokulan bakteria.

Penyelidikan untuk membangunkan teknologi ini bermula pada tahun 2005 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20,000.

Harga mesin ini ialah RM32,835 yang menggunakan kuasa elektrik manakala mesin yang menggunakan kuasa enjin, harganya melebihi RM38,000.

Bagi pengusaha ternakan atau bakal usahawan yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan silaj, Otosil boleh ditempah.

Beliau menyasarkan pengguna Otosil kepada penternak komersial, sama ada penternak kambing atau lembu yang mempunyai ternakan yang melebehi 50 ekor.

Selain penternak, Otosil juga boleh digunakan oleh usahawan iaitu khusus untuk menghasilkan silaj untuk dijual kepada penternak.

Perusahaan ini boleh dijalankan di kawasan pengeluaran jagung utama serta kawasan perladangan kelapa sawit dalam negara supaya bahan mentah senang diperolehi.

Selain dari kawasan pengeluaran jagung, kawasan pengeluaran padi utama negara seperti negeri Kedah, Kelantan dan Perak adalah kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan industri ini.

Katanya, teknologi Otosil tidak akan berakhir di sini, sebaliknya akan mengembangkan teknologi tersebut pada masa akan datang.

"Saya mempunyai perancangan yang lebih jauh bagi menjayakan industri ternakan negara.

"Teknologi Otosil akan diberi tambah nilai dari semasa kesemasa supaya ia dapat memenuhi kehendaki semua peringkat penternak dan usahawan ternakan di Malaysia.

"Saya berhasrat supaya Otosil digunakan bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara lain pada masa akan datang,'' katanya.

Kejayaan beliau menghasilkan Otosil bukanlah yang pertama dalam kerjayanya sebagai penyelidik.

Pada tahun 2000, Ghazali berjaya mencipta mesin pemampat silaj iaitu Silager. Silager adalah mesin silaj pertama yang dihasilkan beliau tetapi ia tidak mempunyai alat pemotong serta penyembur inokulan.

Di samping itu, Ghazali juga telah berjaya menghasilkan rumput pastura mutan iaitu Brachiaria decumbens atau dikenali sebagai Kluang Comel dengan kaedah mutagenesis.

Rumput mutan ini telah diisytiharkan pada tahun 2003 sempena Hari Flora di Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (kini Agensi Nuklear Malaysia).

Mereka yang berminat dengan mesin Otosil boleh menghubungi beliau di 019-7544226 atau silagergbh@yahoo.co.uk / gbh@mardi.gov.my

Sumber:Utusan Malaysia

Sunday, November 29, 2009

Johor: Insentif bantu usahawan tani kuasai teknologi moden

KERAJAAN Johor melalui jabatan dan agensinya menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan selain membantu pengusaha pertanian menguasai teknologi canggih dalam membangunkan sektor pertanian di negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata antara insentif diberikan dalam bentuk bantuan termasuk pembersihan kawasan untuk menyediakan ladang dan infrastrukturnya selain khidmat nasihat dan bimbingan oleh pegawai di peringkat daerah.

Katanya, kerajaan negeri juga turut melaksanakan program berbentuk penguasaan kemahiran teknologi maklumat melalui kursus di Pusat Latihan Pertanian dan menerusi sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP).



"Pihak kerajaan sentiasa menggalakkan peladang dan usahawan untuk terus memajukan bidang usaha mereka dan kerana itu insentif yang diberikan adalah berbentuk bantuan termasuk menyediakan ladang dan infrastruktur seperti jalan dan parit, baja, racun makhluk perosak dan pagar kawasan.

"Malah, mulai tahun lalu juga kerajaan Persekutuan ada menyalurkan bantuan intensif bagi menggalakkan pengeluaran tanaman makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran masing-masing pada kadar RM0.78 per kilogram dan RM0.81 per kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Tan Cher Puk (BN-Johor Jaya) berkaitan bantuan dan subsidi diberikan kerajaan dalam membantu sektor pertanian selain cara kerajaan membantu pengusaha pertanian menguasai teknologi canggih di sini, semalam.

Aziz berkata, antara tanaman diusahakan peladang dan usahawan di negeri ini dibahagikan kepada kategori mengikut keutamaan iaitu tanaman industri, makanan, herba dan rempah serta tanaman bunga-bungaan.

Katanya, keluasan tanaman industri utama di negeri ini pada 2007 termasuk kelapa sawit sebanyak 1,088,371 hektar, getah (129,329 hektar), padi (2,330 hektar), kopi (1,718 hektar) dan koko (475 hektar).

"Bagi tanaman buah-buahan pula adalah sebanyak 61,066 hektar meliputi tanaman durian, nanas, pisang, duku, langsat, dokong, rambutan, tembikai, pulasan, nangka, jambu batu dan betik, manakala tanaman sayur-sayuran pula berkeluasan 2,777 hektar bagi jenis buah, 9,354 hektar bagi jenis daun dan 98 hektar bagi jenis umbisi.

"Selain itu, keluasan tanaman kontan pula adalah 4,239 hektar selain tanaman rempah dan herba iaitu 2,313 hektar," katanya
Sumber:Berita Harian

Wednesday, November 11, 2009

Perisian khas urus ladang kambing


Othman mohammad menunjukkan pangkalan data yang diusahakan untuk kemudahan penternak kambing dan biri-biri seluruh negara.


MENTERNAK 10, 20 atau 30 ekor kambing mungkin mudah untuk dikendalikan oleh penternak secara kecil-kecilan.

Tetapi bagaimana pula jika ternakan anda mencecah ratusan atau ribuan ekor seperti yang terdapat di sebuah ladang ternakan seperti Agropolitan di Pekan, Pahang.

Mengendalikan haiwan ternakan yang banyak memerlukan satu sistem pengurusan data yang mudah diuruskan apabila diperlukan.

Bagi mengurangkan masalah pengurusan ternakan kambing, Othman Mohammad membina pangkalan data khusus untuk pengurusan kambing.

Berbekalkan pengalaman menternak kambing, Othman dengan bantuan anak-anaknya yang bekerja dalam bidang pengkomputeran membina pangkalan data bagi ternakan kambing.

"Bukan mudah membina satu pangkalan data yang lengkap dengan pelbagai maklumat mengenai kandang, setiap individu kambing dengan sejarah perubatan dan nenek moyangnya.

"Semuanya saya usahakan di sini dalam satu pangkalan data yang lengkap," katanya semasa ditemui di ibu pejabat Major Transglobal Sdn Bhd (MTG) di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Othman berkata, idea menghasilkan pangkalan data kambing wujud selepas menghadiri lebih lapan kursus ternakan kambing di seluruh negara.

Walaupun banyak kursus yang dihadiri, tiada satu kursus yang memberi penekanan kepada penyimpanan data secara sistematik dan mudah digunakan.

"Selama ini saya melihat penternak menggunakan perisian Excel untuk menyimpan data ternakan mereka," katanya.

Buat masa ini perisian berkenaan digunakan di Projek Ternakan Dorper di Pekan, Pahang di bawah seliaan Mohd Sufian Mohd Mustafa.

"Menggunakan perisian berkenaan, tugas menguruskan ternakan di sebuah projek besar seperti di Pekan amat mudah dan teratur," kata Mohd Sufian.

Sementara itu perisian berkenaan, jelas Othman, amat mudah digunakan bermula dengan pengambilan data apabila kumpulan pertama tiba.

Setiap biri-biri akan diberikan nombor pengenalan sebelum diletakkan di dalam kandang dan setiap petak yang disediakan.

"Setiap ekor ternakan akan direkodkan nombor pengenalan, kandang dan petak selain jantina, warna, tarikh lahir, berat badan dan harga.

"Selain itu terdapat juga pengenalan induk jika biri-biri berkenaan adalah baka tulen selain gambar," katanya.

Bagi memudahkan penternak, perisian berkenaan juga dilengkapkan dengan bunyi amaran apabila ternakan perlu diberikan ubatan secara berkala.

Apa yang lebih menarik lagi setiap sejarah individu ternakan boleh diambil dengan mudah dengan hanya satu klik.

Othman berkata, jika haiwan ternakan dipindahkan dari kandang ke kandang lain, pergerakan ternakan tadi dapat dipantau dengan mudah.

"Dalam perisian ini juga tercatat segala sejarah haiwan ternakan yang dipelihara dari mula sampai ke ladang sehingga disembelih, dijual atau mati.

"Perisian ini juga dapat menganalisis data yang dikumpulkan bagi tujuan Indeks Prestasi Utama (KPI)," jelas Othman.

Ini membolehkan pihak terbabit seperti agensi kewangan atau agensi kerajaan melihat prestasi sesebuah ladang.

Apa yang jelas, semuanya boleh dilihat dengan mudah menggunakan perisian hasil buah tangan Othman.

Bertanya mengenai perancangan masa depan Othman merancang untuk membina perisian untuk kambing serta lembu.

"Bukan mudah untuk membina perisian untuk ternakan lain seperti lembu kerana ini memerlukan pengalaman dari segi biologi ternakan.

"Pembangun perisian juga perlu 'dekat' dengan haiwan ternakan bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan oleh haiwan terpilih," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perisian berkenaan boleh menghubungi Othman di 017 3790543 atau Mohd Sufian Mohd Mustafa di 017- 8725716.

Sumber:Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails