Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 29, 2008

Berbakti kepada tanah beri hasil lumayan- utusan online

Konsep 'integrated farming" menjimatkan....

BATU PAHAT 28 April 2008
- Berbakti kepada tanah memang tidak pernah merugikan pengusahanya malah mampu memberi hasil lumayan.

Berpegang kepada keyakinan itu, Abdul Khalid Baba, 46, menceburi bidang tersebut secara serius lebih 10 tahun lalu dengan usaha menanam kelapa sawit.

Beliau kemudiannya meningkatkan lagi usahanya dalam bidang itu apabila menyelenggara dan menurunkan buah kelapa sawit milik sebuah ladang di Kluang.Menurut petani gigih itu, usaha itu berjaya dan semakin berkembang dan kini beliau mempunyai seramai 19 pekerja yang kesemuanya buruh dari Indonesia.Katanya, hasil keuntungan yang dikumpul daripada usaha tersebut telah dikembangkan pula dengan menceburi penanaman buah naga di tanah seluas tiga hektar di Kampung Chamek kira-kira tiga tahun lalu.

"Bermula 2 Februari tahun lalu pula saya meluaskan lagi kegiatan dengan menternak kambing Boer yang kini berjumlah 86 ekor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, ladang buah naga tersebut diusahakan dengan modal asal berjumlah RM15,000 untuk setiap 0.6 hektar dan ladang itu kini mampu mengeluarkan hasil sebanyak 800 kilogram hingga satu tan sebulan. Katanya, dengan harga di ladang sekitar RM2.45 sekilogram, ladang itu mampu memberikan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan bagi setiap sehektar. "Sementara ternakan kambing yang diusahakan di ladang buah naga pula setakat ini baru sahaja bermula dan belum lagi di peringkat menjual benih atau daging," katanya.

Abdul Khalid memberitahu, ternakan kambingnya kini lebih berfungsi sebagai 'mesin pelupus' kerana daun-daun buah naga yang tidak berfungsi mengeluarkan hasil akan dicincang-cincang menjadi makanan kambing. Beliau berkata, hasilnya kambing-kambing miliknya mampu menghasilkan baja organik daripada najis haiwan itu sekitar 100 kilogram sehari atau tiga tan sebulan.

Katanya, dengan jumlah itu jika ia diproses sebagai baja organik ia mampu menghasilkan pendapatan berjumlah RM24,000 sebulan. "Bagaimanapun, setakat ini najis-najis kambing digunakan sendiri untuk membaja pokok-pokok buah naga dan dengan sendirinya ia dapat menjimatkan kos pengeluaran," ujarnya.

Abdul Khalid yang pernah menyertai kursus pertanian secara intensif di Pusat Latihan Pertanian Ayer Hitam berkata, salah satu rahsia kejayaannya ialah kerana menggunakan kaedah Efektif Mikroorganisma (EM) sejak awal usahanya.Beliau berkata, kaedah itu dapat menjimatkan kos input ladang dan peningkatan hasil sekitar 20 peratus.

"Tanpa EM ini rasanya saya tidak akan tahan berada di tengah-tengah ladang dan kandang kambing kerana kaedah ini mampu menyediakan persekitaran yang bersih dan nyaman," katanya.

Malah, Abdul Khalid menganggap ladang itu sebagai tempat beliau menghiburkan hati selepas penat menjalankan peniagaan menyelenggara dan mengambil buah kelapa sawit di kawasan berdekatan.

Related Posts with Thumbnails