Pengerusi PPK Bernam Jaya, Bani Sidek berkata, nangka madu sedang dilaksanakan di bawah PPK Bernam Jaya dan ia boleh dijadikan sumber pendapatan tetap kepada semua peserta.
“Jika PPK lain boleh menjalankan projek nangka madu, mengapa kita tidak. Jika gagal jangan salahkan orang lain sebalik- nya salahkan diri sendiri kerana malas berusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke projek Pembangunan Manusia Asas Komoditi (PMAK) Tanaman Nangka Madu Mastura CJ.USM - 2000 di Unit Peladang Kampung Tempinis, PPK Kerandang.
Katanya, lawatan yang diadakan dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan yang bernilai kepada peserta berhubung projek nangka madu Mastura.
“Sambil kita berjalan, kita timba ilmu pengetahuan dan bawa pulang ke tempat kita.
“Kita juga mengalu-alukan PPK Kerandang datang ke tempat kita untuk melihat projek yang kita jalankan seperti projek ternakan ayam ‘aircond’ dan sebagainya,” katanya.
Difahamkan, hasil daripada tanaman nangka ini, peserta mendapat beberapa faedah iaitu hasil daripada jualan buah, buah rosak diproses menjadi halwa, jus, jem dan lain-lain serta biji nangka disemai menjadi anak benih untuk jualan kepada peserta baru.
Kumpul germ-plasma nangka seluruh Asia Tenggara
Sejak 1980-an Syarikat Swasta Inter Crytal Agritech melakukan usaha untuk mengkomersialkan tanaman nangka dengan mengumpul germ-plasma nangka dari seluruh rantau Asia Tenggara.
Syarikat berkenaan berjaya mengumpulkan lebih daripada 300 sampel dan setiap satu dinamakan CJ1 hingga CJ6 sebelum ditanam. Enam daripadanya dipilih dan kebanyakan sampel yang dipilih berasal dari Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai nangka madu.
Pada awal 90-an, beberapa kacukan dibuat menggunakan kultivar CJ yang terpilih sebagai induk dan dari kacukan itu, beberapa kutivar baru dihasilkan termasuklah kultivar CJ-USM 2000 (Nangka Madu Mastura).
Pengurus Besar PPK Kerandang, Zakaria Ibrahim berkata, Hybric nangka madu Mastura ini mengeluarkan hasil sekitar 18 bulan setelah ditanam berbanding 30 hingga 36 bulan bagi kultivar lain dan jangka hayat ekonominya dianggarkan sekitar 20 tahun.
“Saiz buahnya juga lebih besar berbanding kultivar yang ada. Berat purata kultivar biasa 15 hingga 19 kilogram (kg) manakala berat nangka madu Mastura ini sekitar 15 hingga 25 kg dan pengurusan yang baik boleh memberikan berat melebihi 40 kg sebiji apabila matang.
“Ia adalah tanaman tidak bermusim dan pendapatan disebar sama rata setiap bulan sepanjang tahun sekitar RM3,000 bagi pokok melebihi tiga tahun,” katanya.
Menurutnya, dengan andaian boleh ditanam 100 pokok seluas 0.4 hektar (seekar) dengan jarak tanaman 20’ X 20’ dan penghasilan dua biji sebulan dengan berat 15 kg sebiji dan harga juala di ladang RM1 per kg. Pendapatan kasar seekar sebulan dianggarkan RM3,000 atau RM36,000 setahun.
Pada hakikatnya, katanya, nangka boleh menghasilkan lebih dari dua biji sebulan dan mencapai hingga 40 kg sebiji manakala kos senggaraan sekitar RM10,000 hingga RM12,000 setahun.
Pokok bertindak balas dengan baik menerusi sistem pemangkasan yang disyorkan dan pokok kecil membantu dalam pengurusan pengendalian dan penuaian buah, saiz dan bilangan buah sebulan dan kawalan penyakit dan makhluk perosak. Pokok di kawal ke paras lebih kurang 15 kaki dan dahan yang menghasilkan buah tidak melebihi lapan biji.
Sumber:Sinar Harian