Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 11, 2013

Hidangan ala Thai, Cina

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Jika ikutkan hati, mahu saja penulis turun ke dalam kolam untuk turut sama dua pekerja dari Timor Leste menjaring udang galah atau lebih dikenali kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pak Janggut’.
Gelagat dua pekerja terbabit menolak jaring hingga ke tepi kolam membuatkan penulis tidak sabar ingin tahu lebih lanjut hasil tangkapan yang akan didaratkan mereka.
Hampir sejam mereka menarik jaring dan akhirnya udang galah bersepit biru ditangkap satu persatu untuk diasingkan ke dalam sebuah raga.

Ibarat tidak menang tangan kedua-duanya memasukkan udang galah ke dalam bekas khas, sambil diperhatikan majikannya, Low Chong Ming, 49.
FotoDUA pembantu perikanan Bahagian Akuatik, Jabatan Perikanan, Hamizah Mohamad, 25, (kiri) bersama rakannya Cenderawati Gohuk, 24, memegang udang galah.

Keadaan sunyi sepi kawasan sekeliling tiba-tiba bertukar gelak tawa, apabila nama vokalis band Peterpan, Ariel menjadi sebutan.

Tidak pasti mengapa tiba-tiba nama itu disebut, tapi ia memudahkan jurugambar memanggil pekerja terbabit bagi merakamkan gambar dikehendaki dalam pelbagai posisi.

Udang galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii adalah haiwan tergolong dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora.

Haiwan terbabit hidup di persekitaran air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran dan tasik.

Udang galah liar banyak terdapat di sungai negara ini dan teknik menjinakkan Pak Janggut gergasi menggunakan umpan perumpun (umpun-umpun).

Jika kena pada seleranya, umpan segar dibeli daripada pembekal tempatan berjaya menumpaskan udang galah yang tersohor dengan kemanisan isi dan kelazatan khasiatnya.

Tidak semua tempat di sungai dihuni spesies udang galah, malah ia bergantung kepada musim, selain kesesuaian lubuk.

Musim terbaik memancing udang galah selepas banjir kerana ketika itu udang kelaparan. Pendek kata campak saja umpan, pasti udang galah menjadi habuan.

Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Zakaria Saleh berkata, Projek Ternakan Udang Galah Kampung Ulu Sepri, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dibangunkan menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Yang Berhormat (YB) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Antara objektifnya membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui Projek Penternakan Udang Galah serta membantu mengeluarkan peserta e-Kasih daripada berada di garis kemiskinan.

“Ia juga bagi membangunkan kawasan tanah terbiar di bawah Program Pemulihan Tanah Terbiar yang menjadi misi utama kerajaan Negeri Sembilan dan mewujudkan satu projek akuakultur melalui ternakan udang galah secara komersial,” katanya.

Menurutnya, keuntungan projek itu akan dinikmati 40 peserta dari Parlimen Jelebu, manakala 20 orang dari Parlimen Rembau.

“Pada masa sama, projek itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar udang galah terbesar di negara ini,” katanya.

Menurutnya projek itu mula mengeluarkan hasil sejak 28 Oktober 2010 dan berterusan secara berperingkat-peringkat.

“Sehingga Disember 2012, sebanyak 12,144 kilogram undang galah dengan nilai RM522,000 sudah dihasilkan.

“Udang galah ini dipasarkan dalam dan luar negeri seperti kawasan sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Singapura,” katanya.

Zakaria berkata, YHL Aquaculture yang berpengalaman mengusahakan projek penternakan udang galah hampir 12 tahun diberi kepercayaan untuk menjayakan projek KPI.

“Syarikat ini adalah peneraju dalam penternakan udang galah. Mereka juga mempunyai beberapa projek penternakan udang galah di Rembau, Kuala Pilah dan Senayan.

“Hasil jualan projek ini diagihkan kepada peserta e-Kasih kalangan warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU) dengan setiap mereka menerima pendapatan bulanan sebanyak RM350. Bayaran dilakukan bermula Oktober 2010,” katanya.

Udang galah yang diternak di kolam berkenaan menerima permintaan daripada penternak kolam memancing udang galah di Johor Bharu dan Singapura.

“Syarikat menjual sebahagian udang galah untuk kolam memancing dalam bentuk jualan udang hidup dan dijual RM48 hingga RM50 sekilogram (purata 30 ekor bagi setiap kilogram),” katanya.

Beliau berkata, anggaran hasil diperoleh pada 2010 sebanyak 1,042 kilogram dengan nilai RM44,800, 2011 sebanyak 6,500 kilogram (RM280,000) dan tahun lalu 4,500 kilogram (RM193,000).

“Namun, kami dapati terdapat tren penurunan dari segi pengeluaran udang galah dan sedang mengenal pasti puncanya berdasarkan kajian dilakukan di kolam itu.

“Projek ini pun sudah menjangkau tiga tahun dan kemungkinan kualiti tanahnya menurun. Sebahagian benih diperoleh dari Setiawan, Perak serta Kampung Acheh dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, projek penternakan udang galah dilaksanakan di tanah milik Yayasan Negeri Sembilan seluas 10 hektar dengan kadar sewa RM12,500 setahun.

“Jabatan Perikanan pula membantu dari aspek penyediaan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan 16 kolam, bekalan elektrik, roda pengayuh bagi membekalkan oksigen, modal pusingan benih dan makanan udang.

“Laluan memasuki jalan ke projek penternakan udang galah ini juga sudah dibaiki bagi memudahkan hasil tuaian dipasarkan kepada pelanggan,” katanya.

Mengulas teknik pengairan kawasan kolam katanya, ia agak unik kerana menggunakan sumber air gunung dari dua empangan di kawasan berhampiran.

“Dalam penternakan udang galah ini kualiti air perlu dijaga, selain alat roda pengayuh bagi membekalkan sumber oksigen. Bekalan oksigen akan dibuka pada waktu malam kerana ia berkurangan ketika itu.

“Kolam asuh akan menempatkan anak udang galah untuk diternak dalam tempoh dua bulan sebelum ditangkap semula dan dipindahkan ke kolam ternakan,” katanya.

Setiap kolam akan menempatkan sekitar 40,000 hingga 45,000 udang galah dengan agihan setiap satu meter persegi membabitkan 14 ekor.

“Anak udang galah akan diberikan makan empat kali sehari, manakala yang bersaiz besar dua kali sehari.

“Bekalan anak benih diperoleh dari hatcheri swasta di Manjung, Perak; Pulau Pinang dan Alor Setar,” katanya.
Sumber:harian metro

Monday, June 3, 2013

Bank simpanan air mani haiwan

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Suasana Pusat Embrio Haiwan Negara (NAEC), Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kluang, Johor, tidak seperti hari-hari biasa.
Kehadiran pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Belitong, Kluang, bersama guru memecah kesunyian pagi.
Gelagat Mohd Adam Syariff, 15, antara yang menarik perhatian penulis dan kakitangan NAEC kerana ‘fobia’ kepada kambing.

Bagi pengurusan sekolah, lawatan itu memberi banyak manfaat kepada pelajar istimewa kerana ia membuka peluang kepada mereka yang mengikuti Program Integrasi Pendidikan Khas.

FotoSPERMA yang dikumpulkan dalam tiub.

Lawatan itu mengisi minat pelajar istimewa itu untuk lebih berdikari selepas menamatkan sesi persekolahan.


Penulis bersama kumpulan pelajar istimewa itu bertuah kerana mendapat peluang melihat lebih dekat demonstrasi pungutan air mani di kandang kambing jantan.

Proses memungut air mani itu menggunakan induk Dorper betina dan jantan.

Seekor Dorper betina yang dijadikan ‘umpan’ diletak dalam rak pembiakan untuk merangsang seksual Dorper jantan.

Apabila kambing itu bersedia melakukan hubungan seksual, seorang pekerja am, Md Rizan Sulaiman menggunakan alat faraj tiruan untuk Dorper jantan.

Dalam tempoh tidak sampai seminit, Dorper jantan akan mengeluarkan air mani ke faraj tiruan sekali gus membolehkan bekalan air mani dikumpulkan dalam tiub.

Selepas sesi pertama selesai, Pembantu Penyelidik Kanan NAEC, Rozali Hashim menggred air mani menggunakan alat mikroskop.

Difahamkan air mani tidak boleh bercampur air biasa kerana itu menyebabkan sel mati dan membantutkan usaha mengumpul bahan berkenaan.

Penulis yang diberi peluang melihat sendiri air mani Dorper jantan mendapati sperma dihasilkan begitu aktif dengan keadaan fizikalnya seperti anak berudu sedang berenang.

Ketua NAEC, Dr Habsah Bidin berkata, pusat itu yang ditubuhkan pada 2008 membantu meningkatkan kualiti ternakan dan pengeluaran kambing dan lembu dalam negara.

“Selain pusat pembangunan teknologi, pusat itu menjadi pusat simpanan gen, ova, sperma dan embrio ternakan,” katanya.

Secara keseluruhannya, NAEC membangun teknologi pengeluaran embrio yang berkualiti tinggi secara in vivo dan in vitro menggunakan baka yang diimport dari luar negara.

“Kami juga membangunkan program latihan kepada penternak untuk mengaplikasikan bio teknologi pembiakan dan pengeluaran embrio,” katanya.

Dr Habsah berkata, aktiviti NAEC merangkumi pungutan semen dan embrio, proses krio awetan semen dan embrio, permanian beradas, pemindahan embrio, pengesanan kebuntingan dan persenyawaan secara in vitro, suntikan sperma ke dalam oosit (ICSI) dan pengklonan.

“NAEC adalah pusat simpanan bank gen dan embrio ternakan ruminan dan bukan ruminan serta spesies lain yang berpotensi termasuk Seladang,” katanya.

Pusat itu menyimpan sperma baka lembu Brakmas, biri-biri Dorper, kambing Boer, Savana, Kalahari dan Jamnapari untuk digunakan jika mendapat permintaan.

“Simpanan itu boleh bertahan untuk selama-lamanya selagi diletak di bawah suhu negatif 196,” katanya.

Katanya, penternak yang berminat mendapatkan perkhidmatan NAEC perlu mengemukakan surat permohonan kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik .

“Selepas mendapat kelulusan, kami akan melawat ke ladang bagi melihat pengurusan ladang.

“Lawatan itu membolehkan kami memeriksa saluran pembiakan dan mengesan kebuntingan ternakan,” katanya.

Sumber:harian metro :Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Jus sarang burung walet

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Usaha gigih dua beranak ini menerokai produk sarang burung walet berbaloi kerana jus kecergasan menggabungkan madu lebah kelulut dan air zamzam itu kini mendapat sambutan baik di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif G Ha Collocalia Sdn Bhd, Mahani Husin, berkata jus Collocalya itu dihasilkan bersama anak perempuannya, Asmahan Humaidi.
Beliau berkata, sarang burung walet mengandu­ngi khasiat yang baik kepada sistem imun tubuh, menambah tenaga, melancarkan perjalanan darah dan membaik pulih sistem pernafasan.

“Sarang burung walet mempunyai kolagen untuk awet muda, melancarkan fungsi paru-paru, membantu tumbesaran tubuh dan tulang, agen antioksida, memutih dan melicinkan muka.
FotoMAHANI (kiri) dan Asmahan bersama produk jus minuman kesihatan burung walet.

“Madu lebah kelulut baik untuk kesihatan tubuh dan nilai khasiatnya 10 kali ganda berbanding lebah biasa. Ia juga meningkatkan metabolisme tubuh, menambah tenaga batin dan merawati pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.

“Air zamzam memang air mineral terbaik di muka bumi untuk menyembuh­kan pelbagai penyakit,” katanya.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w bermaksud: ‘Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang me­nyegarkan dan penawar bagi segala penyakit’.

Jus kecergasan Collocalya melalui proses pe­ngilangan yang ketat de­ngan menerapkan syariat Islam, antaranya solat hajat pada Isnin dan Khamis sebelum bancuhan sarang burung walet dilakukan di kilang.

Beliau yang pernah mengikuti kursus setahun anjuran MARA pada 2011 mengakui gabungan sarang burung walet, madu dan air zamzam menjadi Collocalya produk minuman kecergasan terbaik.

Jus Collocalya menggunakan 70 peratus sarang burung walet dan bakinya madu lebah kelulut dan air zamzam.

Katanya, ilham menghasilkan jus sarang burung walet itu bagi membekalkan tenaga dalaman kepada pengguna.

“Kami mengamalkan meminum jus burung walet sejak turun-temurun. Kemalapan industri sarang burung walet yang diusahakan keluarga menyebab­kan kami tiada pilihan lain, selain menggunakan sendiri sarang itu.

“Tidak sangka tabiat meminum air sarang burung walet dua kali sehari menjadikan kami sihat dan bertenaga,” katanya yang berasal dari Pulai Chondong, Kelantan.

Sejak mengeluarkan produk itu, beliau menerima banyak maklum balas positif orang ramai.

“Ada pelanggan menghubungi kami memberitahu sejak mengamal­kan minuman jus Collocalya, kesihatan mereka lebih baik dan penyakit dihadapi sembuh.

“Saya amat gembira kerana usaha membantu orang ramai mendapat kesihatan yang baik diberkati Allah,” katanya.

Mahani yang senang dipanggil Kak Ani berkata, jus Collocalya menggunakan sarang burung walet pantai gred A.

“Dalam sebulan, 12 kilogram sarang burung walet dikeluarkan dari perumah burung.

“Collocalya dikeluarkan syarikat bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) di Halal Park, Peng­kalan Chepa, Kelantan,” katanya.

Terdapat dua perisa jus minuman Collocalya iaitu perisa ‘vanilla’ dan ‘cappucino’ pada harga RM195 bagi kandungan 400 mililiter (ml).

“Harganya amat berpatutan dengan nilai kesihatan serta ketulenan sarang burung walet dalam setiap botol.

“Cuba dan rasa sendiri khasiatnya malah kajian mendapati jus ini sebagai agen anti penuaan dan memutihkan kulit,” katanya.

Selain pasaran tempatan, produk itu menembusi negara Vietnam, Singapura, Thailand dan Brunei, kini mengintai peluang di Korea, Jepun dan Timur Tengah.

“Terbaru, kami dijemput ke ekspo di Korea Selatan pada 27 hingga 31 Mei ini dan menyertai rombo­ngan perdagangan MARA ke Jepun, bulan depan.

“Kami mensasarkan jualan 10,000 botol tahun ini dan masih memerlukan ramai pengedar di seluruh negara,” katanya.

Beliau memberi penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan MARA yang banyak membantu syarikat itu.

Hubungi talian Khidmat Pelanggan (Careline) Kuala Lumpur: 03-7887 9616, 012-333 1642, 012- 672 2074, 012-9135476, 019-313 7388, 012-3480856 atau layari www.facebook.com/collocalya.gbe untuk maklumat lanjut.

Orang ramai yang mahu mendapatkan jus Collocalya boleh me­ngunjungi Ekspo Keusahawanan MARA di kompleks beli- belah AEON, Bukit Raja, Kelang bermula hari ini hingga 2 Jun.
Sumber:harian Metro online
Related Posts with Thumbnails