Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, July 24, 2014

Bisnes rock melon

SETIAP rumah hijau mampu memuatkan sehingga tiga ribu pokok rock melon.

PENANAMAN rock melon menggunakan kaedah fertigasi bukanlah perkara baru dalam kalangan petani ketika ini.

Malah, teknologi tersebut sudah menjadi aplikasi yang lazim dan semakin mendapat sambutan memberangsangkan berikutan kelebihannya yang mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.

Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan atau proses pendebungaan.

Yakin konsep tersebut dapat memberi keuntungan kepada pendapatan keluarga, Muhammad Sidek Osman, 36, bertekad melepaskan jawatan dalam syarikat telekomunikasi swasta dan berhijrah kepada bidang penanaman fertigasi rock melon.

Menceritakan pengalaman pertama mengusahakan fertigasi rock melon, anak jati negeri Selangor itu memulakan projek tersebut awal Januari lalu.

“Saya bersama dua orang rakan kongsi mengeluarkan modal kira-kira RM300,000 untuk menyediakan tiga buah rumah hijau, kemudahan berkaitan teknologi fertigasi bagi melancarkan operasi rumah tersebut.

“Kami mengusahakannya di atas tanah seluas 1.5 ekar yang terletak di kawasan Jenjarom. Setiap satu rumah hijau mampu memuatkan sehingga tiga ribu pokok rock melon," katanya ketika ditemui di ladang fertigasi rock melon di Banting baru-baru ini.

Ditanya mengapa memilih rock melon sebagai sumber pendapatan, Muhammad Sidek memberitahu, minatnya terhadap buah tersebut timbul selepas menyertai program usahawan bimbingan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tahun lalu.

Bermula daripada program tersebut, dia bersama Saiful Asyraf Md. Ihsan dan Mohd. Muniff Norulazmi menubuhkan syarikat bagi menggerakkan projek tersebut.

Syarikat berkenaan, KMS Agronomi Sdn.Bhd akan berfungsi sebagai` jentera’ bagi memastikan tanaman rock melon yang diusahakan mampu memberi pulangan selain menjadi tulang belakang kepada pengurusan jual beli hasil dan sebagainya.

Tambah Muhammad Sidek, buah di setiap rumah hijau akan dituai sekali sebulan secara berperingkat sekali gus memberikan hasil berterusan setiap tiga bulan berturut-turut.

Membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour pada setiap rumah hijau, buah tersebut mampu mengeluarkan hasil purata sehingga 1.6 tan pada setiap kali tuaian.

“Daripada jumlah tersebut, ia mampu menghasilkan pendapatan hasil kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sekali tuai dan jumlah tersebut sudah cukup membanggakan kami.

“Oleh itu, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru memulakan bidang pertanian kerana dengan kesungguhan, petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperoleh.

“Asas prinsip seperti itu penting dan paling utama, kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik," ujarnya.

Berkongsi mengenai cara pendebungaan benih Glamour, bapa kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu mereka menyerahkan ‘tugas’ tersebut kepada lebah madu berikutan kapasiti pokok yang banyak pasti melambatkan proses pendebungaan jika dilakukan secara manual.

Lebah yang ditempatkan di dalam rumah hijau dijadikan sebagai agen pendebungaan kerana haiwan tersebut mampu menyebarkan benih pokok serta mengahwinkan bunga jantan dan betina.

Selain lebah madu, kelulut juga boleh dijadikan sebagai agen pendebungaan benih namun kos yang harus ditanggung oleh petani mungkin berlainan dan sedikit mahal kerana kelulut telah sedia maklum agak sukar untuk diperoleh.

Menurut Muhammad Sidek, ‘perkhidmatan’ lebah madu lebih berkesan berbanding kelulut kerana serangga tersebut terbang lebih pantas namun masih tetap merbahaya dengan sengatannya jika dibandingkan dengan kelulut yang tidak menyengat.

Melihat alternatif berkenaan mampu memudahkan proses pendebungaan, Muhammad Sidek turut merancang untuk menjadi penternak lebah madu dalam usaha membantu dan menggalakkan petani rock melon lain menggunakan kaedah pendebungaan yang sama.

“Saya ada berbincang dan memberi cadangan kepada pihak MARDI untuk turut sama menjadi penternak lebah supaya petani lain boleh memanfaatkan cara ini.

“Dalam masa sama cara tersebut boleh dimanfaatkan sebagai pendapatan tambahan para petani dalam menyokong projek fertigasi rock melon yang diusahakan," katanya. - NOOR DIANA AZIS


Sumber Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140714/ag_01/Bisnes-rock-melon#ixzz38N1FzjBg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tyzo bangga dibimbing TPM Biotech

DR. Mohd. Faizal Wahidin (kiri) dan Tuah Zoqarnain berbincang sesuatu dengan Ahmad Husni Johari.

Perkembangan industri herba kini semakin rancak berdasarkan kemunculan banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) dan menghasilkan pelbagai produk di pasaran.

Pencapaian tersebut didorong oleh beberapa faktor antaranya Malaysia memiliki khazanah herba yang kaya yang boleh dimanipulasikan, permintaan hasilan herba dalam bentuk makanan kesihatan sentiasa mendapat permintaan dan persekitaran industri yang kondusif .

Persekitaran industri yang kondusif menurut kebanyakan pengusaha atau pemilik syarikat antara faktor yang sangat penting membolehkan mereka bergerak untuk mencapai impian sebagai usahawan berjaya.
Apatah lagi model pembangunan usahawan berasaskan bioteknologi herba yang diperkenalkan oleh agensi tertentu dengan cadangan serta bimbingan serta kemudahan yang ditawarkan benar-benar memberikan mereka harapan besar menjadi usahawan herba.

Oleh itu, peluang yang ditawarkan oleh TPM Biotech Sdn. Bhd. sebagai contoh dalam membangunkan usahawan herba wajar direbut oleh mereka yang bersedia menerima cadangan dan pandangan serta bimbingan bagi memajukan perniagaan.

TPM Biotech, anak syarikat Technology Park Malaysia (TPM) sejak penubuhannya pada 2006 telah menjadi pilihan 500 usahawan herba yang mendapat bimbingan dan kemudahan daripada dua pusat yang dimiliki di Perlis dan Raub Pahang yang menghasilkan kira-kira ratusan produk.

Satu daripada syarikat yang telah menapak dalam memajukan industri herba ialah Tyzo Sdn. Bhd. yang beroperasi di Lembah Klang dan telah dua tahun membangunkan produk berasaskan buah tunjuk langit.
Pengarah Urusannya, Tuah Zoqarnain Idris berkata, pihaknya memilih buah tunjuk langit kerana percaya khasiatnya yang banyak dan dipercayai dapat membantu dalam penjagaan kesihatan, Kebetulan kata beliau, produk yang menggunakan herba tersebut belum banyak di pasaran.

“Kami melalui banyak proses sebelum sampai ke peringkat sekarang dan mula membuat kajian dengan bantuan beberapa pihak seperti Universiti Teknologi Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM),’’ katanya selepas meninjau kemudahan di Pusat Biotek Herba milik TPM Biotech di Raub Pahang baru-baru ini.

Rombongannya diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif TPM Biotech, Ahmad Husni Johari dan turut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Operasinya, Mohd. Nasrullah Razalli.

Tidak lama selepas itu, selepas mengetahui kelebihan buah tunjuk langit, pihaknya mencari kilang di Johor untuk meneruskan hasrat membangunkan produk berasaskan buah berkenaan dan diperkenalkan kepada sebuah syarikat.
Bagaimanapun peluang dipertemukan dengan TPM Biotech bagai merintis jalan kepada hasrat melunaskan impiannya membangunkan produk berasaskan buah tunjuk langit.“Selepas datang (berbincang) dan mendapat penerangan mengenai kakitangan dan kemampuan , kami dapati di sinilah (TPM Biotech) tempat paling tepat,’’ ujarnya lagi.

Beliau bersama rakannya Dr. Mohd Faizal Wahidin menubuhkan syarikat pada 2012 dan berjaya menghasilkan empat produk kapsul iaitu Swietenia Coffee, Swietenia White Tea, Swietenia Chocolate dan Swietenia Capsule berasaskan buah tunjuk langit (Swietenia macrophylla)Buah tunjuk langit mengandungi khasiat kesihatan yang dipercayai boleh membantu dalam rawatan diabetes, kegemukan , migrain, tekanan darah tinggi serangan jantung dan gout selain dapat membantu mengurangkan kadar kolesterol, meningkatkan kadar peredaran darah dan meningkatkan stamina.
Produk berkenaan telah memperoleh sijil halal sejajar dengan penekanan syarikat berkenaan mengutamakan produk keluaran halal.Syarikat terbabit turut aktif dalam kempen mempromosikan produk kopi tersebut menerusi pelbagai platform yang mendekatkan jenama mereka dengan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitran Tyzo juga sedang membangunkan produk aroma terapi dan kosmetik daripada buah tunjuk langit.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Mohd Faizal Wahidin pihkanya baharu sahaja selesai mengeluarkan produk Kopi Buah Tunjuk Langit daripada kotak kepada bentuk papan.
Ini berikutan permintaan tinggi daripada pengusaha kedai makan dan restoran yang diterima setakat ini.
“Kami juga menyasarkan supaya pasaran kopi buah tunjuk langit sehingga ke pasar raya dan pasar raya besar selepas hari raya ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,’’ ujarnya.

Selain itu, menerusi kerjasama Perbandanan Nasional Berhad (PNS), Tyzo Sdn. Bhd. akan membuka peluang perniagaan dalam bentuk francais kepada individu atau mana-mana agensi atau organisasi di tempat atau lokasi masing-masing yang strategik.

Bantuan pinjaman dan latihan akan disediakan kepada individu yang berminat. Pendaftaran boleh dibuat di www.tyzo.com.my

Pada masa ini, syarikat terbabit juga ke arah pensijilan MS ISO 9001:2008 dan menjangka pensijilan daripada SIRIM Berhad pada tahun ini.
Mengulas mengenai bantuan TPM Biotech Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Faizal berkata, syarikat terbabit menyediakan platform yang terbaik kepada mereka daripada segi penyelidikan, pembangunan produk, konsultansi mengikut akta Kementerian Kesihatan dan halal daripada Jakim serta perkhidmatan pengilangan kontrak (contract manufacturing).

“Dengan kemudahan serta kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Titik Kawalan Kritikal Bahaya (HACCP) produk kami mempunyai kebolehpasaran dan dapat menembusi pasaran antarabangsa termasuklah Brunei dan Qatar,’’ kata beliau.

TPM Biotech juga memberi peluang kepada Tyzo untuk mempromosi produk di Pameran Halfest, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Minggu Perusahaan Kecil Serderhana (PKS) anjuran SMECorp.

© Utusan Melayu (M) Bhd
Related Posts with Thumbnails