Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, May 17, 2019

Rumput napier bantu industri ternakan

 
Kerajaan meletakkan hala tuju industri ruminan yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara adalah mencapai kadar sara diri (SSL) sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang supaya bekalan makanan negara terutama sumber protein kepada rakyat terjamin.



Dalam masa sama penubuhan Majlis Perunding Pertanian Negara yang melibatkan segenap lapisan komuniti yang terlibat dalam bidang pertanian seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan usahawan merupakan satu langkah proaktif yang wajar dipuji.

Antara cadangan kepada kerajaan dalam memajukan industri ruminan secara lebih efektif adalah membangunkan golongan penternak yang produktif iaitu melebihkan kepada pemberian insentif berasaskan pengeluaran berbanding insentif input supaya memberi motivasi kepada penternak dan seterusnya meningkatkan penghasilan daging dan tenusu.

Antara masalah utama industri ternakan ruminan kita adalah kenaikan kos makanan yang agak tinggi mendorong pengusaha mencari alternatif lain yang lebih murah dan bersumberkan tempatan.


Import makanan berasaskan ternakan ketika ini agak tinggi dengan jagung sahaja mencecah RM3 bilion setahun.

Kemerosotan pengeluaran sumber makanan haiwan ternak dan harga yang semakin meningkat disebabkan faktor cuaca (masalah pemanasan global), persaingan kepenggunaan tanah ( industri, pembangunan hartanah), pengurangan tenaga buruh. Ia merupakan masalah kronik.

Dalam masa sama, permintaan kepada produk makanan berasaskan haiwan ternak semakin meningkat disebabkan peningkatan populasi dan kuasa beli manusia .

Masalah industri ternakan ruminan turut menyumbang kepada krisis makanan global.

Kenaikan harga makanan ternakan yang tinggi sekali gus menaikkan harga ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri di pasaran untuk keperluan rakyat.

Pemasalahan industri penternakan ruminan di Malaysia adalah berkait rapat dengan isu pemakanan ternakan dari aspek kualiti, kuantiti dan kos.

Isu persaingan kepenggunaan tanah dengan industri komoditi getah dan kelapa sawit serta pembangunan hartanah menjadikan masalah tersebut semakin kritikal.

Kebanyakan penternak terlalu bergantung kepada dedak ternakan yang semakin tinggi harganya serta kekurangan kawasan tanaman pastura atau foder rumput sebagai sumber fiber.

Melihat kepada senario tersebut, syarikat penternakan tempatan, Major Transglobal (MTG) mengambil inisiatif mengusahakan tanaman rumput napier bagi menyokong industri ternakan ruminan yang berdepan masalah kos makanan tinggi.

Pengarah Eksekutif MTG, Nordin Mat berkata, pihaknya mengusahakan kawasan seluas 120 ekar (48 hektar) daripada 300 ekar kawasan tersebut dengan kos hampir RM1.2 juta sejak setahun yang lalu. Pengeluaran rumput serta silaj sekarang dalam kuantiti 300 tan sebulan di Ladang Pengganda Kambing di Pondok Tanjung, Perak.

“Syarikat kini menyasarkan untuk menambah kawasan penanaman seluas 80 hektar (200 ekar) lagi dan bagi pengeluaran rumput sebanyak 1, 500 tan sebulan

“Jumlah ini dijangka dapat menampung makanan ternakan iaitu bagi 1,666 ekor lembu atau 16,666 ekor kambing setiap hari.

“Selain pengeluaran silaj, kami juga berhasrat memproses rumput tersebut kepada bentuk yang lebih tinggi bahan keringnya dengan penggunaan ketuhar yang besar bagi skala pengeluaran 1,000 tan sebulan,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Salehhuddin Hassan yang melawat ke Pondok Tanjung baru-baru ini sempat meninjau kerja pembuatan silaj daripada rumput napier.

Projek tersebut kini mampu mengeluarkan sebanyak 300 tan metrik sebulan bagi kawasan tanaman seluas 40 hektar (100 ekar).

Lawatan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),


Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Mohd. Salehhuddin memberi galakan supaya kawasan tanaman ditambah kepada 200 ekar lagi dengan sasaran keluaran 1,000 tan metrik sebulan.

Rumput napier yang juga dikenali sebagai rumput gajah sangat sesuai untuk diberi kepada ternakan secara segar atau dijadikan silaj iaitu rumput yang diperam bersama gula merah dan effective organism (EM) selama kira-kira sebulan.

Rumput berkenaan mudah ditanam iaitu menggunakan batas, dipotong kira-kira 0.5 meter. Rumput berkenaan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membesar dan matang serta boleh dituai setiap bulan kerana benih baru tumbuh pada perdu tunggulnya dan membesar dengan cepat.

Bagi menghasilkan silaj, rumput perlu diracik menggunakan mesin khas sebelum dimasukkan ke dalam tong dan dicampur dengan dua bahan berkenaan sebelum diperam.

Wednesday, May 15, 2019

Teknologi Fertigasi Gantung

Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari.
Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa berkualiti serta konsisten.
Kini, dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.

TEKNOLOGI fertigasi gantung banyak manfaat.
Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi yang sesuai.
“Kelebihan teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.
“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.

AHMAD Tarmizi Yunus, 60, memantau hasil timun di ladangnya di Kampung Temau.
Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.
“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman.
“Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil.
“Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa,” katanya.

PENOLONG Pegawai PPD Raub, Nurul Azeela Mohd Nasir (kanan) memantau hasil pengeluaran timun milik Ahmad Tarmizi.
Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional.
“Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.
“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.
Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata, sistem para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem pengairan menggunakan PE tubing.

PEMILIK ladang, Fazril Shahiri, 40, (kiri) bersama pekerjanya memeriksa timun yang baru dituai di Kampung Pintu Padang.
“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media peat moss.
“Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.

FAZRIL menimbang hasil timun yang diusahakan.
“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga jam pembajaan dibuat.
“Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.

TIMUN yang sudah digredkan sedia untuk dipasarkan.
Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip .
“Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim,” katanya.


Petua Pokok Cili Sihat dan Tahan Penyakit


Petua Pokok Cili Sihat dan Tahan Penyakit – Pokok cili antara pokok yang sukar untuk ditanam. Bermula ketika proses semaian sehinggalah kepada menuai. Kalau nasib baik, mungkin dapat rasa hasil tanaman sendiri. Kalau tidak gigit jari, nak tak nak kenalah beli di pasar sahaja.
Bagi yang ingin menanam sendiri Cili, jom cuba petua yang dikongsikan oleh Izham Alias menerusi Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri.
Pokok cili adalah antara pokok yang saya kategorikan dalam pokok yang sukar dijaga. Masa percambahan yang lama iaitu 7-14 hari, penjagaan yang rapi, dan mudah diserang penyakit.
Oleh itu pokok cili memerlukan penggalak tanaman bertindak sebagai penguat kepada ketahanan pokok. Di sini saya kongsikan cara mudah agar pokok cili kita sentiasa kuat menahan serangan serangga dan penyakit.
Bahan:
  • Belacan – 100g
  • Molasses / gula merah – 100g
  • Air tanpa klorin (air hujan, air perigi, tapisan) – 500 mL
Cara buat:
  1. Rendam belacan di dalam bekas berisi air 500 mL. Kacau sehingga larut.
  2. Kemudian masukkan gula merah / molases. Kacau sehingga sebati.
  3. Tutup dengan kain kasa bekas tersebut.
  4. Peram selama sebulan.
  5. Selepas diperam, kacau dan tapis. Ambil pati penggalak tersebut.
Cara guna:
  1. 10 mL pati + 2 L air biasa
  2. Sembur pada daun, batang, dan tanah waktu pagi sekitar 7am-10am, seminggu sekali
  3. Selain pokok cili, penggalak tanaman ini boleh disembur pada tanaman lain seperti pokok tin, sayuran, dan pokok mulberi.
Sumber: Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri

Fertigasi Cili: Penanaman Cili Menggunakan Sistem Fertigasi Terbuka

Fertigasi Cili – Pengenalan

Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Fertigasi adalah gabungan dua perkataan Inggeris iaitu fertilizer dan irrigation. Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga ialah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.
Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3–5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Tujuan penggunaan struktur pelindung hujan adalah untuk mengelak baja yang diberikan ke pokok menjadi cair apabila waktu hujan serta mengelakkan penyakit kulat seperti antraknos dan hawar pucuk. Walau bagaimanapun, dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi (Gambar 1) dan cili merah (Gambar 2).
Penyediaan tapak projek fertigasi cili
Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi cili merupaka langkah kritikal dalam menentukan kejayaan sesebuah projek penanaman fertigasi cili. Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih seperti air kolam, tasik, sungai mata air, air bawah tanah (tube well) dan sumber-sumber lain. Kualiti air seperti pH haruslah diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air tersebut boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili ialah 5.5–6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus. Penggunaan air paip juga adalah sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek harus diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama. Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran yang 90 seragam. Selepas selesai kerja-kerja menyiap tapak, silvershine atau weedmat dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi rumpai.
Pemasangan sistem pengairan fertigasi cili
Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 21” x 13’’ bagi polibeg bantal dan 16’’ x 16’’ bagi polibeg tegak adalah disyorkan. Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding dengan polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan lengkap seperti tangki air baja (900 gelen), pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub yang berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Jarak antara baris yang disyorkan ialah 5” manakala jarak di antara polibeg ialah 1.5” dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh diautomasikan dengan pemasangan timer.
Penanaman cili secara fertigasi
Pemilihan varieti
Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi. Bagi pengeluaran cili merah secara fertigasi, varieti yang disyorkan ialah Kulai S469, Kulai 568, Kulai 223, Kulai 151 manakala bagi cili padi pula, cili padi varieti Centel adalah menjadi pilihan utama. Walau bagaimanapun, pemilihan varieti adalah bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi memudahkan aktiviti pemasaran.
Medium tanaman
Medium tanaman yang disyorkan ialah 100% coco peat. Coco peat mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Walau bagaimanapun, bagi pengusaha fertigasi cili di sebelah utara semenanjung seperti negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sekam padi bakar boleh digunakan sebagai medium. Medium sekam padi mudah diperoleh di ketiga-ketiga negeri tersebut dengan harga yang amat berpatutan. Coco peat dimasukkan ke dalam polibeg hitam. Polibeg kemudianya disusun selari dengan paip lateral atau paip pembahagi. Lubang lebihan air dibuat 5 cm diukur dari dasar polibeg. Setiap beg tanaman dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan larutan nutrien dari tangki larutan baja.
Penyediaan anak benih
Biji benih cili yang diperoleh disemai di dalam dulang (tray) semaian dengan 104 lubang plug. Peat moss digunakan sebagai medium percambahan. Kaedah semaian adalah dengan 1 biji benih disemai ke dalam 1 lubang plug. Kemudianya, peat moss 91 dibasahkan dengan air. Percambahan anak yang seragam akan diperoleh selepas 5–7 hari. Selepas bercambah, anak benih dimasukkan ke dalam rumah semaian bagi mengelakkan serangan serangga perosak. Anak benih juga dibekalkan larutan baja secara celupan bagi mendapatkan anak benih yang seragam pembesarannya dan cepat proses pertumbuhannya. Biji benih tambahan diperlukan 10% peratus untuk kerja-kerja penyulaman.
Memindahkan anak benih ke polibeg
Anak benih yang berusia 10–21 hari sedia dipindahkan ke dalam polibeg (Gambar 3). Pada peringkat ini, ketinggian anak benih ialah 10–20 cm dengan 7–10 helai daun. Kerja-kerja memindahkan anak benih dilakukan pada lewat petang bagi mengurangkan tekanan pada anak benih akibat kesan pindah, sekali gus mempercepat proses pemulihan anak benih. Anak benih cili bersama plug peat moss dimasukkan ke dalam lubang yang dikorek pada beg tanaman dan dipadatkan pangkalnya. Anak benih cili ditanam sedalam 3–5 cm dari permukaan coco peat dengan penitis panah diletak di pangkal anak pokok.
Pengurusan tanaman fertigasi cili
Pembajaan
Baja fertigasi cili terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B. Formulasi baja fertigasi cili adalah seperti dalam Jadual 1. Baja yang ditimbang berasingan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Kemudiannya, komponen baja dijadikan stok baja (pati baja) bahagian A dan bahagian B di dalam 100 liter air secara berasingan. Disyorkan supaya larutan stok sentiasa tersedia untuk dicairkan ke dalam tangki larutan baja apabila diperlukan.
Kuantiti komponen baja
Tanaman fertigasi cili memerlukan larutan nutrien pada kepekatan yang tertentu di  beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5–4.0. Bagi tanaman cili, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 hingga 2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke polibeg, anak pokok cili diberikan air kosong. Selepas tempoh 24 jam anak pokok cili diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 µS sehingga berusia 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0–2.4 µS sehingga tamat musim penanaman. Semburan daun (foliar) seperti kalsium boron digalakkan bagi mengurangkan kesan kekurangan kalsium pada buah.
Selepas 3 bulan, medium tanaman di dalam beg-beg plastik perlu dibilas dengan air bersih. Ia dilakukan sebulan sekali bagi melarutkan dan seterusnya menyahkan timbun-tambah garamgaram yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama satu jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok. Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman ialah aras keasidan larutan nutrien yang dinamakan pH. Bagi tanaman cili secara fertigasi, pH yang disyorkan sama seperti tanaman lain seperti tomato atau melon iaitu antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.
Membuat sokongan tanaman
Sokongan pada pokok cili perlu dibuat menggunakan pancang berbentuk ‘X’ atau ‘H’. Pancang ini memberikan sokongan pada pokok daripada terbalik terutama pada peringkat buah. Kegagalan menyediakan pancang sokongan akan mengakibatkan pokok tumbang dan ranting patah, ini sekali gus mengurangkan hasil buah cili. Pancang dapat dibuat menggunakan kayu, buluh dan besi. Ketinggian pancang yang sesuai adalah antara 4’–5′ dengan ditanam sedalam 1′.
Penggunaan weedmat dan silvershine sebagai penutup bumi
Weedmat biasanya diperbuat daripada plastik atau kain khas seperti polypropylene. Ia berfungsi dengan menghentikan bekalan cahaya matahari kepada rumpai , sekaligus membunuh mereka.
Weedmat yang berkualiti tinggi akan menyekat pertumbuhan rumpai, dan pada masa yang sama menyediakan saliran yang mencukupi untuk tanah di bawahnya , supaya ia kekal lembap dan subur.
Cantasan
Kerja-kerja cantasan atau membuang tunas air dilakukan selepas 2–3 minggu penanaman. Tunas air ialah tunas yang muncul selepas cabang utama cili. Bagi cili merah, tunas air dibuang kesemua sekali. Ini bagi memastikan nutrien yang dibekalkan dapat digunakan oleh pokok untuk pembesaran dan penghasilan buah. Manakala bagi cili padi, 3–5 tunas air disimpan bagi meningkatkan hasil cili padi.
Kawalan penyakit dan serangga perosak
Penanaman cili secara fertigasi terbuka menghadapi risiko kerosakan yang tinggi akibat serangan penyakit dan serangga perosak. Walau bagaimanapun, kawalan penyakit dan serangga perosak yang dilakukan secara bersepadu menggunakan racun dan kaedah yang betul dapat meningkatkan kadar kejayaan. Antara serangga perosak utama tanaman cili ialah lalat putih (Bemisia tabaci), afid (Aphis gossypii), kutu trip (Thrips sp.), hamama (Polyphagotarsonemus latus), ulat ratus (Spodoptera sp.), ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera) dan lalat buah (Bactrocera latifrons). Manakala penyakit yang sering menyerang tanaman cili fertigasi terbuka ialah lecuh anak benih, antraknos, bintik daun Cercospora, hawar pucuk dan layu bakteria. Pengusaha tanaman fertigasi haruslah berupaya mengenal pasti jenis penyakit dan serangga perosak cili supaya tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan segera (Jadual 2).
Penuaian hasil
Hasil tuaian pertama bagi cili merah adalah sekitar 75 hari selepas mengubah manakala bagi cili padi pula tuaian pertama adalah sekitar 90 hari selepas mengubah (Gambar 4). Kutipan hasil dilakukan dengan selangan 3 hari di peringkat awal dan setiap hari pada peringkat puncak. Prestasi kutipan hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi. Prestasi minimum ini haruslah
dicapai bagi memastikan pengusaha mendapat modal pelaburan dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, hasil cili merah dan cili padi yang boleh melebihi prestasi minimum ini dengan pengurusan tanaman yang betul dan cekap. Kebiasaannya kerja-kerja mengutip hasil dilakukan menggunakan buruh kontrak tempatan dengan kadar upah RM0.50/kg. Buah yang dipetik kemudianya digredkan sebelum dipasarkan.
Jadual 2. Jenis-jenis serangga perosak dan penyakit utama tanaman cili
Pengurusan sisa tanaman
Jangka hayat ekonomi bagi tanaman fertigasi cili terbuka ialah 180 hari. Keputusan untuk menamatkan pokok perlu mengambil kira faktor-faktor seperti varieti cili, harga semasa cili di pasaran, tahap kesuburan pokok dan tahap jangkitan penyakit. Langkah penamatan pokok adalah memetik buah cili yang masak termasuklah hijau dan seterusnya, pokok bersama-sama akar dicabut keluar daripada polibeg dan dimusnahkan kesemuanya. Kemudian, kawasan projek dibersihkan.
Kesimpulan
Penanaman fertigasi cili secara terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan ialah satu kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan yang terhad. Dengan
pengurusan tanaman yang berkesan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat menjamin pengeluaran hasil cili yang tinggi. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.
Bibliografi
De Rijck, G. dan Schrevens, E. (1998). Distribution of nutrient and water in
rockwool slabs. Scientia Hort. 72: 277–285
Mahamud, S., Jamaludin, S., Mohamad Roff, M.N., Ab Halim, A.H., Mohamad,
A.M. dan Suwardi, A.A. (2009). Manual teknologi penanaman cili, rockmelon
dan tomato. Serdang: MARDI
Verdonck, O., Penninck, R. and De Boodt, M. (1983). The physical properties of
horticultural substrates. Acta Hort. 150: 155–160
Ringkasan
Teknologi fertigasi cili adalah teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3 hingga 5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan untuk menanam secara fertigasi yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi dan cili merah. Prestasi hasil yang tinggi iaitu 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi dapat meningkatkan lagi pendapatan pengusaha. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.
Pengarang
Yaseer Suhaimi Mohd.
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur
E-mel: ysuhaimi@mardi.gov.my
Mahamud Shahid dan Mohamad Abd. Manas
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur
Abdul Kadir Yusoff
Stesen MARDI Alor Setar, KM 5, Jalan Kuala Kedah, 06600 Alor Setar, Kedah

Rezeki cili centil


Kuala Lumpur: Biarpun mengajar subjek seni visual namun Mohd Izranuddin Jelani mencipta kelainan apabila mampu menyelaras Projek Sekolah Lestari dalam bidang pertanian hingga mampu meraih pendapatan berjumlah RM11,000 hasil tanaman cili fertigasi.

Guru berkenaan mengetuai Skuad Lestari dianggotai lima guru dan 140 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah Hashim, Taman Daya, Johor Bahru yang mengusahakan projek pertanian terbabit yang dilaksanakan sejak Mei tahun lalu.
Mohd Izranuddin, 40, berkata, segalanya bermula apabila dia menanam lima pokok cili padi jenis centil di rumahnya di Taman Daya kira-kira tujuh tahun lalu.
“Orang tua saya suka makan pedas, tetapi apabila hendak beli di pasar, harganya mahal.
“Jadi, saya cuba menanam lima anak benih cili centil secara kaedah biasa pada 2011 di tepi rumah saja. Apabila hasilnya menjadi, saya mula semangat untuk mendalami ilmu pertanian,” katanya.
Menurutnya, niatnya dipermudahkan apabila takdir menemukan dia dengan seorang pengusaha syarikat pertanian terkenal di Johor dikenali sebagai Sheikh Noh ketika penganjuran satu program karnival pertanian.
“Saya banyak menimba ilmu daripadanya dan dibimbing mengenai selok belok pertanian termasuk kaedah fertigasi.
“Buat permulaan, saya menjalankan projek tanaman cili fertigasi sebanyak 140 anak pokok ketika mengajar di sekolah lama, SMK Taman Johor Jaya 2 dan hasilnya amat menggalakkan hingga nama saya dikenali dalam kalangan sekolah di sekitar Johor,” katanya.
Menurutnya, sebaik berpindah ke SMK Tun Fatimah Hashim pada April tahun lalu, dia turut membawa idea sama sebelum menubuhkan Projek Sekolah Lestari selepas mendapat kelulusan Pengetuanya Mahidah Kosnan.
“Memandangkan banyak kawasan lapang tidak digunakan, pengetua pada ketika itu menerima cadangan saya untuk menjalankan projek tanaman cili fertigasi dengan kapasiti 500 pokok.
“Akhirnya satu jawatankuasa dibentuk dinamakan Projek Sekolah Lestari dianggotai guru dan pelajar yang berminat mengusahakan pelbagai jenis tanaman dalam usaha menceria dan mencantikkan kawasan sekolah,” katanya.
Bekas wartawan sebuah akhbar tempatan itu berkata, projek terbabit bermula sejak 16 Mei tahun lalu dengan dana permulaan RM15,000 yang diperoleh hasil daripada kutipan guru, kakitangan dan individu.
“Setiap sumbangan dinilaikan dengan saham iaitu sepokok satu saham berharga RM30. Projek ini mendapat sokongan penuh warga sekolah yang berpendapat lebih elok tanah terbiar diusahakan untuk meningkatkan dana pembangunan sekolah.
“Projek tanaman ini diselia saya dengan bantuan ahli Skuad Lestari terlatih terdiri daripada guru dan pelajar yang melakukan penggiliran kerja seperti merumput, membaja, mencantas pokok dan menuai hasil.
“Setiap pelajar diberi token, contohnya RM3 untuk sekilogram cili yang dipetik, malah paling penting mereka seronok mempelajari banyak perkara baru mengenai pertanian,” katanya.
Menurutnya, hasil penanaman cili itu dijual kepada warga sekolah, ibu bapa, rakan sekolah berdekatan selain dihantar ke pasar di sekitar Johor Bahru pada harga lebih murah daripada pasaran.
“Paling membanggakan apabila kami berjaya meraih RM11,000 hasil daripada tanaman cili centil pada musim pertama, manakala pada musim kedua, sebanyak RM6,000 diraih biarpun baru dua bulan hasil dituai.
“Melihat kepada perkembangan positif itu, pada Ogos lalu, kami mula mengusahakan 1,000 bongkah cendawan tiram kelabu, serai, limau kasturi, durian belanda dan pisang tanduk masing-masing 100 pokok serta 20 jambu batu di sekitar kawasan lapang sekolah.
“Projek kedua ini turut mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang menyumbang dana pembelian benih,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan projek berkenaan menjadi contoh dan penanda aras bukan saja di Johor malah seluruh negara selain mendapat kunjungan pelbagai pihak.

Wednesday, May 8, 2019

9 Tips untuk Usahawan Tani Dalam Bisnes Pertanian


Sektor pertanian adalah antara penyumbang hasil pendapatan negara sejak sebelum merdeka. Sektor ini juga adalah penyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia. Hal ini demikian, majoriti penduduk pada era selepas merdeka lebih tertumpu kepada aktiviti yang berasaskan pertanian dan perlombongan. Permintaan untuk perkhidmatan konsultasi dan latihan kemahiran untuk memulakan perniagaan asas tani semakin hari semakin meningkat berikutan dengan masalah kegawatan ekonomi. Berikut adalah 9 tips untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian.


1. PILIH JENIS TANAMAN YANG MEMPUNYAI PERMINTAAN TINGGI DAN SENTIASA TIDAK MENCUKUPI DI PASARAN

Berikut adalah indeks harga purata runcit bagi komuditi tanaman terpilih untuk Mac 2017.


Ia adalah salah satu tips yang sangat berguna untuk usahawan tani. Kadar peratusan antara 57-57.2% merupakan di antara tanaman yang mempunyai permintaan yang tinggi tetapi tidak mencukupi di pasaran. Anda juga perlu membuat penyelidikan terlebih dahulu dengan mengumpulkan maklumat mengenai jenis tanaman yang mempunyai permintaan yang tinggi.


2. PILIH JENIS TANAMAN YANG MEMPUNYAI TEMPOH PENANAMAN YANG SINGKAT


Tanaman kontan (cash crops) ialah tanaman seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau ubi dan tanaman herba yang mempunyai tempoh penanaman yang singkat. Antara contohnya ialah cili, kacang panjang, pisang, ubi kayu, ubi keledek, keladi, misai kucing, stevia, serai wangi, mas cotek, dan halia.

Tempoh penanaman menjadi salah satu faktor yang penting kerana lagi cepat proses dari penanaman ke penuaian, lagi cepat proses untuk pusingan modal. Tempoh penanaman sehingga tuaian untuk sayuran berdaun seperti bayam, kangkung dan sawi adalah purata 30 hari. Manakala bagi sayuran berbuah seperti cili adalah 6 bulan (tanaman secara fertigasi).



3. KENALPASTI SALURAN PEMASARAN SEBELUM PENANAMAN BERMULA

Sebelum memulakan projek penanaman, usahawan tani perlu menentukan channel pemasaran bagi hasil tanaman nanti. Sama ada tanaman tersebut akan dijual di pasar borong, pasar tani, pasar malam, pasar basah, kedai runcit atau hypermarket.

Setiap jenis saluran pemasaran ini akan memberikan hasil dengan harga dan terma yang berbeza. Oleh itu, usahawan tani perlu bertanya kepada mereka dahulu atau kaji pasaran mereka untuk mengetahui sayuran jenis apa yang mereka mahukan.


4. KAWAL KOS LOGISTIK DENGAN MEMILIH LOKASI SALURAN YANG BERDEKATAN


Kos perbelanjaan juga boleh meningkat sekiranya tidak diuruskan dengan betul. Kos logistik dapat dijimatkan apabila kita dapat mengenalpasti saluran pemasaran yang berhampiran atau projek tanaman diusahakan berhampiran dengan lokasi saluran.

Selain itu, usahawan tani boleh juga mengurangkan kos logistik apabila menetapkan jumlah minimum hasil tanaman yang perlu dibawa oleh sebuah lori untuk menampung kos logistik.


5. TETAPKAN FOKUS MAHU SASARKAN HARGA TINGGI ATAU BEKALAN BERTERUSAN

Tips untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian yang kelima ialah fokus untuk sasarkan harga tinggi. Kebiasaanya hasil tuaian ketika musim perayaan adalah lebih tinggi berbanding dengan musim-musim lain. Oleh itu, waktu memulakan tanaman perlu dikira dari tarikh musim harga tinggi ke belakang. Selain itu, anda juga boleh fokus kepada strategi bekalan terusan tanpa memikirkan harga turun naik pasaran.Ia adalah untuk mendapat kepercayaan daripada pelanggan anda dengan bekalan yang sentiasa ada.

6. SEBAGAI ORANG BARU, BERMULA KECIL DAHULU

Jika tidak mempunyai pengalaman mengusahakan tanaman, anda perlu memulakannya pada skala yang kecil dahulu. Anda juga perlu memaahami karakter tanaman, keperluan baja, kawalan penyakit dan lain-lain.

Sebagai contoh, apabila kita bermula pada skala yang besar, risikonya juga besar. Sekiranya gagal, kita akan rugi besar dan mengambil masa untuk bermula kembali. Oleh itu, anda perlu bermula dengan skala yang kecil meletakkan kita berada dalam risiko yang boleh dikawal. Apabila sudah yakin dengan pelaburan skala kecil yang sudah memberikan pulangan, kembangkan ke skala besar.


7. MULAKAN TANPA PINJAMAN

Bermula dengan apa yang ada. Jangan mulakan bisnes pertanian dengan pinjaman. Bank-bank juga tidak memberi pinjaman kepada mereka yang masih baru tanpa cagaran tanah. Sekiranya kita mencagarkan tanah kita, dan perniagaan kita gagal, bank akan mengambil alih tanah kita kerana tidak mampu untuk membayarnya.


8. BEKERJASAMA DENGAN RAKAN STRATEGIK

Kaedah yang lebih cepat untuk kita menyertai pelaburan skala besar, iaitu dengan bekerjasama dengan rakan strategik. Kita boleh menjalinkan kerjasama dengan mereka. Oleh itu, kita dapat mengelakkan dari membuat pinjaman dengan bank. Oleh itu, anda juga dinasihatkan untuk keluar bersosial untuk mencari rakan strategik anda.



9. MENGURUS AGROBISNES GAYA KORPORAT, BUKAN GAYA TAUKE

Rancang perniagaan pertanian yang kecil itu secara bersistem yang akan membesar di kemudian hari boleh dibesarkan. Walaupun masih kecil, urus perniagaan anda seperti syarikat korporat besar. Wujudkan sistem dan SOP untuk setiap urusan penanaman sehingga kepada pemasaran. Ini juga memudahkan kita untuk mendapatkan sijil MyGAP, iaitu pengiktirafan kepada amalan pertanian yang baik (Good Agriculture Practice).



KESIMPULAN

Berikut adalah 9 tips untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian untuk mereka yang baru ingin mencuba ke bidang pertanian. Anda perlu dapatkan sebanyak maklumat yang boleh sebelum membuat keputusan pelaburan dalam bisnes pertanian. melabur tanpa perancangan yang betul akan membuatkan perniagaan anda akan lebur. Kongsikan 9 tips untuk usahawan tani dalam bisnes pertanian kepada rakan-rakan anda yang ingin memcuba bidang pertanian.

Sumber: absagro
Related Posts with Thumbnails