Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, August 20, 2009

Nikmat ceburi pertanian


Azmi Morad memberi makanan ikan mengikut jadualnya dengan menggunakan makanan jenis palet.


KAWASAN ladang tersebut boleh dianggap sempit dengan keluasan kira-kira tiga ekar atau 12 hektar sahaja dan kebetulannya terletaknya di tepi Sungai Langat, Bangi, Selangor.

Pada masa sama, ia merupakan kawasan yang agak kering dan dan menganjur di sepanjang sungai serta berstatus tanah lesen pendudukan sementara (TOL).

Namun itu semua tidak menghalang Azmi Morad, 46, bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melayan rasa seronok menceburi bidang pertanian.

Graduan sains kepujian dalam bidang botani dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas tutor di universiti tersebut pada mulanya ingin mencuba.

Namun rasa seronok itu membawanya lebih serius untuk mengusahakan projek pertanian.

Tambahan pula pengalaman dalam kerja-kerja awam seperti dan kontraktor kecil banyak membantunya bergerak lebih mudah dan memahami bagaimana memulakan projek.

''Memang saya mulanya ingin berseronok-seronok tetapi pengalaman dalam kerja-kerja awam banyak membantu,'' katanya ketika ditemui di ladangnya di Bangi, baru-baru ini.

Projek tersebut katanya dimulakan tahun lepas dengan modal permulaan RM200, 000 tanpa meminjam daripada mana-mana institusi kewangan.

Beliau mendakwa antara masalah utama beliau sukar mendapat pinjaman kerana proses permohonan yang rumit yang memerlukan dokumen seperti geran.

Azmi memberitahu dia terlibat dalam projek nurseri bunga-bungaan di kawasan tersebut yang terletak di Seksyen 4 /10F Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

Beliau juga menternak kira-kira 1,000 ekor ayam kampung di kawasan tersebut yang bakanya dibeli daripada pihak swasta.

Namun, projek utamanya yang kian berkembang ialah penternakan ikan keli yang menggunakan sistem dan formula daripada sebuah syarikat bumiputera.

Ternakan kelinya diletakkan dalam tangki konkrit yang membiarkan keladi bunting tumbuh manakala pelet diberi sebagai makanan rumusan khas.

Dia bermula dengan empat buah kolam dengan kapasiti 10,000 ekor dan menggerakkan usaha tersebut secara cuba jaya.

Air sungai pula dipam sebagai sumber utama projek tersebut tetapi penentu kejayaan ialah menggunakan rumusan pelet sebagai makanan ternakan ikan keli.

''Perkara paling penting dalam ternakan ikan keli ialah makanannya mesti bagus,'' ujarnya.

Pelet yang digunakan sesuai kerana ia organik atau tanpa bahan kimia, tekstur daging lebih bagus dan tidak busuk.

Justeru katanya, amalan memberi makan ikan keli dengan perut ayam sebagai contoh bukan sesuatu yang elok untuk ternakan dan ini boleh disahkan dengan memeriksa perut ikan yang berwarna kekuningan.

Katanya, pada masa ini, beliau mempunyai pelbagai jenis tangki konkrit mengikut saiz berbeza iaitu 10 kaki x lapan kaki yang dengan kapasiti 10,000 ekor keli, 10 kaki x 16 kaki (15,000 ekor) dan lapan kali 20 kaki (100,00 ekor dan jumlah tangki kini meningkat kepada 50 buah dan jumlah ternakan mencecah 400,000 ekor.

Ikan keli dapat dituai untuk jualan selepas kira-kira dua bulan setengah pada harga RM4.50 sekilogram yang kebanyakannya dibeli orang individu selain dijual di pasar malam atau pasar borong.

Meskipun demikian, beliau masih mampu menjual antara 10 dan 15 kilogram sehari.

Selain keli sebagai ternakan utama, Azmi juga menternak beberapa spesies ikan lain termasuk tilapia.

Dia juga menternak kira-kira 200 ekor biri-biri sebagai satu produk sampingan selain mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu.

Tidak cukup dengan itu, Azmi juga bercadang meluaskan projek pertaniannya dengan mengeluarkan ikan keli salai di kawasan sekarang.

Beliau kini sedang menyiapkan kertas cadangan projek tersebut, manakala projek ternakan kelinya sering dilawati pegawai dari Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ikan keli salai mempunyai pasaran yang luas, selain mempelbagaikan produk syarikatnya selain yang segar.

Azmi juga bercadang memohon tanah di kawasan lain untuk memajukan projek pertanian berasaskan pelancongan bagi memudahkan pengunjung menikmati persekitaran sebenar projek pertanian.

Untuk jangka masa panjang, beliau akan menganjurkan kursus pembenihan ikan dan usaha tersebut akan dimasukkan dalam agenda penting syarikat.

Seramai 18 pekerja membantu beliau menggerakkan projek pertanian tersebut termasuk beberapa orang kepercayaannya yang dihantar berkursus di Pusat Komuniti Selayang bagi mendalami ilmu berkaitan.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun mengusahakan bidang ini pelbagai cabaran ditempuhinya dengan sabar sehingga dapat menyempurnakan infrastruktur ladang ini. Beliau boleh dihubungi di talian 03-89262481

Sumber:utusan online

Wednesday, August 12, 2009

Timur: UiTM tanam rumput Napier - Berita Harian

Oleh Ramli Hussin
bhkb@bharian.com.my

Projek dimulakan enam bulan lalu bertujuan ringankan beban penternak

BACHOK: Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan sedang berusaha memperluaskan tanaman rumput Napier di kalangan penduduk negeri ini kerana tumbuhan itu berpotensi menjana pendapatan lumayan berikutan permintaan tinggi di kalangan penternak.

Rumput Napier yang berprotein tinggi hasil penyelidikan UiTM itu, mampu dituai untuk kali pertama selepas tiga bulan, sebelum tuaian seterusnya dilakukan setiap 45 hari.
Projek tanaman rumput napier dimulakan UiTM Kelantan sejak enam bulan lalu dengan matlamat meringankan beban golongan petani yang mempunyai ternakan dan pada masa sama memberi pendapatan sampingan kepada mereka.


Ketua Unit Jaringan Industri UiTM Kelantan, Prof Madya Mohd Zaki Zakaria, berkata berdasarkan kajian pihaknya, tanaman rumput Napier yang diperkenalkan UiTM itu mampu memberi pulangan sehingga RM1,000 sebulan bagi kawasan seluas 0.4 hektar.

Beliau berkata, projek tanaman rumput itu boleh dilakukan sesiapa saja sama ada penternak untuk memenuhi keperluan ternakan masing-masing atau pemilik tanah terbiar yang tidak mempunyai ternakan boleh menjual rumput yang ditanam itu kepada kilang memproses makanan ternakan.

"Pengilang sedia membeli rumput napier segar pada harga 10 sen sekilogram kerana perlu memprosesnya menjadi kering untuk tempoh simpanan lebih lama sebelum dijual kepada penternak yang memerlukan makanan bagi ternakan masing-masing. Harga rumput napier kering hanya kira-kira 30 sen sekilogram, berbanding makanan ternakan sedia ada dalam pasaran yang mencapai lebih 50 sen sekilogram.


"Menerusi kaedah penjagaan dan pembajaan yang betul, penternak tidak lagi berdepan dengan kos makanan yang mahal. Kandungan protein dalam rumput ini lebih tinggi iaitu 18 peratus berbanding keperluan ternakan sekitar 12 peratus saja," katanya.

Sejak mula diperkenalkan UiTM Kelantan kira-kira enam bulan lalu, ketika ini tujuh penduduk Kampung Permatang Pasir menyertai projek tanaman rumput itu dengan masing-masing mempunyai keluasan 0.4 hingga 0.8 hektar seorang, bagi memenuhi keperluan ternakan masing-masing.

Mohd Zaki berkata, rumput sesuai ditanam atas semua jenis tanah dan mampu mencapai ketinggian tiga meter dalam tempoh tiga bulan, jika mendapat pembajaan dan jagaan yang sempurna.

"Setiap benih akan mengeluarkan enam batang rumput. Apabila matang dan dipotong, setiap batang akan mengeluarkan dua tunas baru yang mampu membesar seperti induknya.

"Proses tuaian akan menyaksikan setiap rumpun rumput ini berkembang besar dan mampu mengeluarkan sehingga setahun sebelum ia dibuang untuk tanaman semula," katanya.

Mohd Zaki berkata, berdasarkan perkembangan dan potensi rumput terbabit, pihaknya berharap mampu menarik lebih ramai penduduk untuk menanamnya.

"Kebetulan pula saya adalah pensyarah dalam bidang ekonomi pengkhususan yang menekankan mengenai ke arah memperbaiki taraf kehidupan masyarakat yang tergolong dalam kategori miskin tegar.

"Saya perhatikan banyak bantuan yang kerajaan salurkan tetapi malangnya tidak dimanfaatkan golongan petani atau mungkin tidak sampai ke sasaran, jadi untuk itu saya mengambil inisiatif melalui UiTM dengan menjalankan beberapa kajian dan penyelidikan untuk memastikan apa yang diperlukan petani dapat dikecapi sebaik mungkin.

"Khusus untuk projek ini, saya lakukan kerana rumput adalah sejenis tanaman yang paling senang diuruskan dari segi penjagaannya serta hasilnya sangat cepat," katanya.

Penternak lembu di Kampung Permatang Pasir, Johari Jaafar, 26, berkata beliau menyertai usaha menanam rumput itu sejak enam bulan lalu dengan harapan dapat mengurangkan kos makanan ternakannya yang suatu ketika mempunyai 30 ekor lembu.

"Dulu saya perlu berbelanja sehingga RM1,000 sebulan untuk membeli dedak sebagai makanan kepada lembu yang dipelihara. Kos yang tinggi, menyebabkan dari semasa ke semasa, saya terpaksa menjual sebahagian ternakan itu untuk menampung keperluan makanan.

"Menerusi tanaman rumput Napier ini, saya berazam meningkatkan jumlah ternakan yang dipelihara kerana sumber makanan segar kini boleh diperoleh dengan mudah," katanya yang menanam kira-kira 0.4 hektar rumput.

Friday, August 7, 2009

TEH MALBERI

TEH MALBERI


Khasiat :
1. Mengelakkan penyakit kencing manis
2. Mengurangkan tekanan darah tinggi
3. Mengurangkan kolesterol dalam darah
4. Mengurangkan berat badan
5. Mengurangkan asma
6. Menguatkan tenaga
7. Mengandungi Vitamin A, B1 & B2
8. Mengandungi 18 amino asid
9. Kandungan kafein kurang dari 0.01%
10. Menggelakkan penyakit KANSER
11. Mengandungi KALSIUM tinggi dan menggelakkan pereputan tulang.

Harga Jualan RM18/kotak(20 sachet) .Hubungi 019-2272127 atau layari blog http://mulberrymalaysia.blogspot.com

Lebih banyak program agropolitan akan dibuka


Shafie Apdal (kiri) bersalam dengan sebahagian peserta program Perumahan Pembangunan Masyarakat Setempat Batu Layar semasa majlis Penyerahan Surat Tawaran PPMS Projek Agropolitan Pulau Banggi, Kudat, Sabah, semalam.


KUDAT (Pulau Banggi) 6 Ogos - Kerajaan mengenalpasti lebih banyak kawasan yang sesuai untuk dimajukan dengan program agropolitan di seluruh negara bagi membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenalpasti tiga kawasan baru untuk projek berkenaan.

''Projek agropolitan yang sedang dibina pada masa ini enam, manakala yang sudah dikenalpasti adalah tiga iaitu agropolitan Gunung Sadok di Sarawak, agropolitan Kedaya Telang Usan di Sarawak dan agropolitan Sedili di Johor.

''Kita akan terus melihat mana-mana kawasan yang sesuai sama ada di Semenanjung atau di mana-mana yang ada kepadatan kelompok kaum miskin untuk dimajukan.

''Kita juga sedang mengenalpasti kawasan yang masih ada di negeri Sabah dan Sarawak seperti di Kinabatangan, Pensiangan dan tempat-tempat lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran menduduki rumah di bawah Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) di PPMS Batu Layar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Mijul Unaini dan ADUN Pitas, Bolkiah Ismail.

Pada majlis itu seramai 100 peserta menerima surat tawaran bagi menduduki 100 buah rumah fasa pertama yang bernilai RM3.3 juta.

Menurut Shafie, pada masa ini projek agropolitan yang telah siap sepenuhnya adalah di Gahai, Pahang, manakala enam lagi sedang dalam proses pembinaan ialah agropolitan Pulau Banggi di Sabah; Batang Sadong, Batang Lupar dan Pulau Beruit di Sarawak; Ganda di Perak dan Chemomoi di Pahang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan projek agropolitan Banggi Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan tahap pelaksanaan projek yang dilancarkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu.

''Sejak ia dilancarkan pada 2007, jalan kampung dari Kampung Limbuak ke Kampung Padang dan Damaran telah siap 100 peratus manakala, jalan luar bandar sejauh 15 kilometer dari Karakit ke Limbuak siap 80 peratus.

''Bagi bekalan air sebanyak lapan buah kampung telah mendapat bekalan air bersih manakala projek bekalan elektrik di kawasan projek agropolitan juga telah 98 peratus siap," katanya.

Tambahnya, pada masa ini juga sebanyak 2,700 hektar tanah telah ditanam getah daripada keseluruhan 4,500 hektar tanah bagi penanaman getah di bawah projek itu.

Dari kelab golf ke kolam keli


Benih keli dilepaskan ke dalam kolam.


SEMUANYA bermula dari bual-bual kosong dengan seorang pemain golf bukan Melayu yang kerap berkunjung ke kelab tempat beliau bertugas empat tahun lalu.

Cerita tentang pengalaman berjaya dalam industri ternakan ikan air tawar dengan hanya menjadi usahawan menjual benih ikan keli itu, sekali gus mencetus minat Nur Azizi Rafie, 29, untuk serius menceburi bidang ini.

''Terus terang saya rasa tercabar, kawan kita ini mampu hidup bersantai dan senang lenang dengan hanya memiliki beberapa buah kolam ikan dan sebuah pusat menjual benih ikan air tawar" jelas beliau.

Sebelum melepaskan jawatan sebagai Eksekutif Perakaunan di sebuah kelab golf terkenal di Rawang, Selangor, Nur Azizi pernah menghadiri beberapa siri kursus penternakan ikan air tawar dan bengkel teknik pembenihan ikan anjuran Jabatan Perikanan dan Perintis Agrotech Centre (PAC).

Menurut Nur Azizi, daripada tinjauan awal, kos anak benih keli berukuran tiga inci di Lembah Klang dijual dengan harga antara 10 hingga 15 sen seekor.

Memandangkan tidak ramai penternak yang arif membuat pembenihan sendiri, mereka terpaksa membelinya daripada pembekal dan pusat-pusat pembenihan.

Bagaimanapun pembekal benih keli di Lembah Klang ketika ini cukup terhad dan menjadi punca kebanyakan projek ternakan keli tertangguh. Selain kekurangan bekalan induk keli untuk dibenihkan secara aruhan, faktor asuhan benih yang agak merumitkan menjadi punca kurangnya penglibatan yang serius dalam bidang pembenihan keli ini.

Atas kesedaran inilah dengan berbekalkan ilmu dan semangat, Nur Azizi mengambil keputusan nekad dan berpakat dengan seorang rakan sekerja Mohamad Suria Sufian, 29, meninggalkan kelab golf dan menyewa sekeping tanah di kawasan hutan rekreasi Rawang, Selangor.

Dengan menubuhkan syarikat Prestasi Agro Farm (PAF) kedua-dia usahawan muda ini mengorak langkah awal dengan memulakan projek ternakan keli dalam kanvas dan tangki poli dengan modal bersama.

Keli yang diternak dalam 15 tangki poli dan 10 kolam kanvas tersebut adalah hasil pembenihan keli yang mereka lakukan sendiri. Kegagalan demi kegagalan yang mereka tempuhi dalam proses pembenihan keli ini, sedikit pun tidak mematahkan semangat penternak muda ini.

Akhirnya dengan bimbingan dari pakar pembenihan di Jabatan Perikanan dan beberapa usahawan benih keli berjaya, mereka berhasil menyelami teknik sebenar proses pembenihan keli tersebut.

Sejak itu, setiap bulan paling kurang tiga kali pembenihan akan dilakukan melibatkan lebih 50 pasang induk.

Menurut beliau lagi, sesiapa sahaja yang ingin membuat pembenihan secara komersial harus mempunyai bekalan ikan induk yang mencukupi dan berterusan.

Di samping menternak induk sendiri, bekalan ikan induk juga diperolehi daripada pemancing atau penternak yang menggunakan kolam tanah.

Pemilihan induk yang kurang tepat akan mengurangkan kualiti dan kuantiti benih.

Sebelum proses pembenihan dibuat, induk yang dipilih dirawat terlebih dulu selama seminggu bagi menjamin kualiti telur yang bakal dihasilkan. Umur induk biasanya sekitar tujuh bulan hingga dua tahun.

Induk yang terlalu tua akan mengurangkan kuantiti dan kualiti benih.

Saiz yang sesuai adalah sekitar 26 sentimeter (300 gram) hingga 75 sentimeter (satu kilogram). Saiz induk betina biasanya lebih kecil daripada saiz induk jantan.

Seekor induk betina bersaiz 30 sentimeter mampu mengeluarkan telur antara 10,000 biji dan mencapai 200,000 biji telur apabila mencapai saiz 90 sentimeter.

Menurut Nur Azizi, masa yang paling sesuai untuk menjalankan pembiakan dipengaruhi kehadiran musim hujan iaitu antara bulan April hingga Disember dengan puncaknya berada antara bulan Julai dan September.

''Bekalan induk jantan paling kritikal kerana dalam proses pembenihan aruhan, induk jantan terpaksa dikorbankan bagi mengeluarkan kantung benihnya,'' jelas beliau lagi.

Setelah lebih dua tahun beroperasi, PAF kini mampu memasarkan lebih 500,000 ekor anak benih keli setiap bulan.

Memandangkan permintaan yang semakin bertambah, Azizi serta rakan menambah empat lagi kolam tanah bagi mempercepatkan proses pembesaran anak benih.

Menurutnya, anak benih yang berusia empat hari, lebih cepat membesar sekiranya diasuh dalam kolam tanah.

''Tiga minggu dalam kolam tanah sudah sedia untuk dijual terus kepada penternak," ujarnya.

Tegas beliau, biasanya penternak akan membeli anak benih yang berukuran tiga inci kerana risiko kematian adalah rendah.

Permintaan terhadap benih ikan keli memuncak ketika menjelang bulan puasa dan cuti sekolah kerana para penternak akan membuat persediaan awal bagi memenuhi permintaan ikan keli segar yang kebiasaanya mendapat pesanan berlipat kali ganda bagi hidangan berbuka dan majlis kenduri kahwin.

''Penternak biasanya akan memesan sebulan lebih awal sebelum ikan di kolam mereka dituai. Setakat ini permintaan paling banyak kami terima dari Lembah Klang, Selangor, Kawasan Utara dan Johor" ujarnya.

Setiap kali pembenihan dijalankan, PAF juga membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta mempelajari teknik pembenihan secara intensif.

Bengkel satu hari ini mendedahkan peserta tentang kaedah pemilihan induk, teknik pembenihan, asuhan benih dan penyediaan makanan alternatif.

Bagi mengurangkan kos makanan ternakan keli yang semakin meningkat, PAF mengamalkan penternakan teknik Pro Asli bagi meminimumkan kebergantungan kepada pelet.

Ini membuktikan bermula daripada bual-bual kosong di padang golf, mampu membawa keuntungan ribuan ringgit.

Bagi penternak yang ingin mempelajari teknik pembenihan ikan keli atau mendapatkan bekalan anak benih atau peralatan pembenihan, bolehlah menghubungi beliau di 019-3310855 atau 016-3094950.

Related Posts with Thumbnails