Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, December 16, 2009

75,000 liter susu segar dibuang dalam parit


SYED Muhd. Alwi Abdullah (kiri) bersama pekerja ladang terpaksa membuang 16,500 liter susu lembu segar ke dalam parit kerana pengilang enggan menerima susu tersebut di ladang Fidaf, Muadzam Shah, Pahang, semalam.


ROMPIN 15 Dis. - Sebuah syarikat pengeluar susu lembu tempatan terbesar di Semenanjung menanggung kerugian apabila terpaksa membuang sebanyak 75,000 liter susu segar berikutan keengganan pengilang menerima produknya sejak hampir dua bulan lalu.

Dalam kes terbaru hari ini, syarikat terbabit, First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf) membuang sebanyak 16,500 liter susu segar ke dalam parit di ladang ternakannya di Bandar Muadzam Shah dekat sini.

Berikutan keengganan pengilang menerima susu segar keluaran tempatan itu, syarikat terbabit terpaksa menanggung kerugian hampir RM200,000 sejak pertengahan bulan lalu.

Pengarah Urusan Fidaf, Datuk Syed Muhd. Alwi Abdullah mendakwa, keengganan pengilang menerima susu segar keluaran tempatan kerana harganya dikatakan lebih mahal berbanding susu segar import dari Australia dan New Zealand pada masa ini.

''Keadaan ini amat membimbangkan kita kerana ia boleh menjejaskan industri pengeluaran susu segar tempatan apabila pengilang lebih berminat untuk membeli susu segar import yang lebih murah.

''Dengan teknologi pengeluaran susu yang kita miliki, kita tidak mampu menawarkan harga yang lebih rendah daripada RM2.50 seliter berbanding susu segar import," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membuang sebanyak 16,500 liter susu segar di sebatang parit di ladangnya di Muadzam Shah hari ini.

Fidaf yang diwujudkan di bawah Ministry Of Agriculture Incorporated (MOA Inc.) pada tahun lalu, dibangunkan di kawasan seluas 920 hektar dan kini mempunyai 1,600 ekor lembu susu.

Fidaf kini mengeluarkan kira-kira 6,000 liter susu segar sehari kepada tiga pengilang terkemuka di negara ini.

Syed Muhd. Alwi menegaskan, bagi menangani masalah kesukaran susu tempatan memasuki pasaran, kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu campur tangan dengan mengkaji semula permit import (AP) yang dikeluarkan kepada pengilang.

Menerusi kajian semula itu, katanya, kerajaan perlu menilai semula kuota pengimportan susu segar import berdasarkan kadar tertentu supaya produk tempatan dapat terus bersaing di pasaran.

''Saya sedang menyiapkan surat berhubung kajian terhadap permit import untuk diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Sumber:utusan Malaysia

Monday, December 14, 2009

JPV terajui industri burung walet negara

PUTRAJAYA 7 Dis. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menerajui industri burung walet negara menyasarkan lebih ramai pengusaha menceburi perniagaan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kekurangan bekalan menyebabkan Malaysia hanya mampu memenuhi 10 peratus nilai eksport sarang burung walet ke China iaitu RM1 bilion.

''China, Hong Kong dan Taiwan lebih berminat dengan sarang burung walet dari Malaysia berbanding Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam kerana negara ini telah disahkan bebas dari wabak selesema burung.

''Hanya sekitar 50,000 rumah dijadikan tempat perusahaan sarang burung walet di seluruh negara dan kita memerlukan lebih ramai pengusaha untuk memenuhi permintaan dari China," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ketika ini Malaysia hanya mampu menyumbang 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).

Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan sehari daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.

Menurutnya, JPV juga bekerjasama rapat dengan Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia untuk mengendalikan kursus-kursus penternakan burung walet.

JPV juga berjaya menangani isu-isu berkaitan perladangan walet seperti di bangunan warisan, berdekatan lapangan terbang dan premis tertutup di kawasan bandar.

''Kos termurah untuk memulakan perusahaan ini ialah RM10,000 dan sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan dan RM7,000 jika sudah dibersihkan.

Jelas beliau, masih ramai yang tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang walaupun fizikalnya hampir sama.

Burung layang-layang membuat sarang daripada bahan seperti rumput atau daun tetapi burung walet membuat sarangnya daripada air liur.

Sarang yang dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ sebaliknya untuk bertelur dan anaknya membesar sahaja.

Abdul Aziz menambah, JPV telah mewujudkan laman web burungwalit.com.my untuk pendaftaran premis burung walet sebagai langkah pemantauan, pengawalseliaan dan pendaftaran.

MARDI hasilkan klon salak berkualiti

BUAH salak boleh dikategorikan sebagai tanaman eksotik yang semakin popular ditanam terutama di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Permintaan terhadap buah salak yang semakin meningkat memberikan peluang kepada petani untuk menambahkan pendapatan.

Bagaimanapun pada masa ini, perkembangan industri salak agak terbantut ekoran kekurangan bekalan bahan tanaman bermutu.

Kaedah tanaman salak masa kini masih menggunakan biji benih tetapi kaedah ini menghasilkan kadar pokok berkualiti yang rendah dan tidak seragam.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian bagi mendapatkan tanaman salak yang berkualiti.

Variasi


Pegawai Penyelidik Kanan, Stesen Penyelidikan MARDI Jerangau, Terengganu, Hashim Abu Bakar berkata, penggunaan biji benih menyebabkan berlakunya variasi pada warna kulit, saiz, bentuk buah dan isinya.

"Kajian menunjukkan penggunaan bahan tanaman tampang memastikan jantina pokok salak serta penghasilan kualiti buah yang tinggi dan seragam," katanya semasa ditemui di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.

Hashim berkata, kajian yang dijalankan bermula sejak tahun 1990, memberikan penekanan kepada dua aspek utama iaitu membangunkan teknik pembiakan salak serta memilih dan menilai baka salak tempatan yang terbaik.

Sejak daripada tarikh berkenaan, pelbagai teknik pembiakan tanaman salak telah berjaya dihasilkan.

"Teknik pembiakan tampang yang dihasilkan termasuk penggunaan anak sulur, teknik keratan batang, teknik belahan dan teknik aruhan.

"Teknik aruhan merupakan teknik pembiakan salak yang terkini dan telah disyorkan bagi membiak salak terpilih untuk tujuan penilaian," katanya.

Kajian yang dijalankan sejak 19 tahun lalu berjaya menghasilkan tiga klon terbaik yang dikenali sebagai Salak Terengganu iaitu ST1, ST2 dan ST3.

Teknik aruhan dilakukan berasaskan konsep 'removal of apical dominance' dengan membunuh sel-sel meristem pokok induk untuk menggalakkan pengeluaran sulur menggunakan minyak diesel.

Pokok induk, jelas Hashim, merupakan pokok salak yang telah dikenal pasti jantina dan kualiti.

"Pokok induk yang dipilih harus menepati syarat seperti berusia enam hingga lapan bulan, saiz batang dua hingga tiga sentimeter (cm) dan ketinggian 20 hingga 30 cm." katanya.

Proses aruhan dilakukan dengan mencabut pucuk baru pokok induk bagi membuka ruang untuk dua titik minyak diesel.

Titisan minyak diesel cukup untuk mematikan sel di bahagian meristem dan membantutkan pertumbuhan pokok induk.

Pokok induk

Dalam masa yang sama, jelas Hashim, sulur baru akan keluar dan pokok induk akan mula mengeluarkan lima hingga 10 sulur dalam masa dua hingga tiga bulan selepas diaruh.

Sulur yang telah berakar dan berusia empat hingga enam bulan kemudiannya dipisahkan daripada pokok induk.

"Semua baka yang terpilih dinilai sebagai berpotensi dan sesuai ditanam secara komersial dan usaha perlu dijalankan bagi membiakkan klon ini dan disebarkan kepada petani untuk dikomersialkan," katanya.

Pada keseluruhannya ketiga-tiga klon baru ST1, ST2 dan ST3 adalah lebih berkualiti berbanding dengan salak tempatan yang dibiak melalui biji benih.

Di samping menghasilkan buah yang seragam, kualiti buah yang dihasilkan jauh lebih baik.

Rasa buah lebih manis dengan isi lebih tebal. Klon ST ini mempunyai cita rasa tiga dalam satu manis, masam dan sedikit kelat serta mempunyai isi yang lebih tebal dan berjus.

Keistimewaan salak klon ini adalah semua bahan tanaman dikeluarkan adalah pokok betina.

Ini dapat menjamin peningkatan hasil berbanding penggunaan biji benih tempatan.

Sunday, November 29, 2009

Timur: Keledek musnah

BACHOK: Semua tanaman keledek yang diusahakan penduduk jajahan ini, musnah apabila ubinya reput akibat ditenggelami banjir yang melanda negeri ini buat kali kedua mulai kelmarin.

Kemusnahan keledek terbabit dialami kerana ubi yang matang itu tidak sempat digali petani kerana hujan berterusan menyaksikan kawasan tanaman mereka ditenggelami air.

Petani muda dari Kampung Beris Lalang, Mohd Azhar Omar, 19, berkata pada musim lalu, beliau mampu menghasilkan kira-kira 17 tan keledek vitato di 0.8 hektar kebun yang diusahakan.

"Namun, musim ini, untuk mendapatkan pulangan modal pun agak sukar kerana ketika banjir kali pertama belum kering sepenuhnya, kami terpaksa menempuh banjir kali kedua.

"Ketika banjir kali pertama kian surut, kami terpaksa mengambil risiko meredah air untuk menggali ubi dengan harapan kadar kerugian dapat dikurangkan kerana biasanya saya mampu mendapat pulang sehingga RM7,000 jika tidak dimusnahkan bencana alam ini.

"Secara keseluruhan, saya dan rakan yang turut mengusahakan keledek mengeluarkan perbelanjaan lebih RM4,000 sebagai kos membeli benih, upah jentera membajak dan baja tanaman kami," katanya ketika ditemui, semalam.

Ibu muda Norliza Muhamad, 24, yang mengusahakan tanaman keledek madu bersama suaminya Jali Abdullah, 30, dari Kampung Aman, turut sedih kerana hasil tanaman keledek yang sepatutnya sudah boleh digali, musnah menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM15,000 .

"Kami sekeluarga bergantung penuh pada hasil tanaman keledek ini untuk menyara keluarga, namun hanya sempat menggali kira-kira 800 kilogram saja, kerana selebihnya musnah ditenggelami banjir," katanya.

Beliau berkata, suaminya sudah menghubungi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ini untuk meminta bantuan agar dapat membantu membeli hasil keledek milik mereka yang sudah sedia digali dan dibungkus setiap sepuluh kilogram sebelum dijual ke pasaran.

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima, manakala pembekal benih keledek yang pernah memberi jaminan akan membeli hasil tanaman kami pun tidak muncul-muncul.

"Kami bimbang jika keledek yang sudah digali ini terbiar lama, akan rosak kerana baki yang ada ini pun sudah ditenggelami banjir dan akan lebih cepat rosak," katanya.

Sumber:Berita Harian

Johor: Insentif bantu usahawan tani kuasai teknologi moden

KERAJAAN Johor melalui jabatan dan agensinya menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan selain membantu pengusaha pertanian menguasai teknologi canggih dalam membangunkan sektor pertanian di negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata antara insentif diberikan dalam bentuk bantuan termasuk pembersihan kawasan untuk menyediakan ladang dan infrastrukturnya selain khidmat nasihat dan bimbingan oleh pegawai di peringkat daerah.

Katanya, kerajaan negeri juga turut melaksanakan program berbentuk penguasaan kemahiran teknologi maklumat melalui kursus di Pusat Latihan Pertanian dan menerusi sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP).



"Pihak kerajaan sentiasa menggalakkan peladang dan usahawan untuk terus memajukan bidang usaha mereka dan kerana itu insentif yang diberikan adalah berbentuk bantuan termasuk menyediakan ladang dan infrastruktur seperti jalan dan parit, baja, racun makhluk perosak dan pagar kawasan.

"Malah, mulai tahun lalu juga kerajaan Persekutuan ada menyalurkan bantuan intensif bagi menggalakkan pengeluaran tanaman makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran masing-masing pada kadar RM0.78 per kilogram dan RM0.81 per kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan Tan Cher Puk (BN-Johor Jaya) berkaitan bantuan dan subsidi diberikan kerajaan dalam membantu sektor pertanian selain cara kerajaan membantu pengusaha pertanian menguasai teknologi canggih di sini, semalam.

Aziz berkata, antara tanaman diusahakan peladang dan usahawan di negeri ini dibahagikan kepada kategori mengikut keutamaan iaitu tanaman industri, makanan, herba dan rempah serta tanaman bunga-bungaan.

Katanya, keluasan tanaman industri utama di negeri ini pada 2007 termasuk kelapa sawit sebanyak 1,088,371 hektar, getah (129,329 hektar), padi (2,330 hektar), kopi (1,718 hektar) dan koko (475 hektar).

"Bagi tanaman buah-buahan pula adalah sebanyak 61,066 hektar meliputi tanaman durian, nanas, pisang, duku, langsat, dokong, rambutan, tembikai, pulasan, nangka, jambu batu dan betik, manakala tanaman sayur-sayuran pula berkeluasan 2,777 hektar bagi jenis buah, 9,354 hektar bagi jenis daun dan 98 hektar bagi jenis umbisi.

"Selain itu, keluasan tanaman kontan pula adalah 4,239 hektar selain tanaman rempah dan herba iaitu 2,313 hektar," katanya
Sumber:Berita Harian
Related Posts with Thumbnails