Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 30, 2009

Afandi ingin jadi pengusaha keli terbesar


Mohd. Afandi Mahamad menunjukkan seekor induk ikan keli yang digunakan untuk mendapatkan telur sebelum proses pembenihan dilakukan di Cherang Ruku , Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. - utusan / Hapizah Aziz

---------------------------------------------------------------
PASIR PUTEH 29 Jun - Ketika bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat telekomunikasi, Mohd. Afandi Mahamad, 45, dari Cherang Ruku di sini sentiasa mengeluh kerana pendapatan dirasakan tidak mampu menampung keperluan keluarga yang kian membesar.

Bapanya pula sentiasa mengingatkan corak kehidupan keluarganya hanya terikat dengan jumlah pendapatan tetap yang diterima setiap bulan, begitu juga rutin hariannya terbatas kerana tuntutan kerja .

"Bagi ayah, dia lebih gembira kalau anak-anaknya berdikari, menjalankan perniagaan sendiri kerana pendapatan tiada hadnya asalkan gigih berusaha, tetapi pada awalnya saya tidak begitu ambil peduli.

"Ayah hanya petani kecil dan ketika itu tiada di kalangan enam anaknya yang menunjukkan minat melibatkan diri dalam apa jua jenis perniagaan walaupun dia sering menggalakkan kami," kata bapa kepada enam orang anak itu.

Mohd. Afandi yang ditemui Utusan Malaysia di pusat penetasan ikan air tawar dan hiasan miliknya di sini, baru-baru ini menceritakan, akhirnya dia nekad berhenti kerja pada tahun 2004 dan melaburkan RM20,000 wang simpanan.

Tujuannya ialah bagi mengusahakan projek pembenihan keli termasuk menyiapkan telaga, kolam serta tangki yang diperlukan.

Namun semasa masih bekerja, dia melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran dengan menyertai kursus di Kancanaburi, Thailand dan kursus anjuran Jabatan Perikanan Kelantan.

Sebagai permulaan, dia membeli kira-kira 500 ekor keli induk untuk proses pembenihan dan sejak itu dia tidak lagi 'menoleh ke belakang' dalam bidang ini yang dikembangkan kepada beberapa spesies ikan air tawar.

"Setakat ini, penglibatan saya memberikan pendapatan bulanan kira-kira RM16,000 dengan purata menghasilkan sebanyak 200,000 benih setiap bulan," ujarnya.

Mohd. Afandi bersyukur kerana sebelum bapanya meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu, dia dapat menggembirakan arwah yang sempat melihat perjalanan usahanya itu dan perkembangan perniagaannya.

Mulai tahun ini, dia turut membantu membimbing golongan belia untuk terlibat serius dalam bidang ini setelah Kementerian Sumber Manusia yakin dengan keupayaannya.

Menurutnya, dia mengajar secara teori dan praktikal dalam latihan sambil belajar selama setahun bagi melengkapkan pengetahuan dan kemahiran mereka berasaskan apa yang pernah dilaluinya.

Dia berhasrat menjadikan pusat pembenihan itu antara yang terbesar di negeri ini dengan menyasarkan pengeluaran sejuta benih sebulan untuk pasaran dalam dan luar negeri tempoh dua tahun lagi.

"Ini memerlukan tambahan kolam dan tangki sehingga lebih 100 buah. Ia akan dilakukan berperingkat-peringkat di kawasan tanah berpasir seluas 0.8 hektar," katanya.

Anak-anak ikan keli dijual dengan harga antara lima hingga 10 sen seekor mengikut saiz. Kebiasaannya antara 70 hingga 80 peratus anak benih itu hidup dan membesar dalam tempoh tiga bulan.

Mereka yang berminat mendapatkan kursus atau bekalan anak ikan boleh menghubungi Mohd. Afandi di talian 019-0129545538 atau 0139475252.

RM1 juta biak baka kambing


PASIR PUTEH 29 Jun – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meluluskan peruntukan lebih RM1 juta bagi melaksanakan projek membiak baka kambing import yang terpilih di Kelantan sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah LPP, Mariam Mas Yaacob berkata, setakat ini, sebanyak 400 ekor baka kambing betina dan 20 ekor kambing jantan yang diimport dari Australia telah ditempah.

Bagaimanapun, katanya, buat permulaan, projek pembiakan baka kambing itu akan dikendalikan LPP negeri dan salah sebuah syarikat swasta di Jeli.

‘‘Apabila proses pembiakan baka mencapai sasaran, kambing berkenaan yang bersaiz lebih besar berbanding kambing tempatan akan diagihkan kepada petani mengikut sistem pemeliharaan secara pawah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung LPP Tiga Daerah di sini, semalam.

Mariam Mas berkata, peruntukan yang disediakan itu adalah sebahagian daripada RM14 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada LPP Kelantan tahun ini bagi pelaksanaan pembangunan pertanian terutama di bawah program jaminan bekalan negara yang mencukupi.

Sementara itu ketika berucap pada majlis itu, beliau memberitahu, LPP akan berusaha memperkenalkan beberapa kaedah untuk menarik minat golongan muda khususnya siswazah menganggur menganggotai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan mempermudahkan penyertaan mereka.

Menurutnya, mereka hanya dikehendaki membayar RM10 sebagai syarat mendaftar sebagai ahli, sekali gus layak mendapat pelbagai bantuan yang disediakan seperti pemilikan jentera pembajak pada separuh harga.

Beliau berkata, setakat ini, 50 peratus daripada 711,000 yang menyertai PPK di seluruh negara adalah terdiri daripada golongan yang berumur lebih 50 tahun.

Vita Cat perluaskan pasaran


KUALA LUMPUR 29 Jun - Pengeluar makanan kucing Halal Malaysia, Edaran Vita Cat Sdn. Bhd., yang telah berjaya menembusi pasaran Dubai baru-baru ini, merancang memperluaskan lagi pasarannya di Timur Tengah.

Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaannya, Halim Baba berkata, syarikat itu bercadang untuk menyertai misi perdagangan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) hujung tahun ini untuk mendapatkan pasaran baru di sana.

Selain Dubai, Vita Cat juga mengeksport produknya ke Brunei, katanya dalam satu temu bual di luar Ekspo Mega Beli Barangan Malaysia baru-baru ini.

Ditubuhkan pada bulan April tahun lalu, syarikat itu kini mengeksport sejumlah 15,000 kilogram (kg) pengeluar makanan kucing ke Dubai dan 8,000 kg makanan kucing ke Brunei sebulan.

Untuk pasaran domestik, katanya, dengan bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN& HEP), produknya kini telah Berjaya memasuki pasar raya besar seperti Giant, Mydin, Carefour dan juga Jusco.

"Kami baru sahaja memasuki pasaran kesemua pasar raya besar ini dua minggu lalu dan permintaan amat menggalakkan," katanya, sambil menyatakan satu pasar raya mampu memperolehi jualan sebanyak RM12,000 seminggu.

Sebelum ini, menurut Halim, Vita Cat hanya dipasarkan di pasaran utara tanah air pada harga RM5.50 sepaket bagi 500 gram. Vita Cat adalah makanan kucing termurah yang terdapat di pasaran Malaysia.

"Sebelum ini pasaran kami terhad hanya di utara. Kami hanya bekalkan kepada pihak veterinar di Kangar, Perlis, Kulim dan Alor Setar," kata Halim.

Dengan permintaan yang semakin menggalakkan dari luar dan dalam negara, Halim berkata, syarikat itu bercadang menambah kapasiti pengeluaran kilangnya.

Kilang yang terletak di Alor Setar itu hanya berupaya menghasilkan 3,000 kg makanan kucing halal sehari.

"3,000 kg yang dihasilkan hanya mampu bertahan untuk seminggu. Kami bercadang untuk membeli mesin bagi menambah kapasiti harian," katanya.

Mesin baru yang berharga RM1.2 juta itu, katanya mampu menghasilkan kapasiti tambahan sebanyak 9,000 kg sehari.

Katanya, dengan adanya mesin baru itu, Vita Cat juga boleh menghasilkan makanan anjing dan ikan halal.

"Kami memang merancang untuk menghasilkan makanan anjing halal dan sekarang dalam proses menghasilkannya.

"Kami juga telah mendapat permintaan dari Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi menghasilkan makanan anjing halal bagi lebih kurang 13,000 anjing kepunyaan kementerian itu," katanya lagi.

Justeru itu, katanya lebih banyak pengedar diperlukan bagi mengedarkan produknya ke seluruh negara.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar produk Vita Cat ini boleh menghubungi Halim Baba di talian 012-4664080. - BERNAMA

Monday, June 29, 2009

Galak anak muda ceburi sektor pertanian moden

RAUB 28 Jun - Agensi pertanian negeri disarankan supaya mencari jalan menarik anak-anak muda supaya menceburi sektor pertanian dengan memajukan tanah terbiar kerana sektor pertanian kini menjanjikan pulangan yang lumayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah proaktif perlu dilakukan dengan menyalurkan segala ilmu dan teknologi pertanian canggih kepada golongan sasaran termasuk generasi muda.

Beliau juga menggesa generasi muda di luar negeri dan daerah ini supaya pulang ke kampung masing- masing untuk menceburi sektor pertanian moden.

"Mereka (generasi muda) yang tiada pekerjaan dan pendapatan makan gaji yang kecil digalak menceburi sektor pertanian di kampung kerana ia mampu memberi pulangan lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Pengembangan Jabatan Pertanian Negeri Pahang di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pertanian negeri, Kamariah Ismail.

Kursus tiga hari itu disertai 140 kakitangan jabatan itu yang terdiri daripada Pembantu Pertanian Kawasan dan Pegawai Pertanian Daerah.

Menurut Shahiruddin, masyarakat perlu mengubah persepsi yang selama ini mengaitkan golongan petani dengan kemiskinan kerana sekarang ini pertanian mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik dan hidup selesa.

Sehubungan itu, beliau menasihati para petani supaya menggunakan sistem perbankan bagi membiayai modal dan membeli peralatan pertanian canggih agar mereka mampu mengeluarkan hasil yang banyak dan berkualiti.

"Hari ini pertanian tidak lagi memerlukan kawasan tanah tetapi menerusi penggunaan teknologi pertanian moden kawasan tanah yang kecil mampu mengeluarkan hasil yang banyak," katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu Pahang mengeluarkan hasil pertanian bukan komoditi bernilai lebih RM1 bilion menerusi hasil pengeluaran bunga bernilai RM750 juta untuk pasaran eksport dan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran RM415 juta serta padi RM36 juta.

Keli salai penambat selera







SELEPAS berhenti daripada jawatan sebagai pengurus perhubungan awam dengan sebuah syarikat penerbangan beberapa tahun lepas, Shaharuddin Md. Yusof, 60, merealisasikan minat dalam perniagaan dengan menternak ikan keli dalam tangki simen.

Pada permulaan, beliau menjual ikan keli hasil ternakannya itu kepada penjual di pasar malam dan pasar tani yang terletak berhampiran.

Shaharuddin bersama saudara lelakinya menubuhkan Newtech Aquaculture Sdn. Bhd. pada Januari 2007, dan kemudian mendaftarkan syarikat berkenaan di bawah Skim Anak Angkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), untuk mempelajari lebih mendalam mengenai industri akuakultur ikan keli.

Sejak Disember tahun lalu , perniagaan itu, kini dikenali sebagai One Newtech, kini dimiliki sepenuhnya oleh Shaharuddin.

Dengan semangat untuk melebarkan perniagaannya, Shaharuddin mula mencari peluang untuk mempelbagai produk dengan menghasilkan produk yang diminta oleh pelanggan selain daripada ikan keli hidup.

Sebelum adanya peti sejuk, penyalaian adalah satu bentuk pengawetan dan penyimpanan yang popular.

Bahan kimia yang terhasil daripada kayu yang digunakan dalam proses penyalaian membantu memperlahankan pertumbuhan mikroorganisme dan mengurangkan jumlah kelembapan bagi pembiakan bakteria.

Rasa dan tekstur produk ikan keli organik yang disalai banyak bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti ikan, jenis kayu yang digunakan untuk menyalai dan cara penyalaian.

Ikan yang disalai secara betul akan dapat mengekalkan nilai khasiat ikan segar berkenaan.

''Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menghasilkan ikan keli salai dan melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai peralatan, teknik dan proses bagi menghasilkan ikan keli salai.

''Saya akhirnya mendapat apa yang saya mahukan di laman web di Jerman", kata Shaharuddin kepada Bernama semasa ditemubual di premis perniagaannya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor baru-baru ini.

Beliau terbang ke Jerman untuk bertemu dengan pengeluar mesin berkenaan tetapi mendapati harganya agak terlalu tinggi.

"Walaupun tidak dijual, mereka amat menghargai usaha saya dan memberi saya skema teknologi mesin penyalai berkenaan", katanya.

Dengan rangka tindakan dalam tangan, Shaharuddin mendapatkan sebuah mesin penyalai yang dipasang siap di sini pada kos RM80,000.

Menurut para pegawai LKIM, mesin penyalai yang dimiliki oleh Shaaruddin adalah satu-satunya mesin penyalai yang menggunakan teknologi terkini dalam proses menyalai, di mana penyalaian (dan haba) dihasilkan di bahagian berasingan dan kemudian disalurkan ke bahagian lain di mana ikan yang diproses digantungkan.

"Cara ini, daging ikan akan masak secara perlahan dan kekal lembut dan enak", kata Shaharuddin.

Dalam usahanya untuk mencapai kesempurnaan, Shaharuddin menghabiskan masa selama tiga bulan mencuba pelbagai teknik penyalaian untuk mengenalpasti proses penyalaian dan ramuan yang tepat.

Pemilihan kayu yang betul adalah suatu yang sukar. Hanya kayu pain yang mengandungi damar akan menjadikan ikan terasa pahit dan ini digemari ramai.

Beliau mendapati walaupun kayu dari pokok jambu tempatan memberikan hasil yang terbaik, mendapatkan bekalan untuknya bukanlah satu yang mudah. Beliau terpaksa mencari yang lain.

Habuk kayu oak

"Akhirnya, saya menjumpai habuk gergaji kayu oak menghasilkan asap yang bersih dan tidak tebal yang meningkatkan rasa enak ikan; menjadikan isi ikan warna yang menarik tanpa menjejaskan nilai khasiatnya", jelas beliau.

Pada 1 Januari 2008, produk mula dikeluar dan dipasarkan secara komersial dengan jenama "Newtech" setelah ia berjaya menghasilkan ikan salai yang bermutu.

Dengan taglinenya berbunyi: Aromanya Membuka Selera Anda keli organik salai "Newtech" kini dipasarkan melalui pasar tani, pasar malam, pasar segar dan di kedai makan serta runcit di Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Sebagai Presiden Persatuan Anak Angkat Jabatan Perikanan Selangor, Shaharuddin juga mewujudkan satu rangkaian pengedar untuk produk berkenaan.

Syarikat berkenaan turut aktif menyertai pameran dan ekspo yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengguna yang menitik berat akan kesihatan menyambut baik hasil produk Shaharuddin lebih-lebih lagi ia menerima sijil "halal" daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hasil pengeluaran harian mencatatkan pertambahan sekali ganda pada suku tahun kedua dan sekali ganda lagi pada suku tahun ketiga dan keempat.

Pada peringkat awal, pengeluaran produk adalah cuma kira-kira 20 kilogran (kg) sehari pada Januari dan meningkat kepada 40 kg pada Mac, 60 kg pada Jun, 80kg pada September; mencecah 100 kg sehari atau 2.5 tan metrik sebulan pada Disember 2008.

Permintaan kian bertambah hingga melebihi tawaran. Syarikat berkenaan kini terpaksa mendapatkan bekalan ikan daripada pemilik akuakultur, tetapi dengan syarat ikan keli diberi makan pelet.

"Kami menawarkan RM3.80 setiap kilogram ikan daripada penternak ikan keli, yang saiznya telah ditetapkan termasuk penghantaran", kata Shaharuddin.

Tidak seperti ikan sejenis yang hidup dalam lumpur di sungai, ikan ternakan di kolam milik One Newtech diberi makan pelet menjadikan isi ikan terasa manis, kenyal tetapi lembut.

Penyelidikan yang dikendalikan oleh Institut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati bahawa ikan keli yang diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik.

Kaya dalam protein dan lemak asid Omega-3 serta rendah kolestrol dan lemak tepu; ia adalah ideal untuk diet kesihatan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan.

Laporan itu juga menyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung.

One Newtech akan memulakan satu program pengembangan bertujuan agar produk syarikat boleh diperoleh di pasar raya seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Shaharuddin menjangka tahap pengeluaran harian akan meningkat lagi sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat merancang menambah ketuhar penyalai selain meningkatkan kebersihan premis bagi mematuhi Prosidur Pengendalian Standard Kebersihan (SSOP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam usaha mempelbagaikan produk, One Newtech baru-baru ini telah menambah daging salai dalam tawaran produknya. Turut tersenarai dalam produk barunya ialah ikan tilapia dan ikan patin salai.

"Akhirnya, kami berharap dapat memperoleh sijil HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal) ", kata Shaharuddin.

HACCP ialah satu proses standard yang menentukan sistem pengurusan dan pengawasan yang ketat dilaksanakan dalam pengeluaran makanan.

Pensijilan ini adalah satu proses yang ditetapkan untuk jualan produk makanan yang siap proses dalam pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat
Related Posts with Thumbnails