Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, August 20, 2009

Ambil peluang jadi usahawan


HASAN Malek melawat ladang Projek Berkelompok AET Ternakan Lembu Fidlot di Ladang Lembu Fidlot Inas, Johol, Negeri Sembilan, semalam.


KUALA PILAH - Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) menerusi Program Ternakan Lembu Fidlot yang digerakkan oleh RISDA di kalangan pekebun kecil mampu melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, usaha itu hanya mampu dicapai jika peserta beri komitmen yang padu dalam jayakan program tersebut.

"Program Ternakan Lembu Fidlot oleh RISDA bukan saja bertujuan menjana pendapatan tambahan di kalangan orang kampung, tapi pada masa yang sama dapat melatih mereka menjadi usahawan.

"Ia mampu dicapai jika mereka bersungguh-sungguh membabitkan diri dalam aktiviti itu dan tidak lepas tangan dengan menyerahkan semua kerja kepada pihak lain memandangkan ia diadakan berkelompok," kata beliau.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan majlis Penyampaian Dividen Projek Berkelompok AET Ternakan Lembu Fidlot dan Penyerahan Kunci Program Bantuan Rumah (PBR) di Ladang Lembu Fidlot Inas, Johol di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hasan.

Hasan menambah, dalam program tersebut para peserta diberi peluang menguruskan aktiviti perladangan dan pemasaran hasil ternakan mereka secara cekap melalui penyatuan pekebun-pekebun kecil.

"Aktiviti ini mampu memahirkan mereka dalam bidang pengurusan perniagaan agar mereka boleh menceburi perniagaan yang berskala besar. Kerajaan berharap semua peserta merebut peluang ini sebaik mungkin," kata beliau.

Sementara itu, dalam majlis tersebut 86 peserta dari tiga kelompok Program Lembu Fidlot itu menerima agihan dividen bagi 2008 yang berjumlah RM35,190.

Hasan memberitahu, agihan dividen tersebut yang dibuat secara tunai setiap dua kali setahun diharapkan mampu meringankan beban peserta dalam kehidupan seharian.

"Dividen ini bukti kesungguhan kerajaan membantu mereka diharapkan dapat membantu terutama ketika kita hendak menyambut musim perayaan tidak lama lagi," tambah beliau.

Dalam majlis yang sama, 20 penduduk kampung menerima bantuan rumah daripada RISDA yang bernilai RM33,000 sebuah.

Mohammad Izat berkata, bantuan rumah tersebut juga merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah.

"RISDA juga telah mengenal pasti sejumlah 64 orang yang layak untuk mendapat rumah baru dan 33 rumah untuk dibaik pulih di daerah Kuala Pilah dan Jempol.

"Daripada jumlah tersebut, 20 rumah telah siap dan diserahkan kunci pada hari ini," kata beliau.

Sekadar Renungan :Pesara guru dakwa temui penawar selesema babi


ROMLI menunjukkan tujuh ramuan herba yang dipercayai mampu mencegah penularan wabak H1N1 di kediamannya

200 pelanggan pulih selepas ambil herba diadun jadi kapsul

PENDANG: Seorang pengamal perubatan tradisional di Bukit Kuang di sini, mendakwa mampu mengubati Influenza A (H1N1) menggunakan tujuh jenis herba dan buah tempatan yang dihasilkan sendiri sejak sebulan lalu.

Pesara guru, Romli Hussin, 56, mendakwa lebih 200 pelanggan yang menggunakan herba itu termasuk lima ahli keluarganya yang mempunyai simptom seperti H1N1, iaitu demam berpanjangan, batuk, selesema, sakit tekak dan pening kepala pulih selepas beberapa hari mengambil herba berkenaan.

Katanya, kemampuan herba itu untuk mencegahnya teruji apabila anak keempatnya, Rohizati, 20, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pulang ke kampung selepas universiti itu ditutup seminggu sebagai langkah mengawal penularan wabak H1N1.

“Dia mengalami simptom seperti demam dan sakit tekak dan keadaan itu bertambah serius apabila empat ahli keluarga saya termasuk isteri, Roshidah Ismail, 43, turut mengalami simptom hampir sama.

"Saya terus mengadun tujuh ramuan herba yang terdiri daripada daun mahkota dewa, daun akar cerita, daun Afrika, daun malberi, daun mambu dan buah mengkudu hutan serta buah tunjuk langit untuk dikapsulkan sebelum diberikan kepada Rohizati.

"Selepas beberapa jam mengambil herba ini, anak saya menunjukkan reaksi yang positif dan kembali segar daripada kelesuan. Demam panasnya juga berkurangan dan badannya mula berpeluh," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sebelum itu, Romli sudah menghasilkan 13 jenis produk berasaskan herba yang dihasilkan sendiri menggunakan kepakaran diwarisi daripada ibu bapanya yang mempunyai latar belakang sebagai pengamal perubatan tradisional.

Minat yang mendalam untuk meneroka khazanah alam yang diwarisi sejak zaman berzaman, beliau sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk menjalankan penyelidikan termasuk menghantar herba itu untuk dianalisis oleh agensi berkaitan.

Romli berkata, dia juga memberikan herba itu kepada ahli keluarganya dan kenalannya termasuk 60 pelajar sebuah sekolah menengah agama rakyat (SAR) di Batu 16, Jalan Alor Setar-Sungai Petani yang mengalami simptom hampir sama dengan H1N1.

Beliau mendakwa selepas menggunakan herba berkenaan, mereka memberi reaksi positif dan terus mengamalkan herba itu sebagai alternatif mengawal penularan H1N1.

Sementara itu, setiausaha sekolah agama berkenaan, Mohd Najib Fahami Yahya, 54 yang dihubungi berkata, hampir 80 peratus daripada 60 pelajar sekolahnya yang mengalami simptom H1N1 sembuh selepas menggunakan herba berkenaan seminggu lalu.

Sumber:Utusan Malaysia

Pekasam Wanita Utara ke luar negara


JOHARABI Muhamad menunjukkan bungkusan ikan pekasam keluaran syarikatnya.


LENGGONG 16 Ogos - Apabila disebut ikan pekasam, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran kita ialah ikan air tawar yang mempunyai rasa masam-masam masin dan begitu enak jika dimakan dengan nasi panas.

Jika dahulu ikan pekasam hanya popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung, kini ia semakin mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.

Di Perak, terdapat beberapa pengusaha Melayu yang terlibat dalam menghasilkan produk istimewa ini dan antaranya ialah Joharabi Muhamad, 35.

Menurut Joharabi, idea untuk mengkomersialkan ikan pekasam adalah atas dorongan ibunya, Zairom Che Wok, 60.

Pada mulanya kata ibu muda ini, dia belajar membuat ikan pekasam dan menjualnya secara kecil-kecilan tetapi sambutan menggalakkan yang diterima membuatkannya nekad untuk membesarkan perniagaan tersebut.

"Idea untuk menjual ikan pekasam timbul selepas saya meluahkan rasa bosan tinggal di rumah kepada ibu. Selepas berkahwin, saya berhenti kerja di kilang dan menjadi suri rumah.

"Idea daripada ibu yang memang pandai membuat ikan pekasam akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada saya sekeluarga kini. Alhamdulillah, ikan pekasam yang dibungkus di bawah label 'Pekasam Wanita Utara' kini sudah menembusi pasaran China, Brunei dan Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak di sini baru-baru ini.

Jelas Joharabi, selain digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas, menu makanan menggunakan ikan pekasam juga boleh dipelbagaikan seperti dimakan dengan pulut dan ubi kayu rebus.

Malah katanya, ikan pekasam juga boleh dimasak gulai lemak atau dijadikan serunding yang pastinya enak dimakan bersama ketupat.

"Pekasam sebenarnya boleh dijadikan rendang seperti juga ayam dan daging. Hanya buang tulang belakang ikan dan campurkan dengan rempah ratus serunding, rasanya sangat enak," katanya.

Usaha Joharabi bertambah mudah apabila dibantu oleh suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 41.

Mereka memerlukan 300 kilogram ikan air tawar seperti ikan loma, sepat, lampam, puyu dan tilapia setiap hari untuk membuat pekasam.

Untuk menghasilkan ikan pekasam yang bermutu katanya, proses pertama yang perlu dilakukan ialah ikan disiang dan perutnya dibuang sebelum diletak garam dan diperam selama dua minggu.

Kemudiannya, ikan itu dibersihkan dan digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan dimasukkan ke dalam tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan selama dua minggu lagi sebelum dibungkus.

"Sebenarnya, lagi lama ikan diperam, rasanya akan lebih enak. Ikan pekasam boleh disimpan lama kerana ia sudah diawet," katanya.

Menurut Meor Shahili pula, untuk memastikan ikan pekasam yang dibuat 'menjadi' dan mempunyai rasa yang sedap, hanya ikan-ikan segar yang dibekalkan oleh pemborong akan digunakan.

"Saya sangat menitikberatkan kebersihan dalam proses menghasilkan ikan pekasam bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berkualiti.

"Ramai yang mengatakan ikan pekasam berbau busuk kerana diperam. Saya mahu mengubah persepsi ini. Jika kita menggunakan ikan segar dan menjaga kebersihan tempat menyediakannya, ia tidak akan berbau busuk," katanya

Pekasam Wanita Utara dijual pada harga RM3.50 untuk 200 gram dan sekiranya pelanggan membeli secara pukal, mereka boleh mendapatkannya pada harga borong RM2.80 untuk 200 gram.

Sumber:Utusan Malaysia

Keli Fillet Chips di pasaran


ABD. Manan Aziz menunjukkan Keli Fillet Chips pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.


MELAKA 16 Ogos - Ternakan ikan keli bukanlah asing dalam bidang akuakultur yang terbukti dapat memberikan hasil lumayan. Selain digunakan sebagai masakan, sebuah syarikat milik bumiputera, Amz Gemilang Sdn. Bhd.

(AMZ Gemilang) berjaya membuktikan ikan keli bukanlah boleh dijadikan lauk semata-mata.

Pengurus Jualan AMZ Gemilang, Abd. Manan Aziz berkata, hasil penyelidikan, syarikat itu berjaya memasarkan produk makanan ringan yang dikenali Keli Fillet Chips yang baru sebulan berada di pasaran.

Menurutnya, makanan yang berkhasiat tinggi itu diperbuat daripada 100 peratus isi ikan keli organik yang diternak menggunakan kaedah sistematik yang dikawal pemakanannya.

"Ikan keli organik mempunyai kandungan asid lemak Omega 3 yang tinggi sebab itulah Keli Fillet Chips menjadi makanan ringan berkhasiat yang patut dicuba," katanya.

Abd. Manan berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai promosi makanan itu sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

Menurutnya, khasiat yang terdapat pada ikan keli adalah mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung, meningkatkan tahap penglihatan dan membantu mengurangkan risiko artherioskleriosis.

Tambahnya, Keli Fillet Chips dihasilkan menggunakan isi ikan keli yang disalai sebelum ditaburkan sos sebelum disalai sekali lagi.

"Buat permulaan kita cuma mengeluarkan perisa pedas yang dijual di dalam bekas botol 500 gram berharga RM15 dan paket 250 gram pada harga RM2.50.

"Akan datang, Keli Fillet Chips berperisa barbeku, ayam, asli dan tomato akan berada di pasaran," katanya sambil menambah memerlukan pengedar untuk memasarkan produk syarikat yang terletak di Shah Alam itu.

Mereka yang berminat menjadi pengedar boleh menghubungi Abd. Manan di talian 012-3884665 atau Shaharul Azuar Idris (013-3424344).

Sumber:Utusan Malaysia

TADC perlu ambil tindakan stabilkan harga

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Coporation Sdn Bhd (TADC) perlu mengambil tindakan segera bagi menstabilkan harga duku untuk mengelak lambakan hasil pertanian itu di pasaran.

Malah, masalah dihadapi pekebun di Terengganu itu perlu mendapat kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi memastikan duku yang sinonim dengan Terengganu dipasarkan ke Pantai Barat bagi membantu menyelesaikan masalah harga dan lambakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata beliau akan bincang dengan Fama bagi membolehkan duku Terengganu yang boleh dipasarkan antara Julai hingga Oktober, dijual di seluruh negara.

Beliau berkata, anggaran keluasan tanaman duku di daerah Hulu Terengganu saja membabitkan kawasan seluas 300 hektar dan daripada jumlah itu, seluas 265 hektar dikenal pasti dapat mengeluarkan sebanyak 250 tan semusim.

Katanya, Fama hanya mampu membeli sebanyak 100 tan dan bakinya dijual secara terus oleh pekebun kepada pemborong untuk pasaran tempatan.

"Terdapat 22 kampung atau kawasan utama pengeluaran duku di daerah Hulu Terengganu," katanya.

Rozi berkata, masalah utama dihadapi pekebun ialah harga ditawarkan Fama iaitu RM1 sekilogram dan harga itu belum ditolak dengan pelbagai membayar upah memetik duku.

Katanya, pekebun duku juga diminta mencari kaedah lain terutamanya menghasilkan pelbagai produk berasaskan duku bagi menyelesaikan masalah kejatuhan harga pada masa musim yang akan datang.

Baru-baru ini Rozi juga mengarahkan duku Terengganu dijadikan sebagai pencuci mulut utama setiap jamuan dianjurkan kerajaan negeri dan agensinya bagi mengurangkan lambakan dan meringankan beban petani.

Masalah dan rungutan pekebun mengenai harga duku di negeri ini mendapat perhatian Pengerusi Fama, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin apabila beliau membuat lawatan mengejut dan berjumpa sendiri dengan pekebun duku di Pusat Pengasingan Duku di Kampung Durian Bador, Kuala Berang, baru-baru ini.

Lantara itu, Badruddin berkata, Fama diarah mengambil tindakan segera untuk mengurangkan masalah lambakan duku di Pantai Timur dengan memasarkan duku ke beberapa negeri di Utara dan Pantai Barat, selain menaikkan harga belian daripada RM1 sekilogram kepada RM1.20 sen sekilogram.

Katanya, jika duku Terengganu dapat dipasarkan ke beberapa negeri di Utara dan Pantai Barat, masalah harga jualan yang terlalu rendah membelenggu pekebun selama ini akan dapat diatasi.

Related Posts with Thumbnails