Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, April 30, 2010

Serba ringkas updated dari Ladang Integrasi Interxpose di Melaka

Friday, April 16, 2010

KORBAN

Amalan korban tersimpan berbagai rahsia dan hikmah, menambahkan lagi kesempurnaan iman dalam jiwa. Penyembelihan haiwan korban tersebut melambangkan pengorbanan hawa nafsu yang lebih mencintai dunia. Sangat besar rahmat yang menanti bagi orang melakukannya, kerana setiap bulu-bulunya dinilai sebagai kebajikan bahkan sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima disisi Allah s.w.t.

Korban bermaksud hampir. Dari segi istilah bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya AidilAdha dan hari tasyrik, iaitu 11, 12, dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

Hukum korban ialah sunat muakad, iaitu sangat-sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan tetapi dihukumkan wajib apabila bernazar. Tuntutan sunat muakad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya seperti Islam, sempurna akal, dan baligh. Orang yang berkorban dianjurkan menyembelih binatang itu sendiri atau sekurang-kurangnya melihat pada waktu penyembelihan dilakukan.

Korban sangat dituntut dalam Islam. Dalil yang menerangkan waktu korban ialah,firman Allah s.w.t :
Yang bermaksud:
"Maka bersembahyanglah kamu kerana Tuhanmu dan berkorban kerana-Nya." & "Tidak akan sampai kepada Allah dagingnya dan tidak darahnya tetapi sampai kepada-Nya taqwa daripada kamu."

AQIQAH

Aqiqah adalah penyembelihan haiwan kerana menyambut kelahiran bayi. Hikmah amalan sunnah ini menunjukkan rasa kegembiraan, mensyukuri nikmat Allah serta merupakan amalan kemasyarakatan. Dengan aqiqah, anak dapat memberi pembelaan atau syafaat pada orang tuanya di hari kiamat. Kemudian agar anak tumbuh dan berkembang dengan sempurna, mereka hendaklah dikhatan supaya menjadi bersih sesuai dengan fitrahnya.

Pengertian aqiqah ialah sembelihan binatang an'am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

Hukum aqiqah ialah sunat muakad bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

Waktu aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdal untuk melakukan akikah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak itu.

Sabda Rasulullah s.a.w :
image
Yang bermaksud: "Setiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."

Sabda Rasullullah s.a.w :
“Bersama bayi yang lahir itu Aqiqah, oleh itu mengalirlah darah (dengan menyembelih haiwan) untuknya, dan jauhkan baginya segala penyakit (dengan mencukur rambut)”. (hadith riwayat Bukhari).

HIKMAH AQIQAH

Aqiqah mengandungi beberapa hikmah antaranya :

  • Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  • Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang di kurniakan oleh Allah.
  • Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikkan.
  • Mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat dengan keluarga yang di kurniakan anak.
  • Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.

PERBEZAAN DIANTARA KORBAN DAN AQIQAH

Terdapat beberapa perbezaan antara korban dengan aqiqah:

Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijjah. Daging aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.

Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail.
Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging aqiqah sunat di sedekahkan setelah dimasak.


BERNIAT AQIQAH KETIKA MENYEMBELIH.

Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

CARA MELAKUKAN AKIKAH

Berdoa semasa hendak menyembelih:
image
Yang bermaksud: "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini aqiqah …" (menyebut nama anak).

  • Menyembelih ketika matahari sedang naik.
  • Daging aqiqah di masak terlebih dahulu sebelum di sedekahkan.
  • Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang aqiqah, hanya meceraikan sendi-sendinya.
  • Menyedekahkan daging aqiqah kepada fakir miskin.
  • Memasak daging aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu.

    Perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika menyambut kelahiran anak:
  • Membaca azan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir.
  • Membaca qamat di telinga sebelah kirinya.
  • Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas.
  • Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang.
  • Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya.
  • Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.
  • Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih akikah untuknya.
  • Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut.
  • Menyedekahkan daging aqiqah kepada fakir miskin.

Monday, March 29, 2010

Ladang kontrak pawah bantu golongan susah


LADANG ternakan Falcon Livestock Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan.


PENGALAMAN membantu ayah membela lembu ketika berusia 15 tahun telah menyuntik semangat beliau untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bertitik tolak daripada situ, Muhammad Fauzi Daud, 46, telah mencuba pelbagai perniagaan demi mencari kepuasan dalam bidang tersebut.

Antara yang sukses adalah perusahaan perabot di mana beliau akhirnya berjaya mempunyai kilang perabotnya sendiri.

Menjelang tahun 1997, beliau mencuba nasib dalam bidang penternakan pula apabila membeli 20 ekor kambing baka Jamnapari daripada Indonesia.

Selain baka itu, beliau turut menternak kambing daripada jenis Boer dan kambing kampung di samping ternakan lain seperti lembu serta rusa.

''Selepas lima tahun terlibat dalam aktiviti ini, saya merasakan adalah lebih baik saya memberi fokus kepada satu jenis ternakan sahaja.

''Ketika itu saya melihat baka Jamnapari mempunyai potensi untuk diperkembangkan kerana mempunyai susu dan daging selain mudah diternak,'' katanya ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Justeru, bermula tahun 2005, beliau mula merangka strategi memperluas projek ternakannya dengan memperkenalkan konsep ladang kontrak.

Beliau yang sebelum itu telah menubuhkan syarikat United Falcon Sdn. Bhd. pada tahun 1995 memulakan operasi penternakan menerusi Projek Mini Perladangan Kontrak Kambing dan Bebiri.

Projek berkenaan menawarkan pakej bekalan baka, pembinaan kandang, kursus, pemantauan projek, mesin memproses makanan, khidmat susulan serta pembelian balik anak kambing yang berusia enam bulan dan ke atas.

Peringkat awal pelaksanaan projek itu telah mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Felda dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Pada tahun 2005 pula, syarikat berkenaan telah dijenamakan semula sebagai Falcon Livestock Sdn. Bhd. dengan operasi penternakan telah diusahakan di ladang seluas 20 ekar yang terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan syarikat itu memberitahu, pihaknya turut menerima penyertaan daripada Kementerian Pertanian di bawah penyeliaan Jabatan Veterinar.

Jabatan berkenaan akan bertindak sebagai mentor kepada pelaksanaan Projek Mini Perladangan kontrak Sistem Pawah di kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar.

Menarik mengenai konsep ladang kontrak pawah, ia menyasarkan penyertaan dari golongan miskin, miskin tegar dan juga berpendapatan rendah.

''Menerusi sistem ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membeli sebanyak 27 ekor kambing daripada syarikat kami untuk diberi kepada penternak.

''Penternak pula hanya perlu membayar sebahagian sahaja daripada kos ternakan iaitu RM25,000 menerusi pembiayaan Tekun Nasional (Tekun) di bawah skim pinjaman kredit mikro.

''Dalam masa kontrak selama lima tahun, penternak perlu mengembalikan semula 27 ekor kambing kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pusingan untuk diberikan kepada penternak lain pula,'' jelasnya.

Cara itu akan memudahkan penternak kerana mereka tidak akan terbeban dengan hutang pinjaman sehingga seratus peratus.

Mereka turut mendapat jaminan kejayaan aktiviti ternakan dan pasti tidak akan berhadapan dengan masalah teknikal serta pasaran kerana pihak syarikat telah menyediakan modul penternakan lengkap.

Konsep pawah itu juga tidak memerlukan kawasan ternakan yang luas untuk meminimumkan penggunaan tanah dengan konsep satu ekar bersamaan 100 ekor kambing.

Dari segi makanan ternakan pula, syarikat itu memperkenalkan konsep pemakanan kos rendah yang tidak menggunakan palet menerusi bantuan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Namun, untuk peringkat tiga bulan pertama, para penternak akan dibekalkan dengan makanan berkhasiat tinggi serta ubat-ubatan untuk mengelakkan haiwan ternakan mengalami tekanan atau stres.

''Penternak akan diajar cara mengadun makanan daripada daun, rumput yang ditanam dan rumput liar bagi memastikan ia cukup nutrien dan sesuai untuk pembiakan kambing.

''Rumput dan daun ini akan diadun dengan jerami padi serta bahan buangan industri lain yang bersesuaian.

''Kita juga ada menjalankan aktiviti penanaman rumput dari jenis Napier, Malberi dan Gliricidia. Kesemua jenis ini mempunyai kandungan protein sehingga 15 peratus,'' katanya.

Dari segi pembiakan, para penternak akan dibimbing untuk membiakkan baka secara natural menggunakan pejantan.

Faktor kesihatan turut diberi keutamaan di mana pemeriksaan akan dibuat enam bulan sekali bagi memastikan ladang dan haiwan ternakan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

''Konsep penternakan kos rendah ini mengetengahkan sistem sekuriti bio untuk keselamatan haiwan ternakan.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berterusan juga dijalankan bersama Mardi serta JPV.

''Kita turut mengamalkan konsep bebas bahan buangan kerana najis-najis haiwan ini akan di kitar semula sebagai baja tanaman seperti rumput, pisang, jagung dan ubi selain dijual dalam bentuk sebagai baja organik.

''Untuk pembinaan kandang pula, ia akan menggunakan material terbuang dan masih berada dalam keadaan baik. Reka bentuk kandang juga akan berubah-ubah dan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa,'' jelasnya.

Sebanyak empat jenis pakej perladangan kontrak disediakan untuk para penternak iaitu RM20,000, RM30,000, RM40,000 dan RM55,000.

Di samping itu, terdapat lagi tiga projek individu yang melibatkan kos RM100,000 di Selangor dan Negeri Sembilan untuk fungsi pengeluaran susu serta sebuah ladang di Pahang untuk pembiakbakaan.

Selepas menjalankan penternakan selama setahun, penternakan diberi jaminan memperolehi pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada pakej yang diambil.

Setakat ini sebanyak 38 projek di bawah Felda, 50 projek TEKUN , 40 projek JPV dan 30 projek individu dari seluruh negara telah dilaksanakan di bawah syarikat tersebut.

Ia tidak termasuk projek daripada kalangan Orang Asli di sekitar kawasan Kampung Tekir dan Labu di Negeri Sembilan.

Selain di Lenggeng, Falcon Livestock Sdn. Bhd. turut mempunyai cawangan ladang ternakan di Berjuntai Bestari, Selangor.

Untuk pasaran, syarikat itu mempunyai pusat jualan yang dikenali sebagai Halal Eksotik di Semenyih, Selangor untuk tujuan jualan daging, pembelian aqiqah dan juga korban

Dengan segala perkhidmatan yang disediakan, Fauzi berharap lebih banyak organisasi kerajaan dan swasta tampil bekerjasama dengan syarikatnya untuk membantu golongan susah keluar dari belenggu kemiskinan.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat menambahkan populasi kambing di negara ini bagi memenuhi permintaan sebanyak 1.5 juta ekor setahun.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ladang kontrak berkenaan boleh menghubungi Fauzi di talian 019-6509690 atau 03-55115233/5244.

Sumber:Utusan Malaysia

Ternak siakap dalam sangkar bawa keuntungan


Sangkar ikan siakap yang sedang dalam pembinaan.


BERMASTAUTIN berhampiran Sungai Kakap, Pekan, Pahang menjadikan Raja Zainuddin Raja Omar tidak 'segan' dengan hidupan air. Gemarkan sesuatu yang baru, Raja Zainuddin mula mencari aktiviti yang lebih mencabar sebagai mata pencarian.

"Saya mula menyusuri anak Sungai Kakap bagi meninjau potensi ikan siakap di sana.

"Malah Sungai Kakap juga mendapat namanya daripada ikan siakap," katanya semasa ditemui di sangkar ikan siakap kepunyaannya di Sungai Kakap, Pekan, Pahang.

Lawatan ke sangkar ikan Raja Zainuddin merupakan salah satu daripada siri lawatan program Agrochallenge ke-6 Putrajaya ke Pekan anjuran Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT).

Menceburkan diri dalam penternakan ikan siakap putih di Sungai Kakap pada tahu 2002, Raja Zainuddin bermula hanya dengan 16 petak.

Beliau memperoleh benih ikan siakap dengan bersaiz tiga hingga empat inci dari Terengganu dan Johor yang diletakkan dalam sangkar terapung berkeluasan 10 kaki x 10 kaki x 5 kaki.

Biasanya ikan siakap boleh dituai pada bulan ke lima atau mencapai berat lebih kurang 500 gram (g).

"Ketika ini kami sudah boleh memilih dan menggredkan ikan yang sesuai untuk dipasarkan di sekitar Kuantan.

"Kami menjual ikan segar pada harga RM12 hingga RM16 sekilogram," katanya.

Melihat kepada usahanya yang mendatangkan hasil lumayan, beberapa rakannya berminat untuk bersama-sama dalam ternakan ikan siakap sangkar.

Pada 2005, hasil kerja keras, Raja Zainuddin bersama-sama rakannya mempunyai 60 sangkar ikan siakap.

"Melihat kepada kesesuaian kawasan dengan ikan yang dituai mendapat sambutan yang menggalakkan di sekitar Kuantan, kami menambah bilangan sangkar sehingga mencapai jumlah 60 petak.

"Menguruskan sangkar yang banyak bukan suatu kerja yang mudah tetapi dengan kerja gotong-royong antara pemilik sangkar dapat memudahkan kerja," katanya.

Sehingga kini tapak ternakan ikan Raja Zainuddin mempunyai 234 sangkar ikan siakap di dua tapak ternakan berlainan.

Ketika diminta berkongsi mengenai masalah dan cabaran menternak ikan dalam sangkar, Raja Zainuddin berkata, dia tidak menghadapi masalah besar besar kecuali keadaan air, teritip serta pasaran ikan kolam.

Ini menyebabkan mereka tidak meletakkan sangkar yang lebih dalam bagi mengelakkan masalah teritip.

"Biasanya ikan kolam lebih murah berbanding ikan sangkar tetapi rasanya agak berlainan.

"Masalahnya apabila pengguna yang lebih gemar membeli pada harga rendah tidak mengendahkan kualiti ikan yang dibeli," katanya.

Bagaimanapun bagi mendapatkan benih ikan yang lebih berkualiti, Raja Zainuddin bersama-sama usahawan ikan sangkar mengusahakan Sg. Kakap Enterprise pada tahun ini bagi menghasilkan benih ikan.

Selain itu Jabatan Perikanan juga menghulurkan bantuan melalui Pusat Asuhan Benih Ikan Pinggir Laut Sungai Kakap bagi memastikan benih ikan yang dihasilkan bermutu.

Menyentuh mengenai makanan ikan, Raja Zainuddin berkata, pihaknya tidak bergantung kepada pelet atau ikan baja.

"Walaupun harganya murah, kami lebih gemar menggunakan anak-anak ikan yang tidak digunakan," katanya.

Apa yang membanggakan kolam ternakan ikan Raja Zainuddin telah menerima pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk menjalani latihan amali.

Mohd. Akmal Ali pelajar jurusan Perniagaan Tani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) gembira dapat mendalami ilmu perniagaan dalam industri perikanan.

"Saya bercadang mendalami pelbagai ilmu dalam bidang pertanian dan perikanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails