Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, August 15, 2013

Penyelidik UKM kaji manfaat makan tempe


FotoGANDINGAN mantap Dr Suzana (dua dari kiri), Dr Hasnah (dua dari kanan) bersama kajian tempe dilakukan mereka.

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Populasi di negara ini mengalami proses penuaan dengan jangka hayat wanita melebihi lelaki iaitu purata umur sekitar 79 tahun.
Meskipun jangka hayat golongan berkenaan tinggi, kualiti hidup pula tidak memuaskan termasuk berdepan dengan masalah pengurangan jisim tulang yang agak tinggi.

Wanita juga menghabiskan sisa hidup dengan mempunyai jisim tulang yang rendah dan boleh membawa kepada keadaan osteoporosis atau tulang rapuh.

Ini menambah lagi risiko tulang patah dan mengurangkan pergerakan seseorang.

Melihat kepada senario dialami golongan itu, penyelidik daripada Program Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengkaji mengenai penyerapan kalsium menggunakan isotop stabil.

Kajian ini diketuai Timbalan Dekan FSK, Prof Dr Suzana Shahar daripada Program Dietetik manakala penyelidik bersama kajian ini adalah Prof Madya Dr Hasnah Haron, yang juga Pensyarah Kanan daripada Program Pemakanan menjalankan kajian ini sebagai kajian doktor falsafah (PhD).

Tajuk kajian yang dijalankan adalah Penyerapan Kalsium Di Kalangan Wanita Melayu Menopaus Yang Mengambil Tempe Berbanding Susu Menggunakan Kaedah Isotop Stabil.

Kajian mendapati tempe daripada kacang soya mempunyai jumlah penyerapan kalsium yang tinggi setanding susu.

Tempe juga mengandungi isoflavon iaitu sejenis antioksidan yang mampu memerangi kerosakan sel, mengurangkan simptom menopaus serta meningkatkan jisim tulang khusus kepada golongan wanita.

Isoflavon memberi banyak manfaat untuk wanita dan boleh mencegah risiko penyakit kardiovaskular, kanser dan mengurangkan gejala ‘hot flushes’ (panas badan yang disebabkan perubahan hormon dalam kalangan wanita yang mengalami menopaus).

“Kajian di Jepun membuktikan ‘hot flushes’ berkurangan dalam kalangan wanita menopaus yang mengambil kacang soya,” katanya.

Namun, kajian mendapati menggoreng tempe dalam minyak yang banyak mengurangkan kandungan isoflavon.

Katanya, kajian yang mereka jalankan adalah salah satu projek di bawah badan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Kajian pemakanan yang menggunakan isotop stabil selamat digunakan ke atas bayi, wanita mengandung serta menyusukan anak dan warga tua,” katanya.

Menurutnya, pengambilan kalsium terutama dalam kalangan wanita Melayu yang menopaus di pedalaman antara 200 hingga 300 mg sehari sedangkan wanita Cina menopaus kurang daripada 500 mg/sehari.

“Kajian mendapati wanita dalam usia ini mengambil purata 30 hingga 60 peratus daripada 1,000 mg kalsium/sehari yang dicadangkan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan, Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) 2005.

“Cara kami menyediakan tempe ialah dengan menggoreng bersama tepung. Kami perlu memberi subjek kajian sebanyak 240 gram tempe yang mengandungi 150 gram kalsium.

“Dalam kajian isotop stabil, kita perlu memberikan satu pertiga daripada pengambilan kalsium biasa dalam populasi ini (500 miligram) dan ini bersamaan 150 miligram kalsium,” katanya.

Kajian isotop stabil dijalankan dengan menjemput pakar pemakanan dari Universiti Cornell, USA iaitu Prof Dr Kimberly O’Obrien.

“Penyaringan terhadap subjek dilakukan dengan kebanyakan mereka tinggal di sekitar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Subjek juga membabitkan golongan warga emas Melayu berusia 55 hingga 65 tahun dan mengalami menopaus selama lima tahun,” katanya yang menjalankan kajian isotop stabil dari 2006 hingga 2008.

Dalam kajian itu, hanya subjek yang sihat dan tidak mengambil ubat diambil kerana ubat akan mempengaruhi penyerapan kalsium.

Kajian itu adalah yang pertama di dunia mengenai penyerapan kalsium daripada tempe.

“Kajian ini dapat mengubah persepsi mengenai tempe kerana ia adalah sumber kalsium dan berpotensi mengurangkan kehilangan jisim tulang dalam kalangan wanita menopaus serta perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Hasil kajian menunjukkan empat hidangan tempe akan memberikan kalsium yang setara dengan secawan susu.

“Susu memang sumber kalsium yang terbaik manakala tempe juga mengandungi kalsium, tetapi tidak setinggi susu, maka kita memerlukan empat hidangan tempe berbanding secawan susu.

“Apabila kami dapat hasil kajian seperti ini, kami ingin menyebarkan kebaikan makanan tempe ini kepada masyarakat umum.

“Tempe mengandungi kandungan isoflavon yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan kita,” katanya.

Kajian yang dijalankan mereka sudah memenangi beberapa anugerah termasuk pingat gangsa sempena Ekspo Kecemerlangan Warisan Ilmu UKM dan pingat gangsa sempena Ekspo Penyelidikan UPM, selain Anugerah Penerbitan daripada Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) pada persidangan NSM ke 28.
Sumber:Harian Metro

Tanam sayur selepas gantung but


Foto

Oleh Mohd Amin Jalil
Sekalipun bidang diceburi amat berbeza, tetapi kesungguhannya mengusahakan Projek Ladang Kontrak bersama FAMA Negeri Sembilan membuahkan hasil memberangsangkan.
Siapa sangka bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohd Khaidir Mohd Dom, 39, kini bergelar pembekal sayur-sayuran terkenal menerusi Projek Nur Kasih Agro.
Dia mengusahakan projek itu di tanah seluas 10 hektar di Kampung Pelebar Dalam Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM20,000 sebulan.

Selain pasaran tempatan, sayur yang dihasilkan turut dihantar ke pasar besar di sekitar Kuala Lumpur.

Berbekalkan modal RM200,000, Mohd Khaidir memulakan projek pertanian besar-besaran itu pertengahan 2009 sebaik ‘menggantung but’ pada akhir 2007.

Dia mengusahakan projek itu di kawasan tanah terbiar milik ahli keluarga dengan sebahagian lain disewa daripada pemilik tanah.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk membabitkan diri dalam projek pertanian sebaik menamatkan karier bola sepak, tetapi selepas menimbangkan cadangan ahli keluarga, saya memberanikan diri.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pertanian, saya mahu mencuba sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pada mulanya, dia hanya menanam kacang panjang di kawasan seluas dua hektar sebelum meningkat dengan tanaman terung, bendi, timun dan cili padi sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak FAMA.

Usahanya meluaskan tanaman itu membuahkan hasil apabila semua projek itu menjadi dan mengeluarkan kira-kira 45 tan bagi setiap kali tuaian.

Beliau adalah bekas pemain bola sepak pertama di negara ini membabitkan diri dalam bidang itu dan mengakui mendapat sokongan FAMA.

Dia turut dibantu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS).

“Ilmu pengetahuan dan bimbingan diberikan JPNS banyak membantu saya dalam menguruskan ladang secara sistematik dengan mengurangkan bahan kimia.

“Menerusi Amalan Ladang Baik Malaysia (SALAM), sayur-sayuran yang saya keluarkan mendapat pengiktirafan JPNS kerana selamat dimakan,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 21 tahun ini, Program Pengukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontrak terus ke Pasar Tani mempermudahkan aktiviti pemasaran dijalankan.

“FAMA memberikan kita kebebasan melakukan aktiviti pemasaran dan kebanyakan hasil ladang ini dihantar terus ke pasar besar seperti Pasar Besar Selayang,” katanya.

Beliau bersyukur kerana projek itu berjaya dan terus mendapat permintaan tinggi.

“Saya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi semangat memajukan projek itu.

“Saya bersyukur usaha selama ini membuahkan hasil dan berazam untuk membesarkan lagi projek ini,”katanya.
Sumber:Harian Metro

Tuesday, July 23, 2013

Pengusaha jagung 392

Oleh Mohd Sabran Md Sani
AKTIVITI berkebun dan mengusahakan bendang sebati bagi Mohd Yaakub Nuri, 48, malah bersama rakan kongsinya yang juga seorang guru, Mohd Sabri Haron, mereka mengusahakan pelbagai projek pertanian di Kampung Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor.
Projek pertanian Ladang Kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi platform kepada petani sepertinya memasarkan produk pertanian pada harga ladang dan menguntungkan.
“Pada mulanya saya terbabit dalam projek penanaman cili. Biarpun hasilnya tinggi tapi risiko penyakit memusnahkan harapan saya.

“Dengan bantuan Jabatan Pertanian, kami beralih kepada projek penanaman jagung jenis varieti 392,” katanya.
FotoMOHD Yaakub bersama pokok jagung yang diusahakannya.

“Jagung 392 tahan dalam pelbagai keadaan membolehkan kami mengeluarkan kira-kira 3,000 tongkol jagung setiap minggu.

“Bagi memastikan bekalan jagung mencukupi, kami menanam secara tujuh peringkat di tanah seluas 1.2 hektar,” katanya.

Katanya, dulu mereka menggunakan teknik tanam benih jagung namun ia mudah dirosakkan serangga seperti semut, selain jagung ditanam tidak sekata pembesarannya.

“Namun, penggunaan teknik penanaman dalam bekas tanaman membolehkan benih disemai dalam tempoh 12 hari sebelum dipindah ke ladang,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, kira-kira 7,000 pokok dapat ditanam dalam tempoh dua jam.

Penggunaan baja juga sa­ngat minimum iaitu tiga kali sepanjang tempoh penanaman di ladang dengan me­ngeluarkan hasil berkualiti.

Katanya, dia memperoleh pendapatan kira-kira RM15,000 bagi penghasilan 1.2 hektar ladang jagung.

“Melalui Projek Ladang Kontrak, kami menjual terus kepada FAMA dan mendapat pembayaran lebih cepat,” katanya.
Sumber:harian metro 

Ekstrak serai cegah penyakit ikan

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Industri akuakultur ikan laut tidak terlepas daripada ancaman pe­nyakit yang menyebabkan kematian spesies itu dalam kolam, tangki dan sangkar.
Ia berpunca daripada serangan parasit, bakteria dan virus. Serangan itu menyebabkan ikan ternakan mengalami pendarahan pada badan dan sirip.
Setakat ini, pengusaha industri akuakultur meng­gunakan formalin bagi merawat ikan yang terkena serangan parasit.

Biarpun dos formalin digunakan mengikut sukatan dibenarkan, penggunaan­nya secara berleluasa memberi kesan kepada manusia terutamanya penyakit kanser.
FotoKEADAAN ikan siakap selepas dipulihkan. - Gambar ihsan Jabatan Perikanan

Penyelidik Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau (FRI), Gelang Patah, Johor, Jabatan Perikanan, Fadzilah Yusof, mempu­nyai formula menyelesaikan masalah itu menggunakan ekstrak serai.

Ia mendapat bantuan pegawai penyelidik, Azmi Rani serta kakitangan sokongan selain dana Jabatan Perikanan bernilai RM3,000 tahun lalu dan RM10, 000 tahun ini.

Katanya, idea menghasilkan kajian itu selepas melihat penderitaan dihadapi pengusaha industri akuakultur apabila ternakan mereka diserang parasit dan bakteria.

“Saya dapati bahan penting agen terapeutik ialah serai atau nama saintifik­nya Cymbopogon citratus”.

“Serai mudah diperolehi, tidak mahal dan mampu bertindak balas terhadap spektrum patogen yang luas,” katanya.

Bahan antibakteria terkandung dalam serai boleh digunakan untuk tujuan farmaseutikal manakala minyak serai ada ciri-ciri anti kulat.

Kajian awal di makmal mendapati serai berkesan untuk menghalang parasit yang menyerang siakap dalam tangki.

Ekstrak serai akan dicampurkan bersama air bersih ke dalam tangki ikan untuk merawat ikan berpenyakit.

“Meskipun kajian masih dijalankan, ia menunjukkan hasil yang positif,” katanya.

Ikan yang diserang parasit mudah dikenali melalui sisik yang tertanggal, sirip mereput dan warnanya yang cerah bertukar gelap.

Katanya, penyelidikan menggunakan serai adalah rawatan alternatif kerana menggunakan bahan semula jadi.
Sumber: Harian metro

Tuesday, June 11, 2013

Hidangan ala Thai, Cina

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Jika ikutkan hati, mahu saja penulis turun ke dalam kolam untuk turut sama dua pekerja dari Timor Leste menjaring udang galah atau lebih dikenali kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Pak Janggut’.
Gelagat dua pekerja terbabit menolak jaring hingga ke tepi kolam membuatkan penulis tidak sabar ingin tahu lebih lanjut hasil tangkapan yang akan didaratkan mereka.
Hampir sejam mereka menarik jaring dan akhirnya udang galah bersepit biru ditangkap satu persatu untuk diasingkan ke dalam sebuah raga.

Ibarat tidak menang tangan kedua-duanya memasukkan udang galah ke dalam bekas khas, sambil diperhatikan majikannya, Low Chong Ming, 49.
FotoDUA pembantu perikanan Bahagian Akuatik, Jabatan Perikanan, Hamizah Mohamad, 25, (kiri) bersama rakannya Cenderawati Gohuk, 24, memegang udang galah.

Keadaan sunyi sepi kawasan sekeliling tiba-tiba bertukar gelak tawa, apabila nama vokalis band Peterpan, Ariel menjadi sebutan.

Tidak pasti mengapa tiba-tiba nama itu disebut, tapi ia memudahkan jurugambar memanggil pekerja terbabit bagi merakamkan gambar dikehendaki dalam pelbagai posisi.

Udang galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii adalah haiwan tergolong dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora.

Haiwan terbabit hidup di persekitaran air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran dan tasik.

Udang galah liar banyak terdapat di sungai negara ini dan teknik menjinakkan Pak Janggut gergasi menggunakan umpan perumpun (umpun-umpun).

Jika kena pada seleranya, umpan segar dibeli daripada pembekal tempatan berjaya menumpaskan udang galah yang tersohor dengan kemanisan isi dan kelazatan khasiatnya.

Tidak semua tempat di sungai dihuni spesies udang galah, malah ia bergantung kepada musim, selain kesesuaian lubuk.

Musim terbaik memancing udang galah selepas banjir kerana ketika itu udang kelaparan. Pendek kata campak saja umpan, pasti udang galah menjadi habuan.

Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Zakaria Saleh berkata, Projek Ternakan Udang Galah Kampung Ulu Sepri, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dibangunkan menerusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Yang Berhormat (YB) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Antara objektifnya membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui Projek Penternakan Udang Galah serta membantu mengeluarkan peserta e-Kasih daripada berada di garis kemiskinan.

“Ia juga bagi membangunkan kawasan tanah terbiar di bawah Program Pemulihan Tanah Terbiar yang menjadi misi utama kerajaan Negeri Sembilan dan mewujudkan satu projek akuakultur melalui ternakan udang galah secara komersial,” katanya.

Menurutnya, keuntungan projek itu akan dinikmati 40 peserta dari Parlimen Jelebu, manakala 20 orang dari Parlimen Rembau.

“Pada masa sama, projek itu menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar udang galah terbesar di negara ini,” katanya.

Menurutnya projek itu mula mengeluarkan hasil sejak 28 Oktober 2010 dan berterusan secara berperingkat-peringkat.

“Sehingga Disember 2012, sebanyak 12,144 kilogram undang galah dengan nilai RM522,000 sudah dihasilkan.

“Udang galah ini dipasarkan dalam dan luar negeri seperti kawasan sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Singapura,” katanya.

Zakaria berkata, YHL Aquaculture yang berpengalaman mengusahakan projek penternakan udang galah hampir 12 tahun diberi kepercayaan untuk menjayakan projek KPI.

“Syarikat ini adalah peneraju dalam penternakan udang galah. Mereka juga mempunyai beberapa projek penternakan udang galah di Rembau, Kuala Pilah dan Senayan.

“Hasil jualan projek ini diagihkan kepada peserta e-Kasih kalangan warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU) dengan setiap mereka menerima pendapatan bulanan sebanyak RM350. Bayaran dilakukan bermula Oktober 2010,” katanya.

Udang galah yang diternak di kolam berkenaan menerima permintaan daripada penternak kolam memancing udang galah di Johor Bharu dan Singapura.

“Syarikat menjual sebahagian udang galah untuk kolam memancing dalam bentuk jualan udang hidup dan dijual RM48 hingga RM50 sekilogram (purata 30 ekor bagi setiap kilogram),” katanya.

Beliau berkata, anggaran hasil diperoleh pada 2010 sebanyak 1,042 kilogram dengan nilai RM44,800, 2011 sebanyak 6,500 kilogram (RM280,000) dan tahun lalu 4,500 kilogram (RM193,000).

“Namun, kami dapati terdapat tren penurunan dari segi pengeluaran udang galah dan sedang mengenal pasti puncanya berdasarkan kajian dilakukan di kolam itu.

“Projek ini pun sudah menjangkau tiga tahun dan kemungkinan kualiti tanahnya menurun. Sebahagian benih diperoleh dari Setiawan, Perak serta Kampung Acheh dan Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, projek penternakan udang galah dilaksanakan di tanah milik Yayasan Negeri Sembilan seluas 10 hektar dengan kadar sewa RM12,500 setahun.

“Jabatan Perikanan pula membantu dari aspek penyediaan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan 16 kolam, bekalan elektrik, roda pengayuh bagi membekalkan oksigen, modal pusingan benih dan makanan udang.

“Laluan memasuki jalan ke projek penternakan udang galah ini juga sudah dibaiki bagi memudahkan hasil tuaian dipasarkan kepada pelanggan,” katanya.

Mengulas teknik pengairan kawasan kolam katanya, ia agak unik kerana menggunakan sumber air gunung dari dua empangan di kawasan berhampiran.

“Dalam penternakan udang galah ini kualiti air perlu dijaga, selain alat roda pengayuh bagi membekalkan sumber oksigen. Bekalan oksigen akan dibuka pada waktu malam kerana ia berkurangan ketika itu.

“Kolam asuh akan menempatkan anak udang galah untuk diternak dalam tempoh dua bulan sebelum ditangkap semula dan dipindahkan ke kolam ternakan,” katanya.

Setiap kolam akan menempatkan sekitar 40,000 hingga 45,000 udang galah dengan agihan setiap satu meter persegi membabitkan 14 ekor.

“Anak udang galah akan diberikan makan empat kali sehari, manakala yang bersaiz besar dua kali sehari.

“Bekalan anak benih diperoleh dari hatcheri swasta di Manjung, Perak; Pulau Pinang dan Alor Setar,” katanya.
Sumber:harian metro
Related Posts with Thumbnails