Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 23, 2008

POTENSI SERAI DIKOMERSILKAN.....



BACHOK - Serai, tanaman yang kebiasaannya ditanam di pinggir rumah dan sering digunakan sebagai bahan perencah bagi menambahkan aroma dan keenakan masakan.

Namun, tidak semua yang mengetahui serai juga berpotensi dikomersialkan secara besar-besaran dan boleh meraih pendapatan lumayan daripada hasil hilirannya.

Tumbuhan yang dikatakan paling mudah penjagaannya, paling murah kos penanamannya serta paling kurang musuh perosak ini mula mendapat pasaran meluas dan kepelbagaian kegunaan industri di dalam dan luar negara.

Dengan nilai semakin tinggi dan permintaan kian melonjak, ia terus berkembang dengan kaedah penanaman secara perladangan termasuk di Kelantan.

Ia lebih terarah kepada pasaran eksport terutamanya bagi bekalan industri aroma terapi kerana ekstraknya dianggap setaraf dengan gaharu.

Bio Daun Plantation Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera tempatan menyedari potensi besar ini dengan mengorak langkah ke arah pengeluaran secara komersial.

Malah, dalam waktu yang singkat, ia mula menyasarkan untuk menerajui perusahaan itu di Pantai Timur.

Syarikat itu memanfaatkan peluang melalui penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk belajar menguasai teknik penanaman, pemerosesan dan penerokaan pasaran di luar negara.

Kalangan usahawan bumiputera difahamkan begitu kurang memberi perhatian terhadap hasil penyelidikan MARDI dalam sektor pertanian selama ini.

Pengarah Urusannya, Ahmad Zuhawi Awang, 35, berkata, Jabatan Pertanian dan MARDI telah membuka banyak jalan bagi pihaknya untuk meneroka bidang ini pada tahun lalu di samping kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan.

''Dengan perkembangan awal yang positif, ia semakin menyakinkan pihak syarikat untuk menjadi peneraju dalam sektor perladangan serai kelak dengan turut bersama menyumbangkan peluang ekonomi kepada masyarakat petani.

''Di samping itu, kami sudah merancang menggerakkan industri hiliran berasaskan bahan mentah itu yang boleh turut digunakan untuk menghasilkan biodesel," ujarnya.

Syarikat yang digerakkan oleh dua usahawan muda ini tanpa ragu-ragu menceburi bidang itu dengan memulakan penanaman serai paha ayam atau serai hijau pada penghujung tahun lalu di tapak seluas lapan hektar yang disewa di Kuala Lipis.

''Berbeza dengan serai makan atau sering dipanggil serai galah yang banyak dieksport ke Thailand, kami tumpukan kepada serai paha ayam ini yang lebih bersaiz besar batangnya dan berbau seperti limau.

'Kita masukkan hormon dari Pakistan dalam tanaman untuk mendapatkan lebih banyak ekstrak dan aroma yang lebih tinggi mutunya," ujarnya.

Ahmad Zuhawi memberitahu, pihaknya memulakan operasi dengan modal sebanyak RM10,000 dan kini secara keseluruhan mengusahakan 121 hektar tanah di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

''Di Kelantan, kami menyewa tanah daripada penanam tembakau yang tidak lagi mengusahakan tanaman itu termasuk 40 hektar di Beris Lalang, Bachok," ujarnya.

Katanya bagi setiap hektar, hasil yang diperoleh dianggarkan RM35,000 hingga RM42,500 setahun melalui tuaian dua kali setahun di mana hasil tuaian diproses dalam bentuk minyak dan serbuk melalui sebuah kilang di Negeri Sembilan.

''Serai keluaran kami juga sudah mula dipasarkan ke Eropah, India dan China bagi industri wangian dan kosmetik, manakala ke Rusia pula bagi produk anti kanser,'' katanya.

Bagi menggerakkan perusahaan ini, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman, pihaknya memperkenalkan konsep usahasama melibatkan hampir 100 orang penduduk.

''Mereka hanya perlu mengeluarkan modal RM5,000 bagi satu hektar tanaman yang kami usahakan sepenuhnya dan keuntungan akan dibahagikan sama rata sepanjang tiga kali jualan hasil tuaian," ujarnya.

Katanya lagi, buat permulaan, sebanyak lima tan serai dalam bentuk minyak dan serbuk di eksport dan syarikatnya memerlukan tuaian tanaman 100 hektar serentak setiap bulan untuk menampung permintaan pasaran luar negara yang dianggarkan 200 tan sebulan.

''Ekoran itu, syarikat kami perlu mengusahakan tanaman lebih luas agar bekalan terus berkekalan, justeru, kita telah memohon 2,000 hektar tanah daripada kerajaan negeri Kelantan dan Pahang,'' katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk mendirikan kilang memproses serai di Beris Lalang untuk mengurangkan kos penghantaran di samping menampung bekalan yang dijangka melonjak.

(di petik dari Portal Usahawan TAni)
Related Posts with Thumbnails