Mohd. Sallehuddin (depan) bersama
sebahagian daripada lembu yang diternak telah ditempah oleh pelanggan
sempena hari raya korban yang akan datang ini.
Meskipun baru menginjak usia 27 tahun, Sallehuddin berjaya
menguruskan projek ternakan dengan baik bagaikan seorang usahawan yang
telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.
Ketika ditanya apakah rahsia, Sallehuddin memberitahu, pengalaman
membantu bapanya ketika kecil yang juga seorang usahawan ternakan lembu
sebagai panduan mengusahakan projek berkenaan.
Katanya, minat dalam bidang keusahawanan terus dipupuk saban hari
sehinggalah dia membuat keputusan mengambil alih perniagaan daripada
bapanya.
Bermula dengan hanya bermodalkan 10 ekor lembu, Sallehuddin memulakan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya pada tahun 2005.
Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini berkata, biarpun
mengambil alih perniagaan orang tua sejak tahun 1986, dia hanya mewarisi
sebuah kandang yang kosong.
Memang bapa memelihara lembu sebelum itu. namun sejak awal tahun
2000 kesihatannya merosot dan bapa lebih banyak berehat menyebabkan
perniagaan sedikit merosot.
Melihat keadaan tersebut, saya nekad untuk mengambil alih perusahaan
ternakan dan bermula dari bawah," katanya ketika ditemui di ladang
lembu miliknya di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
Mengenali dunia keusahawan sejak kecil menjadikan Sallehuddin tidak kekok menguruskan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Ujarnya, jika mahu berjaya, tauke mestilah turun padang dan
menguruskan semuanya dari awal, bukan hanya duduk di dalam pejabat
berhawa dingin semata-mata.
Ujar Sallehuddin, untuk menjadi penternak lembu yang berjaya perlu
bermula seawal kerja-kerja mencuci najis lembu di kandang lagi.
Rata-rata kita lihat ramai pengusaha ternakan lembu terpaksa gulung
tikar dalam perniagaan akibat ketidakcekapan dalam menguruskan
perniagaan.
Sebagai generasi baharu, kita patut bersyukur kerana dengan
kemudahan serta teknologi sedia ada memudahkan perniagaan dilaksanakan,"
katanya.
Sebagai contoh, jelas Sallehuddin, penggunaan laman web untuk
mempromosi haiwan ternakannya dilihat berjaya mengembangkan
perniagaannya.
Menggunakan nama Best Farm Enterprise, ladang milik Sallehuddin kini
mampu memuatkan hampir 300 ekor lembu dan 150 ekor kambing dalam
satu-satu masa.
Kebanyakan lembu dan kambing yang dipelihara dibawa masuk dari Thailand, Myanmar, dan Australia.
Sallehuddin menggunakan fidlot kerana mendapati sistem tersebut lebih
mudah. Namun katanya, jika terdapat pembekal dalam negara, projek akan
lebih mudah diusahakan.
Ini kerana, apabila negara terlalu bergantung kepada sumber ternakan
dari luar negara seperti Thailand dan Australia, pembekal dari
negara-negara luar sering memanipulasi harga.
Perkara ini berlaku hampir setiap tahun. Tahun ini adalah yang
paling ketara apabila Thailand telah menaikkan harga lembu RM400 seekor.
Musim perayaan merupakan antara waktu kemuncak di mana pembekal
haiwan ternakan ini akan mengambil kesempatan menaikan kadar harga
sesuka hati mereka," katanya.
Terdapat beberapa gred bagi lembu yang dijual oleh Sallehuddin iaitu
bermula daripada Gred A yang berharga RM3,000 seekor sehinggalah kepada
Gred C, RM 2,500 seekor.
Ujarnya, harga tersebut meningkat dengan pantas berbanding pada awal
pembabitannya iaitu pada tahun 2005 hanya RM1,900 sahaja seekor.
Kebanyakan lembu yang dibawa dari Thailand dan akan dikuarantin
terlebih dahulu di Rantau Panjang selama 10 hari untuk memastikan
ternakan bebas daripada sebarang penyakit.
Selepas itu, lembu-lembu yang dibawa masuk akan di pelihara selama tiga bulan sebelum dijual kepada pelanggan yang berminat.
Selain menawarkan lembu atau kambing untuk tujuan ibadah akikah dan
korban, Sallehuddin turut menyediakan perkhidmatan penyajian makanan
serta kambing golek untuk majlis-majlis keramaian.
Kambing golek dengan resipi dan rempah istimewa daripada Best Farm Enterprise adalah segar dari ladang.
Antara yang sering menempah kambing golek Sallehuddin termasuk Istana
Seri Menanti, Negeri Sembilan, agensi-agensi kerajaan, pihak media dan
orang perseorangan.
Setelah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam perusahaan ternakan, kini Sallehuddin sedang membesarkan ladangnya.
Terletak di Hulu Yam, Selangor, ladang yang bakal dibuka pastinya
lebih besar dan selesa dilengkapi bersama rumah sembelih, rumah pekerja
serta kilang pemprosesan daging.
Sallehuddin yang tertarik dengan kejayaan negara Thailand dalam
bidang ternakan berharap beliau dapat memajukan bidang tersebut
setanding dengan negara itu.
Namun katanya, usaha tersebut perlu dilakukan secara berdikit-dikit bagi memastikan impian tersebut berjaya dilaksanakan.
Tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman menjadikan Sallehuddin benar-benar berdikari dalam memajukan perniagaannya.
Prinsipnya mudah, biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Katanya, ladang yang menelan belanja hampir jutaan ringgit tersebut
akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan dan akan dilakukan secara
berperingkat-peringkat.
Saya bukan sombong dengan tidak melakukan pinjaman perniagaan. namun
daripada pemerhatian saya, kebanyakan usahawan yang meminjam sukar
menghargai kemudahan yang diterima dan mudah putus asa.
Seperti yang saya katakan dari awal, perniagaan dalam sektor
ternakan ini nampak mudah di atas kertas (teori) namun secara
praktikalnya amat sukar," katanya.
Terakhir, beliau berharap agar kerajaan dapat melonggarkan beberapa
peraturan atau kerenah birokrasi agar sektor penternakan dapat
berkembang dengan baik di dalam negara setanding dengan negara-negara
jiran.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Best Farm anda boleh menghubungi
sallehuddin di talian 012-222 8030, 019-233 8030 atau layari laman web
akikahqorban.blogspot.com.
- ASHRIQ FAHMY AHMAD