Temasya
pertanian dwitahunan yang sering ditunggu-tunggu, Pameran Pertanian,
Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) bakal membuka tirai buat kali ke tujuh
tahun ini.
Pameran
pertanian terbesar di Asia Tenggara itu tampil mengikut format terbarunya sejak
ia mula diperkenalkan pada 1999.
MAHA
International 2012 yang akan bermula pada 23 November hingga 2 Disember ini
menepati keperluan penganjurannya dengan matlamat memperkenalkan industri
pertanian Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Menurut
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd.
Hashim Abdullah, selaras dengan program transformasi kementerian untuk
meningkatkan produktiviti hasil pertanian, pameran kali ini bakal memperlihatkan
lebih banyak produk baru melalui inovasi pertanian, teknologi serta trend
industri semasa.
"Menerusi
pameran MAHA ini secara tidak langsung pengeluar dan peniaga dapat meningkatkan
daya saing sera kecekapan melalui penerimaan teknologi inovatif dengan amalan
terbaik.
"Oleh
itu, hasil yang diperolehi sekali gus mampu menjadikan Malaysia sebagai hab
pertanian di samping pemangkin kepada pelaburan asing dan swasta," katanya
yang ditemui baru-baru ini.
Penyertaan
pada MAHA kali ketujuh ini dijangka mencecah sehingga 2,200 tapak pameran
meliputi agrobazar, makanan popular tempatan, pameran ternakan serta pelbagai
acara yang disertai agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta termasuk
syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Uniknya
penganjuran kali ini kerana ia diadakan serentak dengan Hari Peladang,
Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dengan menggunakan tema Transformasi
Pertanian Melalui Inovasi.
Selain
itu, pameran MAHA yang akan berlangsung selama 10 hari ini turut diisi dengan
pameran teknologi dan produk berasaskan ternakan, pameran rangka ikan paus
besar, rumah burung walet, pertandingan burung serama di laman ternakan dan
pelbagai lagi aktiviti menarik disediakan.
Selain
itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
menganjurkan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan bagi memberi pendedahan
kepada peserta terlibat untuk lebih memahami penggunaan serta keberkesanan
teknologi inovasi yang diperkenalkan dalam industri tersebut.
Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga menyediakan tiga
seminar sepanjang pameran MAHA berlangsung iaitu Seminar Kebangsaan
Pemindahan Teknologi, Industri Sarang Burung Walet dan
AgroPelancongan (Agrotour).
Seperti
penganjuran pameran MAHA sebelum ini, penyertaan agensi antarabangsa turut
menjadi tarikan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan suasana dan kali ini,
sebanyak 25 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk Equador,
Chile, Brazil, Brunei, Australia, Argentina dan lain-lain lagi.