Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, February 6, 2013

Usahawan tomato tanah tinggi


SISTEM struktur pelindung hujan digunakan bagi melindungi tanaman daripada kadar air yang berlebihan dan terik matahari.

PERMINTAAN tinggi terhadap bekalan sayur-sayuran di seluruh negara telah menggerakkan Jabatan Pertanian untuk mewujudkan satu kawasan khas untuk pengeluaran makanan.

Untuk tujuan tersebut, pada tahun 1998, satu skim khas telah diwujudkan di mana 10 peserta telah dipilih untuk mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Kini, hanya seorang peserta yang tinggal dan masih bertahan serta berjaya menjadi peladang contoh.

Beliau adalah Mohd. Al Edi Mohd. Jaafar, 33, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Bercerita pada peringkat awal pembabitannya sebagai peserta di Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Jabatan Pertanian segala amat perit.

Ujar Mohd. Al Edi, kehidupan pada awal penerokaan kawasan TKPM hanyalah cukup-cukup makan.

“Pada ketika itu kami bagaikan buruh kasar bekerja membanting tulang dan hanya dibekalkan dengan keperluan makanan asas seperti beras dan sardin.

“Malah, kawasan TKPM pada ketika itu dikelilingi hutan tebal dan ramai yang tidak dapat bertahan menarik diri, pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Berbekalkan pengalaman sebagai anak kampung yang biasa berkerja di ladang, Mohd. Al Edi mampu bertahan sehingga kini.

Oleh kerana hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih kekal bertahan, kadang-kala semangatnya sekali-sekala cair juga.

Biarpun begitu, dia sering dipujuk dan diberikan kata-kata perangsang motivasi serta bimbingan oleh para pegawai pertanian yang terlibat.

Berkat kesabaran, kini Mohd. Al Edi mampu berbangga dengan hasil keluaran pertaniannya yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Mohd. Al Edi kini menumpukan kepada penanaman tomato dan kadang-kala diselingkan bersama tanaman sayur-sayuran lain seperti timun jepun, kacang buncis dan cili.

Kini, pengeluaran tomato yang diusahakan oleh Mohd. Al Edi mencecah 20 tan sebulan iaitu sebanyak 1.5 tan untuk setiap pengeluaran.

Menurutnya, tomato yang telah matang akan dipetik dua hari sekali sehingga tamat pusingan pertama penanaman.

‘‘Kemudian kita akan tanam dengan tanaman sayur-sayuran yang lain pada tanah yang sama," katanya.

Tambah Mohd. Al Edi, jika kena pada masa dan teknik yang betul, tomato yang ditanam boleh dituai hanya dalam masa tiga hingga empat bulan sahaja.

Selain usaha yang bersungguh-sungguh ditunjukkan olehnya, Mohd. Al Edi turut mendapat latihan secara intensif daripada Jabatan Pertanian.

Selain itu, katanya, modal di peringkat awal juga disediakan oleh jabatan terbabit bagi membantu peserta yang tidak berkemampuan.

Baginya, peluang sedemikian bukanlah mudah untuk diperoleh apatah lagi segalanya telah disediakan hanya tinggal diri sendiri sahaja untuk berusaha.

Dalam pada itu, Mohd. Al Edi turut menyimpan impian untuk memiliki ladang sendiri.

Buat masa kini, Mohd. Al Edi menggunakan tanah yang disediakan oleh Jabatan Pertanian semasa awal penyertaan dahulu.

Baginya, untuk lebih berjaya, dia memerlukan kawasan penanaman yang lebih luas.

“Hasrat untuk memiliki tanah sendiri telah lama saya pendam dan mungkin sedikit masa lagi saya akan memperolehinya," ujar Mohd. Al Edi.

Bercerita mengenai penglibatannya di dalam bidang pertanian, Mohd. Al Edi berkata, segalanya bermula apabila dia memohon untuk menjadi peserta kursus jabatan pertanian di TKPM di Lojing, Kelantan.

Bermula pada tahun 1998 seramai 10 orang peserta yang telah dipilih melalui temuduga terbuka telah terlibat.

Namun, cabaran mengusahakan tanah ladang yang jauh di tengah-tengah belantara telah menguji ketahanan setiap peserta dan akhirnya kini hanya Mohd. Al Edi sahaja yang masih bertahan.

Setiap peserta pada ketika itu dibekalkan tanah seluas empat ekar untuk ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kobis, terung, cili dan pelbagai lagi.

Berdasarkan kejayaan yang dikecapi oleh Mohd. Al Edi, Jabatan Pertanian kini sedang dalam proses untuk membuka tapak TKPM yang ke dua.

Apa yang diharapkan melalui usaha Jabatan Pertanian tersebut adalah agar lebih ramai lagi golongan muda berminat dengan bidang pertanian terlibat sekali gus menjadi usahawan yang berjaya.

- ASHRIQ FAHMY AHMAD

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130114/ag_01/Usahawan-tomato-tanah-tinggi#ixzz2K8Pi4T7J
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ancaman penyakit moko

 

Jantung pisang mengecut dan kering merupakan tanda pokok tersebut telah diserang penyakit Moko dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Serangan yang berlaku bermula dari selatan tanah air, iaitu di Johor kini sedang bergerak dan merebak ke utara tanah air.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Unit Lindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian, Misrudin Hadis, bakteria tersebut menyerang dengan lebih pantas apabila pokok pisang mula mengeluarkan jantung dan berbuah.

"Antara simptom yang boleh dikenal apabila sebatang pokok pisang itu diserang bakteria ini adalah ia bertukar menjadi kuning bermula daripada bahagian pelepah pokok.

"Kemudian bahagian yang bertukar warna tersebut akan mulai mengering dan pokok akan mati manakala buah akan bertukar menjadi kehitaman dan rapuh," ujarnya.

Beliau ditemui pada program pemerhatian plot kajian pemulihan pokok pisang yang diserang oleh penyakit Moko oleh syarikat Proviet Group Of Companies Sdn. Bhd. di Sepang, Selangor baru-baru ini.

Serangan penyakit Moko ke atas pokok pisang juga menyebabkan hampir keseluruhan pokok dan buahnya menjadi rosak dan seolah-olah melecur.

Jelasnya lagi, sebahagian daripada petani yang mengusahakan tanaman pisang mendakwa penyakit tersebut tidak pernah dicatatkan menyerang sebelum ini.

"Penyakit ini telah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada petani malah turut melibatkan pihak pengusaha yang menjalankan perniagaan berasaskan pisang secara komersial," katanya.

Tambah Misrudin, serangan penyakit Moko mula dikesan di Johor selepas negeri tersebut dilanda banjir besar dan kini bakteria yang menjadi punca penyakit tersebut sedang menular dengan pantas ke negeri-negeri lain.

Menyedari penyakit itu pantas merebak dan sehingga kini pihak yang bertanggungjawab masih tidak menemui jalan penyelesaian, syarikat Proviet Group Of Companies Sdn. Bhd. tampil menawarkan kaedah yang mampu memulihkan keadaan tersebut.

Pengarah Urusannya, Muhamad Subhi Mohd. Masuri mendakwa pihaknya mampu menawarkan produk khas bagi menangani serangan bakteria tersebut.

Jelas Muhamad Subhi, pihaknya telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam mencari penyelesaian terhadap penyakit Moko.

Mereka juga berjaya menghasilkan produk berasaskan baja bagi menangani serangan penyakit tersebut.

"Di kenali sebagai IMO-PLUS, ujian awal pada plot pertama berskala kecil di Segamat, Johor berjaya menunjukkan perubahan yang positif.

"Cubaan pertama di ladang seorang petani di sana (Segamat, Johor) berjaya memulihkan pokok pisang yang telah diserang Ralstonia solanacearum," ujarnya

Tambahnya, cubaan tersebut mengambil masa selama enam bulan sebelum pokok pisang yang diberikan rawatan berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Melihat kepada kejayaan tersebut, pihaknya telah menemui dan menawarkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Selangor bagi memulakan plot cubaan (petak demo) di Kampung Jenderam Hulu, Sepang, Selangor.

Percubaan kali pertama dilakukan ke atas tanaman pisang yang berkeluasan satu ekar milik seorang petani yang bernama Salimin Murtaja.

Ujar Muhamad Subhi, sebanyak sepuluh rumpun pokok pisang daripada jenis pisang nipah dan pisang nangka telah dipilih dan diberikan rawatan menggunakan produk IMO-PLUS dan M Pro-bio Solution.

Kaedah yang digunakan adalah menabur IMO-PLUS di sekeliling rumpun pisang sebanyak tiga hingga lima kilogram (kg) pada jarak dua hingga tiga kaki daripada rumpun.

Pengunaan IMO-PLUS pada peringkat awal adalah untuk memulihkan tanah di mana produk tersebut mampu memegang nutrien yang terkandung dalam tanah.

Perbezaan buah pisang yang diberikan rawatan (kanan) dan yang tidak diberikan rawatan (kiri).

Ia sekali gus menjadikan tanah kembali natural tanpa kehilangan sebarang nutrien.

Seterusnya mampu meneguhkan lapisan dinding sel (epidermal), daun, batang dan akar pokok.

IMO-PLUS juga mampu meningkatkan elemen klorofil dalam daun bagi membantu pokok memproses metabolisma semasa proses fotosintesis.

Pada masa yang sama, produk itu juga mampu mengurangkan kehilangan NPK (Nitrogen, fosforus dan Kalium) yang meluap dari dalam tanah.

Selain itu, ia juga boleh mengekalkan pH (tahap kemasaman) tanah pada skala enam hingga lapan untuk memastikan elemen fosforus sentiasa dapat digunakan oleh tanaman serta memberi tanaman daya ketahanan melawan penyakit.

Dalam pada itu, setiap rawatan yang menggunakan IMO-PLUS perlu disertai M Pro-bio Solution.

M Pro-bio Solution merupakan sejenis mikrob yang sangat baik untuk semua jenis tanaman di mana ia mempunyai pelbagai kelebihan.

Antaranya adalah meningkatkan populasi mikrob yang berfaedah serta kesuburan tanah.

Ia juga membantu memberikan kehijauan pada daun pokok, mengaktifkan proses pemakanan dalam tanah dan memperbaiki fizikal kimia dan biologi tanah.

Kaedah yang digunakan bagi M Pro-bio Solution adalah dengan cara menyembur seluruh kawasan rumpun pokok pisang pada kadar 10 liter (l) serumpun.

Setelah plot yang terdiri daripada 10 rumpun pokok tersebut berjaya dipulihkan, pihak syarikat telah memperluaskan lagi kawasan plot kepada keseluruhan pokok yang ada iaitu sebanyak 120 pokok.

Pokok akan dipantau setiap minggu sehingga ia menunjukkan perubahan yang positif.

Enam bulan selepas rawatan dilakukan, tanda-tanda kesan pemulihan telah ditunjukkan oleh pokok dan pokok pisang yang diserang boleh dikategorikan 60 peratus pulih.

Tujuh bulan berikutnya, 10 rumpun yang menjadi plot pertama berjaya pulih sebanyak 90 peratus pulih dan tiada lagi menunjukkan simptom-simptom ia diserang oleh bakteria Ralstonia solanacearum.

Manakala kos keseluruhan bagi program rawatan pokok pisang nangka atau nipah sehektar adalah RM6 sepokok.

Kos tersebut berkadar dengan harga IMO-PLUS RM1.80 per kilogram (kg) manakala harga bagi M Pro-bio Solution adalah RM0.40 sepokok.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi syarikat Proviet Group Of Companies Sdn. Bhd. ditalian 03-89483117 atau layari laman web www.provet.mybusinessinfo.net.

Artikel Penuh:

Kaedah baru komersialkan buluh

Dr. Edi Suhaimi Bakar menerangkan penggunaan jentera kepada Dr. Mohd. Salleh Jaafar pada sidang akhbar memperkenalkan alatan terbaru V grooving yang dicipta oleh sekumpulan penyelidik UPM yang diketuainya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

BULUH atau nama saintifiknya Bambusa sp. merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat pantas jika berbanding tumbuhan lain.

Selain itu, tumbuhan tersebut juga merupakan bahan semulajadi yang memiliki kekuatan dan nilai estetik yang sangat menarik dan hebat.

Malah, boleh dikatakan buluh merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan kayu dan sejak dua dekad lalu tumbuhan tersebut telah diproses untuk dijadikan papan buluh laminasi (PBL).

PBL dihasilkan menerusi kaedah yang dinamakan splitting-squaring. Namun kaedah tersebut didapati kurang berkesan, tidak praktikal dan memerlukan proses yang panjang untuk menukarkan buluh kepada PBL.

Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini berjaya menemui kaedah terbaik untuk menukarkan batang buluh kepada PBL.

Menurut ketua kumpulan penyelidik tersebut, Profesor Madya Dr. Edi Suhaimi Bakar, kaedah berkenaan dikenali sebagai V-Grooving.

V-Grooving merupakan satu-satunya kaedah yang mampu meratakan buluh menjadi panel papan lapis secara tepat, mudah serta pantas di dunia.

"V-Grooving adalah satu kaedah dan alatan baru yang cekap dan praktikal untuk merubah batang buluh yang berbentuk silinder kepada kepingan rata.

"Kepingan rata buluh ini kebiasaannya akan dijadikan sebagai PBL," katanya pada sidang akhbar di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr. Mohd. Salleh Jaafar.

Teknologi tersebut melibatkan sebuah mesin ringkas yang boleh dikendalikan oleh seorang pengendali separa mahir.

Teknologi berkenaan juga dilihat amat sesuai bagi kegunaan usahawan industri kecil sederhana (IKS) yang melibatkan produk berasaskan buluh.

Bagaimanakah teknologi V-Grooving berfungsi?

Proses meratakan buluh melalui mesin atau teknologi V-Grooving bermula daripada proses ruas (internodes) buluh dipotong dalam satu siri alur berbentuk 'V' (V-Groove) pada selang yang tertentu dari sebelah luar batang buluh.

Sebuah mesin pengalur khas digunakan dalam proses tersebut.

Bagi mendapatkan alur yang sekata, jarak setiap alur akan dikira terlebih dahulu dan disusun mengikut Jadual Pengaluran (grooving table) bagi memudahkan proses pembentukan alur pada batang buluh.

Jarak alur tersebut bergantung kepada diameter batang, ketebalan dan juga sudut pisau.

Jelas Dr. Edi Suhaimi, setiap lekuk yang dihasilkan sengaja dibuat untuk ditinggalkan sedikit sahaja bahagian yang tidak terpotong (grooving cease) setebal satu milimeter (mm).

Bahagian yang tidak terpotong sepenuhnya itu berfungsi sebagai penyambung untuk mengekalkan setiap segmen buluh dan juga berfungsi sebagai engsel yang akan memudahkan proses perataan.

Selepas proses pengaluran lengkap, lekuk terakhir akan dipotong sehingga putus dan permukaan buluh yang memiliki alur akan disapukan gam sebelum buluh diratakan dengan mesin penekan atau pengapit.

Fungsi engsel hasil daripada grooving cease pada setiap alur tersebut akan memindahkan kuasa menegak daripada mesin penekan menjadi kuasa sisi.

Keadaan tersebut sekali gus membantu keseluruhan alur tertutup dengan ketat seterusnya menghasilkan kepingan rata yang tetap.

Akhirnya, buluh yang telah diratakan akan dilicin pada salah satu atau kedua-dua permukaannya dengan mesin pengetam dan sedia untuk digunakan bagi proses pembuatan PBL atau papan hiasan.

Faktor usia buluh juga memainkan peranan dalam memastikan kesesuaian tumbuhan tersebut diproses menjadi papan laminasi serta tahan lama.

Kebiasaannya, buluh yang sesuai untuk diproses adalah yang berumur empat tahun dan ke atas.

Pada peringkat tersebut, buluh telah matang sepenuhnya dan yang paling sesuai adalah buluh yang berdiameter 80 mm dan berketebalan 10 mm dan ke atas.

Kaedah atau teknologi V-Grooving hanya memerlukan masa yang singkat untuk memproses buluh di samping penggunaan mesin yang ringkas sekali gus dapat menjimatkan kos dan masa pengeluaran.

Selain itu, teknologi tersebut juga mampu menjimatkan bahan mentah dan yang penting mampu menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

Penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2007 dan siap pada tahun 2010 itu dilihat mampu memberi manfaat yang besar kepada masyarakat.

Teknologi tersebut mampu menjana pendapatan baru kepada pengusaha yang terbabit dalam industri berasaskan buluh.

Teknologi terbaru itu secara asasnya dapat memproses buluh untuk dijadikan produk dengan nilai tambah yang tinggi bagi menggantikan kayu.

Oleh itu, ini akan memberi manfaat persekitaran dalam membantu pemeliharaan hutan dan pada masa yang sama dapat menangani isu semasa dalam mengisi jurang bekalan kayu.

Ditanya berkenaan pengkomersialan teknologi V-Grooving, Dr. Edi Suhaimi berkata, teknologi tersebut telah sedia untuk proses pembuatan secara besar-besaran.

Sebaik sahaja proses pembuatan selesai, teknologi tersebut sedia untuk dikomersialkan sama ada di peringkat tempatan mahupun global.

Malah UPM turut mengalu-alukan rakan kongsi serta individu dari pihak industri yang berminat untuk mendapatkan teknologi tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121203/ag_04/Kaedah-baru-komersialkan-buluh#ixzz2K8GYd1UK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Related Posts with Thumbnails