Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, February 6, 2013

Kaedah baru komersialkan buluh

Dr. Edi Suhaimi Bakar menerangkan penggunaan jentera kepada Dr. Mohd. Salleh Jaafar pada sidang akhbar memperkenalkan alatan terbaru V grooving yang dicipta oleh sekumpulan penyelidik UPM yang diketuainya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

BULUH atau nama saintifiknya Bambusa sp. merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat pantas jika berbanding tumbuhan lain.

Selain itu, tumbuhan tersebut juga merupakan bahan semulajadi yang memiliki kekuatan dan nilai estetik yang sangat menarik dan hebat.

Malah, boleh dikatakan buluh merupakan alternatif terbaik bagi menggantikan kayu dan sejak dua dekad lalu tumbuhan tersebut telah diproses untuk dijadikan papan buluh laminasi (PBL).

PBL dihasilkan menerusi kaedah yang dinamakan splitting-squaring. Namun kaedah tersebut didapati kurang berkesan, tidak praktikal dan memerlukan proses yang panjang untuk menukarkan buluh kepada PBL.

Justeru, sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini berjaya menemui kaedah terbaik untuk menukarkan batang buluh kepada PBL.

Menurut ketua kumpulan penyelidik tersebut, Profesor Madya Dr. Edi Suhaimi Bakar, kaedah berkenaan dikenali sebagai V-Grooving.

V-Grooving merupakan satu-satunya kaedah yang mampu meratakan buluh menjadi panel papan lapis secara tepat, mudah serta pantas di dunia.

"V-Grooving adalah satu kaedah dan alatan baru yang cekap dan praktikal untuk merubah batang buluh yang berbentuk silinder kepada kepingan rata.

"Kepingan rata buluh ini kebiasaannya akan dijadikan sebagai PBL," katanya pada sidang akhbar di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Dr. Mohd. Salleh Jaafar.

Teknologi tersebut melibatkan sebuah mesin ringkas yang boleh dikendalikan oleh seorang pengendali separa mahir.

Teknologi berkenaan juga dilihat amat sesuai bagi kegunaan usahawan industri kecil sederhana (IKS) yang melibatkan produk berasaskan buluh.

Bagaimanakah teknologi V-Grooving berfungsi?

Proses meratakan buluh melalui mesin atau teknologi V-Grooving bermula daripada proses ruas (internodes) buluh dipotong dalam satu siri alur berbentuk 'V' (V-Groove) pada selang yang tertentu dari sebelah luar batang buluh.

Sebuah mesin pengalur khas digunakan dalam proses tersebut.

Bagi mendapatkan alur yang sekata, jarak setiap alur akan dikira terlebih dahulu dan disusun mengikut Jadual Pengaluran (grooving table) bagi memudahkan proses pembentukan alur pada batang buluh.

Jarak alur tersebut bergantung kepada diameter batang, ketebalan dan juga sudut pisau.

Jelas Dr. Edi Suhaimi, setiap lekuk yang dihasilkan sengaja dibuat untuk ditinggalkan sedikit sahaja bahagian yang tidak terpotong (grooving cease) setebal satu milimeter (mm).

Bahagian yang tidak terpotong sepenuhnya itu berfungsi sebagai penyambung untuk mengekalkan setiap segmen buluh dan juga berfungsi sebagai engsel yang akan memudahkan proses perataan.

Selepas proses pengaluran lengkap, lekuk terakhir akan dipotong sehingga putus dan permukaan buluh yang memiliki alur akan disapukan gam sebelum buluh diratakan dengan mesin penekan atau pengapit.

Fungsi engsel hasil daripada grooving cease pada setiap alur tersebut akan memindahkan kuasa menegak daripada mesin penekan menjadi kuasa sisi.

Keadaan tersebut sekali gus membantu keseluruhan alur tertutup dengan ketat seterusnya menghasilkan kepingan rata yang tetap.

Akhirnya, buluh yang telah diratakan akan dilicin pada salah satu atau kedua-dua permukaannya dengan mesin pengetam dan sedia untuk digunakan bagi proses pembuatan PBL atau papan hiasan.

Faktor usia buluh juga memainkan peranan dalam memastikan kesesuaian tumbuhan tersebut diproses menjadi papan laminasi serta tahan lama.

Kebiasaannya, buluh yang sesuai untuk diproses adalah yang berumur empat tahun dan ke atas.

Pada peringkat tersebut, buluh telah matang sepenuhnya dan yang paling sesuai adalah buluh yang berdiameter 80 mm dan berketebalan 10 mm dan ke atas.

Kaedah atau teknologi V-Grooving hanya memerlukan masa yang singkat untuk memproses buluh di samping penggunaan mesin yang ringkas sekali gus dapat menjimatkan kos dan masa pengeluaran.

Selain itu, teknologi tersebut juga mampu menjimatkan bahan mentah dan yang penting mampu menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

Penyelidikan yang dijalankan sejak tahun 2007 dan siap pada tahun 2010 itu dilihat mampu memberi manfaat yang besar kepada masyarakat.

Teknologi tersebut mampu menjana pendapatan baru kepada pengusaha yang terbabit dalam industri berasaskan buluh.

Teknologi terbaru itu secara asasnya dapat memproses buluh untuk dijadikan produk dengan nilai tambah yang tinggi bagi menggantikan kayu.

Oleh itu, ini akan memberi manfaat persekitaran dalam membantu pemeliharaan hutan dan pada masa yang sama dapat menangani isu semasa dalam mengisi jurang bekalan kayu.

Ditanya berkenaan pengkomersialan teknologi V-Grooving, Dr. Edi Suhaimi berkata, teknologi tersebut telah sedia untuk proses pembuatan secara besar-besaran.

Sebaik sahaja proses pembuatan selesai, teknologi tersebut sedia untuk dikomersialkan sama ada di peringkat tempatan mahupun global.

Malah UPM turut mengalu-alukan rakan kongsi serta individu dari pihak industri yang berminat untuk mendapatkan teknologi tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121203/ag_04/Kaedah-baru-komersialkan-buluh#ixzz2K8GYd1UK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Related Posts with Thumbnails