Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 30, 2013

Tanaman menguntungkan

pix_topright
Oleh Mohd Sabran Md Sani
Ketika penulis sampai ke ladang Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Hilir Perak, Perak, kelihatan seorang pembantu penyelidik tekun memilih butiran kekacang yang diambil daripada seludang kelapa.
Timbunan kekacang itu kemudian dimasukkan ke dalam tempat khas berbentuk empat segi untuk diayak, sebelum bahan debu terhasil dikumpulkan dan disimpan semula ke dalam sebuah botol plastik.
Botol berkenaan ditandakan menggunakan pena berdakwat dan hanya digunakan ketika diperlukan penyelidik untuk melakukan pendebungaan terhadap kelapa yang terdapat di ladang berkenaan.

Itu antara rutin biasa dilakukan pembantu penyelidik MARDI dalam menghasilkan hibrid baru pokok kelapa Matag yang juga hasil kacukan varieti kelapa tempatan, Malayan Red Dwarf (MRD) dan Malayan Yellow Dwarf (MYD) dengan Tagnanan Tall dari Filipina.
FotoAHMAD memeriksa kelapa Matag di ladang.

Sebenarnya tindakan pembantu penyelidik MARDI itu bagi mendapatkan polen (debunga kelapa Tagnanan tua) yang diambil daripada seludang untuk mendapatkan debunga jantan aktif.

Bunga kelapa itu kemudian melalui proses peleraian di dalam makmal sebelum dipecah dan dikeringkan menggunakan ketuhar dengan suhu sekitar 35 hingga 40 darjah Celsius dan akhirnya polen jantan dapat dikumpulkan.

Polen yang dikumpul kemudian disimpan beberapa minggu dalam peti sejuk dengan suhu empat darjah selsius dan hanya dikeluarkan ketika diperlukan untuk tujuan penyelidikan.

Di lapangan pula, polen yang dicampurkan tiga atau lima bahagian bedak kosong dimasukkan ke dalam botol semburan untuk disembur ke atas bunga betina bagi tujuan pendebungaan berbantu.

Penyemburan debunga dilakukan berulangan ketika bunga betina dalam keadaan reseptif.

Ini dipastikan dengan terdapat cecair di hujung bunga betina. Bunga betina yang sudah terdebunga mempunyai hujung bunga hitam.

Proses pendebungaan berbantu ini dilakukan terhadap bunga betina yang disediakan untuk itu dengan melindunginya di dalam beg khas.

Ini kerana debunga jantan daripada seludang sama sudah dibuang untuk mendapatkan hibrid kelapa baru dikehendaki.

Buah yang berjaya dihibridkan bakal matang dan dapat dituai dalam tempoh setahun, sebelum disemai ke tapak khas untuk membolehkannya bercambah dalam tempoh 12 minggu.

Mana-mana pokok kelapa yang kembali kepada warna induk asal dikira tidak menjadi.

Proses pendebungaan berbantu dianggap berjaya apabila anak benih mengeluarkan tunas berwarna hijau atau coklat bergantung pada pokok induk betina.

Anak pokok kelapa Matag yang berusia enam hingga lapan bulan boleh dipindahkan ke ladang untuk penanaman.

Penggunaan kelapa Matag serupa atau sama seperti kelapa lain di negara ini kerana boleh diaplikasikan dalam pelbagai kegunaan seperti air kelapa, kelapa tua, kelapa jeli dan nata.

Pengurus Stesen merangkap Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Hilir Perak, Ahmad Ngalim berkata, penyelidikan bagi penilaian kelapa hibrid dilakukan sejak tahun 80-an.

“Projek penanaman kelapa Matag sudah menjangkau lebih 13 tahun. Pada peringkat awal hanya satu blok dengan keluasan dua hektar ditanam dengan Matag. Mengikut teori sehektar tanah boleh ditanam sebanyak 178 pokok Matag.

“Kami kemudian membuat ladang model kira-kira empat hektar dan dari situ masyarakat sekeliling sudah mengenali kelapa berkenaan, selain menanamnya di persekitaran kediaman masing-masing,” katanya.

Menurutnya, Matag adalah kelapa hibrid kacukan daripada dua jenis kelapa berbeza antara jenis MRD dan MYD dengan jenis hibrid Tagnanan dari Filipina.

“Kelapa Malaysia menjadi induk betina dan Tagnanan pula menjadi induk jantan. Kacukan MRD menjadikan warna Matag coklat manakala kacukan MYD pula menjadikan warnanya hijau.

“Di ladang ia berwarna coklat dan hijau, tapi ia bergantung induk. Berjaya ataupun tidak sesuatu kacukan dapat dilihat masa bercambah,” katanya.

Katanya, kelapa Matag mempunyai keistimewaannya, mengeluarkan hasil tinggi, sementara buahnya lebih besar berbanding jenis Mawa.

“Pengeluaran mengikut estet, Matag dapat dikeluarkan sekitar 25,000 biji sehektar setahun, sementara pengeluaran oleh petani pula sekitar 18,000 biji sehektar setahun.

“Jika amalan agronomi dilakukan dengan baik seperti pembajaan mencukupi, setandan kelapa Matag mampu mengeluarkan buah sehingga 25 biji,” katanya.

Matag mula berbuah selepas empat tahun setengah di tanam kerana hanya berbunga selepas pokok mencapai usia empat tahun.

“Setahun kelapa ini menghasilkan antara 15 hingga 16 tandan. Bagi mendapatkan buah dikehendaki, pembajaan sebanyak tiga kali setahun pada pokok dapat memastikan kualiti buah dikehendaki,” katanya.

Hibrid Matag dihasilkan sebuah badan penyelidikan Perancis sekitar 70-an dengan memperkenalkan pelbagai hibrid baru sebelum diagihkan kepada penyelidik beberapa negara untuk penilaian kesesuaiannya.

Mulanya kelapa Mawa diisytiharkan sebagai hibrid berkualiti sebelum badan itu membangunkan hibrid Matag yang mendapat permintaan ramai sekitar tahun 90-an untuk ditanam pada skala ladang.

Katanya, proses pengeluaran benih kelapa Matag adalah rumit dan memerlukan kepakaran yang tinggi.

“Bagi mengeluarkan sebiji benih kelapa Matag perlukan kos, kesabaran, ilmu teknikal dan sumber tulen debunga, sumber tulen induk MYD/MRD yang matang serta kepakaran pekerja pendebungaan.

“Debunga jantan perlu disembur setiap hari kepada bunga betina yang terbuka atau reseptif (bunga betina terbuka berperingkat) dari satu mayang yang dibungkus (bagging) supaya dipastikan tiada kacukan lain berlaku.

Jika proses berkenaan (polinasi) tidak berjaya, proses menyembur dilakukan dengan lebih kerap.

“Disebabkan keadaan tidak natural, fisiologi tandan dan bunga betina mungkin berubah. Daripada 20 biji bunga betina yang ada, mungkin hasil akhirnya dua atau tiga biji saja menjadi dan kena buat banyak,” katanya.

Kelapa Matag amat berpotensi untuk diusahakan pada peringkat ladang kerana mengeluarkan hasil yang tinggi sekiranya mengikut praktis agronomi.

“Sebenarnya ia serba guna, kelapa Matag boleh menghasilkan kelapa muda, jeli kelapa, dijual muda untuk air dan tua untuk santan.

“Malah dalam penyelidikan dilakukan MARDI juga, penyelidik sedang membangunkan cuka kelapa dan kini masih peringkat kajian,” katanya.

Ketika ini, kelapa Matag muda yang dipetik sendiri di ladang sekitar 80 sen manakala kelapa tua pula RM1.20, selain bergantung kepada harga semasa.

Kelapa varieti Matag memberikan hasil buah kelapa yang tinggi dalam jangka masa panjang dengan saiz lebih besar dan popular di kalangan pengguna domestik.

Tanpa pengurusan dan penyelenggaraan yang sewajarnya, kelapa Matag juga berupaya menghidap ancaman makhluk perosak seperti kumbang tanduk, babi dan monyet pada peringkat awal pertumbuhannya.

Permintaan yang tinggi, kos pengeluaran meningkat dan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan peratusan kejayaan mendapatkan anak benih kelapa Matag rendah menyebabkan kos jualannya meningkat.

Justeru, katanya, petani perlu mendapatkan bekalan anak benih Matag daripada pembekal yang disahkan mampu menyediakan benih tulen seperti United Plantation dan Jabatan Pertanian.

“Biarpun ada nurseri mendakwa mempunyai anak benih kelapa Matag, tapi peratus pokok yang menunjukkan ciri kelapa Matag sekitar 45 hingga 50 peratus saja. 50 peratus lagi mungkin tidak menjadi kelapa Matag,” katanya.
Sumber:harian metro
Related Posts with Thumbnails