Oleh Mohd Sabran Md Sani
Walaupun mengambil masa hanya 10 minit untuk mendaki kawasan
berbukit di Dengkil, Selangor, baru-baru ini, ia sudah cukup membuatkan
badan penulis berpeluh. Apa tidaknya, ketika itu matahari meninggi di
atas kepala.
Namun waktu itu dikatakan paling sesuai untuk ‘menjenguk’ rumah
burung walet di kawasan berkenaan kerana ia hanya pulang ke sarang pada
lewat petang, selalunya dari jam 6 petang hingga senja.
Perjalanan bersama jurugambar dan saintis Universiti Putra Malaysia
(UPM) ke rumah burung walet setinggi tiga tingkat itu turut ditemani
pengusahanya, Datuk Mustaffa Abd Rahman dan penulis blog, Pak Harry.
Sistem
pembesar suara yang diubah suai Pak Harry dipasang di lokasi strategik
pada rumah burung berkenaan sedikit sebanyak memecah keheningan suasana
keliling seakan-akan kicauan burung walet yang baru pulang ke sarang.
ALAT twitter hitam yang dipasang menarik kedatangan burung walet.
Misi ke rumah burung walet itu dalam usaha Bahagian Pembangunan
dan Jaringan Keusahawanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC),
UPM, memantau perubahan selepas penambahbaikan rumah siap dua bulan
lalu.
Projek diselia Timbalan Pengarahnya, Prof Madya Dr Azhar Kasim
dengan gandingan Pak Harry selaku rakan pintar daripada pihak swasta
bagi memulih serta meningkatkan prestasi rumah burung walet.
Antara
aktiviti UCTC adalah turun padang dan bertemu pengusaha rumah burung
walet yang tidak berpuas hati dengan prestasi serta pengeluaran hasil di
rumah burung mereka.
Mengikut sejarah, burung walet menjadi menu
eksotik paling istimewa yang hanya dinikmati keluarga diraja bagi
‘maharaja’ di China.
Hasil penghijrahan burung berkenaan ke
Gresik, Indonesia pada 1808 membolehkan ‘menu diraja’ itu diperluaskan
penggunaannya di kalangan masyarakat setempat.
Industri itu
diusahakan secara diam-diam lebih 200 tahun, kemudian tersebar ke negara
ini hasil penghijrahan sekumpulan pengusaha dari Indonesia.
Kesesuaian
negara ini untuk penternakan burung walet mendorong kumpulan pengusaha
itu menggunakan bangunan terbiar di Setiawan dan Taiping, Perak, sebagai
perumah burung walet.
Penduduk tempatan yang ‘terhidu’ aktiviti
pembinaan rumah burung walet kemudian mengambil kesempatan mengusahakan
industri menguntungkan itu sehingga jumlahnya kini mencecah 50,000
unit.
Barangkali ramai menyamakan burung walet dengan spesies
burung layang-layang yang sering kelihatan bertenggek di atas wayar
elektrik dalam jumlah banyak.
Sebenarnya kedua-dua spesies burung itu
mempunyai perbezaan ketara antara satu sama lain dengan burung walet
mendominasi kebaikan dari aspek kesihatan.
Buktinya, air liur
dihasilkan spesies ‘aerodramus fuciphagus’ itu mendapat permintaan
tinggi di kalangan pengguna di China dengan harganya di pasaran boleh
melebihi RM10,000 sekilogram.
Mengulas mengenai perbezaan itu, Dr Azhar berkata, burung layang-layang adalah spesies bermusim dan burung penghijrah.
Katanya,
burung layang-layang berada di negara ini dalam tempoh tertentu sebelum
berhijrah ke negara lain, namun ada juga yang tidak mahu pulang ke
negara asal.
“Warna hitam pada burung ini sama dengan burung walet, namun cara terbangnya agak berbeza.
“Burung
layang-layang akan mengepakkan sayapnya sampai ke dada, selain
pergerakannya di udara secara turun naik. Burung walet mempunyai aksi
‘gliding’ dan mengepak ketika terbang di udara.
“Malah burung walet mempunyai kaki yang pendek dan bergantung sepenuhnya kepada kukunya untuk berpaut,” katanya.
Burung walet adalah spesies yang sangat unik kerana akan terapung-apung di udara selama 12 jam.
Dr Azhar berkata, dari mula matahari terbit dan matahari terbenam, burung walet akan terbang di udara.
“Spesies ini hanya turun dua atau tiga kali ke sarangnya untuk memberikan makanan kepada anak.
“Penglihatan yang sangat tajam membolehkan haiwan itu menangkap serangga pada kedudukan 1,500 meter dari paras laut,” katanya.
Burung
walet banyak ditemui terbang di persekitaran Cameron Highlands, namun
lokasi terbabit dijadikan tempat mencari makanan dan bukannya bersarang
berikutan keadaan persekitarannya yang sejuk.
Menurutnya, ada dua spesies utama burung walet iaitu jenis ‘aerodramus fuciphagus’ dan ‘aerodramus maximus’.
“Aerodramus
fuciphagus mempunyai banyak sub spesies terutama perbezaan bentuk
badan dan warna sarang. Spesies ini mempunyai sarang berwarna putih dan
mempunyai nilai komersial lebih tinggi, selain kurang bulu.
“Bagi
spesies aerodramus maximus, warnanya lebih gelap kerana mempunyai
kandungan bulu lebih banyak. Ini kerana spesies itu menjadikan gua
sebagai perumah,” katanya, sambil menambah, setiap spesies juga
dipercayai ada ciri berbeza termasuk suara tersendiri.
Malah katanya, tidak semestinya burung walet yang terdapat di Dengkil menyamai burung walet di Perlis ataupun di Kedah.
“Mungkin
pengusaha yang baru dalam industri penternakan burung walet tidak
mengetahui spesies burung walet diternak mereka, namun lama-kelamaan
mereka akan tahu juga,” katanya.
Beliau juga menasihatkan
pengusaha agar tidak ‘syok sendiri’ kerana jika ia berlaku, industri
diusahakan tidak mencapai matlamat disasarkan.
“Pengusaha perlu banyak berkomunikasi dan berkawan dengan pengusaha lain ataupun mendapatkan khidmat pakar,” katanya.
Menurutnya, sarang burung walet mempunyai banyak khasiat khususnya dalam bidang perubatan.
“Dari segi saintifik, burung walet mempunyai kebaikan kepada
kesihatan
kulit. Penyelidikan terhadap sarang burung walet juga banyak dilakukan.
Di Jepun misalnya, kajian terhadap kandungan ‘sialic acid’ pada sarang
burung walet membantu dalam kesihatan saraf otak.
“Malah didapati
juga perkembangan otak kanak-kanak menjadi lebih baik sekiranya
diberikan bahan berkenaan pada peringkat bayi,” katanya.
Selain itu, katanya, bahan glukosamin yang terdapat pada sarang juga baik untuk kesihatan sendi.
“Glukosamin
adalah komponen semula jadi bagi tisu sendi yang sihat. Jadi, ia
penting kepada warga emas yang mempunyai masalah berkenaan. Kajian juga
mendapati sarang burung walet menjadi antiselesema,” katanya.
Sementara
itu, Pak Harry berkata, selain manusia, sarang burung walet sudah
diaplikasi kepada penternakan kuda lumba di negara Timur Tengah.
“Ia
digunakan penternak kuda lumba di negara berkenaan. Hasilnya, sebaik
diberikan makanan ekstrak burung walet, didapati kelajuan kuda
bertambah,” katanya.
Secara keseluruhan sarang burung walet
terbukti mempunyai kebaikan kesihatan seperti menjadikan kulit lebih
licin dan anjal, menggalakkan perkembangan otak, menguatkan daya ingatan
serta penyambung di antara tisu.
UPM bantu pengusaha
Industri
pengeluaran sarang burung walet berdepan cabaran apabila hampir 70
peratus rumah burung diusahakan penternak kurang produktif.
Kegagalan
penternak memahami spesies burung berkenaan, ditambah dengan
pengurusan rumah tidak sistematik dikenal pasti menjadi punca haiwan itu
tidak memasuki rumah yang disediakan.
Sehubungan itu, Pusat
Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM)
yang ditubuhkan pada 14 Mac lalu bersedia membantu menyelesaikan
masalah dihadapi golongan terbabit.
Timbalan Pengarah Bahagian
Pembangunan dan Jaringan Keusahawanan UCTC, Prof Madya Dr Azhar Kasim
berkata, pemilihan UPM berikutan kepakarannya dalam industri berasaskan
pertanian khususnya walet.
“Kami mendapat pengiktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Walet.
“UPM
diketahui sebagai pakar dalam sektor ternakan, tanaman dan akuakultur.
Justeru, industri yang dikenal pasti mempunyai impak berkaitan bidang
profesionalisme adalah burung walet.
“Dianggarkan kira-kira
50,000 rumah burung walet diusahakan di Malaysia dengan kebanyakannya
kurang burung, kurang produktif dan tidak ada burung,” katanya.
Berdasarkan
masalah itu, potensi penjanaan pendapatan masih ada, namun ia tidak
menjelma. Justeru, UPM berganding bahu dengan beberapa rakan pintar
dalam kerja pemulihan dan meningkatkan prestasi rumah burung.
“Gandingan
UPM dengan rakan pintar bukan saja dapat meningkatkan keyakinan
pengusaha rumah walet, tapi mewujudkan kerjasama erat antara pengusaha
dengan saintis dalam aspek penyelidikan.
“Sebahagian daripada
gerak kerja pemulihan dan penambahbaikan rumah burung walet sudah diolah
supaya kutipan data saintifik dapat dipermudahkan bagi tujuan
penyelidikan saintifik,” katanya.
Penemuan baru hasil daripada
kajian saintifik ini dijangka dapat dikongsi bersama dengan rakan
industri supaya industri dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.
“Kerja penambahbaikan membabitkan gandingan UPM-rakan pintar sudah menampakkan kejayaan yang dapat dibanggakan.
“Antara daerah terbabit dengan usaha sama ini adalah Sungai Petani, Kedah; Dengkil dan Hulu Langat di Selangor,” katanya.
Dr Azhar berkata, sekiranya rumah bermasalah dapat dipulihkan, pengusaha rumah burung berpotensi memperoleh pulangan lumayan.
“Ada
1,001 punca dikaitkan dengan rumah burung walet yang kurang atau tidak
produktif. Antara langkah permulaan dalam gerak kerja diamalkan UCTC
bersama rakan pintar, melaksanakan siasatan menyeluruh.
“Punca
masalah akan dikenal pasti dan pengusaha akan menerima laporan
terperinci dengan anggaran kos bagi kerja pemulihan yang munasabah,”
katanya.
Situasi paling mencabar dalam melaksanakan aktiviti
pemulihan rumah walet apabila rumah burung dibina tidak selari dengan
konsep mendirikan rumah walet.
“Contohnya, rumah walet dibina
pada lokasi yang jarang dilihat burung. Proses untuk meningkatkan
jumlah sarang selepas pemulihan dibuat pada amnya mengambil masa lama,”
katanya.
Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut
berkaitan penyelesaian kepada masalah berkenaan boleh menyertai kursus
Kaedah Menambahkan Penghasilan
Sarang Burung Walet anjuran UCTC yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Mei ini.
Penceramah terdiri dalam kalangan rakan pintar dan saintis UPM. Yuran penyertaan dikenakan berpatutan.
Maklumat lanjut berkaitan kursus itu boleh diperoleh melalui urusetia dengan menghubungi talian 03-89471807/1814/1816/1819.
Sumber:harian metro