Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, May 8, 2013

Harga cecah RM10,000 sekilogram

pix_topright
Oleh Mohd Sabran Md Sani
Walaupun me­ngambil masa hanya 10 minit untuk mendaki kawasan berbukit di Dengkil, Sela­ngor, baru-baru ini, ia sudah cukup membuatkan badan penulis berpeluh. Apa tidaknya, ketika itu matahari meninggi di atas kepala.
Namun waktu itu dikatakan paling sesuai untuk ‘menjenguk’ rumah burung walet di kawasan berkenaan kerana ia hanya pulang ke sarang pada lewat petang, selalunya dari jam 6 petang hingga senja.
Perjalanan bersama jurugambar dan saintis Universiti Putra Malaysia (UPM) ke rumah burung walet setinggi tiga tingkat itu turut ditemani pengusahanya, Datuk Mustaffa Abd Rahman dan penulis blog, Pak Harry.

Sistem pembesar suara yang diubah suai Pak Harry dipasang di lokasi strategik pada rumah burung berkenaan sedikit sebanyak memecah keheningan suasana keliling seakan-akan kicauan burung walet yang baru pulang ke sarang.
FotoALAT twitter hitam yang dipasang menarik kedatangan burung walet.

Misi ke rumah burung walet itu dalam usaha Bahagian Pembangunan dan Jaringan Keusahawanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, memantau perubahan selepas penambahbaikan rumah siap dua bulan lalu.

Projek diselia Timbalan Pengarah­nya, Prof Madya Dr Azhar Kasim dengan gandingan Pak Harry selaku rakan pintar daripada pihak swasta bagi memulih serta meningkatkan prestasi rumah burung walet.

Antara aktiviti UCTC adalah turun padang dan bertemu pengusaha rumah burung walet yang tidak berpuas hati dengan prestasi serta pengeluaran hasil di rumah burung mereka.

Mengikut sejarah, burung walet menjadi menu eksotik paling istimewa yang hanya dinikmati keluarga diraja bagi ‘maharaja’ di China.

Hasil penghijrahan burung berkenaan ke Gresik, Indonesia pada 1808 membolehkan ‘menu diraja’ itu diperluaskan penggunaannya di kalangan masyarakat setempat.

Industri itu diusahakan secara diam-diam lebih 200 tahun, kemudian tersebar ke negara ini hasil penghijrahan sekumpulan pengusaha dari Indonesia.

Kesesuaian negara ini untuk penternakan burung walet mendorong kumpulan pengusaha itu menggunakan bangunan terbiar di Setiawan dan Taiping, Perak, sebagai perumah burung walet.

Penduduk tempatan yang ‘terhidu’ aktiviti pembinaan rumah burung walet kemudian me­ngambil kesempatan mengusahakan industri me­nguntungkan itu sehingga jumlahnya kini mencecah 50,000 unit.

Barangkali ramai me­nyamakan burung walet dengan spesies burung layang-layang yang sering kelihatan bertenggek di atas wayar elektrik dalam jumlah banyak.
Sebenarnya kedua-dua spesies burung itu mempu­nyai perbezaan ketara antara satu sama lain de­ngan burung walet mendominasi kebaikan dari aspek kesihatan.

Buktinya, air liur dihasilkan spesies ‘aerodramus fuciphagus’ itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna di China de­ngan harganya di pasaran boleh melebihi RM10,000 sekilogram.

Mengulas me­ngenai perbezaan itu, Dr Azhar berkata, burung layang-layang adalah spesies bermusim dan burung penghijrah.

Katanya, burung layang-layang berada di negara ini dalam tempoh tertentu sebelum berhijrah ke negara lain, namun ada juga yang tidak mahu pulang ke negara asal.

“Warna hitam pada burung ini sama dengan burung walet, namun cara terbangnya agak berbeza.

“Burung layang-layang akan me­ngepakkan sayapnya sampai ke dada, selain pergerakannya di udara secara turun naik. Burung walet mempunyai aksi ‘gliding’ dan mengepak ketika terbang di udara.

“Malah burung walet mempunyai kaki yang pendek dan bergantung sepenuh­nya kepada kuku­nya untuk berpaut,” katanya.

Burung walet adalah spesies yang sangat unik kerana akan terapung-apung di udara selama 12 jam.

Dr Azhar berkata, dari mula matahari terbit dan matahari terbenam, burung walet akan terbang di udara.

“Spesies ini hanya turun dua atau tiga kali ke sarangnya untuk memberikan makanan kepada anak.

“Penglihatan yang sa­ngat tajam membolehkan haiwan itu menangkap serangga pada kedudukan 1,500 meter dari paras laut,” katanya.

Burung walet banyak ditemui terbang di persekitaran Cameron Highlands, namun lokasi terbabit dijadikan tempat mencari makanan dan bukannya bersarang berikutan keadaan persekitarannya yang sejuk.

Menurutnya, ada dua spesies utama burung walet iaitu jenis ‘aerodramus fuciphagus’ dan ‘aerodramus maximus’.

“Aerodramus fuciphagus mempu­nyai banyak sub spesies terutama perbezaan bentuk badan dan warna sarang. Spesies ini mempunyai sarang berwarna putih dan mempunyai nilai komersial lebih tinggi, selain kurang bulu.

“Bagi spesies aerodramus maximus, warnanya lebih gelap kerana mempunyai kandungan bulu lebih banyak. Ini kerana spesies itu menjadikan gua sebagai perumah,” katanya, sambil menambah, setiap spesies juga dipercayai ada ciri berbeza termasuk suara tersendiri.

Malah katanya, tidak semestinya burung walet yang terdapat di Dengkil menyamai burung walet di Perlis ataupun di Kedah.

“Mungkin pengusaha yang baru dalam industri penternakan burung walet tidak mengetahui spesies burung walet diternak mereka, namun lama-kelamaan mereka akan tahu juga,” katanya.

Beliau juga menasihatkan pengusaha agar tidak ‘syok sendiri’ kerana jika ia berlaku, industri diusahakan tidak mencapai matlamat disasarkan.

“Pengusaha perlu banyak berkomunikasi dan berkawan dengan pengusaha lain ataupun mendapatkan khidmat pakar,” katanya.

Menurutnya, sarang burung walet mempunyai banyak khasiat khususnya dalam bidang perubatan.

“Dari segi saintifik, burung walet mempunyai kebaikan kepada
kesihatan kulit. Penyelidikan terhadap sarang burung walet juga banyak dilakukan. Di Jepun misalnya, kajian terhadap kandungan ‘sialic acid’ pada sarang burung walet membantu dalam kesihatan saraf otak.

“Malah didapati juga perkembangan otak kanak-kanak menjadi lebih baik sekiranya diberikan bahan berkenaan pada peringkat bayi,” katanya.

Selain itu, katanya, bahan glukosamin yang terdapat pada sarang juga baik untuk kesihatan sendi.

“Glukosamin adalah komponen semula jadi bagi tisu sendi yang sihat. Jadi, ia penting kepada warga emas yang mempunyai masalah berkenaan. Kajian juga mendapati sarang burung walet menjadi antiselesema,” katanya.

Sementara itu, Pak Harry berkata, selain manusia, sarang burung walet sudah diaplikasi kepada penternakan kuda lumba di negara Timur Tengah.

“Ia digunakan penternak kuda lumba di negara berkenaan. Hasil­nya, sebaik diberikan makanan ekstrak burung walet, didapati kelajuan kuda bertambah,” katanya.

Secara keseluruhan sarang burung walet terbukti mempunyai kebaikan kesihatan seperti menjadikan kulit lebih licin dan anjal, menggalakkan perkembangan otak, menguatkan daya ingatan serta penyambung di antara tisu.


UPM bantu pengusaha

Industri pengeluaran sarang burung walet berdepan cabaran apabila hampir 70 peratus rumah burung diusahakan penternak kurang produktif.

Kegagalan penternak memahami spesies burung berkenaan, ditambah de­ngan pengurusan rumah tidak sistematik dikenal pasti menjadi punca haiwan itu tidak memasuki rumah yang disediakan.

Sehubungan itu, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuh­kan pada 14 Mac lalu bersedia membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan terbabit.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan dan Jaringan Keusahawanan UCTC, Prof Madya Dr Azhar Kasim berkata, pemilihan UPM berikutan kepakarannya dalam industri berasaskan pertanian khususnya walet.

“Kami mendapat peng­iktirafan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Walet.

“UPM diketahui sebagai pakar dalam sektor ternakan, tanaman dan akuakultur. Justeru, industri yang dikenal pasti mempunyai impak berkaitan bidang profesionalisme adalah burung walet.

“Dianggarkan kira-kira 50,000 rumah burung walet diusahakan di Malaysia dengan keba­nyakannya kurang burung, kurang produktif dan tidak ada burung,” katanya.

Berdasarkan masalah itu, potensi penjanaan pendapatan masih ada, namun ia tidak menjelma. Justeru, UPM berganding bahu dengan beberapa rakan pintar dalam kerja pemulihan dan mening­katkan prestasi rumah burung.

“Gandingan UPM de­ngan rakan pintar bukan saja dapat meningkatkan keyakinan pengusaha rumah walet, tapi mewujudkan kerjasama erat antara pengusaha de­ngan saintis dalam aspek penyelidikan.

“Sebahagian daripada gerak kerja pemulihan dan penambahbaikan rumah burung walet sudah diolah supaya kutipan data saintifik dapat dipermudahkan bagi tujuan penyelidikan saintifik,” katanya.

Penemuan baru hasil daripada kajian saintifik ini dijangka dapat dikongsi bersama dengan rakan industri supaya industri dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi.

“Kerja penambahbaikan membabitkan gandingan UPM-rakan pintar sudah menampakkan kejayaan yang dapat dibanggakan.

“Antara daerah ter­babit dengan usaha sama ini adalah Sungai Petani, Kedah; Dengkil dan Hulu Langat di Selangor,” katanya.

Dr Azhar berkata, sekiranya rumah bermasalah dapat dipulihkan, pengusaha rumah burung berpotensi memperoleh pula­ngan lumayan.

“Ada 1,001 punca dikaitkan dengan rumah burung walet yang kurang atau tidak produktif. Antara langkah permulaan dalam gerak kerja diamalkan UCTC bersama rakan pintar, melaksanakan siasatan menyeluruh.

“Punca masalah akan dikenal pasti dan pe­ngusaha akan menerima laporan terperinci dengan anggaran kos bagi kerja pemulihan yang munasabah,” katanya.

Situasi paling mencabar dalam melaksanakan aktiviti pemulihan rumah walet apabila rumah burung dibina tidak selari dengan konsep mendirikan rumah walet.

“Contohnya, rumah walet dibina pada lokasi yang jarang dilihat burung. Proses untuk mening­katkan jumlah sarang selepas pemulihan dibuat pada amnya mengambil masa lama,” katanya.

Individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan penyelesaian kepada masalah berkenaan boleh me­nyertai kursus Kaedah Menambahkan Penghasilan
Sarang Burung Walet anjuran UCTC yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 Mei ini.
Penceramah terdiri dalam kalangan rakan pintar dan saintis UPM. Yuran penyertaan dikenakan berpatutan.

Maklumat lanjut berkaitan kursus itu boleh diperoleh melalui urusetia dengan menghubungi talian 03-89471807/1814/1816/1819.
Sumber:harian metro
Related Posts with Thumbnails