Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Saturday, June 28, 2014

Inovasi dalam pertanian



Konsep fertigasi gantung membolehkan mengurangkan beban penanam mengurus tanah.

“Petani perlu mempunyai semangat yang kuat, cekal serta komited dalam mengusahakan pertanian di samping mempunyai sumber modal yang mencukupi’.
Berbekalkan prinsip inilah, hari ini Ramli Edrus yang merupakan usahawan tani berasal dari Kuantan, Pahang mampu tersenyum bangga dan telah berjaya meraih purata pendapatan lumayan.
Sebelum menceburi bidang pertanian, Ramli pernah bekerja sebagai pemandu traktor di Jabatan Pertanian Negeri Pahang selama hampir 10 tahun.
Pada masa itu, dia telah mula mengusahakan projek pertanian secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan.
Hasil usaha yang berterusan dan keinginan untuk terus berjaya dalam bidang ini, dia telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengusahakan projek pertanian secara sepenuh masa.
Sehingga hari ini, Ramli telah berjaya mengusahakan tanaman secara fertigasi gantung di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Pulau Manis, Kuantan dengan keluasan sebanyak 13 hektar (ha).
Ramli telah menyertai projek di TKPM ini sejak tahun 2011 dan mendapat bimbingan sepenuhnya daripada Jabatan Pertanian.
Dia juga telah berjaya memperolehi Sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) iaitu pensijilan yang merupakan pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik dan mesra alam bagi memastikan pengeluaran hasil berkualiti dan selamat dimakan.
Fertigasi gantung merupakan satu kaedah menanam dengan menggunakan polibeg yang digantung pada sistem para.
Para yang dibina dengan menggunakan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong dan tidak diletakkan di atas tanah seperti kaedah biasa yang diamalkan oleh kebanyakan petani.
Timbulnya idea untuk melaksanakan kaedah fertigasi gantung ini didorong oleh kenaikan harga baja berikutan kegawatan ekonomi pada tahun 2008.
Selain itu, kesukaran mendapatkan tenaga buruh juga merupakan faktor yang menyumbang kepada tercetusnya idea tersebut.
Melalui kaedah fertigasi gantung, kebanyakan kerja-kerja operasi di ladang yang sebelumnya memerlukan tenaga kerja yang ramai dapat diminimumkan melalui penggunaan jentera ladang.
Pada kebiasaannya, bagi setiap hektar tanaman sayuran secara konvensional memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang tenaga buruh,
Bagaimanapun melalui kaedah fertigasi, hanya dua orang pekerja sudah memadai bagi menguruskan kawasan tanaman sehingga empat hektar keluasan.
Menurut Ramli, dengan menggunakan kaedah fertigasi gantung ini, dia telah berjaya mengurangkan pembaziran bahan input pertanian kerana penggunaan baja yang tidak efisien.
Ini adalah kerana pemberian larutan baja pada kadar yang ditetapkan akan diserap terus oleh pokok dan ini menggalakkan penyerapan baja oleh pokok secara optimum.
Sistem fertigasi gantung didapati amat bersesuaian diusahakan di atas tanah bermasalah seperti berasid, bekas lombong, bris dan kawasan yang berisiko ditenggelami banjir kilat.
Kaedah ini juga tidak memerlukan proses penyediaan tanah seperti pengapuran dan penggunaan baja organik dilaksanakan secara tidak langsung dapat menjimatkan kos bahan input dan kos tenaga kerja.
Oleh itu, petani akan dapat melaksanakan projek tanaman sepanjang tahun tanpa mengira musim dan tidak perlu risau berlakunya banjir atau masalah ketidaksuburan tanah.
Melalui kaedah ini juga, Ramli berjaya memperoleh pendapatan yang lebih baik disebabkan oleh peningkatan hasil pengeluaran melalui penggunaan baja yang lebih efisien.
Selain itu, ia memanjangkan jangka hayat ekonomik tanaman, mengurangkan risiko kerosakan tanaman akibat banjir, serangan perosak serta penyakit soil borne.
Kos kawalan rumpai juga dapat dikurangkan sehingga 50 peratus apabila sepanjang hayat tanaman kawalan rumpai perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sahaja.
Kerja-kerja penjarangan tanaman dan kutipan hasil juga dapat dilakukan dengan lebih cepat, mudah dan efisien.
Menurut Ramli, sehingga kini dia telah mengeluarkan kos kira-kira RM200,000 bagi membangunkan kawasan seluas 13 ha untuk memulakan projek fertigasi gantung tersebut.
Walau bagaimanapun, kos pengeluaran pusingan seterusnya adalah lebih rendah kerana hanya melibatkan kos operasi dan bahan input sahaja.


© Utusan Melayu (M) Bhd 
Related Posts with Thumbnails