SYARIKAT penternakan udang bersepadu tempatan, JEFI Aquatech
Resources Sdn Bhd akan memperkenalkan teknologi penternakan udang
berteknologi tinggi ke Malaysia yang bakal menjadikan negara ini
pengeluar udang terbesar bagi pasaran halal global.
JEFI, yang berpusat di Pulau Pinang membangunkan teknologi itu yang diberikan status BioNexus, khusus untuk penternakan udang secara mesra alam sekitar.
JEFI, yang berpusat di Pulau Pinang membangunkan teknologi itu yang diberikan status BioNexus, khusus untuk penternakan udang secara mesra alam sekitar.
Bagi mengukuhkan lagi perniagaannya, JEFI akan melabur RM375 juta
dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan Pusat AquaTech di
Pulau Pinang yang dijangka beroperasi pada April tahun depan dan ladang
AquaTech bagi tujuan penternakan udang di seluruh negara.
Ketua Eksekutifnya, BJ Tan, berkata pelaburan itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangannya di tengah-tengah peningkatan permintaan di China, Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
“Pelaburan bernilai RM375 juta itu akan mewujudkan 800 hektar ladang udang di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman perkembangan terkini Program Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, semalam.
Tan berkata, Pusat AquaTech itu terdiri daripada pejabat korporat, sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan, sebuah pusat latihan, ladang pemprosesan udang dan gudang.
Pembinaan kompleks berkenaan dijangka selesai menjelang April tahun depan, katanya.
Sementara itu, katanya ladang AquaTech pula akan terdiri daripada pusat penetasan dan akan dilengkapi peralatan ternakan udang, sistem prosedur operasi standard canggih serta sistem pemantauan.
“Kami telah mengenal pasti dan mengesahkan tanah akuakultur negeri bagi ternakan udang dan sedang memuktamadkan rancangan itu dengan kerajaan negeri," katanya sambil menambah operasi kolam terbabit akan dikendalikan usahawan kontrak yang akan dilantik di kalangan penduduk di kawasan yang terbabit.
Tan berkata, setiap usahawan akan disediakan dengan kolam untuk menternak udang di bawah pengawasan JEFI, yang dipandu oleh prosedur operasi, amalan terbaik, pemantauan dan latihan.
JEFI akan turut menyediakan kontrak jangka panjang dan kontrak dijamin beli balik pada harga pasaran semasa kepada peserta program.
Sumber: Berita Harian ( http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TeknikBioNexusternakudangmesraalam/Article)