Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, November 27, 2008

Usahawan tani disaran ceburi kaedah organik

Golongan usahawan tani disaran menceburi pertanian organik kerana hasil tanaman jenis itu membawa pulangan lebih tinggi dan lumayan berbanding pertanian konvensional. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sedar bahawa pertanian organik di negara ini masih kurang diamalkan oleh para petani berbanding dengan Thailand dan Vietnam.

Katanya, ini terbukti apabila keluasan tanaman organik di Malaysia sekarang hanya mencecah 1,000 hektar atau lebih kurang 0.01 peratus daripada keluasan kawasan pertanian di negara ini.

"Hampir 80 peratus bekalan produk organik dalam negara diimport dari Australia dan New Zealand, kekacang dan rencah perisa dari China, manakala produk diproses dari Thailand, Amerika Syarikat dan Eropah,'' katanya pada Persidangan Kebangsaan Pertanian Organik 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementeriannya, Datuk Dr. Baharom Jani.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian, Sulaiman Md. Zain dan Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Mohd. Yusoff Abdullah.

Mustapa berkata, apa yang memberangsangkan ialah kadar pertumbuhan permintaan produk berasaskan organik seperti sos meningkat setiap tahun kepada lebih 30 peratus setahun.

"Ini semua merupakan peluang kekayaan baru yang boleh direbut daripada pertanian organik,'' ujarnya.

Mustapa turut menyeru agensi-agensi di bawah kementerian itu termasuk MARDI dan Jabatan Pertanian agar bersama-sama membangunkan industri pertanian organik yang baru itu.

Sementara itu, pada sidang akhbar sejurus selepas persidangan itu, Abd. Shukor berkata, MARDI menyasarkan sebanyak 20,000 hektar diusahakan dengan tanaman organik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau berkata, untuk menangani cabaran itu, MARDI telah membangunkan kawasan ladang seluas lima hektar di Serdang sebagai tapak kajian pertanian organik.

Jelasnya, kajian ekosistem organik dijalankan di kawasan yang berfungsi sebagai 'makmal hidup' itu bagi mengumpulkan maklumat-maklumat penting dalam penanaman secara organik.

"Maklumat kajian itu boleh dikongsi bersama dengan petani dan pengusaha yang berminat mengusahakan pertanian organik,'' ujarnya.

Petikan dari Utusan Online...

Kecacatan bukan halangan jadi usahawan


Mohd. Khairi Othman memberi makan ikan peliharaannya.


Hati ibu bapa mana yang tidak remuk apabila melihat anak yang lahir ke dunia tidak mempunyai sepasang tangan dan kaki sempurna seperti anak lain.

Sudah pasti lebih gundah-gulana apabila memikirkan masa depan dan kepayahan yang akan ditempuhi permata hati mereka pada hari-hari mendatang.

Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai, Pekan, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd. Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.

Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd. Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu.

Hari ini, ibu bapa Mohd. Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.

Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd. Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan dalam sangkar di tepi Sungai Pahang.Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan tilapia.Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd. Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.

Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali.

Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd. Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.Rutinnya, Mohd. Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.

Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkar bagi mengelak ikan ternakannya mati.

“Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa sejak kecil,” kata Mohd. Khairi ketika ditemui di sini.Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.

Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya.Bekas pemenang pingat perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.

Beliau yang mengalami kecacatan di kaki kanan, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan.Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.

Ditanya kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai," katanya.

Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan.Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.

Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd. Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan .Pada 23 Oktober lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.

Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan.

Bagi Mohd. Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu," katanya.

Bagi Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara.

- Bernama

Related Posts with Thumbnails