Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Wednesday, July 8, 2009

Teknologi baru ternak biri-biri

Mardi bangunkan ladang contoh di Sungai Baging

KUANTAN: Kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) membangunkan ladang contoh ternakan biri-biri, bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi industri penternakan di negeri ini.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Mardi, Dr Mohmad Mustaffa, berkata ladang contoh Sungai Baging di Jalan Kuantan-Kemaman di sini, kini mempunyai kira-kira 500 biri-biri baka Dorper kacukan yang dilepaskan di kawasan tanaman kelapa seluas 50 hektar. Beliau berkata, penternak dan bakal penternak dapat melihat sendiri teknologi yang dipamerkan malah mereka juga boleh menjalani latihan secara terus di ladang berkenaan.

"Kita akan mengetengahkan teknologi dalam bidang penternakan untuk merangsang perkembangan pembangunan industri penternakan biri-biri khususnya di Pahang," katanya pada majlis Pelancaran Ladang Contoh Biri-biri di Stesen Mardi Sungai Baging, dekat sini, kelmarin.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan pegawai Mardi yang bertanggungjawab menyediakan laporan mengikut sistem kawalan dan melaksanakan keputusan yang ditetapkan pengurusan Stesen Mardi.

Beliau yang juga Ketua Projek Ladang Contoh berkenaan, berkata penternak boleh mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan kaedah penternakan biri-biri baka Dorper Afrika Selatan di ladang berkenaan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

"Kita pilih baka dari Afrika Selatan yang digabungkan daripada baka biri-biri Parsi dan Dorset yang mana ia dipilih kerana mampu meningkatkan mutu genetik biri-biri tempatan.

"Baka ini juga dipilih kerana ia mampu menyesuaikan diri dengan iklim tempatan, kadar kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kembar tinggi, pengeluaran susu yang banyak dan daging serta tulang berkualiti," katanya.

Beliau berkata, sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan membeli 500 biri-biri induk betina Dorper kacukan dan 20 pejantan Dorper tulen.

Mohmad berkata, Mardi sudah menyerahkan baka pejantan Dorper kacukan kepada enam penternak di negeri ini sebagai usaha meningkatkan kualiti ternakan berkenaan.

"Kita tidak boleh lagi menggunakan cara lama dalam aktiviti penternakan dan penggunaan teknologi ini bakal meletakkan usahawan pada kedudukan di hadapan dan lebih berdaya saing," katanya.

Beliau berkata, selain menghasilkan genetik baru melalui penyelidikan, Mardi bertanggungjawab menyediakan ladang dan infrastruktur asas ladang selain stok awal induk betina baka biri-biri Dorper kacukan dan Dorper tulen serta keperluan makanan tambahan dan veterinar.

"Mardi juga akan memantau keseluruhan projek supaya berjalan lancar dan memenuhi kehendak asal yang dipersetujui termasuk menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku sepanjang pelaksanaan projek," katanya.
Sumber:Berita Harian
Related Posts with Thumbnails