Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, June 26, 2012

Teknologi hidroponik hasilkan rumput ternakan

Oleh SAHBULLAH MOHD. DARWI 

dan NORDIANA AZIS
Teknik fodder sollution berjaya menghasilkan rumput ternakan dalam tempoh yang singkat.




DALAM industri ternakan, beban utama pengusaha dalam kos operasi selain gaji pekerja ialah sumber makanan. Kos makanan seringkali menjadi rungutan kepada mereka.


Masakan tidak, peningkatan harga makanan ternakan saban tahun menjadi satu beban dan kadangkala penternak terpaksa gulung tikar kerana masalah tersebut.


Sebab itu, selain masalah kekurangan baka bermutu yang cuba ditangani menerusi kacukan dan juga masalah penyakit, ramai penyelidik mencari jalan bagaimana menghasilkan makanan alternatif menerusi kajian mereka.


Satu daripada usaha tersebut ialah menanam rumput yang dikenali sebagai rumput barli atau sprout barli.


Rumput barli merupakan sumber makanan ternakan terkini yang dihasilkan melalui kaedah fodder solution (FS) iaitu teknik penanaman secara hidroponik dalam sistem yang terkawal dari segi suhu, air, pencahayaan dan boleh dikeluarkan sepanjang tahun.


Selain mempunyai kadar protein dan tenaga yang tinggi, ia juga mempunyai kandungan vitamin, garam galian dan enzim untuk ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain.


Dengan isu kenaikan harga bahan makanan ternakan dan tenaga buruh yang semakin dirasai ketika ini, kaedah FS amat relevan kerana mampu menyelesaikan masalah tersebut.


Ini kerana ia berkemampuan menghasilkan rumput dengan kos lebih murah selain lebih selamat dan bersih kerana penanamannya tanpa baja, racun serangga dan bebas habuk.


Malah, dengan ruang yang kecil iaitu sebesar sebuah kontena, penternak sudah boleh menghasilkan rumput tersebut dalam tempoh enam hari sahaja bagi kegunaan sepanjang tahun tanpa masalah kualiti tanah, penyakit, isu keluasan tanah, cuaca atau banjir.


Di negara ini, kaedah FS masih baru apabila ia diketengahkan oleh syarikat MTG Agritrade. Kini penggunaannya dipelopori oleh syarikat ternakan, Kandang Fidlot Cahaya (KFC) yang dimiliki oleh Koperasi Alumni Bestari UM (M) Berhad.


Pengurus projek itu, Yuhanif Mohd. Salleh berkata, ladang ternakan kambing dan lembu yang terletak di Pekan Tunjang, Jitra, Kedah dengan keluasan dua hektar telah menggunakan FS sejak tiga bulan lepas.


Sejak ternakannya diberikan makanan barli yang dihasilkan FS, katanya, berat haiwan-haiwan itu menunjukkan peningkatan menakjubkan.


''Misalnya seekor lembu dapat ditambah berat sekitar 1.3 hingga 1.5 kilogram sehari manakala seekor kambing naik 200 gram sehari," katanya sambil menambah ketika ini ladangnya mempunyai 207 ekor kambing pelbagai jenis dan 15 ekor lembu.


Sementara itu, ahli lembaga koperasi itu, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, FS adalah satu resolusi dan inovasi yang cukup penting untuk mengatasi krisis harga makanan ternakan.


Ini kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas untuk menanam rumput, mudah diuruskan dan kos juga jauh lebih murah berbanding membeli makanan ternakan seperti dedak dan rumput napier.


"Di sini tidak perlu pakai rumput napier atau dedak. FS terbukti boleh menjimatkan kos makanan ternakan sebanyak 30 peratus tetapi mempunyai nutrisi yang tinggi untuk ternakan," jelasnya.


Bagi seorang lagi ahli lembaga koperasi itu, Nordin Mat, kaedah FS dapat mengurangkan pergantungan kepada jumlah pekerja yang ramai, lebih organik dan mengurangkan kos ubat-ubatan untuk ternakan kerana haiwan-haiwan diberi makanan berkualiti dan sihat.


"Disebabkan teknologi ini masih baru di negara ini maka Koperasi Alumni Bestari kami turut menyediakan pakej memulakan ladang ternakan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi FS kepada penternak," katanya.


Menurut beliau, syarikatnya bukan sahaja menternak lembu dan kambing tetapi juga menjual ternakan tersebut untuk tujuan akikah dan korban.


Justeru, beliau berkata, orang ramai yang berminat untuk menggunakan kaedah yang sama dipakai oleh Kandang Fidlot Cahaya boleh menghubunginya di 012-3791239 atau Yuhanif di 0192784074 untuk maklumat lanjut.


Dalam pada itu kajian menunjukkan ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan lain-lain merupakan penyumbang kepada lebih 18 peratus pengeluaran gas CH4 (metana) di dunia melalui proses ruminasi.


Dengan rumput barli, proses penghadaman menjadi lebih cepat dan ia dapat mengurangkan pengeluaran gas tersebut untuk menjadikan dunia lebih selamat untuk didiami.
Sumber:utusan malaysia
Related Posts with Thumbnails