Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Monday, January 4, 2010

Stevia alternatif ganti gula dalam makanan

KUALA LUMPUR: Ketika kenaikan harga gula bermula Jumaat lalu mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk negara, sebuah syarikat tempatan bercadang membuka sebuah ladang terbesar dan pusat pemprosesan biotekologi menggunakan tumbuhan herba `stevia’ secara komersial.


Stevia, sejenis pokok berasal dari negara Amerika Selatan, khususnya Paraguay adalah pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori. Pemanis itu diperoleh daripada daun pokok stevia yang dikeringkan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan A'Azam, Dr Sharifah Sabrina berkata, secara tradisional, stevia mengandungi sifar kalori, lemak, kolesterol, gula dan karbohidrat.


“Ia boleh dijadikan satu alternatif utama untuk mengurangkan pengambilan gula,” katanya kepada Bernama.

Katanya, selain menjadi pemanis semula jadi, stevia juga boleh mengurangkan kadar gula dalam darah,

melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah, membunuh bakteria, membunuh kulat, membunuh virus, mengurangkan keradangan dan boleh membantu mengurangkan berat badan.

Dr Sharifah Sabrina mencadangkan penggunaan stevia diperluaskan di Malaysia bagi mencegah penggunaan dan kandungan gula yang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Kumpulan A'Azam dengan kerjasama anak syarikatnya, BNG Global Holdings Sdn Bhd, sudah menjalankan kajian dan penyelidikan dengan beberapa pakar sains dari Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Bioteknologi di India, yang berpusat di Poona untuk menanam anak pokok stevia secara ujian terlebih dulu.

“Kita perlu membuat kajian secara menyeluruh kerana faktor cuaca memainkan peranan yang penting. Kajian ini meliputi aspek penanaman di Malaysia dan juga beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Kami masih menjalankan penanaman kajian secara saintifik dan juga ujian ketika ini.

“Kami sudah menjalankan kajian tanah dan ujian di Pekan, Mersing, Bentong dan Sabah. Proses ini dijangka selesai dalam tempoh jangka masa terdekat ini. Kami mendapat banyak permintaan dari peniaga kecil yang begitu minat dengan penanaman stevia ini,” katanya.

Beliau berkata, cadangan pembukaan ladang itu sudah dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Among pilih pertanian meskipun ada tiga ijazah


KAMBING Boer yang kian popular di kalangan penternak kambing turut diternak oleh Azizuzanadi Zainuddin. - Gambar hiasan


KETIKA penulis tiba di kediamannya di Kampung Hayat, Simpang Pelangai, terletak kira-kira 46 km dari Bentong, beliau sedang bertukang di kandang kambingnya.

"Beginilah kalau kerja sendirian, semua kena buat sendiri," kata Azizuzanadi Zainuddin, 39, sambil mengetuk papan untuk dijadikan bekas makanan kambing-kambing baka Feral dari Australia.

Berbanding kambing lain yang begitu riuh mengembek, baka kambing Australia ini berkumpul di satu sudut ketika Azizuzanadi atau lebih mesra dengan panggilan Among, membuat kerja tukangannya.

"Kambing Australia ini baru saya dapat, mungkin ternakan ini tak biasa lagi dengan kandang ini, sebab itu diam sahaja," kata Among berseloroh.

Kandang kambing dua tingkat itu siap dibina Mac tahun lalu. Kos membina kandang mencecah RM90,000 dan sebahagian besar wang diperoleh daripada pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) dan bantuan PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan Pelangai).

Di bahagian bawah kandang terdapat stor menyimpan makanan, peralatan dan keperluan. Di lantai bawah itu juga. dia membakar rumput kering yang menghasilkan asap untuk menghalau agas dan nyamuk. Tinja kambing turut dikumpul di lantai bawah dan dibakar untuk dijadikan baja.

Di bahagian atas terdapat beberapa petak kandang yang mengasingkan kambing ternakan mengikut jenis, saiz dan umur.

Pendidikan tinggi

Mendengar sketsa liku-liku kehidupan penternak muda ini, anak seorang pesara tentera, menunjukkan beliau bukan calang-calang orangnya dari segi pencapaian akademik.

Beliau bersekolah agama dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Tamat tingkatan lima, beliau memilih menyambung pelajaran di sekolah pondok, Sekolah Agama Rakyat Al-Nadhah, Kota Sarang Semut, Kedah selama dua tahun.

Meskipun mendapat peluang untuk ke Universiti Al Azhar, dia memilih untuk ke sekolah Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah dan belajar selama tiga tahun lagi.

Tamat belajar di sekolah pondok, dia kembali ke kampung halamannya dan membuat kerja kampung selama dua tahun termasuk menoreh getah di kebun datuk dan neneknya serta menanam pisang.

Meskipun bersekolah agama dan pondok, anak muda ini berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis pada 1992 dalam bidang pengajian perniagaan.

Semua boleh

Tamat belajar di UiTM, dia melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan di Northwood University, Midland, Michigan atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Tamat pengajian peringkat ijazah, dia tidak terus kembali ke tanah air. Anak perantau ini tidak mahu melepaskan peluang menimba pengalaman bekerja di negara asing.

Beliau bukan setakat melakukan dua kerja tetapi juga menyambung pengajian di peringkat sarjana, dengan belanja sendiri, bukan satu tetapi tiga, iaitu Masters in Information System, Masters in International Business dan Masters in Risk Management. Azizuzanadi mengikuti pengajian ketiga-tiga ijazah sarjana itu di Universiti Concordia, Mequon, Wisconsin.

Tamat pengajian ijazah sarjana, beliau tinggal beberapa tahun lagi di Amerika dan memulakan perniagaan pengedaran kebanyakannya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia serta produk etnik Asia da Mexico.

"Saya menyewa sebuah gudang di Greendale, Wisconsin untuk perniagaan saya iTU. Sambutan untuk produk Malaysia dan Asia memang bagus tetapi yang mengecewakan saya ialah bila saya dapat tawaran membekal sos masam manis dalam kuantiti yang besar untuk Walmart, rangkaian pasaran yang hebat di Amerika, tak ada pihak di tanah air yang sanggup membekalkan saya produk berkenaan," keluh Among.

Usahawan tani

Setelah hampir 10 tahun di perantauan, Among kembali ke tanah air pada April 2007.

"Kalau makan gaji, kita yang lelah bekerja tetapi orang lain yang mengecap kejayaannya," jelasnya.

Among mahu menjadi usahawan dan memilih untuk meneroka bidang pertanian di sebalik tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) dari sebuah institut pengajian tinggi awam tempatan.

"Semasa belajar di Amerika, saya berpeluang melawat banyak ladang lembu dan jagung. Saya juga pernah bekerja sambilan di ladang dan saya melihat sendiri betapa majunya peladang-peladang di negara itu. Saya diberitahu kerajaan mereka banyak membantu dan memasarkan produk yang dihasilkan.

"Sememangnya jika dibandingkan dengan industri pertanian di tanah air, kita masih jauh ketinggalan. Di situlah datang tekad untuk saya jadikan bidang pertanian sebagai karier saya," jelas Among.

Sekembalinya ke tanah air, Among tidak membuang masa dan mengikuti pelbagai kursus termasuk anjuran Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (Medec), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Perikanan.

Antara kursus yang disertainya ialah kursus ternakan ikan dalam sangkar, kursus membuat makanan ternakan, kursus pembenihan ikan, kursus penyakit ternakan kambing dan kursus ternakan kambing peringkat ladang.

"Habis sahaja kursus ternakan ikan, saya buat dulu ternakan kambing pada Disember 2007. Saya beli 20 ekor kambing dari sebuah ladang di Nilai, Negeri Sembilan yang terpaksa gulung tikar.

"Saya belanja lebih RM5,000 untuk beli kambing-kambing ini," kata Among dengan menambah kemudian membeli 39 ekor lagi kambing dengan kos kira-kira RM15,000.

Menurut Among, dia hampir berputus asa bila banyak kambing ternakannya mati dan bantuan yang diharapkan daripada jabatan yang berwajib tidak diterima secepat yang diharapkan.

Hasil penat lelahnya, Among kini mempunyai kira-kira 100 ekor kambing daripada pelbagai jenis termasuk kambing biri-biri dan kambing Feral dari Australia, kambing Jamnapari dari Indonesia, kambing Katjang (baka kacukan tempatan dan Anglo Nubian) dan kambing Boer.

Beliau juga membuka sebuah ladang di Jelebu, Negeri Sembilan untuk ternakan kambing biri-biri yang kini berjumlah 37 ekor dan dijaga oleh pak ciknya.

Among kini mengorak langkah mempelbagaikan ternakannya dengan mengusahakan ternakan ikan keli di tanah berhampiran ladang kelapa sawit milik pakciknya.

Beliau bermula dengan 100,000 anak ikan keli yang dipeliharanya di tiga buah kolah batu termasuk sebuah kolam tanah untuk asuhan anak benih sehingga tahap matang.

"Saya ternak ikan keli ini untuk mendapatkan aliran tunai. Sekarang, tiap-tiap hari ikan boleh dijual. Purata dalam sebulan saya boleh dapat antara RM1,000 hingga RM2,000," katanya sambil berkata, dia juga menjual ikan keli salai dengan harga RM18 sekilo.

Among mempunyai rancangan besar untuk perniagaan ternakannya, cuma kekangan utama ialah aliran wang tunai.

Jadual kerja Among sememangnya padat, bermula sebaik selepas subuh hinggalah tengah malam. Ternakannya bukan sahaja perlu diberi makan tiga kali sehari tetapi kandang juga perlu dibersihkan.

Di antara kesibukan di kandang kambing, dia juga menjengah kolam-kolam ikan kelinya yang terletak kira-kira 200 meter dari kandang kambingnya.

"Memang banyak kerja yang perlu dibuat. Hujung minggu kerja, hari raya pun kerja. Kalau hendak berjaya, mesti belajar dan buat sendiri. Kena tahu apa nak buat kalau kambing sakit, kalau kambing nak beranak, kena ada pengetahuan.

"Saya biasa buat kerja dari peringkat bawah lagi. Semasa di Amerika, saya pernah bekerja dengan sebuah restoran pizza. Saya bermula daripada mencuci lantai dan pinggan sehinggalah saya diberi kepercayaan menjadi pengurus.

"Apa yang saya belajar ialah dalam apa juga pekerjaan, kita mesti hands-on, kita mesti tahu selok-belok semua kerja, baru kita boleh pergi jauh," katanya sambil menjelaskan beliau mendapat bantuan ibu dan adiknya jika dia perlu meninggalkan ladang untuk urusan luar.

Isterinya, Zaibedah Zaharum, ialah pensyarah di UiTM, Segamat, Johor.

Pelan lima tahun

Among mempunyai rancangan besar iaitu mahu menjadikan Pelangai sebagai pusat ternakan dan pengeluar kambing utama di negeri Pahang.

Beliau meletakkan sasaran untuk memiliki kira-kira 5,000 ekor kambing dalam masa lima tahun di samping mengumpulkan penternak-penternak kecil di kawasan sekitar di bawah satu konsortium.

Di samping menambah baka kambing yang berkualiti, beliau juga mahu menubuhkan sebuah syarikat perdagangan.

"Saya sudah mengenal pasti seseorang untuk menjadi rakan kongsi bagi tujuan ini. Di bawah syarikat ini, saya rancang nak buat lelongan bukan sahaja ternakan termasuk kambing, lembu atau kerbau tetapi juga hasil pertanian yang lain.

"Syarikat saya akan mengendalikan rumah lelongan ini dan setakat ini, belum ada rumah lelongan di Malaysia. Mungkin lelongan ini kita boleh buat empat kali setahun.

"Kita juga boleh buat jualan secara online (Internet) bagi mereka yang tidak boleh datang ke Pelangai. Pelan saya ini mungkin dapat dibuat dalam masa lima tahun ini tetapi kalau ada pembantu dan komitmen daripada penternak lain, ia mungkin boleh dibuat lebih cepat lagi," kata Among. -- Bernama

Syamille Agro Farm buka restoran daging


MOHD. Zainuri di hadapan restorannya, The Butcher @ Syamille di USJ 21, Subang Jaya.


HIDANGAN seperti stik dan daging panggang merupakan antara masakan barat yang popular dan sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Sesekali mengubah selera, pilihan menu seumpama itu pastinya menawarkan kelainan daripada hidangan nasi berlauk yang menjadi santapan rutin bagi rakyat negara ini.

Bayangkan betapa enaknya menikmati kepingan daging yang telah diperap dengan ramuan istimewa dan dipanggang secara rata sebelum dihidangkan bersama kelazatan sos.

Ia pasti akan membuka selera sesiapa sahaja apatah lagi jika penyediaannya menggunakan daging segar yang dapat memberi lebih kepuasan dalam setiap kunyahan.

Di sana sini terdapat banyak premis makanan ala barat yang menghidang menu ini dengan pelbagai pendekatan jualan seperti konsep koboi, kafe moden dan tidak kurang juga restoran mewah serta eksklusif.

Selain keselesaan, pelaksanaan cara tersebut sebenarnya bertujuan untuk memberi pengalaman terbaik kepada para pelanggan ketika menjamu selera seiring dengan konsep makanan yang dihidangkan.

Mencari kelainan, restoran The Butcher @ Syamille yang terletak di USJ 21, Subang Jaya telah tampil dengan konsep yang cukup unik dan menarik iaitu menerusi kedai jualan daging segar.

Mungkin jarang didengar, namun bagi pemilik restoran, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus, beliau mempunyai penjelasan tersendiri mengapa mengetengahkan konsep berkenaan.

Ketika premis tersebut dibuka pada bulan Jun lalu, ia pada asalnya memang digunakan untuk tujuan aktiviti jualan produk daging segar.

Ini kerana Mohd. Zainuri yang mempunyai ladang ternakan sendiri berhasrat menjadikan kedai itu sebagai pusat jualan untuk produk daging lembu dan kambingnya.

''Semasa majlis pelancaran premis ini, ramai di antara pengunjung memuji keenakan makanan yang dihidangkan.

''Sejak itu, pelanggan-pelangan yang datang membeli daging di kedai ini pasti akan meminta kami memasakannya sekali,'' katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Penerimaan baik itu telah memberi idea kepada beliau untuk menjadikan kedai tersebut sebagai restoran jualan makanan berasaskan daging.

Konsep yang dipilih sememangnya unik kerana jarang kita temui perusahaan daging diusahakan secara kitaran lengkap.

Ia bermula dengan proses pembiakbakaan, menternak, pengeluaran makanan ternakan dan baja kompos, memproses serta menjual daging segar dan akhir sekali disediakan sebagai hidangan.

Kesemua bahan mentah daging kambing dan lembu diperolehi secara terus dari ladang ternakannya sendiri, Syamille Agro Farm & Resort yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar.

Beliau tidak menjual haiwan ternakan tersebut sama ada secara hidup atau pun telah diproses kepada pemborong kerana semuanya digunakan untuk keperluan kedainya.

Bagi memenuhi keperluan sumber yang semakin meningkat, beliau kini telah memulakan projek ternakan di tanah seluas 50 ekar di Perlis selain bercadang membuka beberapa lagi ladang di Pahang dan Negeri Sembilan.

Melihat kepada perkidmatan yang ditawarkan di restorannya, ia amat berbeza daripada premis makanan barat lain kerana menonjolkan pelbagai keunikan.

''Dekorasi restoran ini ditampilkan dalam bentuk santai dan ringkas untuk memastikan pelanggan dapat menikmati pengalaman seperti berada di rumah.

''Selain itu, kesemua menu di sini disediakan secara sihat dan semulajadi tanpa penggunaan bahan penambah perisa, garam atau pun minyak

''Pelanggan juga boleh menentukan sendiri berat daging yang ingin dipesan berdasarkan bajet dan banyak mana mereka mahu makan,'' jelas bapa kepada seorang anak itu.

Bagi pelanggan yang datang secara berkumpulan, terdapat beberapa pakej disediakan untuk kuantiti hidangan yang bersesuaian.

Restoran berkenaan mempunyai kaedah penyediaan makanan tersendiri dengan penelitian kualiti maksimum agar semua pelanggan dapat menikmati hidangan daging segar.

Memandangkan pada asalnya restoran itu merupakan tempat memproses daging, ia telah dilengkapi dengan peralatan seperti bilik sejuk beku, bilik dingin, mesin memproses dan mesin vakum.

Semua daging mentah yang baru tiba akan menjalani proses kematangan selama lebih kurang 21 hari untuk membuang tisu, darah dan lemak yang mengandungi kolestrol.

Sepanjang aktiviti itu, daging akan disimpan di dalam pembalut nilon yang telah melalui proses vakum terlebih dahulu.

Selepas itu, barulah daging-daging itu sedia untuk dijual secara mentah atau dimasak mengikut menu yang diinginkan pelanggan.

''Kita juga ada menjual daging yang telah siap diperap dengan ramuan khas di dalam pembalut nilon.

''Untuk menyediakan hidangan itu di rumah, pengguna hanya perlu merendam daging bersama pembalut nilon di dalam air mendidih untuk jangka masa tertentu bergantung tahap masak yang diinginkan,'' katanya.

Antara menu yang ditawarkan adalah daging lembu jenis Wa'gyu atau Angus dan kambing yang dimasak secara BBQ, panggang, goreng serta gril.

Sebagai penambah perisa, masakan itu akan dihidangkan bersama tiga jenis pilihan sos iaitu sos lada hitam, sos coklat dan sos cendawan putih.

Selain itu, terdapat juga beberapa menu tambahan seperti ikan yellow panggang, jejari kentang, kentang putar, piza, pasta, coleslaw dan juga kebab.

Lebih menarik, pelanggan yang makan di restoran boleh memesan apa sahaja minuman panas atau sejuk secara percuma.

Penerimaan positif terhadap restoran itu telah mendorong bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu untuk membuka cawangan The Butcher @ Syamille di Ampang selain sebuah lagi cawangan di Subang Jaya yang sedang dalam perancangan.

Di samping itu, beliau turut menerima pelawaan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membuka cawangan restoran itu di sebuah lokasi di Serdang.

Dari segi tenaga kerja, setakat ini beliau mempunyai empat orang chef yang akan membantu operasi di cawangan USJ dan juga Ampang.

Restoran berkenaan dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga lewat malam.

Bagi memperkembangkan produk makanannya, beliau turut mengambil inisiatif membuat jualan secara dapur bergerak atau katering untuk majlis organisasi dan parti keluarga.

Bagi tujuan sama, beliau juga kini membuka tawaran mengkomersialkan restoran tersebut kepada pengusaha bumiputera yang berminat.

Pada peringkat awal, tumpuan lebih diberikan kepada pengusaha yang ingin melaksanakannya di sekitar kawasan Lembah Klang.

Ia melibatkan pelaburan antara RM100,000 hingga RM500,000 bergantung kepada saiz dan bentuk kedai serta produk yang ingin dijual.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Hiruddin di talian 012-3351010 atau Mustafa di 012-9111777.

Maklumat lanjut mengenai restoran tersebut boleh diperolehi menerusi laman web www.thebutchersyamille.webs.com.

Sumber:Utusan Malaysia

Related Posts with Thumbnails