Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Thursday, August 15, 2013

Penyelidik UKM kaji manfaat makan tempe


FotoGANDINGAN mantap Dr Suzana (dua dari kiri), Dr Hasnah (dua dari kanan) bersama kajian tempe dilakukan mereka.

Oleh Mohd Sabran Md Sani
Populasi di negara ini mengalami proses penuaan dengan jangka hayat wanita melebihi lelaki iaitu purata umur sekitar 79 tahun.
Meskipun jangka hayat golongan berkenaan tinggi, kualiti hidup pula tidak memuaskan termasuk berdepan dengan masalah pengurangan jisim tulang yang agak tinggi.

Wanita juga menghabiskan sisa hidup dengan mempunyai jisim tulang yang rendah dan boleh membawa kepada keadaan osteoporosis atau tulang rapuh.

Ini menambah lagi risiko tulang patah dan mengurangkan pergerakan seseorang.

Melihat kepada senario dialami golongan itu, penyelidik daripada Program Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengkaji mengenai penyerapan kalsium menggunakan isotop stabil.

Kajian ini diketuai Timbalan Dekan FSK, Prof Dr Suzana Shahar daripada Program Dietetik manakala penyelidik bersama kajian ini adalah Prof Madya Dr Hasnah Haron, yang juga Pensyarah Kanan daripada Program Pemakanan menjalankan kajian ini sebagai kajian doktor falsafah (PhD).

Tajuk kajian yang dijalankan adalah Penyerapan Kalsium Di Kalangan Wanita Melayu Menopaus Yang Mengambil Tempe Berbanding Susu Menggunakan Kaedah Isotop Stabil.

Kajian mendapati tempe daripada kacang soya mempunyai jumlah penyerapan kalsium yang tinggi setanding susu.

Tempe juga mengandungi isoflavon iaitu sejenis antioksidan yang mampu memerangi kerosakan sel, mengurangkan simptom menopaus serta meningkatkan jisim tulang khusus kepada golongan wanita.

Isoflavon memberi banyak manfaat untuk wanita dan boleh mencegah risiko penyakit kardiovaskular, kanser dan mengurangkan gejala ‘hot flushes’ (panas badan yang disebabkan perubahan hormon dalam kalangan wanita yang mengalami menopaus).

“Kajian di Jepun membuktikan ‘hot flushes’ berkurangan dalam kalangan wanita menopaus yang mengambil kacang soya,” katanya.

Namun, kajian mendapati menggoreng tempe dalam minyak yang banyak mengurangkan kandungan isoflavon.

Katanya, kajian yang mereka jalankan adalah salah satu projek di bawah badan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

“Kajian pemakanan yang menggunakan isotop stabil selamat digunakan ke atas bayi, wanita mengandung serta menyusukan anak dan warga tua,” katanya.

Menurutnya, pengambilan kalsium terutama dalam kalangan wanita Melayu yang menopaus di pedalaman antara 200 hingga 300 mg sehari sedangkan wanita Cina menopaus kurang daripada 500 mg/sehari.

“Kajian mendapati wanita dalam usia ini mengambil purata 30 hingga 60 peratus daripada 1,000 mg kalsium/sehari yang dicadangkan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan, Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) 2005.

“Cara kami menyediakan tempe ialah dengan menggoreng bersama tepung. Kami perlu memberi subjek kajian sebanyak 240 gram tempe yang mengandungi 150 gram kalsium.

“Dalam kajian isotop stabil, kita perlu memberikan satu pertiga daripada pengambilan kalsium biasa dalam populasi ini (500 miligram) dan ini bersamaan 150 miligram kalsium,” katanya.

Kajian isotop stabil dijalankan dengan menjemput pakar pemakanan dari Universiti Cornell, USA iaitu Prof Dr Kimberly O’Obrien.

“Penyaringan terhadap subjek dilakukan dengan kebanyakan mereka tinggal di sekitar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Subjek juga membabitkan golongan warga emas Melayu berusia 55 hingga 65 tahun dan mengalami menopaus selama lima tahun,” katanya yang menjalankan kajian isotop stabil dari 2006 hingga 2008.

Dalam kajian itu, hanya subjek yang sihat dan tidak mengambil ubat diambil kerana ubat akan mempengaruhi penyerapan kalsium.

Kajian itu adalah yang pertama di dunia mengenai penyerapan kalsium daripada tempe.

“Kajian ini dapat mengubah persepsi mengenai tempe kerana ia adalah sumber kalsium dan berpotensi mengurangkan kehilangan jisim tulang dalam kalangan wanita menopaus serta perkembangan kanak-kanak,” katanya.

Hasil kajian menunjukkan empat hidangan tempe akan memberikan kalsium yang setara dengan secawan susu.

“Susu memang sumber kalsium yang terbaik manakala tempe juga mengandungi kalsium, tetapi tidak setinggi susu, maka kita memerlukan empat hidangan tempe berbanding secawan susu.

“Apabila kami dapat hasil kajian seperti ini, kami ingin menyebarkan kebaikan makanan tempe ini kepada masyarakat umum.

“Tempe mengandungi kandungan isoflavon yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan kita,” katanya.

Kajian yang dijalankan mereka sudah memenangi beberapa anugerah termasuk pingat gangsa sempena Ekspo Kecemerlangan Warisan Ilmu UKM dan pingat gangsa sempena Ekspo Penyelidikan UPM, selain Anugerah Penerbitan daripada Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) pada persidangan NSM ke 28.
Sumber:Harian Metro

Tanam sayur selepas gantung but


Foto

Oleh Mohd Amin Jalil
Sekalipun bidang diceburi amat berbeza, tetapi kesungguhannya mengusahakan Projek Ladang Kontrak bersama FAMA Negeri Sembilan membuahkan hasil memberangsangkan.
Siapa sangka bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohd Khaidir Mohd Dom, 39, kini bergelar pembekal sayur-sayuran terkenal menerusi Projek Nur Kasih Agro.
Dia mengusahakan projek itu di tanah seluas 10 hektar di Kampung Pelebar Dalam Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM20,000 sebulan.

Selain pasaran tempatan, sayur yang dihasilkan turut dihantar ke pasar besar di sekitar Kuala Lumpur.

Berbekalkan modal RM200,000, Mohd Khaidir memulakan projek pertanian besar-besaran itu pertengahan 2009 sebaik ‘menggantung but’ pada akhir 2007.

Dia mengusahakan projek itu di kawasan tanah terbiar milik ahli keluarga dengan sebahagian lain disewa daripada pemilik tanah.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk membabitkan diri dalam projek pertanian sebaik menamatkan karier bola sepak, tetapi selepas menimbangkan cadangan ahli keluarga, saya memberanikan diri.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pertanian, saya mahu mencuba sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pada mulanya, dia hanya menanam kacang panjang di kawasan seluas dua hektar sebelum meningkat dengan tanaman terung, bendi, timun dan cili padi sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak FAMA.

Usahanya meluaskan tanaman itu membuahkan hasil apabila semua projek itu menjadi dan mengeluarkan kira-kira 45 tan bagi setiap kali tuaian.

Beliau adalah bekas pemain bola sepak pertama di negara ini membabitkan diri dalam bidang itu dan mengakui mendapat sokongan FAMA.

Dia turut dibantu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS).

“Ilmu pengetahuan dan bimbingan diberikan JPNS banyak membantu saya dalam menguruskan ladang secara sistematik dengan mengurangkan bahan kimia.

“Menerusi Amalan Ladang Baik Malaysia (SALAM), sayur-sayuran yang saya keluarkan mendapat pengiktirafan JPNS kerana selamat dimakan,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 21 tahun ini, Program Pengukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontrak terus ke Pasar Tani mempermudahkan aktiviti pemasaran dijalankan.

“FAMA memberikan kita kebebasan melakukan aktiviti pemasaran dan kebanyakan hasil ladang ini dihantar terus ke pasar besar seperti Pasar Besar Selayang,” katanya.

Beliau bersyukur kerana projek itu berjaya dan terus mendapat permintaan tinggi.

“Saya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi semangat memajukan projek itu.

“Saya bersyukur usaha selama ini membuahkan hasil dan berazam untuk membesarkan lagi projek ini,”katanya.
Sumber:Harian Metro
Related Posts with Thumbnails