Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, March 9, 2010

Pusat ikan hiasan marin 90 peratus siap

SEREMBAN 7 Mac - Projek pembinaan pusat ikan hiasan marin yang bakal menjadi tarikan pelancong dan pengunjung di pantai peranginan Port Dickson dekat sini, sudah 90 peratus disiapkan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, projek berkenaan yang menelan belanja RM4.5 juta dijangka dibuka kepada umum mulai Mei depan.

''Projek itu hampir selesai dan kini kerja-kerja memasang akuarium dan perkakas berkaitan sedang giat dijalankan.

''Infrastruktur bangunan sudah siap dibina sejak penghujung tahun lalu, tetapi perkakas seperti akuarium termasuk kolam untuk tujuan menternak dan menghasilkan benih ikan baru mula dipasang bulan ini dan akan siap sepenuhnya pada bulan April," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, pembukaan dan upacara perasmian pusat tarikan 'agro-tourism' itu akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, menerusi pembukaan pusat itu, orang ramai termasuk pelancong asing berpeluang mendekati pelbagai jenis spesies ikan serta hidupan akuatik marin dari dalam dan luar negara.

''Pusat ini akan memaparkan kira-kira 50 spesies ikan hiasan marin dari dalam negara ini dan 100 spesies ikan dari luar negara.

''Selain itu, pusat itu juga akan mempamerkan kuda laut, tapak sulaiman, terumbu karang dan banyak lagi spesies hidupan laut yang terdiri daripada pelbagai jenis," ujarnya.

Jelasnya, pada masa yang sama, pusat tersebut juga akan berperanan untuk memulihara hidupan laut yang semakin diancam kepupusan.

''Pakar dari luar negara juga akan bersama-sama kita untuk menjalankan kajian dalam usaha membantu memastikan batu karang serta hidupan laut tidak terus terpupus," katanya.
Sumber:Utusan Malaysia
Related Posts with Thumbnails