Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, September 4, 2009

Felda labur RM750 juta untuk Gedung Makanan Negara

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Felda akan melabur sebanyak RM750 juta dalam tempoh 10 tahun bagi merealisasikan hasrat agensi itu untuk menjadi pemain utama dalam projek Gedung Makanan Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak empat bidang akan menjadi tumpuan Felda bagi mencapai hasrat tersebut iaitu penanaman cili kulai, pisang berangan, penternakan lembu daging dan pemeliharaan ikan tilapia.

Jelasnya, projek itu akan dilaksanakan oleh peneroka sendiri dan mereka bakal menerima pendapatan tambahan antara RM220 hingga RM1,000 sebulan iaitu bergantung kepada aktiviti yang dijalankan.

‘‘Berdasarkan perkiraan kita, peneroka yang terlibat dengan penanaman cili kulai akan memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM220 sebulan.

‘‘Bagi penanaman pisang berangan pula, peserta bakal menerima pendapatan tambahan RM629 sebulan untuk setiap sehektar, lembu daging RM1,000 sebulan dan ikan tilapia RM510 sebulan,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri pernah menyentuh mengenai keupayaan Felda untuk muncul sebagai pemain utama dalam projek Gedung Makanan Negara pada masa akan datang.

Menurut beliau, impian itu merupakan salah satu misi dalam gagasan Felda moden bagi menambah pendapatan peneroka dan ahli keluarga sekali gus mengurangkan import bahan makanan.

Najib berkata, melalui penglibatan serius Felda di dalam sektor makanan dapat menampung keperluan negara khususnya dalam empat bidang berkenaan.

‘‘Sebagai contoh melalui projek cili kulai, ia akan dapat menampung pengeluaran sebanyak 48,000 tan metrik atau 18 peratus daripada keperluan negara.

‘‘Projek penanaman pisang berangan pula adalah sebanyak 45,000 tan metrik atau 14 peratus keperluan negara dan lembu daging 15,000 tan metrik atau 10 peratus daripada keperluan negara,” katanya lagi.

Menurutnya, projek tersebut akan membabitkan kawasan Felda di seluruh negara.

Jelasnya, Felda telah mengenal pasti kawasan untuk menjayakan projek-projek itu yang melibatkan dua kategori iaitu projek yang dilaksanakan di pekarangan rumah dan di kawasan lapang.

Sumber:Utusan MAlaysia

Related Posts with Thumbnails