Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Friday, September 25, 2009

Rajaudang cadang bina 50 kolam udang putih

KOTA TINGGI 24 Sept. - Rajaudang Aquaculture Sdn. Bhd. (RASB) bercadang untuk membina sebanyak 50 buah kolam ternakan udang putih pada tahun depan bagi menjadikan jumlah keseluruhan kolam miliknya ialah 222 buah.

Pengurus Besarnya, Zulman Shariff berkata, langkah itu bagi mengembangkan lagi perniagaannya yang telah memulakan projek ternakan udang harimau sejak 1985 di bawah skim industri akuakultur Johor Corporation (JCorp).

"Sehingga kini kami telah mengusahakan sebanyak 172 buah kolam iaitu 60 kolam di Kampung Sedili Kecil dan 112 buah kolam di Kampung Belukar Durian di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 51 fakir miskin di Balai Raya Kampung Sedili Kecil, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, di sini hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Zulman berkata, permintaan yang sentiasa konsisten terhadap bekalan udang menambahkan lagi keyakinan syarikatnya untuk meluaskan operasinya dengan pembukaan kolam-kolam baru.

Secara kesluruhan, katanya, syarikat itu mampu menghasilkan pengeluaran sebanyak 950 tan metrik udang putih pada tahun ini dengan jualan melebihi RM12 juta.

Menurtunya, hasil pengeluaran itu dijual di pasaran tempatan dan dieksport ke Singapura dan negara-negara Eropah.

"Justeru kami berharap dengan sokongan penduduk tempatan dan asing serta kepakaran dan pengalaman Intrapreneur, perniagaan kami akan terus maju dan berupaya dikembangkan lagi pada masa hadapan," katanya.

Kios daging WASB


Sasar tambah rangkaian melalui konsep francais di empat negeri

WIDAD Agrofarm Sdn Bhd (WASB), pengeluar daging segar memperkenalkan kios jualan daging lembu tempatan pertama di negara ini dengan sasaran 50 unit kios dalam dua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhammad Ikmal Opat Abdulllah, berkata bekalan daging segar itu kini boleh diperoleh dengan harga promosi RM17 sekilogram sehingga Aidilfitri ini.

Menurutnya, ia boleh diperoleh di kios sulung di Jalan Langgar, Alor Star, Kedah, yang mula beroperasi Khamis lalu.

Beliau berkata, pengguna berpeluang membeli dengan harga itu sekiranya mereka memiliki kad diskaun yang disediakan secara percuma sebagai satu pilihan kepada pengguna yang membeli daging segar di kios berkenaan.

Katanya, selain jualan runcit, WASB turut menyediakan perkhidmatan penghantaran dengan jarak lima kilometer (km) daripada kiosnya.

“Kami mengenal pasti tiga lokasi di Alor Star iaitu di Mergong, Lebuhraya Darulaman dan Simpang Kuala untuk mewujudkan kios ini.

“Dalam dua tahun ini, kami mensasarkan membuka 50 kios daging segar ini di empat negeri di utara iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak melalui sistem francais,” katanya selepas pelancaran pembukaan kios jualan daging segar tempatan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah, Dr Abd Razak Mohd Zailan, di Alor Star, semalam.

Muhammad Ikmal berkata, WASB turut membuka peluang kepada orang ramai termasuk peniaga daging segar yang berminat menceburi sistem perniagaan francais yang ditawarkan dengan anggaran modal RM40,000.

Katanya, konsep kios itu adalah hasil ilham dan kerjasama dengan JPV Kedah yang menetapkan beberapa kriteria yang perlu dipatuhi bagi menjamin kualiti dan kesegaran daging yang dijual.

“WASB mempunyai ladang milik sendiri seluas empat hektar di Sungai Laka, Changlun, Kedah yang mampu menampung 3,000 lembu dalam satu masa.

“Kami juga mempunyai pusat pengumpulan lembu yang berfungsi sebagai pusat kuarantin di daerah Kanchanaburi, Thailand yang diiktiraf Department of Liverstock Development (DLD), Thailand dan JPV Kedah,” katanya.

Muhammad Ikmal berkata, selain jualan terus, WASB turut membekalkan secara borong kepada pengusaha di negeri ini.

Selain itu, syarikat itu turut menawarkan pakej korban dengan harga RM1,600 untuk seekor lembu bagi memenuhi keperluan Aidiladha.

“Kita akan membawa masuk kira-kira 3,000 lembu dari Thailand melalui pusat pengumpulan kami sebelum ditempatkan di ladang di Sungai Laka,” katanya.
Oleh Ridzuan Ahmad am@hmetro.com
Related Posts with Thumbnails