Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 
Showing posts with label sayuran. Show all posts
Showing posts with label sayuran. Show all posts

Thursday, August 15, 2013

Tanam sayur selepas gantung but


Foto

Oleh Mohd Amin Jalil
Sekalipun bidang diceburi amat berbeza, tetapi kesungguhannya mengusahakan Projek Ladang Kontrak bersama FAMA Negeri Sembilan membuahkan hasil memberangsangkan.
Siapa sangka bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohd Khaidir Mohd Dom, 39, kini bergelar pembekal sayur-sayuran terkenal menerusi Projek Nur Kasih Agro.
Dia mengusahakan projek itu di tanah seluas 10 hektar di Kampung Pelebar Dalam Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM20,000 sebulan.

Selain pasaran tempatan, sayur yang dihasilkan turut dihantar ke pasar besar di sekitar Kuala Lumpur.

Berbekalkan modal RM200,000, Mohd Khaidir memulakan projek pertanian besar-besaran itu pertengahan 2009 sebaik ‘menggantung but’ pada akhir 2007.

Dia mengusahakan projek itu di kawasan tanah terbiar milik ahli keluarga dengan sebahagian lain disewa daripada pemilik tanah.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk membabitkan diri dalam projek pertanian sebaik menamatkan karier bola sepak, tetapi selepas menimbangkan cadangan ahli keluarga, saya memberanikan diri.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pertanian, saya mahu mencuba sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pada mulanya, dia hanya menanam kacang panjang di kawasan seluas dua hektar sebelum meningkat dengan tanaman terung, bendi, timun dan cili padi sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak FAMA.

Usahanya meluaskan tanaman itu membuahkan hasil apabila semua projek itu menjadi dan mengeluarkan kira-kira 45 tan bagi setiap kali tuaian.

Beliau adalah bekas pemain bola sepak pertama di negara ini membabitkan diri dalam bidang itu dan mengakui mendapat sokongan FAMA.

Dia turut dibantu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS).

“Ilmu pengetahuan dan bimbingan diberikan JPNS banyak membantu saya dalam menguruskan ladang secara sistematik dengan mengurangkan bahan kimia.

“Menerusi Amalan Ladang Baik Malaysia (SALAM), sayur-sayuran yang saya keluarkan mendapat pengiktirafan JPNS kerana selamat dimakan,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 21 tahun ini, Program Pengukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontrak terus ke Pasar Tani mempermudahkan aktiviti pemasaran dijalankan.

“FAMA memberikan kita kebebasan melakukan aktiviti pemasaran dan kebanyakan hasil ladang ini dihantar terus ke pasar besar seperti Pasar Besar Selayang,” katanya.

Beliau bersyukur kerana projek itu berjaya dan terus mendapat permintaan tinggi.

“Saya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi semangat memajukan projek itu.

“Saya bersyukur usaha selama ini membuahkan hasil dan berazam untuk membesarkan lagi projek ini,”katanya.
Sumber:Harian Metro

Wednesday, September 2, 2009

Sayur-Sayuran Dihasilkan Daripada Teknologi Canggih

Daripada Chiang Hee Tze


TOKYO, 25 Ogos (Bernama) -- Bayangkan suatu masa nanti bila tiada tanah lagi untuk penanaman. Bagaimana kita memperoleh makanan daripada tumbuh-tumbuhan segar?

Jepun nampaknya menawarkan penyelesaian berkenaan.

Sebuah kilang mengeluarkan sayur-sayuran berasaskan teknologi bilik mesra alam telah dimajukan dengan pelbagai perubahan sejak berdekad.

Teknologi itu kini lebih memberi penekanan terhadap hidroponik, yang memerlukan hanya air dan nutrien untuk mengawal penanaman tumbuh-tumbuhan.

Sayur-sayuran biasa kebanyakannya tidak stabil disebabkan oleh iklim tetapi kilang penanaman ini berjaya mengekalkan kestabilannya sepanjang tahun dan menjadikan usaha mengeluarkan sayur-sayuran segar tanpa mengira masa suatu yang tidak mustahil, kata Presiden Mirai Co. Ltd, Shigeharu Shimamura, dan juga pengasas teknologi untuk kilang sayur-sayuran itu.

Beliau berkata demikian semasa taklimat media di sini sempena mesyuarat perniagaan makanan Jepun anjuran Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO).

Mirai ditubuhkan pada 2004 dan bersama-sama dengan rakan teknologinya, OZU Corporation yang kemudian mendirikan "OZU Fuchu Factory" seluas 500 meter persegi pada 2006. Sejak itu ia menjalankan perniagaan sayur-sayuran.

Mengenai teknolgi berkenaan, Shigeharu berkata medium nutrien dan persekitaran yang dikawal juga memungkinkan sayur-sayuran mempunyai kualiti nutrisi yang lebih tinggi.

Tidak seperti penanaman di ladang terbuka, sayur-sayuran kilang itu lebih manis setelah kepahitan dan baunya dapat dikawal, kata beliau.

Model perniagaan atau pengeluaran hasil tanaman ini boleh berfungsi dalam bangunan, katanya.

"Pengusaha boleh mengeluarkan sayur-sayuran atau herba yang diperlukan dalam pasaran. Saiz, kuantiti atau kualiti boleh dioptimumkan," katanya.

Sementara itu, penyelia fakulti OZU Corporation, Yuichi Kaneko berkata kaedah biasa penanaman sayur-sayuran berdepan dengan risiko seperti penyakit dan serangan serangga dan kaedah hidroponik ini boleh mengurangkan risiko itu.

Syarikat berkenaan telah menghasilkan sayur-sayuran seperti salad, selada air, sawi dan banyak lagi, yang kini dijual di restoran terkenal. Sayur-sayuran itu juga dijual kepada syarikat pembekal dan pasar raya.

-- BERNAMA

Friday, February 6, 2009

AGRO BANK BIMBING USAHAWAN TANI


Agro Bank mahu supaya usahawan tani memahami aspek teknikal dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang yang diceburi supaya mereka mengusahakannya sehingga berjaya.


Agro Bank akan terus menjadi peneraju dalam usaha membimbing bakal usahawan menceburi bidang pertanian.

Ini dilakukan dengan menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Tani yang menyediakan dana berjumlah lebih RM2 juta pada tahun ini.

Sebanyak 64 siri kursus melibatkan pelbagai sektor telah disenaraikan pada tahun ini yang akan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Seperti sebelum ini, program pembangunan usahawan tani yang dianjurkan oleh bank terbabit dilaksanakan menerusi Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Justeru, peserta bukan sahaja disediakan dengan modul latihan yang lengkap dan sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi juga persekitaran kondusif untuk menimba ilmu.

Bagaimanapun menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, jumlah peruntukan yang disediakan dan kemudahan yang sesuai bukanlah jaminan mudah bagi peserta bergelar usahawan tani, sebaliknya mereka perlu mempunyai sikap positif untuk berjaya.

"Sebagai contoh, peserta perlu mempunyai minat untuk mengambil tahu mengenai bidang yang mereka ingin ceburi dan bukan bertujuan mengambil mudah suka-suka sahaja,'' katanya..

Ini kerana katanya, menceburi bidang pertanian bukanlah satu perkara mudah berdasarkan kepada konsep 3D iaitu Dirty (kotor), Danger (berbahaya) dan Difficult (rumit) yang menunjukkan bahawa mereka perlu mempunyai tahap kesabaran dan daya tahan yang tinggi.

Selain itu, peserta juga perlu memastikan bahawa lokasi projek pertanian yang dijalankan mestilah sesuai dan tidak terlalu jauh ke pedalaman.

Pada masa sama, peserta perlu menguasai kemahiran teknikal sektor yang diceburi untuk memastikan projek dapat berjalan dengan baik.

Oleh sebab itulah, pihaknya bukan sahaja memilih kursus yang sesuai untuk disertai peserta tetapi juga lengkap dengan keperluan semasa dan paling penting menyahut seruan kerajaan.

Beliau memberi contoh, antara kursus yang dijalankan pada tahun ini ialah penanaman menggunakan sistem fertigasi, penternakan ikan puyu dan ketutu, penanaman cendawan, ternakan kambing memproses bebola ikan, ternakan tilapia dan ternakan ketam, penyediaan makanan ruminan, ternak lintah dan pemprosesan buah-buahan.

"Kami juga menawarkan kursus merangka rancangan perniagaan dan memperkenalkan strategi menghubungkan pengusaha dengan industri atau pengusaha dengan pembeli,'' katanya.

Apa yang penting tegas beliau, peserta bukan sahaja perlu hadir kursus kali pertama tetapi juga mereka perlu bersedia menghadiri kursus-kursus lanjutan yang seterusnya.

Oleh itu, mereka mampu menguasai kemahiran di peringkat pengurusan projek sehingga kepada pengurusan perniagaan atau dari A sehingga Z termasuk aspek pemasaran.

Selain itu, strategi Agro Bank juga mahu supaya peserta yang bakal mengusahakan projek pertanian memilih lokasi sesuai untuk memudahkan pemasaran.

Sebab itu, pihaknya memilih tempoh kursus antara tiga dan lima hari yang dianggap sesuai untuk menimba ilmu dan dan pada masa akan datang melengkapkan ilmu dengan menyertai kursus lanjutan.

Beliau berkata, sambutan daripada peserta amat menggalakkan yang mana dengan kerjasama yang diadakan dengan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Mega berjaya menghebahkan kepentingan mengadakan program seumpama itu.

Pada tahun ini, Agro bank sekali lagi akan membentuk kerjasama dengan Utusan Malaysia untuk mengadakan pelbagai kursus pertanian untuk mereka yang berminat.

Abdul Shukor menambah, sejak diadakan pada 2007 hingga tahun lepas, sebanyak 8,971 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Program tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Tani yang dirangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan akan berakhir pada tahun depan.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani sangat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Oleh LAUPA JUNUS- Petikan dari Utusan Online...

TANAM BENDI BANTU SARA KELUARGA


Kerja-kerja memetik bendi dijalankan setiap hari untuk mengelakkannya menjadi terlalu besar dan panjang.


MELIBATKAN diri dalam kerja-kerja pertanian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan seseorang untuk menghadapi cabarannya.

Namun, tidak semua individu di muka bumi ini dibekalkan dengan kesungguhan untuk terus berbakti kepada tanah walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Sesetengah golongan petani mungkin mempunyai alasan atau matlamat mereka sendiri dalam bidang pertanian yang secara tidak langsung menjadikan mereka kuat untuk terus melaksanakan tugas berkenaan.

Bagi Abu Mansor Hashim, 43, selain minat, penglibatan beliau dalam dunia pertanian juga sebenarnya dijadikan sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Pada peringkat awal, beliau memulakan langkahnya dengan mencuba menanam beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili, bendi, keladi, timun dan terung secara kecil-kecilan selain mengambil upah mengerjakan sawah.

Setelah lebih sepuluh tahun menjalankan kerja tersebut, pada tahun 2006 beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penanaman bendi secara lebih serius.

Bermodalkan pinjaman yang diterima daripada AgroBank sebanyak RM30,000, beliau memulakan projek tanaman bendi di tanah seluas empat ekar di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor dengan kos menyewa sebanyak RM600 setahun.

Modal dari bank tersebut diperolehi menerusi Dana 3F iaitu Tabung Untuk Makanan dengan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Dana berkenaan merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak AgroBank untuk menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan tawaran had pinjaman bermula RM10,000 hingga RM10 juta menerusi tempoh pinjaman maksimum 10 tahun.

Antara projek yang layak untuk memohon pinjaman tersebut adalah yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran makanan untuk tanaman, ternakan serta perikanan.

Menurut Abu Mansor, sebelum memulakan projek tanamannya, beliau ada mengambil kira beberapa faktor penanaman dan juga risiko yang perlu ditanggung.

"Saya ada membuat serba sedikit pemantauan terhadap harga pasaran bendi untuk melihat sejauh mana sambutan pengguna terhadap sayur ini.

"Dari segi teknikal pula, saya menjalankan pemeriksaan tahap kesuburan tanah di kawasan tanaman ini untuk memastikan ia subur dan sesuai untuk projek tanaman bendi,'' katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai projek tanamannya, beliau memberitahu, pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula.

Untuk memastikan pokok tersebut membiak dengan baik, proses pembajaan dijalankan setiap hari selain penyemburan racun dilakukan tiga hari sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Dari segi percambahan, beliau berkata, pokok bendi mempunyai peratus pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematiannya pula adalah rendah.

Namun, pemantauan perlu dijalankan setiap hari bagi memastikan pokok-pokok tersebut bebas dari penyakit.

Antara jenis masalah yang sering menyerang pokok bendi adalah seperti serangan serangga bena hijau yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti kerosakan pada daun, pucuk menjadi kuning dan tidak bertindak balas terhadap baja.

Setakat ini beliau mempunyai seramai lima orang pekerja untuk membantunya menjalankan kerja-kerja meracun dan juga membaja selain memetik hasil ketika tiba musim menuai.

"Kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang.

"Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar,'' kata ayah kepada empat orang anak itu.

Untuk sekali proses menuai hasil, ladangnya berjaya menghasilkan sehingga 700 kilogram bendi sehari.

Hasil tersebut akan dijualkan terus kepada pemborong dan peniaga dari Pasar Selayang yang akan datang ke ladangnya setiap hari dengan harga RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Beliau yang pernah bertugas sebagai kontraktor pembinaan di Singapura selama lapan tahun berkata, harga borong untuk bendi adalah bergantung kepada permintaan dan juga kualiti buahnya.

Dari segi kos pembiayaan tanaman, beliau perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli baja dan racun rumpai.

Harga untuk benih juga tidak kurang tingginya iaitu RM110 satu tin di mana ladangnya memerlukan sebanyak 16 tin untuk sekali proses penanaman.

Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, beliau kini telah memperluaskan penanaman bendinya di tanah seluas satu ekar milik bapanya berhampiran rumah beliau.

"Melalui perluasan kawasan ini, dapatlah saya menambah pendapatan untuk membantu menyara keluarga,'' jelasnya.

Jika mempunyai peluang, beliau juga bercadang untuk memperkembangkan ladangnya agar tanaman secara penggiliran dapat dijalankan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Setakat ini, beliau belum bercadang untuk membuka kursus atau latihan kepada penanam-penanam baru yang berminat.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan agar berani mencuba dan belajar sedikit demi sedikit.

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN - PETIKAN DARI UTUSAN ONLINE..

Related Posts with Thumbnails