Agro Bank akan terus menjadi peneraju dalam usaha membimbing bakal usahawan menceburi bidang pertanian.
Ini dilakukan dengan menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Tani yang menyediakan dana berjumlah lebih RM2 juta pada tahun ini.
Sebanyak 64 siri kursus melibatkan pelbagai sektor telah disenaraikan pada tahun ini yang akan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.
Seperti sebelum ini, program pembangunan usahawan tani yang dianjurkan oleh bank terbabit dilaksanakan menerusi Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Justeru, peserta bukan sahaja disediakan dengan modul latihan yang lengkap dan sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi juga persekitaran kondusif untuk menimba ilmu.
Bagaimanapun menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, jumlah peruntukan yang disediakan dan kemudahan yang sesuai bukanlah jaminan mudah bagi peserta bergelar usahawan tani, sebaliknya mereka perlu mempunyai sikap positif untuk berjaya.
"Sebagai contoh, peserta perlu mempunyai minat untuk mengambil tahu mengenai bidang yang mereka ingin ceburi dan bukan bertujuan mengambil mudah suka-suka sahaja,'' katanya..
Ini kerana katanya, menceburi bidang pertanian bukanlah satu perkara mudah berdasarkan kepada konsep 3D iaitu Dirty (kotor), Danger (berbahaya) dan Difficult (rumit) yang menunjukkan bahawa mereka perlu mempunyai tahap kesabaran dan daya tahan yang tinggi.
Selain itu, peserta juga perlu memastikan bahawa lokasi projek pertanian yang dijalankan mestilah sesuai dan tidak terlalu jauh ke pedalaman.
Pada masa sama, peserta perlu menguasai kemahiran teknikal sektor yang diceburi untuk memastikan projek dapat berjalan dengan baik.
Oleh sebab itulah, pihaknya bukan sahaja memilih kursus yang sesuai untuk disertai peserta tetapi juga lengkap dengan keperluan semasa dan paling penting menyahut seruan kerajaan.
Beliau memberi contoh, antara kursus yang dijalankan pada tahun ini ialah penanaman menggunakan sistem fertigasi, penternakan ikan puyu dan ketutu, penanaman cendawan, ternakan kambing memproses bebola ikan, ternakan tilapia dan ternakan ketam, penyediaan makanan ruminan, ternak lintah dan pemprosesan buah-buahan.
"Kami juga menawarkan kursus merangka rancangan perniagaan dan memperkenalkan strategi menghubungkan pengusaha dengan industri atau pengusaha dengan pembeli,'' katanya.
Apa yang penting tegas beliau, peserta bukan sahaja perlu hadir kursus kali pertama tetapi juga mereka perlu bersedia menghadiri kursus-kursus lanjutan yang seterusnya.
Oleh itu, mereka mampu menguasai kemahiran di peringkat pengurusan projek sehingga kepada pengurusan perniagaan atau dari A sehingga Z termasuk aspek pemasaran.
Selain itu, strategi Agro Bank juga mahu supaya peserta yang bakal mengusahakan projek pertanian memilih lokasi sesuai untuk memudahkan pemasaran.
Sebab itu, pihaknya memilih tempoh kursus antara tiga dan lima hari yang dianggap sesuai untuk menimba ilmu dan dan pada masa akan datang melengkapkan ilmu dengan menyertai kursus lanjutan.
Beliau berkata, sambutan daripada peserta amat menggalakkan yang mana dengan kerjasama yang diadakan dengan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Mega berjaya menghebahkan kepentingan mengadakan program seumpama itu.
Pada tahun ini, Agro bank sekali lagi akan membentuk kerjasama dengan Utusan Malaysia untuk mengadakan pelbagai kursus pertanian untuk mereka yang berminat.
Abdul Shukor menambah, sejak diadakan pada 2007 hingga tahun lepas, sebanyak 8,971 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut.
Program tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Tani yang dirangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan akan berakhir pada tahun depan.
Usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani sangat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.
Oleh LAUPA JUNUS- Petikan dari Utusan Online...