Sebarang pertanyaan dan pembelian call 0192272127 Hisham

Can't find it? Try this.

Google
 

Tuesday, April 29, 2008

Menjamu selera depan kandang kambing - Utusan Online

BATU PAHAT 26 April 2008 - Menjamu selera di hadapan kandang kambing?

Mungkin ramai yang akan menolak pelawaan itu kerana ia nyata bukan 'lokasi' sesuai untuk menjamu selera.

Namun orang ramai yang melawat ladang buah naga atau lebih popular dengan panggilan buah pitaya milik usahawan tani, Abdul Khalid Baba di Kampung Chamek, Kluang dekat sini, akan dijemput untuk menjamu selera di hadapan sebuah kandang kambing.

Situasi ini boleh dianggap 'istimewa' kerana tetamu dijemput menikmati hidangan di hadapan kandang yang mempunyai 86 ekor kambing Boer.

Antara yang turut dijemput menikmati hidangan di situ ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Abd. Aziz Kaprawi dan Pengarah Pertanian Johor, Adnan Mat Kassim ketika mengadakan lawatan ke ladang berkenaan baru-baru ini.

Menurut Pegawai Pertanian Kluang, Samat Mohd. Yusuf, lokasi itu sengaja dipilih untuk menjamu selera bukan bertujuan menghina tetamu, sebaliknya untuk membuktikan keberkesanan kaedah Efektif Mikroorganisma (EM) yang dipopularkan dalam sektor pertanian di Johor sejak dua tahun lalu.

Katanya, kaedah itu amat baik untuk digunakan dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan kerana mampu mengurangkan kos serta meningkatkan hasil kepada 20 peratus.

"Yang penting penggunaan kaedah EM mampu mewujudkan alam sekitar yang sihat dan bersih.

"Ternakan kambing dan ladang buah pitaya milik Abdul Khalid ini menggunakan kaedah EM dan sebab itulah ia bersih dan langsung tidak berbau hingga kita boleh menikmati hidangan tanpa rasa jijik dan risau akan dikerumuni lalat," katanya.

Menurutnya, walaupun telah terbukti berkesan masih ramai petani merasa ragu-ragu dan enggan menggunakan kaedah berkenaan.

Beliau berkata, kaedah yang sedang dipopularkan J-Biotec tersebut sebenarnya lebih murah dan mampu memperbaiki keadaan tanah dan keadaan sekeliling termasuk mutu air parit dan sungai.

Katanya, ia murah kerana ia tidak menggunakan racun dan baja kimia, tetapi memadai dengan baja organik serta kompos yang boleh dihasilkan daripada najis ternakan, buah-buahan dan sayuran yang rosak dan dibuang di ladang itu.

Related Posts with Thumbnails